jokisenja header

jokisenja header


Tuesday, May 22, 2012

Banting venue pusingan keempat



Bandar Mahkota di Banting, Selangor ditetapkan sebagai gelanggang bagi pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2012 pada 26 dan 27 Mei ini bagi menggantikan venue asal di Putrajaya atas faktor ruang. 

Ron Hogg, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), iaitu promoter Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, berkata saban tahun, ruang yang diperlukan untuk penganjuran Cub Prix semakin bertambah luas.

"Sebab itulah kami memilih untuk memindahkan perlumbaaan ke Banting, kerana di sana memenuhi apa yang diperlukan. 

"Semua ini diambil kira tidak hanya daripada jumlah kehadiran penonton pada setiap pusingan Cub Prix, malah perkara-perkara lain seperti aspek keselamatan, keperluan padok dan juga hal-hal logistik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Litar baru ini mempunyai jarak 1.3km, iaitu litar terpanjang bagi musim ini selepas Litar Sepang (Selatan) pada November depan.
    
Hogg berkata semua pelumba akan bersaing secara adil tanpa sebarang kelebihan kepada mana-mana pasukan menerusi litar tersebut. 

"Kali terakhir perlumbaan berlangsung di litar baru adalah sewaktu di Kangar di mana ketika itu berlaku perubahan terhadap arah laluan litar. Suasana perlumbaan yang dipamerkan cukup mencabar di mana pelbagai kejutan telah berlaku dalam setiap kategori perlumbaan," katanya.

Beliau berkata walaupun perubahan saat akhir ini menyebabkan lebih banyak tugasan dan kerja keras yang perlu dilakukan, namun untuk tempoh jangka panjang, ia sebenarnya dapat meningkatkan tahap persaingan dalam kejuaraan ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di www.malaysiancubprix.com.

Wednesday, May 9, 2012

TANGGUNGJAWAB BESAR BUAT SASITHAREN



TANGGUNGJAWAB besar digalas Sasitharen Sukumaran pada musim 2012 apabila Boon Siew Honda Sdn Bhd meletakkan sasaran tinggi kepada pelumba 20 tahun itu pada aksi pertamanya di Piala Impian Asia (ADC) yang berlangsung seiring dengan Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang, minggu ini.
Kelas perlumbaan baru dijalankan dengan sokongan penuh Honda Motor Co Ltd, Jepun adalah program biasiswa kepada 16 pelumba muda dari seluruh Asia mempamerkan kebolehan menunggang jentera Honda CBR250R, model pengeluaran menyamai kelas Moto3 yang diperkenalkan di MotoGP tahun ini.

Pengurus Boon Siew Honda Motorsports, Rodney Peh berkata, pelumba yang lebih mesra dengan panggilan Sasi dipilih membawa cabaran Malaysia dalam kategori ADC selepas membuktikan kemampuan menduduki tangga kesembilan keseluruhan dengan dua kali menaiki podium kategori CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas.
Pelumba kelahiran Puchong turut mempamerkan prestasi cemerlang apabila menduduki tangga kedua keseluruhan SuperSports B di Malaysian Super Series (MSS) musim lalu berada di belakang juara, Ahmad Nashrul Baharudin (Bike ART Kawasaki Racing) walaupun kekurangan pengalaman menunggang jentera SuperSports.

Berdasarkan pencapaian itu, Rodney berpendapat Sasi mampu beraksi lebih cemerlang.

“Sasi menunjukkan banyak peningkatan musim lalu. Kami menyediakan program buatnya dan berjaya melakukannya dengan baik terutama selepas menduduki tangga kedua keseluruhan kategori SuperSports B di MSS.
“Pencapaiannya di Cub Prix tahun lalu juga agak baik cuma nasib tidak begitu menyebelahinya,” katanya.

Rodney berkata, Piala Impian Asia adalah kategori baru di Malaysia namun perlumbaan dengan jentera CBR250R bukanlah sesuatu yang baru di kebanyakan negara luar.
“Negara jiran seperti Thailand, Jepun dan Indonesia sudah memperkenalkan kategori ini dan memberi kelebihan kepada mereka berbanding Sasi. “Namun berdasarkan kesungguhan dan prestasi tahun lalu, ia bukan satu masalah kepadanya.

“Kami yakin dia boleh bersaing menamatkan perlumbaan di kalangan lima pelumba terbaik dan jika berjaya menaiki podium, ia satu bonus kepada kami. Cuma dia perlu terus bekerja keras dan mempamerkan aksi konsisten.” Sementara itu Sasi berkata: “Saya sangat teruja untuk beraksi namun pada masa sama mula berasakan tekanannya kerana bakal bersaing dengan pelumba berbakat dari seluruh Asia.

“Tambahan pula saya masih kekurangan pengalaman menunggang jentera silinder tunggal seperti ini. “Namun begitu, dengan peluang untuk menguji jentera Moto3 menanti pelumba terbaik ADC tahun ini, saya tidak mahu melepaskan peluang ini.”

Monday, May 7, 2012

Kejayaan Zulfahmi Bawa Anjakan Baru Dalam Arena Permotoran Negara



Kejayaan pelumba Moto3 negara Zulfahmi Khairuddin menduduki tempat keempat pada Grand Prix Portugal di Estoril semalam membawa satu anjakan baru kepada arena permotoran negara, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Bercakap sebelum menjawab pertanyaan di Dewan Negara pada Isnin, beliau berkata kejayaan pelumba kelahiran Banting, Selangor itu menamatkan perlumbaan di tempat keempat daripada 12 pusingan dengan disaingi nama-nama besar dalam arena tersebut membuktikan Malaysia tidak ketandusan bakat untuk diketengahkan menjadi pelumba bertaraf antarabangsa.
Katanya kejayaan itu tentunya memberi makna yang cukup mendalam kepada Zulfahmi yang sebelum ini hanya bergelar 'mat rempit', manakala bagi kementerian, menamatkan perlumbaan di tempat keempat telah membawa Malaysia ke tahap lebih baik dalam arena sukan bermotor.
"Sebelum saya mengemukakan jawapan, saya ingin merakamkan tahniah kepada seorang pelumba motosikal negara, Zulfahmi Khairuddin yang semalam telah menamatkan perlumbaan tempat keempat di Litar Estoril, Portugal.
"Dalam kalangan pelumba seluruh dunia yang bertanding, beliau telah membawa nama Malaysia ke tahap terbaik dalam arena motosport, khususnya dalam kategori motosikal," katanya sebelum menjawab pertanyaan Senator Rohani Abdullah di Dewan Negara di sini.
Ahmad Shabery berkata Zulfahmi adalah seorang anak muda yang dulunya merupakan seorang 'mat rempit' yang telah diberi kesempatan untuk membina kemampuannya dengan diberi tajaan tertentu yang akhirnya telah meletakkan beliau diiktiraf sebegai seorang daripada pelumba terbaik dalam arena itu ketika ini.
"Usaha kementerian dalam memajukan sukan bermotor tidak terhenti setakat itu sahaja di mana ketika ini terdapat 10 anak muda berusia antara 18 hingga 20 tahun sedang dilatih dan dikembangkan bakat mereka untuk diketengahkan menjadi pelumba bertaraf dunia," katanya.
Walaupun cita-cita untuk menjadi pelumba pertama Malaysia menaiki podium pada perlumbaan motosikal dunia tidak kesampaian, kedudukan tempat keempat itu merupakan posisi paling cemerlang dalam karier Zulfahmi selepas beraksi pada tahun ketiga dalam saingan Moto3 bersama pasukan AirAsia-Sic-Ajo.
Pada perlumbaan itu, Zulfahmi memulakan perlumbaan dari petak kelima, namun pada pusingan kedua dia menduduki tempat keenam sebelum kembali merampas kedudukan tersebut dan melonjak ke tempat keempat pada pusingan kesembilan.
Pada pusingan ke-11 dia berjaya memintas Salom untuk menduduki tempat ketiga namun ketika berbaki satu pusingan lagi dia dipintas semula pelumba Sepanyol itu.
Berhubung pertanyaan Rohani adakah kerajaan bercadang menyediakan kemudahan litar 'motocross' di setiap daerah bagi mengelakkan kegiatan mat rempit, Ahmad Shabery berkata buat masa ini kementerian tidak mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.
"Tetapi kementerian sentiasa bekerjasama dengan banyak pihak termasuk swasta dan NGO bagi mengadakan program yang disebut sebagai win-win situation yang menggunakan litar-litar motocross sedia ada termasuk litar di Bandar Puncak Alam, Selangor; Kuala Ketil, Kedah; Sungai Panching, Pahang dan di Juru, Pulau Pinang," katanya. 

Wednesday, May 2, 2012

ELLY RAIH KEMENANGAN PERTAMA DI HALAMAN SENDIRI


Beraksi di halaman sendiri memberi kelebihan buat Elly Idzlianizar Ilias untuk meraih kemenangan pertamanya musim ini dalam kategori CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang berlangsung di litar Stadium Utama Kangar, Perlis, hari ini.


Selain kemenangan peribadi pertama musim ini, Elly turut menghadiahkan gelaran juara pertama buat pasukannya, Suzuki Fortyone Racing dalam kancah saingan kategori perdana.

Elly menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan catatan masa keseluruhan 11 minit 31.487s mengatasi dua pelumba Faito Motobert Racing, Ahmad Fazrul Sham dan Ahmad Fuad Baharudin. Fazrul menamatkan perlumbaan di tangga kedua dengan masa 11:34.583s manakala Fuad di kedudukan ketiga, 11:35.502s.

Bagi Elly, tidak ada apa yang lebih manis baginya selain daripada berjaya menghadiahkan kemenangan ini kepada seluruh pasukan dan juga ahli keluarga serta peminat-peminat yang hadir memberikan sokongan. "Beraksi di halaman sendiri membakar semangat dan menambahkan keyakinan kepada saya. Tambahan pula saya tidak mahu mengecewakan sokongan dan harapan daripada mereka semua. Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seluruh ahli pasukan yang sentiasa bekerja keras untuk mendapatkan pelarasan jentera terbaik sejak saingan pusingan pertama lagi," jelas Elly yang menunggang jentera Suzuki buat musim pertama sepanjang penglibatannya dengan kejuaraan ini.

Mengulas tentang perlumbaan, Elly berkata, "Keadaan litar licin akibat hujan memberi banyak kelebihan kepada saya memandangkan saya memang cukup gemar beraksi di atas litar yang basah. Jika di ukur dari segi prestasi jentera, sebenarnya keadaan kami semuanya hampir sama sahaja jadi saya menggunakan kelebihan litar basah ini untuk mengatasi pelumba-pelumba lain terutama sewaktu memintas Fazrul pada pusingan keempat," jelas Elly.  

Kemenangan Elly bagaimanapun tidak menggugat kedudukan Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) dalam senarai keseluruhan sekali pun juara Pusingan 2 di Kuala Terengganu itu sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan. Azlan kekal teratas dengan mengumpul 54 mata diikuti Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) kedua dengan 66 mata. Fuad yang mempamerkan prestasi konsisten dengan berada di kelompok lima pelumba terbaik pada setiap perlumbaan musim ini berada di tangga ketiga, 38 mata.

Kejayaan dua pelumba Faito Motobert Racing menaiki podium pada hari ini membantu melonjakkan kedudukan mereka ke tangga pertama dalam senarai Anugerah Berpasukan keseluruhan dengan mengumpul 71 mata diikuti Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing (Azlan/Mohd Fitri Ashraf Razali) di kedudukan kedua dengan 66 mata. Mengekori di tangga ketiga pasukan Pachie Yuzy Honda Racing (Zaqhwan/Wan Mohd Hadri Wan Mokhtar), 52 mata.

AMIRUL CATAT KEMENANGAN SULUNG



Kategori CP115 menyaksikan Mohd Amirul Ariff Musa akhirnya meraih kemenangan pertama dalam karier perlumbaannya sejak mula beraksi dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS pada tahun 2008.

Pelumba Pachie Yuzy Honda Racing itu menamatkan perlumbaan 12 pusingan dengan masa keseluruhan 9:39.338s meninggalkan Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui) di kedudukan kedua, 9:41.741s diikuti Mohd Emir Firdaus Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing) ketiga, 9:43.126s.

Mengakui begitu gembira dengan kemenangannya, Amirul berkata, "Saya sangat-sangat berterima kasih kepada seluruh pasukan terutama pengurus, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang banyak membimbing saya selama ini sehingga akhirnya berjaya meraih gelaran juara yang pertama di sini. Begitu juga dengan sokongan ibu bapa yang terus memberikan dorongan terhadap karier perlumbaan saya," jelas pelumba 21 tahun itu.

Kemenangan ini meletakkan Amirul naik ke kedudukan ketiga keseluruhan dengan 36 mata. Mohd Iskandar Raduan (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan kekal mendahului senarai dengan memungut 53 mata manakala Ahmad di tangga kedua dengan 46 mata.

PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM (Iskandar/ Shahril Izzuwan Mohd Noor) terus mendahului kedudukan Anugerah Berpasukan Keseluruhan dengan mengumpul 87 mata diikuti M-Seki Liberty Honda Racing (Emir/Sasitharen Sukumaran) di tangga kedua, 53 mata dan Pachie Yuzy Honda Racing (Amirul/Mohd Rozaliman Zakaria) ketiga, 48 mata.

PERSENDIRIAN MILIK KHAIRUL AZIZI DI KANGAR

'Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,' itulah kata pepatah yang menjadi senjata utama juara kategori Persendirian pusingan ketiga yang berlangsung di Stadium Utama Kangar, hari ini.

Meski diasak kuat oleh pencabar utamanya, Hilmi Affan Abd Malik, Khairul Azizi Abd Mansor bijak menjarakkan jenteranya sejauh mungkin bukan sahaja dari Hilmi bahkan hampir kesemua pesaingnya sejak pusingan pertama sehingga ke garisan penamat dengan catatan masa keseluruhan, 7:48.048s. Hilmi walaubagaimanapun, terpaksa akur dengan masa 7:57.476s yang dicatatnya yang meletakkannya di belakang Mohd Imran Zulkafli, 7:50.000s selaku naib juara perlumbaan.
"Selepas menempuhi pelbagai kesukaran sebelum ini, saya sangat-sangat berpuas hati dengan kemenangan hari ini. Ini merupakan  podium ketiga dan kemenangan kedua buat saya, justeru misi saya seterusnya adalah untuk mempertahan kejuaraan."

Ketika ditanya tentang kelebihan yang dimilikinya berbanding pelumba lain, Khairil menjawab, "Sebenarnya tiada sebarang kelebihan,saya hanya memastikan setiap kali perlumbaan jentera berada dalam keadaan sempurna dan paling penting saya perlu memperkasakan kekuatan fizikal dan mental untuk memburu kelompok ketiga terbaik."
Khairul kini mendahului kedudukan keseluruhan kategori Persendirian dengan 66 mata diikuti Hilmi Affan Abd Malik, 43 dan Izuaf Sirun ketiga, sebanyak 36 mata.