jokisenja header

jokisenja header

Sunday, November 14, 2010

Farah idam mata


WALAUPUN tidak menduduki kelompok teratas senarai pelumba, Farah Melina Ismadi tetap mahu mengutip mata pada pusingan penentu Kejohanan Cub Prix PETRONAS AAM Malaysia yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) pada 20 dan 21 November ini.
Pelumba berusia 16 tahun itu yang berlumba dengan jentera Honda icon Challenge pernah terlepas dua pusingan di Melaka (Pusingan 7) dan Pekan (Pusingan 8) akibat patah tangan - insiden yang berlaku di Litar Elite, Subang Jaya, Ogos lalu. 
Kegagalan untuk menyertai dua pusingan itu menyebabkan Farah yang sebelum ini menduduki tangga kedua keseluruhan, jatuh ke tangga kelima dengan mengumpul 86 mata manakala Md Hafizzudin Azhar meneruskan penguasaan dengan 132 mata diikuti Has Fauzan Hassan dan Fakhrusy Syakirin Rostam dengan 108 dan 99.

Walaupun jelas kecewa situasi itu, Farah terus bersikap optimis dan percaya dia masih belum terlambat untuk memperbaiki kesilapan sebelum musim ini berakhir.

“Sudah dua bulan sejak tangan saya patah dan saya juga melalui beberapa pembedahan. Saya perlu berterima kasih kepada doktor kerana saya tangan saya sudah semakin sembuh dan sudah bersedia untuk berlumba hujung minggu depan,” kata Farah yang menamatkan saingan di podium empat kali tahun ini.

Dia berkata: “Walaupun tidak sabar berlumba di Sepang, saya tidak berani meletakkan sasaran terlalu tinggi kerana secara teknikalnya, saya masih lagi dalam proses penyembuhan dan tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada tangan saya. Itu bukan satu tindakan bijak.

“Bagaimanapun, masih ada masa untuk saya mendaki kedudukan senarai pelumba jika saya kumpul sebanyak mungkin mata dalam dua pusingan selepas ini.

“Memang sudah terlewat untuk mengejar kedudukan Hafizzuddin kerana pada ketika ini dia memiliki kelebihan 46 mata tetapi saya percaya salah satu daripada lima tempat teratas tidak mustahil buat saya.”

Ketika ditanya mengenai perancangannya di dalam Kejohanan Cub Prix musim depan, Farah berkata: “Jika boleh, saya mahu mencuba kelas yang lebih tinggi dan memburu lebih banyak cabaran tetapi masih terlalu awal untuk saya memikirkan perkara itu.”

Peminat sukan permotoran yang mahu menyaksikan perlumbaan, tiket boleh didapati di Maju Motor, Shah Alam (03-55108036), Ah Hong Motor, Kuala Lumpur (03-40417576), YY Pang Racing Motor, Shah Alam (03-51215821), Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Kajang (03-87348787), Raceline Motorcycle, Petaling Jaya (03-77852400, 77859500), SCK Motor, Shah Alam (03-55112594), Shahrol Yuzy Motor, Puchong (03-8318 6062), Liberty Motor, Puchong (03-80702227) dan Artree Motor, Petaling Jaya (012-6719522).

Setiap pembelian tiket bakal menerima baucer Petronas bernilai RM10, buku program Cub Prix dan 1,000 penonton terawal pula akan menerima topi kejuaraan daripada penganjur.

No comments:

Post a Comment