jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, February 29, 2012

Fahmi gelisah menjelang aksi pembukaan

 
Penunggang AIRASIA-SIC-Ajo Muhammad Zulfahmi Khairuddin mengambil selekoh semasa sesi ujian pra-musim yang berlangsung di litar Ricardo Tormo, Valencia.
 Biarpun berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik semasa ujian pra-musim Moto3, penunggang negara Md Zulfahmi Khairuddin tampak gelisah dan mengakui perlu memperbaiki banyak aspek sebelum aksi pembukaan 8 April ini.
Fahmi menyatakan aspek teknikal pada jentera barunya KTM M32 paling membimbangkan kerana masih perlu penyelarasan yang baik terutama daripada segi chasis dan enjin.
"Masih banyak lagi yang perlu dilakukan atas trek, terutamanya penyelarasan motorsikal daripada segi chasis kerana masih belum sempurna," kata Fahmi.
Untuk rekod, Fahmi berjaya berada dalam kelompok 10 terbaik sesi ujian pra-musim di Valencia dan Jerez yang lalu sekaligus menjadi petanda positif buat penunggang kelahiran dari Banting ini apabila beraksi di litar Losail nanti.

Zulfahmi sasar 10 terbaik

 
Penunggang AIRASIA-SIC-Ajo Muhammad Zulfahmi Khairuddin mengambil selekoh semasa sesi ujian pra-musim yang berlangsung di litar Ricardo Tormo, Valencia.

Pelumba muda negara, Zulfahmi Khairuddin mengintai kedudukan 10 pelumba terbaik dalam kelas Moto 3 Kejuaraan MotoGP Dunia 2012. 

Meskipun baru beralih daripada kategori 125 cc, Zulfahmi yang menggunakan jentera KTM M32 yakin mampu menamatkan perlumbaan di tempat ke-15 pada setiap siri perlumbaan. 

"Moto 3 dan 125 cc memang sangat berbeza dan dari segi enjin pun memang sangat berbeza," katanya. 

Pelumba muda kelahiran Banting, Selangor itu mencatatkan masa terbaik 1 minit 42 saat semasa sesi ujian di Litar Valnecia pada 8-12 Januari lalu. 

Dia berpendapat jentera barunya itu memiliki kelajuan yang lebih tinggi dan pengendalian yang lebih mudah untuk mendapatkan kedudukan terbaik dalam perlumbaan. 

"Saya akan buat yang terbaik dan apa yang saya lihat semasa latihan, kami memiliki peluang untuk berada dalam 15 penunggang terbaik dalam setiap perlumbaan," katanya sambil mendedahkan Litar Sepang adalah litar kegemarannya kerana perasaan yang berbeza berbanding dengan trek lain.

ISKANDAR MAHU LUPAKAN 2011




Mohd Iskandar Raduan optimis menghadapi musim baru Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di mana dia berhasrat untuk meningkatkan namaya kembali selepas sebuah kempen yang kurang memberansangkan tahun lalu.

Pelumba yang berasal dari Seremban itu kecewa dengan persembahannya apabila sekadar muncul di kedudukan ke-14 keseluruhan di dalam kategori CP130 dan dia berharap nasibnya lebih baik tahun ini apabila dia diumumkan akan berubah angin dan beraksi di dalam kelas CP115.

Iskandar juga bakal berganding bahu dengan rakan baru, Zulsyafiz Rosli yang juga merupakan juara keseluruhan Wira 2011 di bawah naungan pasukan gergasi, PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM Racing.

"Saya cuma mahu lupakan kepahitan musim lalu," jelas Iskandar.

Walaupun ramai pihak menyifatkan penghijrahannya ke kategori CP115 sebagai satu langkah ke-belakang, Iskandar yang meletakkan sasaran untuk menjuarai kelas pertengahan ini mempunyai pendapat berbeza.

"Bagi saya, saingan kedua-dua kategori ini tidak banyak bezanya. Pelumba-pelumba tetap hebat dan mencabar, apa yang berbeza hanyalah jentera. Jadi saya fikir ia tidak memberi banyak kelebihan kepada saya nanti namun ia juga bukan satu masalah kepada saya. Tambahan pula, saya belum pernah menjuarai kelas ini jadi inilah peluang saya," ujar Iskandar yang pernah menduduki tangga ketiga keseluruhan CP115/ Novis pada tahun 2010 itu.

Bagi memastikan hasratnya menjadi kenyataan, Iskandar menggunakan tempoh rehat panjang sebelum perlumbaan musim ini bermula untuk memperbaiki setiap kelemahan yang ada terutama dari segi kecergasan fizikalnya. Kini dia yakin dari segi fizikal dan mental, dia kini sudah cukup bersedia bagi menghadapi pusingan pembukaan  Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang akan berlangsung di Batu Kawan, 31 Mac dan 1 April ini. 

Selain itu,  keadaan kakinya juga sudah 100 peratus pulih selepas insiden pada Piala Yamaha Asean pada tahun 2010.

"Kemalangan yang dialami pada perlumbaan akhir Piala Yamaha Asia pada tahun 2010 menyebabkan kaki saya patah dan terpaksa mengambil masa lama untuk pulih. Walaupun mampu beraksi pada musim lepas, namun saya masih belum cergas sepenuhnya dan ini telah menjejaskan keyakinan saya pada setiap perlumbaan. 

"Kini saya lebih yakin untuk meraih kejayaan terutama bagi menebus kehampaan gagal menaiki sebarang podium pada musim lepas," tambahnya lagi.

FEATURE: SUZUKI FORTYONE AMBIL LANGKAH BERANI




Berpuas hati dengan pencapaian dalam kategori Wira pada musim lepas, pasukan Suzuki FortyOne Racing membuat keputusan berani dengan menyertai kategori CP130 dan CP115 dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2012.

Pengurus pasukan, Nor Azlan Amran percaya langkah meletakkan pelumba-pelumba bersaing dalam kategori lebih kompetitif ini dapat membantu mempercepatkan kemajuan mereka berbanding peralihan kelas seperti biasa.

"Langkah ini mungkin kelihatan tergesa-gesa tetapi hasilnya tidak boleh dinafikan. Kita ambil contoh seperti Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) dan Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM). Mereka masih begitu muda namun sudah mampu menyaingi pelumba senior dan kami juga mahukan pelumba kami menjadi seperti ini. Bersaing di peringkat lebih tinggi dapat memaksa pelumba-pelumba untuk belajar dan mengembangkan kemahiran mereka dengan cepat, begitu juga dengan tahap profesional mereka," kata Azlan.

Mohd Syawalludin Mohd Zaki dan bekas pelumba MOS Malaysia Racing, Mohd Amin Mohd Azahar bakal membawa cabaran dalam kategori perdana manakala Mohd Khairul Adli Azahar dan Ahmad Syukran Aizat Yusoof akan menyertai rakan-rakan seangkatan seperti Mohd Adib Rosley (Juara Wira 2010), dan Zulsyafiz Rosli (Juara Wira 2011) dalam kategori CP115.

Walaupun teruja untuk memulakan cabaran baru, Azlan sedar ia bukan tugas yang mudah kerana ia perlu perancangan rapi  dan kerja keras berterusan.

"Memberi tumpuan kepada dua kelas utama ini sudah pasti begitu mencabar. Banyak perkara perlu dilakukan terutamanya terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D). Namun kami bertuah kerana pada penghujung tahun lepas, bekas juara Cub Prix, Wazi Abdul Hamid membantu kami dengan memberi pelbagai panduan. Kami memperoleh banyak data-data baru dengan bantuannya dan dengan semangat baru ini kami merancang untuk menghasilkan jentera yang cukup kompetitif. Namun begitu, pada masa sama kali perlu realisitik kerana ini merupakan tahun pertama kami beraksi dalam kategori CP130. Tambahan daripada itu, saya yakin pelumba-pelumba kami mampu untuk merebut lima kedudukan terbaik dalam kategori CP115 pada musim ini," kata Azlan.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

FAZLI KEMBALI KE PANGKUAN YAMAHA MAJU MOTOR




Prestasi tidak menentu musim lalu mendorong Ahmad Fazli Sham kembali ke pangkuan pasukan lamanya, Yamaha Maju Motor Racing bagi menghadapi saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2012.

Fazli, juara dua kali kategori Expert (2007 dan 2008) yang akan bergandingan dengan dua pelumba muda, Abdul Muhaimin Roslan dan Mohd Taufiq Roslan dalam kategori perdana CP130 percaya Yamaha Maju Motor Racing dapat mengembalikan semula prestasi sebenar dirinya untuk bersaing dalam pentas yang cukup kompetitif ini.

Musim 2011 menyaksikan pelumba berasal dari Taiping itu membuat keputusan untuk kembali bergandingan dengan adiknya, Ahmad Fazrul Sham di bawah satu bumbung bersama pasukan Pennzoil Racing Malaysia.

Walaupun tahun baru tampil bersama pasukan baru, Fazli tetap beraksi cemerlang dengan menduduki tangga kelima keseluruhan dengan melakar kejayaan memenangi perlumbaan di Batu Kawan (Pusingan 2) dan menaiki podium di Kluang (Pusingan 7).

"Prestasi pada musim lepas tidak menentu. Walaupun menamatkan saingan di tangga kelima keseluruhan, ia masih tidak mencukupi. Saya mempunyai peluang untuk mengejar gelaran juara, namun kegagalan pasukan menyediakan pelarasan terbaik dengan konsisten menyebabkan peluang saya terjejas," kata pelumba berusia 30 tahun itu.

Ketika ditanya adakah dia turut memikirkan untuk bersama pasukan lain, Fazli berkata, "Tidak! Sebab utamanya saya tidak pasti sama ada mereka dapat memenuhi apa yang saya inginkan. Saya telah bersama Yamaha Maju Motor Racing untuk satu tempoh yang lama. Bekerja dengan mereka sangat mudah dan begitu sistematik, jadi ini membolehkan saya memberi sepenuh tumpuan untuk berlumba dan mencatat keputusan terbaik.

"Walaupun masih terlalu awal, saya boleh katakan di mana saya sudah cukup bersedia untuk memulakan kempen musim ini dan begitu bersemangat untuk mengejar gelaran juara keseluruhan," tambah Fazli.

Sementara itu, pengurus pasukan, Yong Yin Hoe turut teruja dengan perjanjian barunya bersama Fazli dan menjelaskan, "Saya gembira dengan kepulangan Fazli. Kami mempunyai banyak sejarah bersama selain mempunyai komunikasi yang cukup baik. Saya yakin kepulangannya dapat menambahkan kekuatan pasukan, meningkatkan tahap saingan dan juga dapat mempertahankan nama baik pasukan. Di samping itu, saya sendiri yakin kami dapat mengembalikan semula kegemilangan Fazli dengan mengatasi kelemahan utamanya musim lepas iaitu masalah prestasi jentera yang tidak konsisten," katanya.

PROFIL: SEHARI BERSAMA AFIF DI LITAR MIMC




Jumaat lepas, kami berkesempatan untuk bersama pasukan CKJ Yamaha Racing menjalani latihan di Litar Sukan Bermotor Antarabangsa Melaka. Kita ikuti sedikit aktiviti bersama pelumba harapan mereka, Ahmad Afif Amran tentang aktiviti yang dilakukannya sepanjang satu hari di litar tersebut.

Hai Afif, sejak bila Afif mula berada di litar ini?

Saya baru tiba pagi tadi manakala rakan sepasukan lain dan juga kru pasukan telah berada di sini sejak hari Isnin lagi

Kenapa Afif tiba lewat berbanding yang lain?

Saya tiba lewat kerana perlu ke sekolah, tambahan pula pada tahun ini saya berada di Tingkatan 5.

Apa yang Afif lakukan sebaik tiba di sini pagi tadi?

Saya mulakan dengan melakukan latihan kecergasan dengan berjoging mengelilingi litar ini. Di samping itu, saya juga berusaha untuk memahami keadaan litar sebelum memulakan latihan menggunakan jentera.

Selepas itu, apa pula yang Afif lakukan?

Selepas selesai melakukan latihan kecergasan dan juga memahami keadaan litar, saya mula melakukan ujian dengan menggunakan jentera. Saya mencuba beberapa jentera yang disediakan dan juga sentiasa mencari pelarasan terbaik yang saya perlukan. Saya lakukan latihan bersama beberapa pelumba lain bermula dari pagi sehingga ke petang.

Bagaimana Afif lihat dengan ujian dan latihan hari ini, adakah masa yang dicatatkan cukup memuaskan?

Masa yang dicatatkan pada hari ini tidak begitu memuaskan namun saya yakin dapat mencatatkan masa yang lebih pantas lagi. Masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Kecergasan fizikal saya masih belum berada pada tahap terbaik begitu juga dengan keadaan jentera. Kami masih belum menemui pelarasan terbaik sebagaimana pada Kejuaraan motosikal Asia pada tahun lepas dan juga prestasi semasa saya memenangi perlumbaan di litar Padang Kota Lama.

Bagaimana dengan sasaran Afif pada tahun ini?

Pada tahun ini saya akan beraksi dalam kategori CP115. Kejayaan pada musim lepas memberi semangat kepada saya untuk meraih beberapa kemenangan lagi. Namun saya sedar saingan pastinya begitu sengit memandangkan ramai pelumba berpengalaman berada dalam kategori ini.

Kami semua sedang bertungkus lumus untuk mendapatkan prestasi terbaik dan kalau boleh mahu menaiki podium pada perlumbaan pertama nanti. Saya berharap agar dapat berada di kalangan tiga pelumba terbaik dalam senarai keseluruhan pada penghujung musim.

TOPI KELEDAR CUB PRIX 2012 PERLU KELULUSAN FIM



Bagi meningkatkan lagi tahap profesional Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, promoter kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) mengumumkan para pelumba kini perlu menggunakan topi keledar yang diluluskan oleh FIM sahaja sebelum dibenarkan berlumba.

Peraturan baru ini melibatkan semua peserta Cub Prix yang beraksi sama ada di dalam kelas CP130, CP115, Wira, Persendirian, Yamaha 135 Super Series, Cabaran Honda Wave Junior dan Cabaran Suzuki Belang dan akan dikuat-kuasa dengan serta-merta.

Pada musim-musim lalu, peraturan ini hanya dititik-beratkan keatas dua kategori utama iaitu CP130/Expert dan CP115/Novis bagi meringankan beban peserta di dalam kelas-kelas lain.

Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg menyifatkan peraturan baru ini adalah relevan memandangkan terdapat banyak topi keledar keluaran syarikat tempatan yang memenuhi piawaian FIM di pasaran dan langkah ini juga dapat meningkatkan tahap profesional di dalam perlumbaan Cub Prix.

"Pada musim ini, pelumba-pelumba perlu menggunakan topi keledar yang diluluskan oleh FIM sebelum mereka dibenarkan masuk ke litar. Terdapat banyak pembekal-pembekal tempatan yang mengeluarkan topi keledar mengikut piawaian FIM berbanding kebanyakannya diimport dari luar negara pada musim lepas. Antara jenama topi keledar tempatan yang mempunyai kelulusan FIM seperti X-Dot, KHI, MHR dan banyak lagi," kata Ron.

Apabila di tanya adakah peraturan baru ini akan memberi kesan kepada pelumba-pelumba, Ron menjelaskan, "Mungkin harganya lebih tinggi dan biasanya sekitar RM300 hingga ke RM3000, bergantung kepada jenis topi keledar namun langkah ini penting bagi melindungi keselamatan pelumba-pelumba itu sendiri."

Bagi kemudahan pelumba-pelumba, senarai penuh pengedar dan topi keledar yang diluluskan oleh FIM akan dikeluarkan dalam masa terdekat di laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

Sunday, February 12, 2012

TIGA KATEGORI ONE-MAKE DALAM CUB PRIX




Dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai pelumba muda, penganjur Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dengan kerjasama pengeluar motosikal, Hong Leong Yamaha Sdn Bhd, Boon Siew Honda Sdn Bhd dan Suzuki Assemblers Sdn Bhd akan memperkenalkan tiga kategori satu pengeluar bagi musim 2012.

Perlumbaan satu pengeluar ini akan dikenali sebagai Siri Super Yamaha 135, Cabaran Honda Wave Junior dan Suzuki Belang R yang akan bertindak sebagai landasan melahirkan dan membentuk bakat-bakat baru dunia perlumbaan motosikal.

Dengan 20 tempat yang tersedia dalam setiap kategori, ketiga-tiga perlumbaan ini akan memulakan saingan serentak dengan pusingan pertama di Stadium Batu Kawan pada Mac 31 dan April 1 dan berlangsung sebanyak 10 pusingan berturut-turut. Ini  membolehkan setiap pelumba dapat menerima pendedahan dan menyesuaikan diri dengan suasana perlumbaan yang begitu kompetitif.

Kesemua kategori ini terbuka kepada pelumba Malaysia yang berusia di bawah 20 tahun sahaja dan tidak pernah beraksi dalam Kejuaraan Cub Prix. Selain itu, mereka juga perlu memenuhi syarat lain yang ditetapkan iaitu mempunyai ketinggian minimum 145 sentimeter dan berat badan maksimum 50 kilogram. Setiap pelumba yang terpilih akan diberikan latihan oleh pengeluar jentera mengikut kategori satu pengeluar masing-masing. 

Pengarah Promosi, Safe Aim Mutual (SAM) Sdn Bhd, Ron Hogg memberi pujiannya terhadap sokongan padu pengeluar-pengeluar terhadap Kejuaraan ini dan menjelaskan kerjasama itu selari dengan objektif Cub Prix itu sendiri.

"Musim 2012 menandakan satu lagi pencapaian penting kepada Cub Prix apabila ketiga-tiga pengeluar, Yamaha, Honda, dan Suzuki tampil bersama-sama dengan kategori satu pengeluar masing-masing. Sebagai wakil Kejuaraan ini, usaha ini memang wajar diberikan pujian. Apa yang boleh saya katakan, program ini dapat digunakan oleh pengeluar-pengeluar untuk membangunkan industri perlumbaan motosikal selain menjadi platform untuk memperkenalkan dan memasarkan jentera yang dikeluarkan. Kami di pihak SAM pula akan mencuba sedaya upaya untuk memastikan semua pihak memperoleh kejayaan bersama di mana pelumba-pelumba baru ini turut berpeluang mengembangkan bakat mereka melalui perlumbaan ini."

Ron menyarankan agar mereka yang berminat tidak melepaskan peluang ini kerana ia merupakan langkah terbaik bagi mereka untuk mendalami asas-asas perlumbaan. "Saya mengesyorkan agar remaja-remaja yang berminat membuat pendaftaran segera sebelum tarikh pendaftaran ditutup. Ini merupakan langkah terbaik untuk memulakan karier perlumbaan memandangkan semua kelengkapan selain latihan diberikan sekaligus mengurangkan beban mereka. Tambahan pula, dengan tahap kemahiran yang hampir sama, ini merupakan pentas terbaik untuk peserta-peserta mempelajari asas-asas perlumbaan sebelum beralih ke kategori terbuka yang pastinya lebih mencabar. "

Antara pelumba-pelumba yang mencipta nama pada hari ini selepas memulakan aksi dengan perlumbaan satu pengeluar termasuklah Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) yang memenangi kategori CP130 ketika baru berusia 16 tahun pada 2010 dan Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang memenangi kategori CP115 pada tahun yang sama ketika berusia 15 tahun.

Bagi mereka yang berminat menyertai perlumbaan satu pengeluar boleh menghubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd di talian 03-8733 8787 untuk pendaftaran. Tarikh akhir pendaftaran pada 31 Januari 2012 (Selasa) dan untuk tujuan pemilihan, peserta-peserta akan dihubungi oleh pihak pengurusan setiap kategori satu pengeluar. 


Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

CP130: ULASAN MUSIM 2011




Pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2010 kita telah menyaksikan bagaimana Hafizh Syahrin Abdullah mendominasi perlumbaan kategori CP130, namun situasi agak berbeza pada musim 2011 apabila gelaran juara seringkali bertukar-ganti dan pertarungan merebut makhota jatuh diantara rakan baik, Norizman Ismail dan Mohd Affendi Rosli.

Saingan cukup sengit musim lalu di mana pada pusingan pembukaan di Kangar Mohd Ramdan Mohd Rosli yang baru beralih dari kategori CP115 berjaya meraih kemenangan pertamanya dalam kategori perdana ini. Pada usia 15 tahun, dia muncul pelumba termuda untuk memenangi kategori perdana ini, mengatasi pencapaian Hafizh yang merupakan pemenang termuda pada tahun 2010 ketika berusia 16 tahun. Lebih manis lagi, pelumba senior dan rakan sepasukan Ramdan dari PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM, Mohd Zamri Baba menamatkan perlumbaan di tangga kedua diikuti rookie, Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing).

Gandingan itu meletakkan harapan untuk mencatat kemenangan di Batu Kawan (Pusingan 2) namun hasrat mereka tidak kesampaian apabila Ramdan sekadar menjadi pemerhati sebanyak tiga pusingan berikutan kecederaan pada kakinya manakala Zamri dibelengu masalah teknikal. Kesempatan ini digunakan Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing) untuk menawan litar Batu Kawan. Pelumba veteran itu tetap tampil dengan prestasi cemerlang untuk meraih kemenangan pertama bersama pasukan baru menewaskan Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) dan veteran, Ahmad Fuad Baharudin (Global Bike Rock Oil Racing).

Pada pusingan berikutnya di Kuala Terengganu, giliran Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) menunjukkan taring. Pelumba berusia 28 tahun yang beralih dari jentera Yamaha ke Honda itu menampilkan prestasi terbaik untuk meraih kemenangan pertamanya selepas bersaing sengit dengan Ahmad Fazrul Sham manakala Fuad sekali lagi menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.

Walau bagaimanapun, Azlan tidak dapat meneruskan kecemerlangannya apabila terpaksa menarik diri dari menyertai Pusingan 4 di litar Putrajaya yang julung kalinya diadakan bersempena dengan Hari Belia Negara kerana melangsungkan perkahwinannya pada tarikh tersebut. Namun, pencapaian serupa diteruskan rakan sepasukan Norizman dan Affendi. Dua sahabat karib itu berada di kedudukan 1 - 2 manakala Fazrul di kedudukan ketiga.

Juara 2010, Hafizh yang menarik diri dari arena Cub Prix kerana mahu memberi tumpuan penuh dalam perlumbaan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) membuat kemunculan semula bermula Pusingan 5. Pelumba berusia 17 tahun itu tetap tampil hebat untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat manakala Norizman meraih kemenangan keduanya diikuti Ramdan dan Azlan di tangga kedua dan ketiga.

Saingan mendebarkan berterusan di Alor Setar (Pusingan 6). Elly Idzlianizar Ilias (Global Bike Rock Oil Racing) menunjukkan kemampuannya untuk memenangi perlumbaan manakala Mohd Taufiq Roslan meraih podium pertamanya dalam saingan kelas perdana. Walau bagaimanapun, saingan sengit lebih tertumpu diantara Hafizh dan Ramdan yang bersaing hebat untuk mengejar kedudukan ketiga. Namun sedikit kesilapan pada saat-saat akhir oleh Ramdan membolehkan Hafizh kembali menjejakkan kaki di atas podium manakala Ramdan sekadar menamatkan perlumbaan dengan kutipan satu mata.

Dari situ, Hafizh terus membuktikan kehebatan. Dia memenangi perlumbaan di Kluang dengan untuk menewaskan Zamri dan Fazli manakala ketika di Melaka, dia muncul juara dengan menewaskan Ramdan dan Affendi sekali gus menjadi pelumba kedua yang meraih kemenangan berganda pada musim ini selain Norizman.

Kejayaan itu membuka ruang buat Hafizh untuk mengejar gelaran juara keseluruhan CP130 namun keadaan litar basah di Sepang (Pusingan 9) sedikit mengganggunya untuk mencatat hatrik. Manakala Affendi menggunakan pengalaman beraksi di litar panjang untuk mengatasi Muhaimin dan Zamri yang menamatkan perlumbaan di tangga kedua dan ketiga.

Di sebalik keputusan mengecewakan, Hafizh kembali bangkit dengan mendominasi perlumbaan terakhir 2011 di litar kegemarannya, Padang Kota Lama untuk meraih kedudukan ketiga keseluruhan manakala keputusan di tempat ketiga pula sudah cukup buat Norizman mengesahkan dirinya sebagai juara keseluruhan CP130 2011 manakala Affendi di tangga kedua keseluruhan.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd