jokisenja header

jokisenja header


Friday, July 8, 2011

LAGENDA CUB PRIX: CHIA TUCK CHEONG


Nama Chia Tuck Cheong sebelum ini bukanlah nama asing bagi peminat-peminat sukan pemotoran di Malaysia. Pelbagai kejayaan telah dikecapinya sepanjang hampir 20 tahun melibatkan diri dengan kejuaraan motosikal tidak kira di dalam negara mahupun di peringkat Asia.

Antara kejayaan manis yang dicapai adalah ketika meraih kejuaraan berganda pada tahun 2001 apabila muncul sebagai juara keseluruhan Kejuaraan Cub Prix Malaysia dan juga Kejuaraan Motosikal Asia.

Selain itu, Chia pernah meletakkan namanya sebagai pemegang rekod pelumba terbanyak memenangi pusingan perlumbaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia dengan meraih 11 kemenangan sebelum Ahmad Fazli Sham mengambil alih kedudukan itu dengan meraih 17 kemenangan setakat ini. 

Permulaan karier
Chia memulakan karier perlumbaan Cub Prix ketika berusia 23 tahun, usia yang agak lewat jika dibandingkan dengan pelumba-pelumba zaman sekarang.

Walaupun menghadapi pelbagai kesukaran ketika itu, disebabkan minat yang mendalam terhadap sukan ini, Chia sanggup menceburi perlumbaan secara bersendirian tanpa bantuan mana-mana pihak.

"Ketika itu semuanya saya lakukan sendiri. Sayalah pelumba dan saya jugalah bertindak sebagai mekanik. Kebanyakan barangan yang digunakan merupakan barang-barang terpakai seperti sut lengkap perlumbaan dan juga topi keledar. Walaupun tidak memiliki modal yang besar, ia tidak menghalang hasrat saya untuk berlumba.

"Sebenarnya, sebaik mendapat lesen, saya telah mula menunjukkan minat saya terhadap lumba motor namun sebelum menyertai Kejuaraan Cub Prix, saya tidak pernah menyertai sebarang aktiviti lumba haram.  Kerana minat yang begitu tinggi, saya sanggup korbankan masa dan wang simpanan semata-mata untuk menyertai perlumbaan," katanya.

Antara dugaan lain yang terpaksa dihadapinya adalah tentangan daripada ahli keluarga. Jelasnya, "Memang keluarga saya tidak bersetuju dengan tindakan saya menyertai perlumbaan motosikal ini. Mereka fikir ia begitu berbahaya.

"Sehinggalah mereka melihat kejayaan saya terpapar di akhbar, barulah mereka tidak membantah untuk saya terus menceburi bidang ini. Tetapi setiap kali saya mengajak mereka datang menyaksikan perlumbaan, sekali pun mereka tidak pernah hadir," jelasnya sambil ketawa mengingatkan kisah silam.

Chia memulakan kariernya dengan menyertai kategori Yamaha RXZ 135cc di Siri Perlumbaan Shah Alam dan juga Siri Perlumbaan Johor secara bersendirian.

Apa yang sukar dilupakan, dua tahun pertama penglibatannya, ia begitu sukar buatnya sehinggakan ketika itu tidak mempunyai wang yang cukup untuk menyertai perlumbaan.

Namun dia tidak berputus-asa dan akhirnya, bakat dan hasil kesungguhannya telah menarik minat pasukan Hong Leong Yamaha untuk menjadi pelumba pasukan mereka. Berada di bawah pasukan profesional, beliau tidak menunggu lama apabila memenangi kategori Expert pada tahun 1997

Juara berganda 2001
Selepas bergelar juara Expert pada tahun 1997, pelbagai kejayaan terus dicipta di peringkat Kejuaraan Cub Prix Malaysia dan Kejuaraan Motosikal Asia. Antara pencapaian terbaiknya adalah pada tahun 2001 apabila muncul juara berganda kategori Expert di Kejuaraan Cub Prix dan Kejuaraan Motosikal Asia dalam kategori SuperSports 600cc.

Sebelum itu, Chia juga merupakan pelumba pertama dari Asia Tenggara yang mampu bergelar juara kategori SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia ketika melakukannya pada tahun 2000 sebelum mengekalkan gelaran pada tahun berikutnya.

Menyentuh tentang pesaingnya ketika itu, nama-nama seperti Wazi Abdul Hamid, M. Meganathan, Kuan Meng Heng dan ramai lagi sentiasa menjadi penghalang kepadanya untuk menjejakkan kaki di podium. 

"Lawan saya ini semuanya handal-handal dan mempunyai kelebihan masing-masing, kami sentiasa bersaing hebat untuk merebut kejuaraan. Namun ini menjadikan suasana perlumbaan sentiasa meriah dan penuh dengan cabaran.

"Kejayaan memenangi kedua-dua kategori pada tahun 2001 merupakan sesuatu yang tidak dapat dilupakan apatah lagi ketika itu saya dapat mengibarkan bendera negara sebagai juara di peringkat Asia," jelasnya.

Chia turut mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih untuk mewakili pasukan luar negara iaitu pasukan China Macau Zong Shen pada tahun 2002. Selepas mencipta kejayaan demi kejayaan, antara halangan lain yang perlu beliau hadapi adalah bagaimana untuk meyakinkan isterinya tentang penglibatannya dalam sukan pemotoran ini.

"Sebenarnya, selepas saya berkahwin, ketika itu usia saya 29 tahun, saya masih begitu aktif dengan perlumbaan. Isteri saya sebenarnya tidak suka saya terus berlumba, namun saya memujuknya agar memberikan peluang selama tiga tahun sahaja lagi untuk saya terus berlumba.

"Selepas tiga tahun, setiap kali musim perlumbaan bermula, sekali lagi saya meminta untuk terus berlumba sehinggalah saya bersara. Namun, sepanjang itu, hubungan kami tetap bahagia sehingga sekarang," jelasnya yang mengundurkan diri  dari arena perlumbaan pada tahun 2006.

Sibuk menguruskan bengkel kereta
Menjangkau usia 45 tahun, selepas tidak lagi sibuk di litar lumba, Chia kini sentiasa menghabiskan masa di bengkel keretanya yang terletak di Segambut, selain memberikan tumpuan penuh terhadap keluarga. 

Menguruskan Bengkel Motor Sun Soon Lee, beliau akui kini berpuas hati dengan kehidupan sekarang walaupun tidak lagi melibatkan diri dengan perlumbaan jentera dua roda.

"Pada awalnya, sepanjang terlibat dengan lumba motor dahulu, saya memang bekerja di bengkel kereta. Kemahiran ini saya pelajari sejak berusia 15 tahun lagi. Saya lebih cenderung kepada bengkel kereta berbanding untuk memiliki bengkel motosikal.

"Saya juga tidak mahu lagi melibatkan diri dengan perlumbaan ataupun menubuhkan sebuah pasukan untuk menyertai mana-mana perlumbaan motosikal. Tetapi jika ada yang berminat untuk menceburi perlumbaan motosikal, jika mereka datang bertanya kepada saya dan meminta sedikit tunjuk ajar, saya sedia untuk berkongsi segala pengalaman yang saya miliki," katanya.

Namun, kehandalan dan kejayaan Chia tidak diikuti oleh mana-mana anaknya kerana tiada di antara mereka yang dilihat cenderung untuk menceburi sukan pemotoran.

"Saya tidak boleh memaksa mereka untuk menjadi pelumba seperti saya kerana bagi saya untuk menjadi pelumba yang berjaya, minat itu perlu ada dalam diri mereka. Jadi tidak kisahlah jika mereka tidak mengikut jejak langkah saya untuk menjadi seorang pelumba.

"Lainlah jika suatu hari nanti tiba-tiba mereka mengatakan kepada saya untuk menceburkan diri dengan perlumbaan motosikal, sudah tentu saya sedia membimbing mereka," katanya.

Nasihan buat pelumba muda
Melihat kepada pencapaian cemerlang pelumba-pelumba muda dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, Chia menyifatkan ia sebagai satu perkembangan baik untuk sukan pemotoran negara.
Menurutnya, siri kejuaraan ini perlu terus diadakan pada masa akan datang kerana terbukti mampu melahirkan ramai pelumba-pelumba berbakat.

"Cuma mungkin masanya belum tiba untuk kita melihat adanya pelumba negara yang dapat menjadi juara dunia, ataupun setidak-tidaknya kembali bergelar juara di peringkat Asia sebagaimana yang pernah saya lakukan dahulu.

"Selain itu, kini para pelumba sangat bertuah kerana banyak pihak berminat untuk menghulurkan penajaan dan semakin banyak pasukan yang terlibat secara serius dengan perlumbaan ini berbanding sewaktu di peringkat awal penglibatan saya dengan sukan ini," jelasnya.

Chia turut menasihatkan agar untuk menjadi pelumba yang berjaya, mereka perlulah mempunyai kesungguhan dan minat yang mendalam.
"Mereka harus memberi sepenuh hati untuk berlumba dan meletakkan sasaran yang tinggi, bukan sekadar untuk suka-suka sahaja.

"Mereka perlu tunjukkan kemampuan kepada semua pihak tidak kira kepada peminat ataupun pihak penaja. Dari situ barulah mereka mampu untuk pergi jauh kerana jika mempunyai rekod pencapaian cemerlang, sudah tentu banyak pihak sedia membantu untuk membawa pelumba-pelumba ke tahap seterusnya," jelas pelumba yang setia menggunakan jentera Yamaha sepanjang lebih 15 tahun penglibatannya di dalam arena pemotoran negara.


Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment