jokisenja header

jokisenja header

Friday, November 19, 2010

MISI HIDUP MATI ROZAIMAN DI SEPANG

Mohd Rozaiman Mohd Said berdepan situasi 'hidup dan mati' apabila mengharungi Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM PETRONAS yang akan berlangsung di Litar
Sepang Utara hujung minggu ini.

Pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang ini yang meletakkan sasaran untuk bergelar juara keseluruhan, sedar bahawa impian itu hanya akan tercapai sekiranya dia berjaya melakar kemenangan. Namun pada masa yang sama, untuk merealisasikan hajatnya dia perlu bantuan rakan sepasukan, Mohd Adli Salihin atau Zaidy Mohd Zaifaizal untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua. 

Ini kerana Rozaiman dan pendahulu keseluruhan, Mohd Ramdan Mohd Rosli kini dipisahkan dengan perbezaan 31 mata dan dia sudah tidak mempunyai pilihan lain kecuali memenangi perlumbaan di Sepang sambil mengharapkan Ramdan tidak menduduki tempat kedua di podium. Jika ia berlaku, Rozaiman masih berpeluang untuk memburu gelaran juara keseluruhan.

Setakat ini, Rozaiman menduduki tempat kedua dalam carta keseluruhan kelas CP115 dengan 115 diikuti Adli (108) sementara Zaidy berada di kedudukan keenam dengan 67 mata. Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha AHM, Ramdan, 14, masih selesa mendahului kedudukan keseluruhan dengan 146 mata.

Menyedari peluangnya masih terbuka untuk memburu gelaran juara keseluruhan, Rozaiman telah meletakkan sasaran untuk melontarkan cabaran pada aksi di Sepang hujung minggu ini.

"Mungkin ada yang berpendapat bahawa peluang saya sudah tertutup, tetapi saya masih menaruh keyakinan atas hakikat  bahawa dalam sukan ini, keputusan dalam sukan pemotoran memang sukar untuk diramal. 

"Jika Ramdan berjaya menjejak kaki ke podium di Sepang, mungkin harapan saya tipis. Namun, jika dia gagal mengutip mata, situasi akan menjadi berbeza," kata pelumba kelahiran Pulau Pinang ini.

"Oleh itu, saya tidak boleh bergantung dengan keputusan yang bakal diraih oleh Ramdan di Sepang. Saya mesti melakukan yang terbaik untuk memenangi perlumbaan itu kelak. Saya juga sedar bahawa saingan di Sepang merupakan misi hidup atau mati buat saya. Saya tidak akan menyerah kerana cabaran memburu gelaran juara masih belum berakhir."

No comments:

Post a Comment