jokisenja header

jokisenja header

Tuesday, November 30, 2010

GELARAN CP130 MILIK SIAPA?

  
Debaran pasti dirasakan oleh tiga pelumba teratas kategori CP130 yang mahu mencipta sejarah memahat nama selaku juara CP130 pada pusingan penutup tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2010 yang bakal berlangsung di Padang Kota Lama pada 4 dan 5 November ini. 

Pelumba-pelumba tersebut adalah Norizman Ismail (Harian Metro SCK Honda Racing) yang menerajui carta keseluruhan dengan 146 mata diikuti Ahmad Fazli Sham (Shell Advance Yamaha Maju) dengan 145 mata. Sementara itu rookie, Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline) menduduki tangga ketiga dengan 144 mata.
 
Berbanding perlumbaan final 2009, saingan Pusingan 10 musim ini jauh lebih menarik memandangkan ketiga-tiga pelumba tersebut dipisahkan hanya dengan dua mata. Tahun lalu pula, juara Expert, Ahmad Fuad Baharudin (PETRONAS Sprinta Yamaha AHM Racing) mara ke pusingan final di litar yang sama dengan kelebihan 14 mata.

Dengan itu, Norizman, Fazli dan Hafizh perlu memenangi perlumbaan hujung minggu ini jika mahu dinobatkan Juara CP130 2010.
 
Dengan misi berbeza, Norizman mahu menamatkan dominasi Yamaha dalam siri Kejuaraan Cub Prix ini dan muncul sebagai pelumba pertama memenangi mahkota kelas perdana di atas jentera Honda. Sebelum ini, pelumba berusia 25 tahun itu sudahpun memahat namanya dalam sejarah Cub Prix apabila muncul pelumba termuda yang pernah memenangi gelaran Expert pada tahun 2005 ketika dia berusia 20 tahun.
 
Sementara itu, Fazli menyimpan hasrat untuk melebarkan kemenangan ketiganya selepas muncul juara pada tahun 2007 dan 2008. Seandainya, dia memenangi perlumbaan di Pulau Pinang hujung minggu ini, Fazli semakin menghampiri rekod pelumba lagenda, M.Meganathan yang pernah memenangi Kejuaraan ini sebanyak empat kali pada tahun 1994, 1995, 1999 dan 2000.
 
Hafizh yang baru berusia 16 tahun pula berharap mampu memecah rekod yang dicatatkan oleh Norizman selaku juara termuda dan muncul pelumba Novis pertama memenangi kelas perdana ini.

Selain itu, Mohd Zamri Baba (PETRONAS Sprinta Yamaha AHM Racing) yang menduduki tempat keempat di dalam carta keseluruhan CP130  juga berpeluang untuk bergelar juara di Pulau Pinang nanti. Walau bagaimanapun, peluangnya tidak secerah tiga pelumba terbaik kelas ini memandangkan pada waktu ini dia kurang 19 mata (127 points) dari pendahulu keseluruhan, Norizman.
 

No comments:

Post a Comment