jokisenja header

jokisenja header


Monday, November 1, 2010

Azlan ketiga keseluruhan





AZLAN Shah Kamaruzaman (kiri) bersama dua pelumba Thailand, Decha Kraisat (tengah) dan Chalermpol Polamai selepas muncul naib juara perlumbaan 600cc pada Kejuaraan Motosikal Asia di Litar Antarabangsa Zhuhai, China semalam.
ZHUHAI – Pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman mengekalkan kedudukan ketiga keseluruhan dalam perlumbaan 600cc pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Zhuhai, China semalam.
Pelumba pasukan Petronas Yamaha Malaysia itu berjaya menaiki podium dalam kedua-dua perlumbaan akhir setelah berada di kedudukan ketiga dan kedua, sekali gus menjanjikan pungutan mata buatnya pada hari terakhir kejuaraan di bumi China ini.

Dua pelumba Thailand, Decha Kraisat (158 mata) dan Chalermpol Polamai (126 mata) yang mewakili Petronas Yamaha Thailand masih belum dicabar penunggang lain apabila masing-masing berada di tangga satu dan dua kedudukan keseluruhan.

Nasib malang menimpa seorang lagi pelumba negara, Md. Zamri Baba setelah dia terjatuh pada pusingan ke-15, sekali gus gagal menamatkan perlumbaan kedua, namun pelumba Petronas Yamaha Malaysia itu berjaya menduduki tangga keempat dalam saingan pertama.

Azlan kini membawa bekalan 123 mata untuk perlumbaan terakhir di Qatar, manakala Zamri yang berada pada kedudukan keempat keseluruhan mengumpul 100 mata.

Bercakap kepada pemberita, Azlan berkata, perlumbaan yang diharunginya semalam, berlangsung dengan konsisten setelah dia berjaya memastikan Decha yang berada di kedudukan pendahulu tidak terlalu jauh darinya.

‘‘Saya cuba untuk mengikut rentak pelumba di depan (Decha) dan ternyata usaha itu membuahkan hasil apabila memastikan kedudukan podium di dalam genggaman saya,” katanya.

Mengulas mengenai perlumbaan terakhir di Qatar pada 16 hingga 19 Disember ini, Azlan memberitahu, dia akan cuba untuk sekali lagi menaiki podium bagi memastikan kedudukan ketiga keseluruhan dapat dikekalkan.

Sementara itu, dalam kategori underbone 115cc, tiga pelumba Indonesia menguasai kedudukan podium dengan Denny Triyugo dari Yamaha TOP 1 FDR Racing masih kekal di tangga pertama dengan pungutan 123 mata keseluruhan.

Seorang lagi pelumba Indonesia yang mewakili Kawasaki NHK Rextor MTR Manual Tech, Hadi Wijaya menamatkan saingan di tempat kedua (114 mata), manakala, rakan sepasukan Denny, Hokky Krisdianto menghuni tangga ketiga (94 mata).

Pelumba cilik negara, Md. Ramdan Md. Rosli, 14, yang mewakili Petronas Sprinta Yamaha AHM KHi muncul pelumba terbaik Malaysia yang sekadar mencatat kedudukan ketujuh keseluruhan (58 mata) setelah gagal menamatkan saingan pada perlumbaan kedua kerana terlibat dalam insiden pelanggaran dengan penunggang Indonesia, Fitriansyah Kete.

Md. Ramdan ketika ditemui berkata, nasib tidak menyebelahinya setelah terbabit dalam insiden pelanggaran dengan Fitriansyah dan berharap dapat memberikan persembahan terbaik pada perlumbaan di Qatar.

No comments:

Post a Comment