jokisenja header

jokisenja header

Tuesday, November 20, 2012

PUSINGAN TERAKHIR CUB PRIX 2012 KE BATU KAWAN P.PINANG


 

Pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang dijadualkan berlangsung pada 1 dan 2 Disember ini di Padang Kota bertukar ke lokasi baru iaitu di Stadium Batu Kawan.

Lokasi bersejarah yang menjadi gelanggang terakhir sepanjang dua musim lepas terpaksa ditukarkan bagi membolehkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menjalankan kerja-kerja memperkenalkan sistem aliran trafik baru di pulau tersebut.

"Pulau Pinang merupakan destinasi pelancongan yang begitu popular dan kerajaan negeri menyuarakan kebimbangan mereka terhadap aliran trafik yang teruk di bahagian pulau terutama pada musim cuti sekolah dan perayaan Krismas Disember ini," jelas Ron Hogg, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd.

"Bagi mengatasi masalah tersebut, sistem baru trafik akan diperkenalkan dan kerajaan negeri memohon agar pusingan terakhir dapat dipindahkan ke Batu Kawan bagi memberi laluan kepada mereka untuk menjalankan kerja-kerja berkaitan. Walau bagaimanapun, Kejuaraan Cub Prix pasti akan kembali semula ke sini tahun depan. Padang Kota merupakan lokasi yang cukup strategik dan sentiasa menerima kehadiran penonton yang begitu ramai," tambahnya.

Di sebalik masalah yang tidak dapat dielakkan, Ron tetap optimis perlumbaan di Batu Kawan tetap mempunyai kelebihan tersendiri.

"Pertukaran ini mungkin sedikit mengganggu persediaan pasukan dan pelumba-pelumba kerana mereka sukakan litar Padang Kota. Namun ia tidak menghalang mereka tampil memberikan aksi terbaik di Batu Kawan terutama setelah melalui perlumbaan yang cukup mendebarkan di Sepang (Pusingan 9) minggu lalu."

Sementara itu, perlumbaan di Sepang menyaksikan Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing telah mengesahkan gelaran juara keseluruhan kategori perdana CP130 manakala pelumba 14 tahun, Khairul Idham Pawi turut dinobatkan sebagai juara Cabaran Honda Wave Junior 2012.

Lima lagi gelaran, CP115, Wira, Siri Super Yamaha 135 PETRONAS, Cabaran Suzuki Belang dan Persendirian, pemenang-pemenang akan ditentukan pada perlumbaan terakhir.
 

Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 Pusingan 9 Litar Sepang Selatan

AZLAN JUARA KESELURUHAN CP130 2012



Berbaki satu pusingan perlumbaan, Azlan Shah Kamaruzaman telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 sebaik Pusingan 9 berakhir di Litar Sepang Selatan, hari ini.

Sekalipun sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat, 13 mata yang dipungut oleh pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing meletakkannya di tangga teratas dengan mengumpul 140 mata, 27 mata mengatasi Ahmad Fuad Baharudin dari pasukan Faito Motobert Racing yang berada di tangga kedua.

"Saya sangat gembira dengan kejayaan ini dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pengurus pasukan, Soong Chee Kieong, seluruh krew pasukan dan juga rakan sepasukan yang lain kerana telah bekerja keras sepanjang musim ini bagi membantu saya meraih gelaran pertama sepanjang sembilan tahun berada dalam saingan Cub Prix.

"Sebenarnya saya tidak menyangka mampu meraih gelaran lebih awal memandangkan saingan daripada pelumba lain termasuklah Ahmad Fuad  di litar Sepang ini cukup sengit. Walau bagaimanapun, jentera saya berada pada tahap terbaik dan begitu pantas sehingga membolehkan saya menamatkan perlumbaan di tempat keempat," jelas Azlan.

Dua rakan sepasukan Azlan, Mohd Affendi Rosli dan Mohd Fitri Ashraff Razali menguasai pentas podium apabila Affendi muncul juara dengan catatan masa keseluruhan 17 minit 38.476 saat. Fitri di tangga ketiga dengan masa keseluruhan 17:38.542s manakala gelaran naib juara menjadi milik Abdul Muhaimin Roslan dari pasukan Yamaha Maju Motor Racing, 17:38.490s.

Dua pencabar utama Azlan, Ahmad Fuad terkeluar daripada saingan pada pusingan pertama akibat masalah teknikal jentera manakala Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) terjatuh pada penghujung perlumbaan ketika sedang bersaing sengit di kelompok hadapan sekaligus sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-11.

Mengulas lebih lanjut, Azlan berkata, "Sasaran saya selepas ini adalah untuk membantu pasukan meraih Anugerah Berpasukan Terbaik pada perlumbaan terakhir di Pulau Pinang nanti. Saya akan memberikan yang terbaik dan seboleh-bolehnya mahu menaiki podium pada perlumbaan terakhir musim ini."

Walau bagaimanapun, perebutan untuk naib juara keseluruhan masih terbuka apabila hanya 19 mata membezakan kedudukan enam pelumba. Ahmad Fuad berada di tangga kedua dengan 113 mata diikuti Zaqhwan, ketiga, 104 mata.

Juara Pusingan 9, Affendi naik ke tangga keempat dengan mengumpul 103 mata manakala rakan sepasukan yang juga merupakan juara 2011, Norizman Ismail di tangga kelima dengan 103 mata. Rakan sepasukan Ahmad Fuad, Ahmad Fazrul Sham di tangga keenam dengan 98 mata dan Fitri ketujuh, 94 mata.


AMIRUL RAMPAS KEDUDUKAN PENDAHULU CP115



Dalam kategori CP115, gelaran juara di litar Sepang membantu Mohd Amirul Ariff Musa (Pachie Yuzy Honda Racing) naik ke tangga teratas keseluruhan setelah menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 13:53.823s, 0.173s dihadapan Shariffudin Shamsuddin (CKJ Yamaha Racing) manakala Mohd Haiekal Akmal Zakaria (AAP Mazoil Armstrong Motorsport) ketiga, 13:53.999s.

Amirul kini di tangga teratas dengan mengumpul 129 mata dengan merampas kedudukan pendahulu daripada Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang turun ke tangga kedua dengan 112 mata apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tangga ke-14. 

Mohd Emir Firdaus Hasan (M-Seki Liberty HondaRacing) kekal di tangga ketiga dengan mengumpul 100 mata.

Mengulas tentang pencapaiannya, Amirul berkata, "Kejayaan ini merupakan rezeki kepada saya dan seluruh pasukan yang telah bekerja keras terutama pada penghujung musim ini. Selepas meraih juara pada Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS baru-baru ini, kami berjaya meneruskan lagi di sini dan mudah-mudahan ia akan berterusan pada pusingan terakhir nanti."

Bercakap tentang peluangnya untuk merangkul gelaran keseluruhan CP115, Amirul berkata, "Masih terlalu awal untuk memperkatakannya. Apa sahaja boleh berlaku pada pusingan terakhir nanti. Cuma kami akan memastikan untuk memberi yang terbaik sama ada dari segi persiapan saya sendiri dan juga persiapan jentera oleh pasukan," jelasnya.


TENGKU AMIRUL RAIH GELARAN JUARA PERTAMA



Sementara itu, Tengku Amirul Haffiruddin akhirnya berjaya meraih gelaran juara pertama dalam kategori Wira pada musim ini setelah melintasi garisan penamat dengan catatan masa keseluruhan  12:50.043s.

Pelumba Motul Yamaha YY Pang itu bagaimanapun diberikan cabaran sengit Mohd Hafiza Rofa dari pasukan Faito YSP Racing Team yang menduduki tempat kedua apabila hanya 0.62s memisahkan kedudukan kedua-dua pelumba itu.

Tempat ketiga menjadi milik Che Ku Amriq Asyraff (CKJ Yamaha Racing) yang menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 12:50.361s.

"Saya terpaksa mengubah strategi asal saya. Pada mulanya saya mahu menjarakkan diri dengan pelumba-pelumba lain dari peringkat awal perlumbaan lagi namun gagal. Pada pertengahan perlumbaan, enam pelumba berada dalam kelopok hadapan dan saya memutuskan untuk mengekori sahaja Hafiza sebelum memintasnya pada selekoh terakhir. Saya gembira kerana strategi saya berjaya dan akhirnya memberikan gelaran pertama kepada saya pada musim ini," jelas Amirul.

Keputusan tersebut bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Tengku Amirul dalam senarai keseluruhan apabila kekal di tangga ketiga dengan 123 mata. Hafiz Nor Azman (Team Mos Track Pro Yamaha Racing) yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat berjaya merampas kedudukan pendahulu dengan mengumpul 165 mata. Fakhrusy Syakirin Rostam (AAP Mazoil Armstrong Motorsport) yang gagal ke perlumbaan akhir setelah terjatuh pada sesi saringan turun ke tangga kedua, kekal dengan 158 mata.  

Monday, October 29, 2012

Kawasaki Ninja 250r edisi tahun 2013

Ada perkara menarik minggu ini, Kawasaki Ninja 250r edisi tahun 2013 telah pun kelihatan rupanya. Mengikut sumber TMCBlog, di Indonesia ia telah mula dijual pertengahan Ogos 2012.  Bagaimana pula di Malaysia? Mungkin penghujung 2012 ataupun awal 2013. Harganya pulak, mengikut direct conversion, rm18k. Tapi mimpilah rm18k.

Harga model sekarang adalah rm20800, jadi dengan penambah berberapa spesifikasi yg bakal saya highlightkan nanti, tak mustahil ianya berharga rm23000. Sama sama kita tunggu berapakah harga di negara Malaysia yang serba boleh.


Ada berberapa perkara yang menarik perhatian tentang m0del Kawasaki Ninja 250r 2013.


Rekabentuk - Berbanding model sekarang yang saya sudah muak tengok sebab selalu nampak, design model 2012 adalah lebih cantik dan lebih tajam lagi jitu. Untuk kali pertama saya melihatnya, memang boleh buat kesimpulan, design yang baru lebih cantik dan tak jemu dipandang


Suntikan Bahan Api (Fuel Injection) - Berbanding model sebelum ini yang menggunaka karburator, model 2013 tampil dengan Suntikan Bahan Api untuk memastikan penggunaan bahan apa yg lebih cekap dan jitu


Sistem Brek Gegah Kunci (Anti Lock Braking System - ABS) - Untuk sebuah motosikal yang boleh ditunggang laju, sistem brek gegah kunci amat penting. Ini adalah kerana, dalam situasi brek mengejut, maka tayar boleh terkunci lalu terseret san kemungkinan besar boleh menyebabkan kemalangan. Untuk itu dengan adanya sistem ini, kebarangkalian berlaku kemalangan yang mengakibatkan kecederaan dapat dikurangkan.


Boleh baca penulisan Eddy dari MotoMalaya berkenaan dengan moto ini. Berikut adalah website rasmi Kawasaki Jepun untuk model Ninja 250r. Dalam bahasa Jepun, tapi siapa perlukan terjemahan untuk sebuah gambar.


Berikut adalah gambar motor yang dimaksudkan.Kredit gambar: Kawasaki JPN and Motomalaya













Sunday, October 21, 2012

Hafizh Cemerlang di Sepang


SEPANG - Pelumba wildcard negara, Hafizh Syahrin Abdullah hampir memalukan pemenang perlumbaan Moto2, Alex De Angelis pada Grand Prix Malaysia 2012 di Litar Antarabanga Sepang (SIC) semalam sebelum perlumbaan ditamatkan awal akibat hujan lebat.

Hafizh, yang bermula pada petak ke-27 cemerlang apabila berada pada kedudukan paling hadapan pada pusingan kesembilan hingga ke-11.

Namun, pelumba negara itu menamatkan saingan pada kedudukan keempat apabila perlumbaan ditamatkan pada pusingan ke-15 daripada 19 pusingan keseluruhan.

De Angelis dari pasukan NGM Mobile Forward Racing mencatat masa 36 minit, 57.793 saat untuk tempat pertama, meninggalkan pelumba QMMF Racing, Anthony West di tempat kedua manakala pelumba Federal Oil Gresini Moto2, Gino Rea ketiga.

Kata Hafizh, pencapaian tempat keempat semalam didorong selepas melihat kejayaan pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin meraih kedudukan kedua.
“Sokongan penyokong tempatan yang luar biasa dan kejayaan Zulfahmi benar-benar membuatkan semangat saya berada pada tahap terbaik.
Malah ketika dalam perlumbaan dan sewaktu litar mula dibasahi hujan, saya cuba untuk berada pada kedudukan hadapan bagi memberikan saingan kepada De Angelis dan pelumba lain.
Namun disebabkan masalah pada tayar belakang akibat kerap menggunakan brek menyebabkan saya dipintas oleh pelumba lain termasuk De Angelis," katanya kepada pemberita selepas tamat perlumbaan.

Pelumba pasukan Petronas Raceline Malaysia itu menamatkan perlumbaan dengan masa 36; 60.734s.

Ia adalah peningkatan membanggakan buat Hafizh yang menduduki tempat ke-20 tahun lalu.

Lebih manis apabila Hafizh yang menimba pengalaman berlumba pada Kejuaraan CEV Buckler di Sepanyol turut mencatat masa sepusingan terpantas pada perlumbaan semalam iaitu 2:23.707s pada pusingan ke-10.

Zulfahmi Khairuddin dan Hafizh Syahrin Abdullah Tunjuk belang



SEPANG - Sejarah tercipta di Litar Antarabangsa Sepang semalam apabila dua pelumba muda negara, Zulfahmi Khairuddin dan Hafizh Syahrin Abdullah masing-masing cemerlang pada GP Malaysia 2012.

Zulfahmi, yang bersaing dalam kelas Moto3, mencatat kejayaan sensasi apabila muncul pelumba Malaysia pertama menjejak kaki ke podium apabila menamatkan perlumbaan pada tempat kedua.

Pelumba kelahiran Banting, Selangor itu gah dengan kepantasan 40:54.151 saat, hanya 0.028 saat di belakang pelumba Red Bull-KTM-Ajo, Sandro Cortese yang hanya terdaya memintas Zulfahmi di garisan penamat untuk muncul juara.

Kemenangan itu membolehkan Cortese dinobatkan sebagai juara dunia Moto3 yang baru.
Jonas Folger dari pasukan Mapfre Aspar Team Moto3 ketiga dengan catatan 40'54.370s.

Tumpuan juga terarah kepada pelumba wildcard negara dalam kelas Moto2 yang mencatat tempat keempat, setelah menduduki tempat ke-20 pada perlumbaan tahun lalu.

Bermula pada petak pertama dan strategi yang tepat, membantu Zulfahmi meraih podium pertamanya apabila enggan mengetuai perlumbaan sebaliknya membenarkan Folger memintasnya di awal saingan.

Namun, pelumba Air Asia-SIC-Ajo itu yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-21 kelmarin, mengekori rapat Folger sehingga saingan berbaki tujuh pusingan sebelum memintas pelumba kelahiran Jerman itu untuk memimpin saingan.

Zulfahmi diberi tentangan sengit oleh Cortese yang akhirnya memintas pelumba negara itu pada saat akhir perlumbaan.

Zulfahmi yang mengumpul 112 mata untuk menghuni tangga ketujuh keseluruhan berkata, keyakinannya untuk melakar keputusan podium pertama dalam karier meningkat setelah dia menempah petak pertama pada sesi kelayakan, kelmarin.

"Saya juga semakin selesa dengan motosikal yang berfungsi dengan cukup baik. Terima kasih kepada jurutera dan krew pasukan yang bekerja keras pada perlumbaan ini," katanya.
Mengulas mengenai strategi perlumbaan, Zulfahmi memberitahu, dia sengaja membiarkan Folger memintasnya ketika perlumbaan bermula dan hanya mengekori rapat di belakang sehingga pusingan ke-11.

"Apabila hujan mula menitis pada penutup helmet, saya tidak lagi membuang masa dan memintas Folger untuk memimpin saingan sebelum Cortese memotong saya sebelum garisan penamat," ujarnya.

Friday, October 12, 2012

Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 di litar Stadium Hang Jebat, Melaka,

KERJASAMA KUNCI KEJAYAAN SATU - DUA AFFENDI DAN NORIZMAN


Kerjasama berpasukan menjadi kunci kejayaan buat duo Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 1, Mohd Affendi Rosli dan Norizman Ismail untuk mencatat kemenangan satu - dua dalam kategori CP130 pada Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 di litar Stadium Hang Jebat, Melaka, 6 & 7 Oktober 2012.

Gandingan Affendi dan Norizman berjaya mengetepikan cabaran Ahmad Fuad Baharudin (Faito Motobert Racing) setelah Affendi berjaya melintasi garisan penamat perlumbaan sebanyak 15 pusingan dengan masa keseluruhan 12 minit 35.942 saat. Norizman di kedudukan kedua dengan masa 12:36.082s manakala Ahmad Fuad, 12:36.303s.

"Memang dari awal lagi kami merancang strategi untuk saling bantu membantu pada perlumbaan kali ini dan akhirnya ia berjaya. Selepas saya berjaya mendahului perlumbaan, Norizman turut bekerja keras untuk menutup ruang bagi mengelakkan Ahmad Fuad daripada memintasnya dan pada masa sama, dia turut membuka ruang agar saya terus selesa di hadapan.

"Saya sangat-sangat berterima kasih kepada Norizman dan juga seluruh krew pasukan kerana turut menyediakan jentera yang terbaik pada perlumbaan kali ini sekaligus menghadiahkan kemenangan pertama yang saya nantikan sepanjang tahun ini," jelas Affendi.

Sementara itu, bagi Norizman, dia turut bergembira dengan kemenangan yang diraih oleh Affendi. "Affendi agak ketinggalan dalam senarai keseluruhan jadi saya fikir, dengan kejayaan ini, dia dapat memperbaiki kedudukannya. Selain daripada membiarkannya terus berada di hadapan, saya terpaksa menghalang Ahmad Fuad daripada memintas saya. Mujurlah juga jentera rakan sepasukan Ahmad Fuad, Ahmad Fazrul Sham mengalami masalah walaupun pada ketika itu dia sedang mendahului perlumbaan. Jika tidak, tugas kami mungkin bertambah sukar.

"Mata yang dipungut oleh kami berdua pada hari ini bukan sahaja penting untuk diri kami sendiri, malah ia dapat membantu menghidupkan peluang bagi kami mempertahankan Anugerah Berpasukan Keseluruhan yang dimenangi pada musim lalu," jelas Norizman.

Sekalipun sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan, Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2) terus mendahului kedudukan keseluruhan CP130 dengan mengumpul 127 mata manakala Ahmad Fuad di tangga kedua dengan 113 mata. Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) di kedudukan ketiga dengan 99 mata.


AFIF RAIH KEMENANGAN BERMAKNA DI MELAKA


Dalam saingan kategori CP115, setelah bergelar naib juara di Kluang (Pusingan 7), Ahmad Afif Amran meneruskan kecemerlangannya dan kali ini dia berjaya meraih gelaran juara buat pertama kali dalam musim ini.

Pelumba CKJ Yamaha Racing  itu menamatkan perlumbaan 12 pusingan dengan masa keseluruhan 10:12.518s manakala duo M-Seki Liberty Honda Racing, Mohd Emir Firdaus Hasan dan Sasitharen Sukumaran berada di tempat kedua dan ketiga, masing-masing dengan masa keseluruhan 10:16.554s dan 10:17.168s.

"Selepas beberapa pusingan perlumbaan berlangsung, saya dapati Sasitharen kerap melakukan kesilapan di selekoh-U, jadi saya hanya menunggu peluang untuk memintasnya di situ. Pada pusingan kesembilan, dia sekali lagi melakukan kesilapan apabila sedikit terbabas dan saya memanfaatkan peluang tersebut untuk memintas seterusnya berada di kedudukan hadapan sehingga ke garisan penamat," jelas Afif.

Kedudukan tempat kedua yang diraih oleh Mohd Emir telah membantunya untuk naik ke tangga ketiga dalam senarai keseluruhan setelah mengumpul 94 mata. Kedudukan teratas dan kedua kekal menjadi milik Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) dan Mohd Amirul Arif Musa (Pachie Yuzy Honda Racing), masing-masing dengan 110 mata dan 104 mata.


FAKHRUSY TEPATI RAMALAN


Menepati ramalan, juara Pusingan 7 di Kluang, Fakhrusy Syakirin Rostam dengan mudah menguasai perlumbaan kategori Wira setelah menamatkan perlumbaan 10 pusingan dengan masa keseluruhan 8:37.452s di Melaka hari ini.

Pelumba AAP Mazoil Armstrong Motorsport itu 4.305s jauh dihadapan pemenang tempat kedua, Tengku Amirul Haffiruddin dari pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing. Tempat ketiga menjadi milik rakan sepasukan Tengku Amirul, Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan dengan masa keseluruhan 8:44.694s.

Mengakui kemenangan pada perlumbaan hari ini agak mudah baginya, Fakhrusy berkata, "Tidak banyak yang saya lakukan sepanjang perlumbaan tadi. Permulaan yang baik dan juga insiden melibatkan pelumba di belakang memberi laluan mudah untuk saya selesa berada di hadapan. Sedar saya selesa di hadapan, saya hanya memberi tumpuan untuk menamatkan perlumbaan tanpa perlu mengambil sebarang risiko yang boleh merugikan saya," jelas Fakhrusy yang turut memenangi perlumbaan di litar ini pada musim lalu.

Dengan 25 mata yang dipungut pada hari ini, Fakhrusy merampas gelaran pendahulu keseluruhan daripada Mohd Hafiz Nor Azman (Team Mos Track Pro Yamaha Racing) yang sekadar menamatkan perlumbaan di tangga keempat. Fakhrusy kini mengumpul 158 mata manakala  Hafiz dengan 152 mata. Kedudukan ketiga kekal menjadi milik Tengku Amirul dengan 98 mata.


DANIAL TUMPASKAN KHAIRUL IDHAM DI MELAKA


Mungkin ini bukan hari untuk Khairul Idham Pawi apabila Mohd Danial Ibad Jasni merampas tempat pertama podium kali ini untuk Cabaran Honda Wave Junior bagi Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS. Pendahulu carta tersebut telah memberi sedikit ruang kesilapan untuk Danial merampas peluang kemenangan.

Danial yang pantas mengambil kesempatan ke atas kesilapan Khairul menamatkan perlumbaan sebanyak 10-lap tersebut dalam masa 9'31.288s. Dibezakan dengan jarak 0.242 saat, Khairul terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan catatan masa keseluruhan 9'31.530s.

"Sedikit sukar apabila saya terpaksa bergelut dengan masalah teknikal jentera saya yang mengakibatkan saya kehilangan kedudukan di hadapan. Danial pula bijak mencuri peluang tersebut," ujar Khairul.

Pemenang tempat ketiga pula adalah Afiq Hanafi Ismail Tahalus. Afiq yang telah merasai kemenangan podium sebelum ini tampil lebih yakin untuk menamatkan perlumbaan dengan 9:33.550s.

Dia kekal di tempat keempat keseluruhan (97 mata) manakala Danial naik tangga kedua dengan 121 mata. Khairul walaubagaimanapun masih kekal pendahulu dengan sejumlah 170 mata jauh meninggalkan para pelumba yang lain dan dia hanya memerlukan 1 mata sahaja lagi untuk bergelar Juara Cabaran Honda Wave Junior 2012.
 


SYAFIQ ROSLI BUKA PELUANG


Tiada siapa yang lebih layak untuk mencabar carta kedudukan Cabaran Suzuki Belang selain dari Mohd Syafiq Rosli. Syafiq berjaya mengekalkan rentak kemenangannya dengan menjuarai Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Hang Jebat, Melaka.

"Saya berusaha bermati-matian untuk mencapai kedudukan ini. Saya kini makin hampir dengan kejuaraan dan berasa amat lega dengan keputusan hari ini," jelas Syafiq ketika ditemubual. Dia yang menang di Kluang (Pusingan 7) tempoh hari megutip mata maksimum untuk meletakkan dirinya selaku pendahulu carta keseluruhan Suzuki one-make ini selepas Pusingan 8 di Melaka.

Ketika perlumbaan, Syafiq bijak merampas kedudukan pendahulu awal sebelum menjarakkan diri pada peringkat pertengahan perlumbaan, sekaligus melenyapkan hasrat Mohd Aziq Jumali untuk terus mengejar.

Afiq menamatkan cabaran litar Melaka di tempat kedua dalam 9:28.251s manakala Syafiq jauh di hadapan dengan 9:22.689s. Fitri Wazi pula muncul di tempat ketiga. Fitri yang sedikit tertekanan bergelar anak seorang pelumba bijak mencuri kedudukan ketiga berikutan satu kemalangan yang melibatkan empat orang pelumba.

Syafiq sekarang kini mengetuai carta keseluruhan Cabaran Suzuki Belang dengan 130 mata manakala Ahmad Syukran Aizat jatuh tempat kedua. Aziq pula kini miliki 84 mata di tempat ketiga.
 


HASRAT FARIZNAZREEN JADI KENYATAAN


Tengku Amirul Haffiruddin sebenarnya yang merampas kedudukan pendahulu pada awal perlumbaan Super Siri Yamaha 135 PETRONAS meninggalkan Nurahmad Fariznazreen namun di akhir perlumbaan, dia terpaksa menyerah kalah dengan rakannya di litar Melaka ini.

Satu pertembungan hebat, Fariznazreen dan Tengku Amirul silih-berganti mendahului perlumbaan sehingga satu ketika, jarak yang dicipta mereka agak jauh meninggalkan pelumba lain. Satu-satunya pelumba yang berjaya menamatkan perlumbaan di belakang mereka adalah Mohd Azrul Alif Mohd Yusof.

Azrul menamatkan perlumbaan kali ini dengan catatan 9:05.686s manakala Fariz dalam 9:04.323s. Apa yang lebih menarik apabila baru-baru ini Fariz pernah dipetik menyatakan kekecewaanya atas persembahan kurang menarik musim ini. Mungkin kemenangan ini bakal membangkitkan semangat pelumba remaja ini untuk tampil lebih hebat pada baki dua pusingan musim ini.

"Saya tidak pernah menang tempat pertama setakat ini jadi dengan kemenangan ini, saya rasa begitu bersyukur dan terhutang budi dengan semua pihak yang telah menyokong saya," jelas Fariznazreen.

Mohd Nasri Mohd Ishak pula masih dalam kemarau kemenangannya manakala Mohd Izrul Huzairie Amran pula hanya mendapat tempat ke-12 setelah didenda Penalti Stop and Go.

Walaupun dengan satu perlumbaan yang hambar, Mohd Izzat Zaidi masih mendahului carta keseluruhan dengan 161 mata diikut rapat Tengku Amirul dengan 156 mata. Fariz pula kini mempunyai 113 mata di tempat ketiga.


IZUAF JUARA PERSENDIRIAN, NASIB MALANG KHAIRUL AZIZI BERTERUSAN


Litar Melaka merupakan kegemarannya. Itu kata jujur Izuaf Sirun berikutan kemenangannya di litar tersebut untuk kelas Persendirian kali ini dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS. Izuaf merampas kedudukan di pusingan tiga perlumbaan sebelum meninggalkan satu jarak agak besar menyukarkan Khairul untuk berbuat apa-apa.

Khairul Azizi Abdul Mansor mulanya di petak pertama perlumbaan. Dengan pacuan pertama di hadapan dia mendahului kesemua pelumba lain pada awalnya. Namun di pusingan tiga perlumbaan, Izuaf yang sentiasa mengekori dibelakang Khairul akhirnya terlihat satu ruang untuknya menyelinap masuk dan merampas kedudukan.

"Cuaca hari ini sangat baik. Keadaan litar baik dan keadaan jentera saya adalah seperti yang diharapkan," kata Izuaf gembira. Di satu pusingan-U, Izuaf dilihat tampil cemerlang yang membawa kepada sedikit kejatuhan Khairul Azizi.

Tempat ketiga pula dimenangi Azlan Shah Saidun Hardi. Pelumba tersebut mencatat masa 9:04.909s. Mohd Imran Zulkafli yang pernah menang di Kluang pula hanya berjaya di tempat keempat manakala Mohd Syazrul Ahmad dikecualikan dari perlumbaan kerana gagal mematuhi denda Penalti Jump Start.

Walaupun kini telah kali keempat pendahulu carta Khairul Azizi gagal menduduki tangga teratas podium, dia masih mendahului dengan 131 mata di depan Hilmi Affan yang masih kekal di tempat kedua dengan 108 mata. Hilmi yang masih lagi sedang pulih dari kecederaan bahu dan berkemungkinan akan berehat untuk baki musim ini, mungkin kejuaraan sudah jelas kelihatan untuk Khairul Azizi.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd 


Friday, September 28, 2012

HAFIZH ISI SLOT WILDCARD MOTOGP MALAYSIA



Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah akan beraksi buat tahun kedua berturut-turut apabila disahkan bakal mengisi slot wildcard Moto2 Grand Prix (MotoGP) Malaysia yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 19 hingga 21 Oktober depan.

Pada penyertaan pertamanya, pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu memberikan aksi terbaik dengan kejayaan menamatkan perlumbaan di tempat ke-20 daripada 38 pelumba yang mengambil bahagian.

Selepas mencatat kejayaan sebagai juara Expert/CP130 termuda Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dan pelumba termuda yang berjaya memenangi perlumbaan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC), pelumba Program Pembangunan Bakat PETRONAS itu turut mencipta sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama beraksi dalam kategori Moto2 di Kejuaraan Motosikal Sepanyol  Campeonata de Espana de Velocidad (CEV) untuk satu musim penuh pada tahun ini.

Memacu jentera Moto2 FTR, Hafizh mempamerkan prestasi cemerlang apabila menamatkan lima daripada enam pusingan perlumbaan di kalangan lima pelumba teratas sekaligus membantu pelumba muda berusia 18 tahun ini berada di kedudukan keenam keseluruhan dan muncul pendahulu bagi kategori persendirian.

"Saya cukup gembira dan tidak sabar untuk beraksi buat kali kedua dalam perlumbaan Moto2 di MotoGP Malaysia. Saya mengucapkan terima kasih kepada penaja saya, PETRONAS kerana yakin dengan kemampuan yang saya miliki, begitu juga dengan sokongan yang telah diberikan selama ini. Sasaran utama saya pada tahun ini sudah pasti untuk memperbaiki keputusan yang dicapai pada tahun lalu. Banyak yang telah saya pelajari pada penyertaan tahun lalu, namun beraksi di Kejuaraan Motosikal Sepanyol CEV Buckler dalam kategori Moto2 pada tahun ini telah membantu meningkatkan lagi prestasi saya. Dengan pengalaman yang ada, saya yakin untuk mencatat keputusan yang terbaik di hadapan penyokong sendiri di Sepang nanti. Pada ketika ini, tumpuan utama saya adalah untuk meningkatkan lagi persediaan sebelum menghadapi perlumbaan Moto2 GP Malaysia nanti," jelas Hafizh.

Bagi Pengurus Pasukan, Barry Leong, "Jika menilai keputusan yang dicapai sewaktu penyertaan sebelum ini, Hafizh telah mara setapak lagi setelah penyertaan pada musim pertama Kejuaraan Motosikal Sepanyol CEV Buckler menampakkan impak cukup positif. Dengan persaingan kompetitif yang dihadapinya dan juga segala pengalaman serta pendedahan yang ditimba  di Sepanyol, kami yakin Hafizhberupaya untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan antara 15 pelumba terbaik. Keyakinan kami turut bertambah setelah Hafizh berjaya mencatatkan masa di bawah 2.10 minit, 1.9 saat lebih pantas berbanding catatan terbaik pada musim lalu ketika sesi latihan baru-baru ini. Dari segi persiapan pasukan pula, kami akan dengan kelengkapan terbaik, tenaga kerja dan juga tempoh latihan maksimum kepada Hafizh sebagai persediaan untuk penyertaan wildcard ini."

Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Motorsports, Anita Azrina Abdul Aziz menjelaskan, "Kami gembira melihat kemajuan Hafizh sejak dari mula dia menyertai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS. Pada tahun ini dia turut mencatat kejayaan cemerlang di Kejuaraan Motosikal Sepanyol CEV Buckler di mana penyertaannya ini amat penting agar dia terus mengembangkan kariernya hasil pengalaman bersaing dengan pelumba-pelumba muda terbaik Eropah. Dengan penglaman yang diperolehi ketika menyertai Moto2 pada tahun lepas dan penyertaan di CEV, kami optimis Hafizh mampu  memberikan saingan hebat di MotoGP Malaysia nanti!"

Issued by PETRONAS Motorsports



Tuesday, September 25, 2012

Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 22 Sept. 2012 di Litar Kluang, Johor

PENGALAMAN BANTU FUAD MENANG DI KLUANG


Ahmad Fuad Baharudin tidak mensia-siakan pengalaman selama 15 tahun beraksi sebagai pelumba profesional apabila muncul juara kategori CP130 pada perlumbaan Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 di Litar Kluang, Johor, hari ini.
Dikenali sebagai litar yang begitu teknikal di dalam kalendar kejuaraan Cub Prix, pelumba Faito Motobert Racing itu terpaksa mengerah segala kudrat dan pengalaman untuk menangkis asakan demi asakan daripada Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) sebelum berjaya menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan masa keseluruhan 12:01.586s.
Azlan akur di kedudukan kedua, 0.527s di belakang Fuad manakala Mohd Taufiq Roslan (Yamaha Maju Motor) ketiga, 12:02.319s.
"Litar ini tidak begitu mementingkan kepantasan jentera, sebaliknya lebih kepada penggunaan kotak gear dan juga sistem saspensi jentera yang sesuai dengan permukaan litar dan juga gaya tunggangan saya sendiri. Selekoh di sini agak sempit dan ada diantaranya tidak begitu rata serta beralun. Malah terdapat juga laluan mendaki dan menuruni bukit dilitar ini, sedikit berbeza dengan litar-litar lain."
"Dengan pengalaman yang ada, saya tidak memerlukan masa yang lama untuk mendapatkan pelarasan jentera yang terbaik. Walaupun gagal mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa semalam, pada ketika itu kotak gear dan sistem saspensi jentera saya sudah cukup sempurna. Dari situ timbul keyakinan dalam diri yang mana saya rasa mampu untuk mengulangi kejayaan yang saya lakukan pada tahun 2010 di litar ini," jelas Fuad yang kini naik ke tangga kedua dalam senarai keseluruhan pelumba CP130 dengan 97 mata, memintas rakan sepasukan, Ahmad Fazrul Sham yang turun ke tangga ketiga dengan 91 mata.
Sementara itu, walaupun kekal mendahului kedudukan setelah mengumpul 120 mata, Azlan jelas agak kecewa kerana gagal muncul juara walaupun berjaya mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa, semalam.
"Saya gembira kerana berjaya mencapai hasrat untuk terus kekal di tangga teratas, namun pada masa sama saya agak kecewa kerana gagal untuk mencari gelaran juara kedua pada musim ini. Walaupun beberapa kali saya mencuba untuk memintas Fuad, namun dia berjaya menutup ruang dengan baik. Jelas pengalaman yang ada pada Fuad membezakan keupayaan kami di litar yang cukup teknikal ini. Kini saya meletakkan sasaran untuk mencari kemenangan pada pusingan kelapan di Melaka nanti," jelas Azlan.



CKJ DOMINASI PERLUMBAAN CP115


Pasukan CKJ Yamaha Racing meraih kemenangan bergaya setelah Shariffudin Shamsudin dan Ahmad  Afif Amran mencatat kemenangan satu-dua dalam saingan kategori CP 115.

Sharifuddin melintasi garisan penamat dengan masa keseluruhan 9:48.636s dan Afif sekadar 0.337s di belakang manakala tempat ketiga menjadi milik Mohd Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing) ketiga, 9:49.421s.

Sharifuddin yang bermula dari petak pertama walaubagaimanapun pada peringkat awal perlumbaan sedikit ketinggalan kepada Adib yang memecut laju sebaik pelumba-pelumba dilepaskan. Selepas beberapa pusingan, Shariffudin bagaimanapun berjaya menggunakan kepantasan jenteranya untuk kembali memimpin perlumbaan dengan memanfaatkan kesilapan yang Adib lakukan di selekoh U.

Aksi sama ditunjukkan Afif apabila pelumba itu berjaya naik ke kedudukan kedua selepas beberapa pusingan berada di kedudukan keempat. Sebaik berada di belakang rakan sepasukannya itu, Afif berjaya menutup ruang dengan baik sekaligus berjaya mempertahankan kedudukan Sharifuddin untuk mengejar kemenangan pertamanya pada musim ini.

"Memang saya dan Afif ada mengatur strategi untuk saling membantu jika salah seorang diantara kami berdua berada di hadapan dan kami cukup gembira kerana apa yang dirancang menjadi kenyataan. Selepas berjaya melepasi Adib yang pada satu ketika berada di hadapan, saya hanya memberi tumpuan untuk kekal di hadapan sehingga ke garisan penamat. Apa yang lebih menggembirakan, kerja keras saya sepanjang tempoh rehat dua bulan ini berjaya menghadiahkan kemenangan yang sudah lama saya nanti-nantikan. Terima kasih kepada pasukan dan kaum keluarga yang terus memberikan sokongan kepada saya selama ini."

Keputusan ini bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) sebagai pendahulu keseluruhan setelah mengumpul 101 mata, diikuti Mohd Amirul Ariff Musa (Pachie Yuzy Honda Racing) kedua, 93 mata dan Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui Racing) ketiga, 88 mata.


FAKHRUSY SUKAR DIGUGAT


Saingan kategori Wira menyaksikan penguasaan Fakhrusy Syakirin Rostam di Litar Kluang sukar digugat apabila berjaya mengetepikan cabaran pendahulu keseluruhan, Mohd Hafiz Nor Azman untuk meraih kemenangan keempat pada musim ini.

Pelumba AAP Mazoil Armstrong Motorsport itu melintasi garisan penamat dengan masa keseluruhan 8:08.685s, 4.048s di hadapan Hafiz (Team Mos Track Pro Yamaha Racing) manakala Tengku Amirul Haffiruddin (Motul Yamaha YY Pang Racing) di tempat ketiga, 8:19.374s.

Fakhrusy yang menguasai hari pertama perlumbaan setelah mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa memulakan perlumbaan dari petak kedua namun berjaya naik ke kedudukan pertama sebaik melepasi selekoh pertama dan terus mendahului saingan sehingga ke garisan penamat tanpa dapat dicabar oleh mana-mana pelumba.

Mengulas tentang kemenangan selesa, Fakkhrusy berkata, "Perlumbaan tadi agak mudah bagi saya kerana setelah berjaya mendahului kedudukan sebaik melepasi selekoh pertama pada pusingan pertama, saya hanya bersendirian di hadapan manakala beberapa pelumba lain bersaing agak rapat untuk merebut tempat kedua dan ketiga. Saya hanya kekal fokus dan beraksi secara konsisten untuk menuju ke garisan penamat. Dengan kemenangan ini saya dapat merapatkan jurang mata dengan Hafiz dan meletakkan sasaran untuk mencatat kemenangan pada perlumbaan akan datang," jelas Fakhrusy.

Hafiz yang sedikit kecewa menjelaskan,Saya tidak dapat melepasi Tengku Amirul dan juga beberapa pelumba lain pada peringkat awal perlumbaan dan ini memberikan ruang buat Fakhrusy untuk terus menjarakkan diri di hadapan. Sebaik melepasi halangan dan berada di kedudukan kedua, jarak diantara saya dan Fakhrusy sudah agak jauh,"  jelas Hafiz.

Sekalipun tewas, Hafiz kekal di tangga teratas keseluruhan dengan mengumpul 139 mata, namun hanya enam mata mendahului Fakhrusy manakala Tengku Amirul ketiga, 78 mata.


KHAIRUL AZIZI DITIMPA NASIB MALANG


Menyambung beberapa siri kejutan dalam kategori Persendirian sejak sesi Ujian Masa, kali ini perlumbaan akhir Pusingan 7 menyaksikan debaran demi debaran apabila pendahulu carta, Khairul Azizi Abd Mansor yang kelihatan bakal menjuarai tiba-tiba kecundang akibat kemalangan di minit terakhir perlumbaan. Tempat pertama kali ini dimenangi Mohd Imran Zulkafli, pelumba yang mendahului perlumbaan kemudian dicabar Khairul hampir di setiap saat hinggakan pertembungan mereka menghasilkan jarak dalam empat saat dengan para pelumba lain. Khairul namun begitu kecewa setelah perlanggaran dengan Imran menyebabkan jenteranya rosak teruk dan terpaksa dikeluarkan. Perebutan tempat di belakang mereka juga tidak kurang hebatnya dengan Mohd Alib Abdul ditentang hebat Azlan Shah Saidun Hardi yang menyaksikan Alib berjaya menang tempat kedua (8:50.398s) dan Azlan (8:57.220s) ketiga. Tempat keempat jatuh kepada Mohd Syafiq Samad dan Mohd Aqid Jumali menang tempat kelima. Mustakim Mohd Nor juga berkongsi kekecewaan apabila gagal menamatkan perlumbaan. Lebih buruk lagi apabila satu-satunya pelumba Wanita kategori ini terpaksa direhatkan setelah satu kemalangan pada sesi Saringan sebelum itu. Khairul namun masih berdiri gagah di atas carta dengan 111 mata manakala Hilmi Affan Abdul Malik di tempat kedua dengan 108 mata. Tempat ketiga dan keempat diduduki Syafiq dan Imran dengan 88 dan 83 mata.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd 

Wednesday, July 4, 2012

KEPUTUSAN ROUND 6 MUAR JOHOR

FAZRUL RAIH GELARAN PERTAMA BUAT MOTOBERT



Ahmad Fazrul Sham meraih kemenangan dalam saingan kategori CP130 untuk musim 2012 pada Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Muar, Johor, hari ini.

Pelumba Faito Motobert Racing itu menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan masa keseluruhan 10 minit 25.313 saat mengatasi Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing ) dan Mohd Zamri Baba (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) di kedudukan kedua dan ketiga. Azlan menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 10:26.203s manakala Zamri dengan 10:26.520s.

Bukan sekadar kemenangan peribadi pertama untuk musim 2012, malah ia Fazrul turut menghadiahkan gelaran juara yang pertama kepada pengurus pasukan, Rosnizam Mohd Noor sejak pasukan ini mula berkecimpung dalam arena Cub Prix pada musim 2011.

Cukup gembira dengan kemenangannya, Fazrul berkata, "Perlumbaan hari ini agak sengit terutama tentangan daripada Azlan dan Zamri pada peringkat awal perlumbaan. Namun pasukan saya telah menyediakan jentera yang cukup bagus kepada saya yang banyak membantu kepada kejayaan hari ini dan membolehkan saya terus menjarakkan diri daripada kedua-dua pelumba itu. Saya begitu berterima kasih kepada seluruh pasukan dan juga seluruh ahli keluarga dan penyokong-penyokong yang banyak membantu dan mendoakan kejayaan kami di sini," jelas pelumba berusia 27 tahun.

Mengulas lanjut, Fazrul berkata, "Selain gelaran peribadi, kemenangan ini juga turut mencerahkan peluang pasukan kami untuk menggondol Anugerah Berpasukan Keseluruhan. Gandingan saya bersama Ahmad Fuad Baharudin cukup konsisten pada musim ini, di tambah dengan pengalaman yang ada pada Fuad, saya yakin kami mampu untuk bersaing merebut gelaran berpasukan," kata Fazrul  yang kini naik ke kedudukan kedua dalam senarai pelumba keseluruhan dengan mengumpul 82 mata.

Azlan kekal menerajui kedudukan dengan mengumpul 100 mata setakat ini manakala Mohd Zaqhwan Zaidi jatuh ke tangga ketiga, hanya dibezakan satu mata dengan Fazrul.

Dalam senarai Anugerah Berpasukan Keseluruhan,  pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2 yang diwakili Azlan dan pelumba muda, Mohd Fitri Ashraf Razali berada di kedudukan teratas dengan mengumpul 156 mata, hanya dua mata dibezakan dengan Faito Motobert Racing yang berada di kedudukan kedua.  Kedudukan ketiga menjadi milik Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 1 (Norizman Ismail/Mohd Affendi Rosli) dengan 114 mata.





SHAHRIL AMBIL ALIH CARTA CP115



Shahril Izzuwan Mohd Noor mencerahkan peluang untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim lepas apabila meraih kemenangan keduanya pada musim ini di Muar, Johor hari ini selepas kemenangan pertama pada Pusingan 2 di Terengganu.

Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM itu menamatkan perlumbaan 12 pusingan dengan masa keseluruhan 8:34.714s menewaskan Mohd Emir Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing) di tempat kedua dengan 8:36.352s manakala Ahmad Afif Amran (CKJ Yamaha Racing) ketiga, 8:36.521s.

Mengulas tentang kejayaannya, Shahril berkata, "Walaupun berada di petak kesembilan, saya bermula dengan agak baik sehingga berjaya menempatkan diri di barisan hadapan sebaik pelumba-pelumba dilepaskan. Selepas itu, beberapa pelumba dihadapan melakukan kesilapan dan saya menggunakan kesempatan untuk berada di hadapan sejak dari pusingan pertama lagi, Tambahan pula, pasukan turut menyediakan jentera yang begitu baik sekali," jelas Shahril.

Kemenangan ini meletakkan Shahril sebagai pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 91 mata, tujuh mata mengatasi Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui Racing) manakala Mohd Amirul Ariff Musa (Pachie Yuzy Honda Racing) ketiga, 82 mata.

Dalam senarai berpasukan, PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM (Mohd Iskandar Raduan/Shahril) selesa mendahului kedudukan dengan 166 mata diekori M-Seki Liberty Honda Racing(Sasitharen Sukumaran/Emir) dengan 121 mata manakala Pachie Yuzy Honda Racing (Mohd Amirul/Mohd Rozaliman Zakaria) ketiga, 94 mata.





HAFIZ TEBUS KEKECEWAAN


Dalam kategori Wira, Mohd Hafiz Nor Azman meraih kejuaraan keduanya pada musim  ini setelah menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan catatan masa keseluruhan 7:05.479s pada Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Muar, Johor.

Pelumba Team Mos Track Pro Yamaha Racing itu berjaya mengenepikan pencabar utamanya, Fakhrusy Syakirin Rostam dari pasukan AAP Mazoil Armstrong Motorsports yang menamatkan perlumbaan di kedudkan kedua dengan 7:09.911s manakala Mohd Hafizuddin Azahar (Unisel-Gems) ketiga, 7:18.845s.

Gembira dengan kemenangannya, Hafiz berkata, "Walaupun agak selesa di hadapan, namun ini bukan satu kemenangan mudah bagi saya apabila saya sedikit ketinggalan kepada Fakhrusy pada peringkat awal perlumbaan. Setelah beberapa ketika berada di belakangnya, saya berjaya mencari ruang untuk memintas dan kemudiannya berjaya mendahului sehingga ke garisan penamat," jelas Hafiz yang semakin selesa berada di persada carta keseluruhan dengan mengumpul 119 mata.

Keputusan hari ini membantu Fakhrusy terus kekal di tangga kedua dengan mengumpul 108 mata manakala Tengku Amirul Haffiruddin (Motul Yamaha YY Pang) di kedudukan ketiga dengan 62 mata.





SAINGAN SENGIT KATEGORI PERSENDIRIAN



Mohd Imran Zulkafli menamatkan penguasaan Khairul Azizi Abd Mansor dalam saingan kategori Persendirian apabila menamatkan cabaran sengit Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS sebagai juara.

Perlumbaan yang berlangsung di litar asingsepanjang 0.947km dalam kalendar kejuaraan, Muar, Johor memberikan cabaran baru buat pelumba-pelumba Persendirian. Pendahulu keseluruhan, Khairul Azizi mensia-siakan kelebihan bermula di petak pertama apabila terlibat dengan kemalangan pada Pusingan 1. Sebaliknya, Hilmi Affan Abd Malik berjaya mendahului perlumbaan manakala Afiq Syazwan turut bermula baik apabila berada di P2 dari P6 pada beberapa selekoh awal.

Namun, kedudukan Hilmi tidak berpanjangan apabila enjin jenteranya mengalami masalah pada pertengahan perlumbaan sekali gus membuka ruang buat Imran untuk merapatkan kedudukan dan memintas pada Pusingan 6. Kedudukan itu kekal sehingga ke garisan penamat di mana Imran menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan masa keseluruhan 7:36.493s diikuti Hilmi (7:42.245) dan Mohd Syafiq Samad ketiga, 7:43.205s.

"Saya berterima kasih kepada rakan-rakan dan mekanik yang bekerja keras menyiapkan jentera saya. Walaupun bermula di perak ketiga, saya yakin mampu berada di kumpulan hadapan, jadi saya hanya memberi tumpuan untuk meningkatkan aksi saya pada setiap pusingan. Apabila Hilmi mula perlahan, saya tidak mensia-siakan peluang tersebut," kata Imran.

Sementara itu, Hilmi menambah, "Saya cukup gembira kerana masih berupaya untuk menamatkan perlumbaan di atas podium walaupun jentera saya mengalami masalah."

Mempunyai semangat juang tinggi, Hilmi Affan kini semakin merapatkan jurang dengan pendahulu keseluruhan, Khairul Azizi. Hilmi di tangga kedua dengan 108 mata, ketinggalan kepada Azizi yang mengumpul 111 mata. Syafiq ketiga dengan 75 mata.

"Ini adalah podium saya yang kedua pada musim ini dan saya cukup berpuas hati dengan keputusan pada pusingan ini," kata Syafiq.

"Saya memulakan perlumbaan di petak ke-7 dan sebaik mendahului kumpulan kedua, saya hanya memberi tumpuan untuk mengejar kedudukan ketiga berbanding mengejar Imran dan Hilmi yang jauh dihadapan."

Kejuaraan akan berehat panjang sempena bulan Ramadan dan Syawal akan datang dan akan bersambung kembali pada bulan September di Kluang, Johor.





PRESTASI CEMERLANG AHMAD SYUKRAN BERTERUSAN


Pelumba 15 tahun, Ahmad Syukran Aizat meneruskan pencapaian sempurna musim ini dalam kategori Cabaran Suzuki Belang Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS setakat ini. Dalam Pusingan 6 yang berlangsung di Muar, Johor, pada 1 Julai, Syukran meneruskan keputusan cemerlang sejak dari awal musim setelah meraih kemenangan keempat berturut-turut dengan masa keseluruhan 7:54.575s.

Ketika Syukran mendahului perlumbaan sehingga ke garisan penamat, pesaing terdekatnya, Mohd Syafiq Rosli dan Mohd Aziq Jumali turut mempamer aksi konsisten bagi mengekalkan kedudukan di tempat kedua dan ketiga sehingga melintasi garisan penamat dengan masing-masing mencatatkan masa keseluruhan 7:57.820s dan 8:04.621s.

"Saya bermula dengan begitu baik walaupun terpaksa memulakan perlumbaan di petak kelapan. Namun sebaik perlumbaan bermula, saya berjaya ke barisan hadapan pada Selekoh 1 dan kemudiannya memintas Aziq yang sedang mendahului perlumbaan ketika itu. Selepas itu, saya terus mendahului perlumbaan sehingga ke garisan penamat," kata Syukran.

Syafiq yang bermula di petak pertama sekadar berpuas hati dengan kemenangan Syukran. Dia berkata, "Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan keputusan perlumbaan kali ini. Sukar bagi saya untuk mengejar Syukran yang beraksi dengan begitu baik. Saya tetap bersyukur kerana dapat menamatkan perlumbaan di atas podium sekali lagi.

Menariknya, jika Syukran telah meraih empat gelaran setakat ini, Syafiq turut mempamer aksi konsisten dengan menamatkan keempat-empat perlumbaan sebagai naib juara.

Syukran mendahului senarai keseluruhan Cabaran Suzuki Belang dengan 100 mata diikuto Syafik dengan 80 mata. Persaingan merebut gelaran juara keseluruhan lebih terarah kepada kedua-dua pelumba ini dan sukar untuk menjangkakan apa yang akan berlaku seterusnya. Aziq di tangga ketiga dengan hanya mengumpul 44 mata setakat ini.

Thursday, June 28, 2012

Penunggang Aprilia Meninggal Dunia



Ini merupakan satu berita yang menyedihkan kepada semua peminat-peminat sukan permotoran di seluruh dunia. Penunggang bagi jentera Aprilia dalam kejohananNW200 telah meninggal dunia apabila motosikal dipandunya hilang kawalan dan menyebabkan dia terjatuh dari jenteranya pada pusingan pertama perlumbaan.
Penunggang Mark Buckley yang berasal dari Loch Lomond, Scotland itu disahkan meninggal dunia di hospital akibat kecederaan yang dialaminya. Kami dari pihak Malaysian Riders walaupun tidak mengenali beliau secara peribadi turut merasakan kehilangannya dari arena perlumbaan yang sememangnya merbahaya.
Dia yang dijadualkan akan beraksi dalam kejohanan Isle of Man TT tidak akan menjadi kenyataan dan ini merupakan satu kehilangan kepada kedua-dua kejohanan yang disertainya. Apapun, kami disini sentiasa ingin mengingatkan kepada pembaca kami untuk sentiasa mengambil langkah keselamatan apabila menunggang, tidak kira dimana pun kerana sedangkan penunggang profesional pun boleh kehilangan nyawa apatah lagi kita.