jokisenja header

jokisenja header


Tuesday, March 8, 2011

JADUAL CUB PRIX 2011 BERUBAH

Kangar Ambil Alih Selaku Venue Pembuka Tirai 



ATAS sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang sepatutnya berlangsung di Alor Setar pada 11 dan 12 Mac ini terpaksa ditangguh ke tarikh lain.

Pengarah Promosi penganjur kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), Ron Hogg menjelaskan Alor Setar yang diberi penghormatan selaku gelanggang pembuka tirai sejak dua musim lalu terpaksa ditangguh memandangkan kerajaan negeri akan menganjur beberapa acara pada hujung minggu tersebut.

"Kerajaan negeri memohon kami menangguhkan perlumbaan di Alor Setar bagi memberi ruang kepada aktiviti lain yang turut berlangsung di situ. Penangguhan ini mungkin mengecewakan peminat di Alor Setar memandangkan peminat Cub Prix cukup ramai di sana," ujar Ron.

Perubahan tersebut sekaligus meletakkan Kangar selaku gelanggang pembuka tirai bagi musim 2011 yang bermula pada 26 hingga 27 Mac diikuti Kuala Terengganu, Terengganu (15 hingga 16 April) dan Pusingan 3 bakal berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang (14 hingga 15 Mei) depan.

Lokasi bagi Pusingan ke-4 masih belum ditentukan tetapi Pusingan ke-5 akan berlangsung di Teluk Intan, Perak (24 hingga 25 Jun). 

Sementara itu, peminat di Alor Setar tidak akan terlepas perluang menyaksikan kehebatan pelumba Cub Prix apabila bandar itu akan menjadi hos Pusingan ke-6 (22 hingga 23 Julai) diikuti Kluang, Johor selaku medan Pusingan ke-7 (24 hingga 25 September). 

Kontinjen Cub Prix kemudian akan bergerak ke Melaka untuk cabaran Pusingan ke-8 ( 29 hingga 30 Oktober) manakala Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menganjurkan Pusingan 9 (12 hingga 13 November) sebelum kembali ke utara tanahair ke lokasi bersejarah Padang Kota Lama, Pulau Pinang untuk pusingan penutup tirai (3 dan 4 Disember).

Ketika mengulas mengenai perubahan besar kalendar perlumbaan musim ini, Ron menjelaskan, "Merombak kembali venue-venue perlumbaan bukanlah satu tugas mudah namun kami berjaya menyelesaikan segala kekusutan itu. Perubahan ini dilakukan berdasarkan kepentingan kontinjen dalam masa yang sama kami juga menerima beberapa jemputan baru untuk menganjurkan perlumbaan. Aspek-aspek ini perlu dipertimbangkan sebelum kami membuat keputusan.

"Bagaimanapun, rombakan kalendar perlumbaan ini tidak menjejaskan tarikan dan cabaran yang menanti musim baru 2011. Selain itu, kami turut menerima maklum balas positif di atas perubahan lokasi dan jadual perlumbaan kerana kelebihan dua minggu ini memberikan lebih banyak masa kepada pasukan-pasukan bersiap-sedia dengan lebih rapi."

Dengan pengesahan kalendar musim ini, SAM turut membuka pendaftaran bagi pelumba persendirian yang berminat menyertai perlumbaan musim ini. Untuk setiap kategori yang dipertandingkan, mereka yang mendaftar awal dari 4 hingga 21 Mac ini akan menerima potongan harga sebanyak RM50 dari yuran pendaftaran asal. 

Yuran pelumba persendirian bagi setiap kategori seperti CP130 dikenakan sebanyak RM350, CP115 (RM300), Wira (RM150) manakala Kelas Persendirian sebanyak RM100. Pendaftaran yang diterima selepas tarikh akhir tersebut akan dikenakan bayaran penuh (CP130 - RM400, CP115 - RM350, Wira - RM200 dan Privateer RM150).

*Kalendar Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 

Pusingan 1    Kangar, Perlis                                      26 - 27 Mac
Pusingan 2    Kuala Terengganu, Terengganu       15 - 16 April
Pusingan 3    Batu Kawan, Pulau Pinang                14 - 15 Mei
Pusingan 4    Akan diberitahu kelak                         28 - 29 Mei/ 4 - 5 Jun
Pusingan 5    Teluk Intan, Perak                                24 - 25 Jun
Pusingan 6    Alor Setar, Kedah                                22 - 23 Julai
Pusingan 7    Kluang,Johor                                        24 - 25 September
Pusingan 8    Melaka                                                  29 - 30 Oktober
Pusingan 9    Litar Antarabangsa Sepang              12 - 13 November
Pusingan 10  Padang Kota Lama, Pulau Pinang   3 - 4 Disember

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd di talian 03-8733 8787

No comments:

Post a Comment