jokisenja header

jokisenja header


Tuesday, November 30, 2010

Fazli terdesak

NEKAD untuk bergelar Juara CP130, Ahmad Fazli Sham terdesak mencari kemenangan pada Pusingan akhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Padang Kota Lama, Pulau Pinang, hujung minggu ini.
Hanya dengan kemenangan Fazli boleh bergelar juara musim 2010. Ini kerana saingan bagi merebut mahkota CP130 begitu sengit dengan hanya dua mata membezakan antara tiga calon.

Mereka adalah pendahulu keseluruhan, Norizman Ismail (Harian Metro SCK Honda Racing) yang mengetuai carta dengan 146 mata, diikuti Fazli dari pasukan Shell Advance Yamaha Maju di tempat kedua dengan 145 mata dan Hafizh Syahrin Abdullah (Petronas Sprinta Yamaha Raceline) di tempat ketiga dengan 144 mata.
Kemenangan terakhir Fazli dikecapi di Pusingan 5 di Kuala Terengganu dan selepas itu, keputusannya mendadak mendadak merudum tanpa sebarang podium pada separuh kedua musim ekoran masalah jentera. Juara Expert dua kali berturut-turut itu (2007 dan 2008), berharap mencapai keputusan cemerlang di Pulau Pinang sekali lagi.

Fazli, 27, mengaku masalah teknikal jentera mempengaruhi pencapaiannya yang kurang memberangsangkan.

“Masalah itu memberi kesan terhadap kedudukan carta keseluruhan CP130 sekali gus membuka ruang buat Norizman dan Hafizh merapatkan jurang mata,” katanya.

Fazli yang berjaya memenangi dua perlumbaan dan naib juara dua kali pada separuh pertama musim turut tidak puas hati prestasinya itu.

“Saya kecewa kerana tidak berupaya mengutip lebih banyak mata untuk mendahului kedudukan dengan selesa. Kini, Norizman dan Hafizh turut berpeluang bergelar juara dan kami bertiga mempunyai sasaran sama iaitu memenangi perlumbaan di Pulau Pinang.” Namun, pelumba kelahiran Taiping itu yakin peluangnya masih terbuka untuk muncul juara di Pulau Pinang hujung minggu ini.
“Saya mempunyai peluang 50-50 untuk muncul juara tapi memerlukan jentera yang kompetitif dan pantas kerana litar Padang Kota Lama ini menitik beratkan aspek kelajuan. “Selain itu, saya perlu membentuk strategi berpasukan bersama Elly Idzlianizar Ilias dan Abdul Muhaimin Roslan supaya mereka boleh membantu menghalang pesaing.

“Saya bagaimanapun tidak boleh memandang rendah Norizman dan Hafizh yang mempamerkan peningkatan. Selebihnya bergantung pada nasib dan saya harap semua berjalan lancar,” ujar Fazli yang muncul naib juara di litar padang Kota Lama pada perlumbaan final kategori Expert tahun lalu.

No comments:

Post a Comment