jokisenja header

jokisenja header


Tuesday, November 16, 2010

LITAR SEPANG SELATAN DIBUKA UNTUK SESI UJIAN

Ketika cabaran 2010 menghampiri penutup, promoter Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) menyediakan sesi ujian dengan bayaran paling minima di Litar Antarabangsa Sepang selaku gelanggang bagi sirkit kedua terakhir buat pasukan dan pelumba musim ini.
 
Sesi ujian di trek Sepang Selatan akan mula dibuka pada 18 November iaitu Khamis depan dengan dua sesi iaitu satu di sebelah pagi bermula jam 10 pagi hingga 1 tengahari manakala sesi kedua bermula pada jam 2 petang hingga 5 petang. Pelumba yang berminat, perlu membayar sebanyak RM100 bagi satu sesi yang melibatkan tiga jam.

Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg mengulas bahawa dengan adanya sesi ujian tersebut, pasukan dan pelumba boleh membuat persediaan yang mencukupi sebelum mengharungi cabaran Pusingan 9 bermula pada 20 hingga 21 November depan.  

"Buat masa ini, kami menyediakan dua sesi ujian berbanding pada Pusingan 4 di Trek Sepang Utara sebelum ini di mana kami memperuntukkan hanya satu sesi untuk semua pasukan ketika itu. Dengan dua sesi yang disediakan, satu disebelah pagi dan satu lagi di sebelah petang memberi peluang kepada pasukan dan pelumba untuk memperbaiki dan menyelaraskan jentera mereka bersesuaian dengan cuaca berbeza.

Selain itu, perubahan destinasi perlumbaan dari trek biasa yang pendek dan teknikal ke litar sebenar seperti Sepang memberi perbezaan yang cukup ketara tambahan beraksi di trek sepanjang 2.609 meter yang menuntut ketahanan jentera," ujarnya.

Ron turut menjelaskan bahawa betapa pentingnya bagi sesi ujian ini dan berkata, "Dengan tirai menghampiri hujung musim, segala sesi ujian cukup penting bagi memastikan pasukan dan pelumba mendapat kelebihan bagi terus menghidupkan peluang menakluki kejuaraan Wira, CP115 mahupun gelaran CP130. Menambahkan lagi persaingan kali ini, kedudukan mata dikalangan pelumba yang memburu gelaran musim ini tidak banyak berbeza. Untuk itu, peminat sukan Cub Prix pasti akan menyaksikan satu persaingan hebat dari tiga kategori yang dimaksudkan ini," jelas Ron.

Dalam kategori perdana, CP130, Ahmad Fazli Sham (Shell Advance Yamaha Maju Motor) masih mendominasikan kedudukan keseluruhan dengan 136 mata. Bagaimanapun, kedudukannya sedikit terancam apabila pelumba muda, Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline) hanya ketinggalan lapan mata dibelakangnya dengan mengumpul 128 mata diikuti Norizman Ismail dari Harian Metro SCK Honda Racing) dengan 121 mata.

Sementara itu, pelumba muda berusia 14 tahun, Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha AHM Racing dianggap selesa untuk menerajui kategori CP115 dengan mengumpul 146 mata diikuti dua pelumba Motul Yamaha YY Pang, Mohd Rozaiman Mohd Said dan Mohd Adli Salihin yang masing-masing mengumpul 115 mata dan 108 mata untuk tempat kedua dan ketiga.

Bagi kelas Wira, Mohd Adib Rosley dari Motul Yamaha YY Pang mendahului pelumba lain dengan 141 mata diikuti rakan sepasukannya, Mohd Azhar Abd Jalil 133 mata dan Mohd Syawalludin Mohd Zaki (FortyOne Racing) di tempat ketiga dengan 105 mata.

No comments:

Post a Comment