jokisenja header

jokisenja header


Sunday, November 28, 2010

Shariffudin tekad pamer aksi terbaik


KEKECEWAAN gagal meraih sebarang mata pada pusingan sebelum ini mahu ditebus Mohd Sharifuddin Shamsuddin (gambar) apabila menjanjikan kebangkitan pada Pusingan Akhir Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Padang Kota Lama, Pulau Pinang pada 4 dan 5 Disember ini.
Pelumba Suzuki M-Seki Liberty Racing itu yang menamatkan perlumbaan di tangga ke-16 di Litar Sepang Selatan ketinggalan 25.716 saat dengan pemenang (15:26.884s) mengakui mengalami kesakitan di bahagian tumit ketika memberi fokus membuat pecutan di litar yang panjang.

Tidak mahu kelemahan itu terus menghantui kariernya, Sharifuddin memusatkan tekad untuk memberi aksi terbaik minggu depan di Padang Kota Lama.
Ketika ini, Sharifuddin menduduki tangga ke-19 dalam kedudukan keseluruhan pelumba CP115 dengan mengumpul 17 mata manakala rakan sepasukan, S Sasitharen di tempat ke-16 (22 mata) dan Elly Idzliaikmal Ilias di tempat ke-21 (12 mata).

“Reka bentuk litar di Pulau Pinang tidak semudah yang disangka. Litar itu lebih teknikal dengan empat pusingan dan kunci kepada kemenangan adalah kelajuan jika saya mahu mencapai sasaran menduduki 10 pelumba terbaik. Jika saya tidak boleh beraksi cemerlang di litar panjang, karier saya sebagai pelumba pasti tergugat kerana pasukan ini mahu pelumba serba boleh,” kata pelumba berusia 18 tahun itu.

Sharifuddin yang berasal dari Kuala Lumpur itu berkata: “Stamina memainkan peranan sangat penting untuk perlumbaan di Pulau Pinang. Memandangkan ia perlumbaan di litar pendek, perlumbaan itu sangat pantas dan pelumba miliki lebih stamina akan mempunyai kelebihan minggu depan.” Sementara itu, pendahulu kedudukan, Mohd Ramdan Mohd Rosli dari pasukan Pet ronas Sprinta Yamaha AHM Racing dengan mengumpul 162 mata diikuti Mohd Rozaiman Mohd Said dari Motul Yamaha YY Pang dengan (140 mata) dan rakan sepasukan, Mohd Adli Salihin (118 mata) terikat dengan Muhd Iskandar Raduan dari Petronas Sprinta Yamaha Raceline.

Ketika ditanya mengenai siapakah yang bakal meraih gelaran CP115, Sharifuddin berkata: “Ramdan memiliki peluang baik untuk merangkul kejuaraan. Dia mempamerkan peningkatan meskipun tampil kali pertama musim ini dalam CP115. Apa yang dia perlu lakukan adalah menamatkan perlumbaan di tangga ke-12 untuk meraih empat mata bagi mengesahkan kejuaraan.

No comments:

Post a Comment