jokisenja header

jokisenja header

Wednesday, November 3, 2010

Ramdan di landasan tepat


TEMUI Md Ramdan Md Rosli, bintang sedang meningkat dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas.
Seperti penunggang CP130, Hafizh Syahrin Abdullah, peningkatan Ramdan dalam sukan permotoran amat progresif. Pendedahan pertama Ramdan terhadap perlumbaan pada usia jagung. Dia hanya berusia sembilan tahun apabila dia menyertai pertandingan mini-bike pertamanya. 
Pengalaman pertamanya dalam Cub Prix adalah apabila dia melepasi had usia yang ditetapkan Persatuan Automobil Malaysia (AAM) pada usia 13 tahun yang mana dia kali pertama bertanding dalam kategori Wira dan Cabaran Yamaha 135LC. Ketika hampir semua penunggang perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan pertandingan sengit, Ramdan membuktikan sebaliknya.

Bukan saja dia memenangi kejuaraan satu pengeluar Yamaha tahun itu menamatkan lima daripada tujuh perlumbaan di podium, tetapi dia juga membuktikan kehadirannya tidak sia-sia dalam kategori Wira apabila memenangi dua pusingan termasuk menamatkan musim di tangga keenam keseluruhan.

Tahun lalu, dengan dua pusingan sebelum musim tamat, Ramdan melonjak dalam senarai dan mencuba tuahnya bagi kategori Novis. Ia hadir sebagai ujian buatnya untuk melihat sama ada dia mampu menyaingi penunggang lebih baik dan mengejutkan ramai, bukan saja Ramdan berjaya mencabar, tetapi dia juga mampu meraih jumlah mata yang membanggakan.

Tahun 2010 menandakan tahun kedua Ramdan dalam perlumbaan kompetitif dan dia terus mempamerkan perkembangan pesat secara konsisten bersaing bagi tiga kedudukan utama dalam kategori CP115.

Ketika ini, dia mendahului kedudukan keseluruhan dengan 146 mata dan mempunyai kelebihan 31 mata di depan pelumba di tangga kedua, Mohd Rozaiman Mohd Said dan 38 mata lagi di depan Mohd Adli Salihin di tangga ketiga.

Baru berusia 14 tahun, dia tidak membenarkan halangan usia dan kekurangan pengalaman menjadi alasan kegagalan namun berazam untuk berjaya dan memberikan saingan sengit terhadap pelumba lebih senior.

Bagaimanapun, karier Ramdan tidak berakhir di peringkat kebangsaan saja. Malah, keupayaannya mendapat kepercayaan pengurus pasukan Petronas Sprinta Yamaha AHM, Kenny Chua untuk memberinya peluang berlumba pada Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) bagi kategori Underbone 115cc.

Dalam perlumbaan terkininya di Zhuhai (Pusingan 5) dia berjaya meraih tangga ketiga di podium dan kini menduduki tangga ketujuh keseluruhan dengan 58 mata.

Malah, Ramdan yang pemalu memiliki bakat untuk maju lebih jauh dan seorang pelumba yang merendah diri, dia menekankan kejayaannya adalah kerana sokongan keluarga.

Seorang pelumba yang hanya mula berlumba secara kompetitif tahun lalu, Ramdan tampil daripada latar belakang menarik. Bapanya, Md Rosli Mat Sudin adalah seorang pelumba terkenal ketika Kejuaraan Cub Prix mula diadakan dulu. Beliau adalah orang penting di belakang Ramdan di samping bertindak sebagai mekanik peribadi.

Sering dilihat di paddock dengan Ramda adalah ibunya, Jamilah Ghazali dan dua adik beradiknya, Md Ruzaimi Md Rosli dan Nur Fatihah Md Rosli.

Kami berpeluang berbicara dengan mereka mengenai pandangan, bagaimana mereka menangani kehidupan di paddock, harapan dan impian mereka buat Ramdan.



Rosli Md Sudin (bapa)

Ramdan seorang penunggang yang amat berbakat. Pendedahan awalnya kepada perlumbaan mini-bike membolehkannya bersedia daripada segi disiplin dan kemahiran untuk berlumba dalam Cub Prix dan Petronas ARRC.

Jika saya mengenal pasti kekuatannya ia adalah kesediaannya untuk mencuba. Dia tidak pernah takut untuk mencuba sesuatu yang baru.

Dia juga menerima kritikan dengan baik. Dia akan cuba menggunakan setiap input daripada pengurus pasukan, mekanik dan pelumba senior dan menyesuaikan dengan gaya tunggangannya.

Sebagai bapa, saya mahu lihat Ramdan pergi lebih jauh. Pada usia muda dia sudah banyak membuktikan dan hanya masa menentukan sebelum dia melihat cabaran baru. Satu hari saya harap mampu melihatnya bertanding dalam SuperSports 600cc dan mungkin sebagai penunggang 'wild-card'. Lagipun, jika dia terus mengekalkan sikap dan mentaliti seperti sekarang, dia boleh pergi lebih jauh.


Jamilah Ghazali (ibu)

Saya tidak tahu banyak mengenai perlumbaan tapi saya tahu ia adalah minat suami dan anak lelaki saya jadi saya pergi ke semua perlumbaan sejak hari-hari Ramdan dalam perlumbaan mini-bike.

Kadang-kadang saya bimbang mengenai keselamatan Ramdan di atas litar perlumbaan tapi melihat bagaimana setiap orang mengeluarkan pelaburan terhadapnya, jelas dia seorang yang amat berbakat.

Bagi kehidupan di paddock, ia memang bising dari masa ke masa tapi tidak membosankan. Sering ada sesuatu yang baru untuk dilihat dan perlumbaan amat menarik.

Saya harap Ramdan akan mencapai impiannya untuk muncul sebagai seorang penunggang utama di Malaysia.


Md Ruzaimi Md Rosli (adik lelaki)

Saya menyaksikan setiap perlumbaan yang disertai abang saya. Saya menganalisa kelemahannya dan memberitahu kepadanya apabila dia meminta maklum balas. Itulah caranya bagaimana saya menyokong.

Bagaimana rasanya di paddock? Ya... tidak banyak yang saya boleh lakukan kerana saya masih seorang budak kecil tapi saya akan membantu apabila diperlukan seperti membawa sesuatu barangan dan mengambil keputusan.


Nur Fatihah Md Rosli (adik perempuan)

Kami akan bersorak dan melonjak kegembiraan apabila Ramdan melangkah ke podium dan jika dia gagal menaiki podium, saya akan memberikannya kata-kata perangsang seperti 'jangan putus asa' atau 'masih ada masa lagi'.

Saya terlalu sayangkan Ramdan dan saya berdoa untuk melihatnya berjaya satu hari nanti.

No comments:

Post a Comment