jokisenja header

jokisenja header


Tuesday, November 16, 2010

SUZUKI M-SEKI LIBERTY TIDAK TERTEKAN

Walaupun masih belum mencapai keputusan yang memuaskan, Suzuki M-Seki Liberty Racing tidak rasa tertekan untuk menyaingi rekod baik jentera Suzuki di atas Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) - hos kepada Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS pada 20 hingga 21 November ini.

Sebaliknya, pengurus pasukan, Chong Kok Ming berpendapat adalah lebih realistik jikalau rekod kemenangan bekas pelumba Suzuki, Mohd Affendi Rosli (Harian Metro SCK Honda Racing) di atas litar Sepang Selatan musim lalu (Pusingan 9) menjadi tanda ukuran prestasi mereka, bukan sebagai objektif.

Ini kerana tahun lalu Affendi berlumba di dalam kategori Expert  yang menggunakan jentera 130cc manakala tahun ini Suzuki lebih menumpukan fokus kepada pembangunan jentera 115cc (CP115).

Chong Kok Ming turut menambah kejayaan Affendi merupakan hasil usaha keras penyelidikan dan pembangunan jentera selama beberapa tahun berbanding pasukan bimbingannya yang bertukar cita rasa dari Yamaha musim ini.

Ketika ini, Sasitharen Sukumaran merupakan pelumba terbaik dari pasukan Suzuki M-Seki Liberty Racing. Dia menduduki tangga ke 17 di dalam carta keseluruhan kelas CP115 diikuti rakan sepasukan Shariffuddin Shamsuddin di tempat ke-18 masing-masing dengan catatan 17 mata manakala Elly Idzliaikmal Ilias pula di tangga ke-21 (12 mata).

"Seperti mana-mana perlumbaan sebelum ini, kami sentiasa berada di bawah tekanan untuk mencapai keputusan terbaik. Walau bagaimanapun, untuk menyamai rekod kemenangan Affendi di Sepang minggu hadapan adalah tidak logik. 

"Ini kerana bukan sahaja kami berlumba di dalam kategori yang berbeza tetapi Affendi merupakan seorang pelumba yang berpengalaman dan dia sudah sebati dengan jentera Suzuki. Tambahan pula, dia mempunyai pasukan yang kuat dan sebelum kemenangan mereka di Sepang tahun lalu, mereka telah menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan selama dua tahun," ujar Chong Kok Ming.

Pengurus pasukan itu turut menambah, "Oleh itu, kami mensasarkan untuk menghabiskan perlumbaan di kalangan lima pelumba terbaik. Ini merupakan matlamat yang realistik dan tidak terlalu sukar pada pendapat saya."
 
Apabila ditanya siapa di antara pelumba pasukannya yang boleh mencapai objektif ini, Chong Kok Ming berkata, "Selepas Pusingan 8 di Pekan bulan lalu, Sasitharen, Elly dan Shariffuddin rasa lebih yakin dengan jentera masing-masing. Oleh itu saya rasa ketiga-tiga mereka mempunyai peluang yang sama rata di Sepang, selagi mereka tidak terlibat dengan sebarang insiden seperti kemalangan atau dibatalkan penyertaan."
 
Sementara itu, pelumba berusia 14 tahun, Md Ramdan Md Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha AHM Racing mendahului carta keseluruhan kelas CP115 dengan catatan 146 mata diikuti pelumba Motul Yamaha YY pang, Md Rozaiman Md Said di tempat kedua dan rakan sepasukan Md Adli Salihin di tempat ketiga dengan catatan 115 mata dan 108 mata masing-masing.

No comments:

Post a Comment