jokisenja header

jokisenja header


Sunday, January 22, 2012

PERSENDIRIAN: ULASAN MUSIM 2011




Saingan kategori Persendirian Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS pada musim 2011 ini tidak kurang hebatnya. Selepas mula diperkenalkan pada 2009, kategori ini semakin berkembang dan begitu diminati oleh peminat-peminat perlumbaan motosikal apabila jumlah penyertaannya semakin bertambah terutama di kalangan pelumba utara tanah air. Kita lihat kembali apa yang berlaku sepanjang musim 2011.

Pemburuan mahkota Persendirian hanya tertumpu kepada Wazir Abdul Razak yang telah membuktikan kehandalannya apabila memenangi sembilan daripada 10 pusingan dalam kalendar perlumbaan 2011. Pelumba 27 tahun itu memulakan kempen musim ini dengan memenangi perlumbaan pembukaan di Kangar diikuti dengan empat kemenangan berturut-turut selepas itu di Batu Kawan (Pusingan 2), Terengganu (Pusingan 3), Putrajaya (Pusingan 4) dan Teluk Intan (Pusingan 5).

Percubaannya untuk mencatat hatrik berganda tidak kesampaian apabila dia sekadar menamatkan perlumbaan Pusingan 6 (Alor Setar) di tangga ke-12. Namun kekecewaan itu tidak menggugat prestasinya apabila dia menebus kembali dengan kemenangan di Kluang (Pusingan 7) dan Melaka (Pusingan 8) yang turut menyaksikan dia dinobatkan sebagai juara keseluruhan Persendirian selepas itu. Dengan gelaran juara sudah pun berada di dalam genggamannya, ia tidak menjejaskan tumpuan Wazir untuk terus meraih kemenangan apabila dia memenangi perlumbaan Pusingan 9 (Litar Sepang) dan perlumbaan terakhir 2011 di Penang Esplanade dan menamatkan saingan dengan mengumpul 229 mata.

Walaupun begitu, ia bukan kemenangan mudah apabila Wazir tetap dicabar oleh pelumba-pelumba lain terutama Mohd Fhahmin Abdul Mutalib yang sentiasa mengekori dibelakangnya. Mula menyertai kategori Persendirian pada tahun 2009, diikuti pada tahun 2010, prestasi Fhahmin semakin meningkat apabila meraih tiga kedudukan di tempat kedua ketika di Kangar, Batu Kawan dan Teluk Intan sebelum dia menyekat penguasaan Wazir di Alor Setar dengan meraih gelaran juara.

Nasib Fhahmin pada perlumbaan terakhir sebelum beralih ke kategori CP115 bersama pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline tidak begitu baik apabila dia gagal untuk menamatkan perlumbaan (DNF) namun walaupun tidak beraksi pada tiga pusingan terakhir, ia sudah cukup untuk meletakkan Fhahmin di tangga kedua keseluruhan musim ini.

Seorang lagi pelumba yang menunjukkan peningkatan ketara pada musim ini ialah Ang Beng Seang. Permulaan musim bagi pelumba tunggal berbangsa Cina dalam Kejuaraan ini tidak begitu baik apabila dia seringkali gagal menamatkan perlumbaan (DNF) ataupun gagal mara ke pusingan akhir (DNQ). Namun begitu, dia menunjukkan peningkatan prestasi secara mendadak bermula pada Pusingan 6 sehingga ke penghujung musim.  Dia menamatkan perlumbaan pusingan keenam di tangga kempat dan selepas itu dia berjaya menjejakkan kaki di atas podium di tempat ketiga empat kali berturut-turut sekali gus membantunya melonjak ke tangga ketiga dalam senarai keseluruhan dengan 100 mata.

Tuesday, January 17, 2012

Tiga perlumbaan kategori satu pengeluar dalam Cub Prix

Honda meneruskan pencarian bakat-bakat baru menerusi kategori satu pengeluar
Dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai pelumba muda, penganjur Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dengan kerjasama pengeluar motosikal, Hong Leong Yamaha Sdn Bhd, Boon Siew Honda Sdn Bhd dan Suzuki Assemblers Sdn Bhd akan memperkenalkan tiga kategori satu pengeluar bagi musim 2012.
Perlumbaan satu pengeluar ini akan dikenali sebagai Siri Super Yamaha 135, Cabaran Honda Wave Junior dan perlumbaan Satu Pengeluar Suzuki Belang R yang akan bertindak sebagai landasan melahirkan dan membentuk bakat-bakat baru dunia perlumbaan motosikal.
Dengan 20 tempat yang tersedia dalam setiap kategori, ketiga-tiga perlumbaan ini akan memulakan saingan serentak dengan pusingan pertama di Stadium Batu Kawan pada Mac 31 dan April 1 dan berlangsung sebanyak 10 pusingan berturut-turut. Ini  membolehkan setiap pelumba dapat menerima pendedahan dan menyesuaikan diri dengan suasana perlumbaan yang begitu kompetitif.
Kesemua kategori ini terbuka kepada pelumba Malaysia yang berusia di bawah 20 tahun sahaja dan tidak pernah beraksi dalam Kejuaraan Cub Prix. Selain itu, mereka juga perlu memenuhi syarat lain yang ditetapkan iaitu mempunyai ketinggian minimum 145 sentimeter dan berat badan maksimum 50 kilogram. Setiap pelumba yang terpilih akan diberikan latihan oleh pengeluar jentera mengikut kategori satu pengeluar masing-masing.
Pengarah Promosi, Safe Aim Mutual (SAM) Sdn Bhd, Ron Hogg memberi pujiannya terhadap sokongan padu pengeluar-pengeluar terhadap Kejuaraan ini dan menjelaskan kerjasama itu selari dengan objektif Cub Prix itu sendiri.
“Musim 2012 menandakan satu lagi pencapaian penting kepada Cub Prix apabila ketiga-tiga pengeluar, Yamaha, Honda, dan Suzuki tampil bersama-sama dengan kategori satu pengeluar masing-masing. Sebagai wakil Kejuaraan ini, usaha ini memang wajar diberikan pujian. Apa yang boleh saya katakan, program ini dapat digunakan oleh pengeluar-pengeluar untuk membangunkan industri perlumbaan motosikal selain menjadi platform untuk memperkenalkan dan memasarkan jentera yang dikeluarkan. Kami di pihak SAM pula akan mencuba sedaya upaya untuk memastikan semua pihak memperoleh kejayaan bersama di mana pelumba-pelumba baru ini turut berpeluang mengembangkan bakat mereka melalui perlumbaan ini.”
Ron menyarankan agar mereka yang berminat tidak melepaskan peluang ini kerana ia merupakan langkah terbaik bagi mereka untuk mendalami asas-asas perlumbaan. “Saya mengesyorkan agar remaja-remaja yang berminat membuat pendaftaran segera sebelum tarikh pendaftaran ditutup. Ini merupakan langkah terbaik untuk memulakan karier perlumbaan memandangkan semua kelengkapan selain latihan diberikan sekaligus mengurangkan beban mereka. Tambahan pula, dengan tahap kemahiran yang hampir sama, ini merupakan pentas terbaik untuk peserta-peserta mempelajari asas-asas perlumbaan sebelum beralih ke kategori terbuka yang pastinya lebih mencabar.
Antara pelumba-pelumba yang mencipta nama pada hari ini selepas memulakan aksi dengan perlumbaan satu pengeluar termasuklah Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) yang memenangi kategori CP130 ketika baru berusia 16 tahun pada 2010 dan Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang memenangi kategori CP115 pada tahun yang sama ketika berusia 15 tahun.
Bagi mereka yang berminat menyertai perlumbaan satu pengeluar boleh menghubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd di talian 03-8733 8787 untuk pendaftaran. Tarikh akhir pendaftaran pada 31 Januari 2012 (Selasa) dan untuk tujuan pemilihan, peserta-peserta akan dihubungi oleh pihak pengurusan setiap kategori satu pengeluar.

Tuesday, January 10, 2012

SAM UMUM JADUAL PERLUMBAAN 2012



Masih segar dengan persaingan sengit yang menyaksikan kehadiran juara-juara baru pada musim 2011, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan kembali menemui peminat apabila Promoter Kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) mengumumkan jadual perlumbaan sementara bagi musim 2012, hari ini.

Memasuki musim ke-19, pihak penganjur mengekalkan format 10 pusingan yang akan berlangsung di seluruh Semenanjung Malaysia yang pasti membawa pelbagai cabaran buat pasukan dan pelumba. Dalam pada itu, musim 2012 turut akan menjadi tahun yang cukup sibuk buat kontinjen Cub Prix memandangkan tarikh enam pusingan awal amat rapat sekali.

Tahun ini, Batu Kawan dijadualkan akan menjadi hos kepada pusingan pembukaan bagi perlumbaan motosikal terbesar negara pada 30 Mac dan 1 April diikuti Kuala Terengganu (13 dan 14 April), Kangar (28 dan 29 April), Putrajaya (26 dan 27 Mei), Teluk Intan (9 dan 10 Jun) dan Melaka (30 Jun dan 1 Julai).

Selepas Melaka, Cub Prix akan berhenti rehat selama 11 minggu sepanjang bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri sebelum kembali menemui peminat di Kluang, Johor (22 dan 23 September). Walau bagaimanapun lokasi Pusingan 8 masih belum ditetapkan namun dijadualkan akan berlangsung pada 6 dan 7 Oktober diikuti Pusingan 9 di Litar Antarabangsa Sepang (10 dan 11 November) dan pusingan terakhir di lokasi bersejarah, Padang Kota Lama, Pulau Pinang (1 dan 2 Disember).

Mengimbau kepada saingan hebat musim lalu, Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg memberi jaminan musim 2012 pasti lebih rancak dengan kehadiran lebih banyak pasukan dan pelumba di dalam semua kategori yang dipertandingkan. "Perlumbaan musim lepas dipenuhi dengan pelbagai kejutan. Saingan di antara pelumba dan pasukan cukup kompeitif terutama dalam kategori CP130 di mana kita telah lihat beberapa pemenang berbeza pada setiap pusingan," katanya.

Ron turut menambah, "Berdasarkan itu, sudah pasti saingan musim 2012 ini lebih sengit bukan hanya dalam kategori Perdana, malah begitu juga buat kategori CP115, Wira, Cabaran Honda Wave Junior, Piala Yamaha Ego LC PETRONAS dan Persendirian. Jadual perlumbaan yang padat pada separuh musim pertama turut akan menyemarakkan lagi persaingan di antara pasukan dan pelumba. Ini kerana pasukan-pasukan memerlukan perancangan dan strategi yang rapi jika mereka mahu mendapatkan permulaan yang baik bagi menamatkan kempen mereka dengan kejayaan." jelas Ron.

Kalendar Perlumbaan Sementara Cub Prix 2012
Pusingan 1 - Batu Kawan (Mac31 hingga April 1)
Pusingan 2 - Kuala Terengganu (April 13  hingga  14)
Pusingan 3 - Kangar (April 28  hingga  29)
Pusingan 4 - Putrajaya (Mei 26  hingga  27)
Pusingan 5 - Teluk Intan (Jun 9  hingga  10)
Pusingan 6 - Melaka (Jun 30  hingga  Julai 1)
Pusingan 7 - Kluang (September 22  hingga   23) 
Pusingan 8 - TBC (Oktober 6  hingga  7)
Pusingan 9 - Litar Sepang (November 10  hingga  11)
Pusingan 10 - Padang Kota (Disember 1  hingga  2)