jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, June 29, 2011

PEREBUTAN TAKHTA KEJUARAAN MASIH TERBUKA


Selepas lima pusingan, persaingan dalam kategori CP130, CP115 dan Wira Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 bertambah sengit dan perebutan takhta dikalangan pelumba-pelumba masih terbuka.

Lima pusingan sebelum ini berlangsung dengan jayanya iaitu di Kangar (Pusingan 1), Batu Kawan (Pusingan 2), Terengganu (Pusingan 3), Putrajaya (Pusingan 4) dan terbaru Pusingan 5 di Teluk Intan sebelum berhenti rehat selama tiga minggu dan akan bersambung pada Pusingan 6 di Alor Setar, 22 dan 23 Julai depan.

Perlumbaan minggu lepas menyaksikan persaingan dalam kategori utama begitu sengit dan semakin mencabar. Kehadiran semula juara bertahan, Hafizh Syahrin Abdullah dan Mohd Ramdan Mohd Rosli yang baru pulih daripada kecederaan kaki turut menjadikan persaingan kategori CP130 semakin menarik.

Ketika di Teluk Intan, kedua-dua pelumba muda ini bersaing sengit dengan dua pelumba berpengalaman, Norizman Ismail dan Mohd Zamri Baba. Namun pada aksi perlumbaan akhir, nasib tidak menyebelahi Hafizh manakala Norizman pula menggunakan segala pengalaman yang ada untuk menyekat Hafizh daripada mendahului perlumbaan dengan mudah.

Dengan itu, tahap persaingan pada CP130 semakin sengit sekaligus meningkatkan daya saingan dan skil pelumba malah turut menyaksikan persaingan sengit diantara dua pengeluar iaitu Yamaha dan Honda. Setakat ini Honda memenangi tiga daripada perlumbaan dan bakinya menjadi milik Yamaha manakala Norizman dari pasukan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing sedang mendahului kedudukan keseluruhan dengan 79 mata.

Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), Ron Hogg percaya persaingan sengit Kejuaraan ini tidak hanya melibatkan kategori CP130. Dia berkata, "Peluang dalam kategori CP115 juga masih terbuka dan saya pasti muka-muka berbeza mampu memenangi baki perlumbaan musim ini. Namun, siapa yang dapat mempamerkan prestasi konsisten mempunyai peluang cerah untuk membawa pulang gelaran musim ini."

Ron menambah, "Selain kategori CP115, dalam kelas Wira Bawah-17 pula, pelumba-pelumba pelapis seperti  Mohd Hafiza Rofa, Zulsyafiz Rosli dan Nurahmad Fariznazreen mempamerkan prestasi baik untuk mencabar juara bertahan, Mohd Adib Rosley. Apa yang boleh saya katakan adalah Cub Prix berada di landasan yang betul untuk melahirkan lebih ramai pelumba-pelumba berkebolehan memandangkan penyertaan yang diterima dalam kategori ini begitu ramai."

"Apa yang kami harapkan agar lebih ramai remaja akan turut mengambil bahagian dan semoga bakat-bakat muda akan terus dicungkil. Ketika ini seramai 170 pelumba akan menyertai perlumbaan pada setiap pusingan dan walaupun jumlahnya tidak begitu besar, namun kami berada pada landasan yang tepat untuk terus melahirkan pelumba-pelumba berbakat," jelas Ron yang kagum dengan 35,000 pengunjung yang hadir  di Teluk Intan.


Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

Dani Pedrosa pulih, bakal beraksi di GP Itali



Pelumba Sepanyol, Dani Pedrosa ketika beraksi pada sesi latihan bebas di litar Le Mans pada 13 Mei 2011.

Pelumba Sepanyol, Dani Pedrosa akan kembali beraksi dalam saingan Grand Prix Motosikal Dunia dan bakal membuat kemunculan pada perlumbaan Grand Prix Itali hujung minggu ini selepas pulih daripada kecederaan.
Pelumba pasukan Repsol Honda yang terpaksa berehat panjang selepas patah tulang bahu ketika beraksi di Le Mans bulan lalu, sebelum ini memerlukan beberapa siri pembedahan.
"Saya telah menunggu berminggu-minggu untuk menulis dalam blog bagi memberitahu saya akan kembali ke litar, dan hari ini akhirnya saya lakukan," kata Pedrosa, 25, di laman web pasukannya (www.repsol.com).
"Seperti yang saya katakan minggu lalu, litar Mugello adalah matlamat saya. Saya benar-benar tidak sabar untuk menaiki motosikal saya sekali lagi dan bersaing dalam perlumbaan itu." tambahnya.
Pedrosa yang meraih tempat kedua dalam saingan musim lalu terlepas tiga perlumbaan iaitu pada GP Barcelona, ​​GP British dan GP Dutch.
Kedudukannya jatuh di tangga keenam dengan memiliki 61 mata, selepas tujuh perlumbaan pada musim ini.
Rakan sepasukan Pedrosa, Casey Stoner mendahului saingan dengan 136 mata, 28 dihadapan Jorge Lorenzo.

Motosikal terbang pertama di dunia


CHRIS MALLOY menguji sebuah motosikal terbang yang diciptanya di Sydney, baru-baru ini.


SYDNEY - Seorang bekas juruterbang helikopter, Chris Malloy mencipta sebuah motosikal terbang yang pertama di dunia di dalam garaj miliknya di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Malloy, 32, mencipta motosikal seberat 270 kilogram itu dengan menggunakan bingkai udara carbon-fiber dan sebuah enjin kereta BMW.
Motosikal itu yang mengambil masa selama dua setengah tahun untuk dicipta boleh terbang pada ketinggian 3,048 meter dan mampu bergerak pada kelajuan 160.93 kilometer sejam.
Satu tangki minyak penuh akan membolehkan motosikal itu bergerak sejauh 148.05 kilometer selama 45 minit manakala ia mungkin dijual pada harga lebih AS$71,809 (RM218,981) sebuah.
Malloy enggan mendedahkan jumlah kos sebenar untuk menghasilkan motosikal itu tetapi dia menyatakan dia membelanjakan AS$223.51 (RM681.03) seminggu.
Dia berkata, prinsip asas motosikal itu ialah dia bergerak sama seperti sebuah helikopter Chinook dan sebuah motosikal biasa.
Setakat ini, tali diikat pada motosikal itu semasa ujian dilakukan bagi mengelak ia terbang terlalu tinggi.

Sunday, June 26, 2011

NORIZMAN RAIH KEMENANGAN KEDUA BERTURUT-TURUT


Norizman Ismail terpaksa menggunakan segala pengalaman miliknya sebelum meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam kategori CP130 pada Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang berakhir di Teluk Intan, Perak, hari ini.

Pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing itu muncul juara setelah menamatkan perlumbaan sebanyak 14 pusingan dengan masa keseluruhan 13 minit 33.186 saat dihadapan Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) dan rakan sepasukannya, Azlan Shah Kamaruzaman.

Ramdan yang tidak beraksi pada Pusingan 4 di Putrajaya pada 28 dan 29 Mei kerana masih belum pulih daripada kecederaan kaki menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan keseluruhan 13:35.854s.

Sementara itu, Azlan yang turut tidak beraksi di Putrajaya kerana melangsungkan perkahwinannya begitu bernasib baik apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan 13:42.589s setelah dua pelumba dihadapannya, Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) dan Mohd Zamri Baba (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) terjatuh akibat perlanggaran ketika sedang bersaing merebut kedudukan ketiga.

Menjelaskan tentang kemenangannya, Norizman berkata, "Sebenarnya, ketika sesi Superpole saya hanya menggunakan 80 peratus sahaja kemampuan yang ada bagi bertujuan untuk melihat siapa yang akan menjadi pencabar utama saya pada perlumbaan sebenar. Hafizh yang bermula di petak pertama merupakan antara pelumba yang perlu saya atasi berdasarkan penguasaannya sepanjang perlumbaan minggu ini. Namun, saya tidak bimbang mengenainya dan yakin dapat mengatasi Hafizh memandangkan saya telah mengkaji kekuatan dan kelemahannya di litar ini," kata pelumba 26 tahun itu.

"Pada asalnya saya sekadar mensasarkan untuk berada di tempat kedua ataupun di atas podium sahaja kerana sedar bukan perkara mudah untuk memintas Hafizh. Begitu juga dengan Ramdan. Kedua-dua pelumba muda ini beraksi dengan cukup pantas," jelas Norizman yang memulakan perlumbaan di petak kedua di belakang Hafizh manakala Ramdan di petak yang ketiga.

Jelas Norizman lagi, "Namun dengan pengalaman yang ada, saya berjaya mendahului Hafizh dan begitu juga dengan Ramdan. Walaupun Ramdan berjaya mendahului saya pada pusingan ketujuh, namun pada pusingan kesembilan saya berjaya memintasnya kembali dan terus mendahului kedudukan sehingga ke garisan penamat," kata Norizman yang mensasarkan untuk meraih gelaran hatrik pada pusingan akan datang.

Kemenangan hari ini terus mengukuhkan kedudukan Norizman sebagai pendahulu keseluruhan dengan 79 mata diikuti Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing) dengan 52 mata manakala seorang lagi rakan pasukan Norizman, Mohd Affendi Rosli di kedudukan ketiga dengan 47 mata.

Pasukan Harian Metro TEQ SCK Racing juga terus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan dengan 130 mata, 35 mata dihadapan Pennzoil Fastrac Racing di tangga kedua dengan 95 mata manakala PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM naik ke kedudukan ketiga daripada tangga kelima dengan 84 mata.


Sementara itu dalam kategori CP115 Ahmad Abdul Kadir berjaya meraih kemenangan pertamanya musim ini apabila menamatkan perlumbaan sebanyak 12 pusingan dengan masa keseluruhan 11.45.284s.

Pelumba APIDO Yamaha Boon Kui Racing itu menewaskan Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) dan Mohd Rozaliman Zakaria (ZAR Racing Motorsport) yang berada di tempat kedua dan ketiga. Shahril menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 11:47.712s manakala Rozaliman dengan 11:47.911s.

Ahmad menjelaskan, "Kemenangan yang diperolehi pada hari ini bukan suatu kemenangan yang mudah kerana Shahril dan Rozaliman memberikan saingan sengit pada sepanjang perlumbaan. Walaupun pada satu ketika saya berjaya menjarakkan diri daripada mereka, sedikit kesilapan yang dilakukan membolehkan mereka kembali mendekatkan diri namun mujurlah pada pusingan terakhir saya kembali berjaya menjarakkan diri daripada mereka dan seterusnya memperoleh kemenangan pertama pada musim ini," jelas Ahmad yang gagal menamatkan perlumbaan di Teluk Intan pada musim lepas.

Kemenangan tempat kedua meletakkan Shahril kembali menerajui kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 81 mata, lima mata mengatasi Zaidy Mohd Zaifaizal dari pasukan Motul Yamaha YY Pang yang tidak beraksi di perlumbaan akhir. Zaidy mengutip 76 mata dan Mohd Emir Firdaus Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing) ketiga dengan 54 mata.

Dalam senarai berpasukan keseluruhan, PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM turut kembali berada di kedudukan teratas dengan mengumpul 118 mata manakala pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing 2 jatuh ke tangga kedua dengan mengutip 97 mata. Motul Yamaha YY Pang 1 kekal di kedudukan ketiga dengan menambah 18 mata menjadikan 96 mata setakat ini.

Zulsyafiz Rosli berjaya meraih kejuaraan keduanya pada musim ini apabila mengungguli kategori Wira apabila menamatkan perlumbaan sebanyak 10 pusingan dengan catatan 9:59.966s.

Pelumba MOS Malaysia Racing itu sebelum ini meraih kejuaraan pertama pada Pusingan 2 di Batu Kawan menewaskan Mohd Khairul Adli Azhar dari pasukan Suzuki FortyOne Racing yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 10:00.078s. Tempat ketiga dimenangi juara keseluruhan musim 2010, Mohd Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing) dengan 10:02.195s.

Pelumba 17 tahun itu cukup berpuas hati dengan kemenangannya. Dia berkata, "Sebelum memulakan perlumbaan lagi saya memang meletakkan sasaran untuk menaiki podium dan bertambah gembira kerana berjaya muncul sebagai juara, " jelas Zulsyafiz yang berada di tangga teratas dalam senarai keseluruhan dengan 89 mata.

Mohd Hafiza Rofa (Faito YSP Racing) yang gagal beraksi di pusingan terakhir setelah terjatuh pada sesi kelayakan berada di tangga kedua dengan 75 mata manakala rakan sepasukan Adib, Nurahmad Fariznazreen di tangga ketiga dengan 59 mata.

Dalam saingan Cabaran Honda Wave Junior, Mohd Rabilfirli Azmin meraih gelaran ketiga musim ini apabila meraih kejayaan di sini dengan catatan masa keseluruhan 10:41.823s sekali gus terus mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan dengan 90 mata.

Mohd Fitri Mohd Sukor muncul pemenang tempat kedua dengan catatan keseluruhan 10:47.379s manakala Mohd Zulfakri Rosli ketiga dengan 10:48.259s.

Kedudukan podium ini turut mengukuhkan kedudukan Fitri di tangga kedua keseluruhan, ketinggalan lapan mata kepada Rabilfirli apabila mengumpul 87 mata setakat ini. Tempat ketiga menjadi milik Mohd Arif Abd Rahman dengan 66 mata.

Dalam kategori Piala Yamaha EgoLC PETRONAS, Mohd Nasri Mohd Ishak muncul juara apabila menamatkan perlumbaan sebanyak 10 pusingan itu dengan catatan 11:41.863s menewaskan Mohd Mu'izz Al-Atrash dan Mohd Shafiq Rasol di tempat kedua dan ketiga.

Mu'izz menamatkan perlumbaan dengan catatan 11:42.633s manakala Shafiq ketinggalan hampir lima saat di belakang Mu'izz dengan catatan 11:47.435s.

Walaupun sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima, Mohd Amirul rasol terus kekal sebagai pendahulu keseluruhan dengan 36 mata diikuti Nasri di tangga kedua dengan 33 mata manakala Shafiq di kedudukan ketiga dengan 32 mata.

Saingan kategori Persendirian menyaksikan kehebatan Wazir Abd Razak sukar ditandingi mana-mana pelumba apabila meraih kemenangan kelima berturut-turut setelah menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 10:29.323s.

Mohd Fhahmin Abd Mutalib di kedudukan kedua manakala Mohd Salimi Shaari ketiga. Kedua-dua pelumba menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 10:33.143 dan 10:35.773s.

Kemenangan itu menjadikan kedudukan mata keseluruhan Wazir jauh dihadapan pelumba-pelumba lain apabila memungut 125 mata setakat ini. Fhahmin di kedudukan kedua keseluruhan sekadar memungut 81 mata manakala Mohd Saaduddin Rosle ketiga dengan 47 mata.

HAFIZH PAMER KEBOLEHAN DI TELUK INTAN


Kemunculan semula Hafizh Syahrin Abdullah cemerlang apabila mencatatkan masa terpantas 56.685s ketika sesi ujian masa kategori CP130 di Teluk Intan, Perak gelanggang Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2011.

Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline itu melakukan catatan terpantasnya seawal pusingan ketiga dengan kelebihan 0.475s berbanding pesaing terdekatnya, Mohd Zamri Baba (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM Racing) yang mencatatkan 57.160s manakala tempat ketiga menjadi milik Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) dengan 57.217s. Sebelum itu Hafizh turut muncul terpantas pada sesi latihan bebas di sebelah pagi dengan 57.768s dan 56.808s.

Gembira dapat beraksi kembali di Cub Prix, Hafizh menjelaskan, "Saya sungguh gembira kerana dapat beraksi semula di Cub Prix. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan pasukan kerana memberikan saya peluang dan sokongan untuk kembali ke arena ini."

Dia kemudiannya menambah, "Saya memulakan aksi dengan sasaran untuk melakukan yang terbaik dan pasukan juga turut menyediakan jentera yang cukup mantap. Ini memudahkan tugas saya dan saya cukup berpuas hati dengan prestasi hari ini kerana ia lebih pantas berbanding tahun lepas."

Menjawab soalan tentang bagaimana dia mengekalkan prestasinya, Hafizh berkata, "Saya tidak pernah melupakan Cub Prix. Saya sentiasa menjalani latihan dengan jentera underbone. Tambahan pula, menunggang jentera 600cc memerlukan stamina yang tinggi dan saya sentiasa melakukan latihan untuk meningkatkan kecergasan dan ini turut membantu kepada prestasi saya hari ini. Selain itu, mekanik pasukan turut menyediakan pelarasan yang begitu baik," katanya.

Menceritakan tentang aksi Superpole pertamanya musiim ini, Hafizh tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya. "Saya pernah menyertai perlumbaan di Indonesia dan mempunyai pengalaman beraksi dalam Superpole tahun lepas. Ia begitu menyeronokkan dan mencabar jadi saya tidak sabar untuk beraksi di SuperPole esok. Namun begitu, mungkin sukar untuk mencatatkan masa yang lebih pantas jadi saya mahu beraksi sepertimana pada hari ini."

Selain Hafizh, Zamri dan Zaqhwan, turut layak beraksi di Superpole termasuklah Mohd Affendi Rosli (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing), Mohd Ramdan Mohd Rosli, Norizman Ismail, Elly Idzlianizar Ilias (Global Bike Rock Oil Racing), Azlan Shah Kamaruzaman, Ahmad Fazrul Sham dan Ahmad Fazli Sham dari Pennzoil Fastrac Racing.

Catatan terpantas kategori CP115 pula dilakukan oleh Mohd Hafieenaz Mohd Ali. Dia mencatatkan 58.137s pada pusingan ke-14 diikuti Ahmad Abdul Kadir (APIDO Yamaha Boon Kui) dengan 58.227s dan Mohd Rozaiman Mohd Said (Motul Yamaha YY Pang) ketiga, 58.401s.

Hafieenaz yang tidak menjangkakan mampu mencatat masa terpantas hari ini berkata, "Pada lap lap awal sesi ujian masa saya hanya melakukan catatan sekitar 58.800s pada setiap pusingan. Menyedari masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki disamping tidak mahu mengecewakan pasukan, penaja dan juga keluarga, saya cuba untuk mendapatkan masa yang lebih pantas pada pusingan akhir. Pada mulanya saya fikir tidak mampu untuk lebih pantas namun saya terkejut dengan catatan yang berjaya dilakukan. Saya bersyukur dan gembira," katanya.

Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM itu kemudiannya menambah faktor pelarasan jentera banyak membantunya mendapatkan masa yang baik. Pada masa yang sama, Hafieenaz  turut menekankan masa terpantas pada ujian masa bukan satu jaminan menjejakkan kaki di atas podium.

"Sebahagian daripada prestasi hari ini dibantu oleh keadaan jentera. Mekanik pasukan menyediakan pelarasan yang baik terhadap dan saya akan mengekalkannya untuk perlumbaan esok. Namun masih terlalu awal untuk membuat keputusan esok berdasarkan catatan hari ini. Ia menggambarkan kedudukan pelumba namun bukan menentukannya. Oleh itu, saya perlu bekerja lebih keras pada hari esok untuk terus menghidupkan peluang bagi mengejar gelaran keseluruhan."

Seperti Hafieenaz, Mohd Adib Rosley turut mencatat masa terpantas pada pusingan terakhir dalam kategori Wira. Juara bertahan itu mencatatkan 59.324s pada pusingan ke-14 diikuti Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) dengan 59.528s. Mohd Emir Fareez Hasan (Honda Promax X-Dot Racing) ketiga terpantas dengan 59.841s.

Berpuas hati dengan prestasinya, Adib berharap dapat memulakan perlumbaan esok di barisan hadapan untuk mengejar kedudukan podium. "Prestasi pada hari ini sangat baik. Saya menggunakan sepenuhnya masa yang ada untuk memahami litar dan cuba untuk mendapatkan masa terpantas sebelum sesi ujian masa berakhir. Semua berjalan sebagaimana yang diharapkan pasukan saya."

Tambahnya, "Walaupun begitu, saya rasa masih kurang pantas. Terutamanya di selekoh 3 dan juga selekoh U. Saya perlu mendapatkan laluan yang lebih baik besok dan cuba untuk berada di barisan hadapan dan juga di atas podium kerana saya mahu mempertahankan gelaran tahun lepas," kata pelumba Motul Yamaha YY Pang itu.

Dalam kategori Cabaran Honda Wave Junior, Mohd Zulfakri Rosli muncul pelumba terpantas dengan catatan 1:02.846s menewaskan Mohd Rabilfirli Azmin di kedudukan kedua dengan catatan 1:03.059s manakala Mohd Firdaus Zainol ketiga dengan 1:03.177s.

Mohd Shafiq Rasul pula muncul pelumba terpantas kategori Piala Yamaha EgoLC PETRONAS dengan catatan 1:09.526s, Mohd Mu'izz Al-Atrash kedua dengan catatan 1:09.999s dan Mohd Amirul Rasol ketiga (1:10.244s).

Kategori Persendirian pula menyaksikan Hudzzirshah Shahdan mencatatkan masa terpantas 1:02.019s diikuti Wazir Abdul Razak dengan 1:02.163s. Catatan ketiga terpantas dimilik Mazlan Jusoh dengan 1:02.059s.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

HAFIZH KEMBALI BERAKSI


Selepas tiga bulan mengundur diri, Hafizh Syahrin Abdullah mengambil keputusan untuk kembali beraksi di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 bermula Pusingan 5 di Teluk Intan, Perak minggu ini.


Hafizh yang mencipta nama sebagai pelumba termuda menjuarai kategori CP130 ketika berusia 16 tahun musim lepas berharap kepulangannya membawa harapan buat pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline untuk mengharungi baki saingan musim ini. Dia akan beraksi bersama Mohd Iskandar Raduan dan Ahmad Nashrul Baharudin dalam kategori CP130.

Sebelum ini, Hafizh sibuk membangunkan kariernya dalam kategori SuperSports 600cc dengan mengambil bahagian dalam Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC), Super Siri Malaysia (MSS) dan juga Kejuaraan Formula Ekstreme Australia di Australia.

"Memang betul saya akan kembali berlumba minggu ini. Saya begitu teruja memandangkan pada pusingan sebelum ini saya hanya memberi bantuan dan panduan kepada pelumba lain untuk memperbaiki teknik tunggangan mereka selain turut menjalankan tugas menguruskan pasukan. Saya tidak sabar untuk beraksi semula," kata pelumba kelahiran Ampang itu.

Bercakap mengenai peluang untuk mempertahankan gelaran miliknya, Hafizh berkata, "Susah untuk memperkatakannya memandangkan saya terlepas empat pusingan sebelum ini dan Norizman Ismail (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) kini sedang mendahului dengan 54 mata. Ia satu jurang yang agak besar namun peluang untuk mengejarnya tetap ada selagi saya dapat menamatkan perlumbaan di atas podium secara konsisten dan memenangi seberapa banyak pusingan yang mampu. Saya akan bekerja keras untuk melakukannya."

Sementara itu, pengurus pasukan, Barry Leong menjelaskan sebab kenapa Hafizh kembali beraksi di Cub Prix dengan berkata, "Melihat kepada jadual Hafizh pada separuh masa kedua musim 2011 ini, dia mempunyai banyak masa terluang. Daripada masa tersebut terbuang begitu sahaja lebih baik dia kembali beraksi di pentas Cub Prix. Walaupun tumpuannya lebih berarah kepada jentera 600cc, namun perlumbaan seperti ini tetap baik untuk pembangunan kariernya.  Selain itu, Hafizh juga begitu ingin kembali beraksi di Cub Prix."

Barry menambah tentang harapan dan sasarannya terhadap Hafizh, "Kami mahu dia berada di kelompok hadapan. Saya rasa ia tidak menjadi satu masalah memandangkan Hafizh masih menjalani latihan menggunakan jentera underbone.  

"Sasaran kami pula bergantung kepada prestasi pada setiap pusingan selepas ini. Sudah tentu kami mahu dia mengulangi kejayaan musim lepas namun Hafizh telah terlepas empat pusingan. Tambahan pula kami perlu berhati-hati dengan kemampuan pasukan-pasukan Honda kerana mereka telah menunjukkan peningkatan yang begitu ketara. Namun, saya tetap percaya Hafizh mampu untuk memberikan tentangan hebat kepada pelumba-pelumba lain," katanya.

Dengan Norizman muncul pendahulu kategori CP130, rakan pasukannya Mohd Affendi Rosli pula berada di kedudukan kedua dengan 48 mata diikuti Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing) ketiga dengan 46 mata.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

Friday, June 24, 2011

Cuma 1 sen untuk 1 kilometer

CTric Mengguna Pakai Model Modenas CT




PENGENALAN motosikal menggunakan sumber elektrik dikatakan bermula sejak tahun 1860-an. Ketika itu, sudah ada paten motosikal berasaskan sumber alternatif. Namun begitu, tiada rekod rasmi mengenainya.
Hanya pada tahun 1941, ada rekod mendakwa Earle Williams dari Amerika Syarikat (AS) melakukan pengubahsuaian sebuah motosikal dengan enjin konvensional menjadi motosikal elektrik.
Setahun selepas itu, firma Australia iaitu Socovel mengeluarkan kira-kira 400 unit motosikal elektrik buatan sendiri. Pendorong penciptaan motosikal hijau pada waktu itu dikaitkan dengan senario kenaikan harga minyak global.
Peugeot Motocycles menjadi syarikat pertama melaksanakan pengeluaran skuter elektrik berskala besar-besaran pada tahun 1996. Dikenali sebagai Scoot'elec, ia berjaya mencatat jualan sebanyak 3,500 unit sebelum pengeluarannya dihentikan pada tahun 2006. Model pengganti Scoot'elec dikatakan bakal dilancarkan pada tahun ini.
Tanggal 16 Jun lalu, landskap industri motosikal tempatan mengalami pembaharuan apabila Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) melancarkan model motosikal elektriknya, CTric.
Jentera beroda dua elektrik pertama negara itu berjaya memenuhi standard piawaian motosikal elektrik SIRIM iaitu MS2413. Harus tahu bahawa CTric diuji berdasarkan piawaian ujian Japan Industrial Standard (JIS).
MS2413 yang diperkenalkan pada 7 April lalu merupakan piawaian khusus untuk motosikal elektrik dan tidak membabitkan basikal elektrik. Terdapat tiga bahagian utama terkandung di dalamnya iaitu spesifikasi umum, keselamatan dan ujian prestasi.
Antara syarat yang perlu dipatuhi ialah CTric perlu memiliki prestasi sama dengan motosikal enjin pembakaran dalaman (combustion engine) dengan kelajuan melebihi 50 kilometer/sejam (km/j). Ia juga perlu berupaya menaiki cerun pada sudut 20 darjah.
.
Selain itu, harga motosikal elektrik perlu 2.5 sehingga tiga kali ganda harga motosikal berenjin biasa. Faktor itu, akan menyebabkan harga motosikal hijau lebih mahal berbanding motosikal menggunakan petrol sebagai sumber tenaga
Jadi Modenas memerlukan formula agar motosikal itu lebih mampu dimiliki. Jawapannya terletak pada penggunaan bateri asid plumbum 12V/20AH berasaskan teknologi Nano Gel, berbanding mengguna pakai bateri lithium ion polimer.
Ini dapat mengurangkan harga motosikal kerana pemilihan bateri asid plumbum 12V/20AH jauh lebih murah berbanding bateri lithium ion polimer. Murah bukannya tidak berkualiti. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya.
Pengurus Penyelidikan dan Pembangunan Modenas, Ahmad Sabandi Othman berkata, walaupun bateri lithium ion polimer memiliki jangka hayat lebih lama dan berprestasi tinggi, ia juga mudah meletup apabila terlebih cas atau sewaktu nyah cas bateri dilakukan.
“Kelemahan kedua-dua jenis bateri ini dan kenderaan elektrik adalah ia tidak dapat bergerak jauh (secara berterusan) berbanding enjin pembakaran dalaman. Motosikal elektrik juga memerlukan masa mengecas yang lama. Paling minimum ialah tiga jam,” katanya dalam satu taklimat CTric.
Motosikal CTric dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha di Shah Alam baru-baru ini. Beliau menyatakan ada tiga lagi pembuat tempatan termasuk pengimport motosikal berada dalam proses mendapat kelulusan memasarkan motosikal elektrik mereka.
Berdasarkan model CT
CTric dibina berdasarkan model motosikal petrol Modenas iaitu CT. Malah nama CTric merupakan gabungan model CT dan elektrik. Enjin petrol pada model CT ditukar kepada motor yang digerak menggunakan kuasa elektrik.
Sumber penggerak motosikal seberat 114 kilogram (kg) itu diperoleh menerusi lima unit bateri dengan kapasiti 1,200Wh. Tenaga disalurkan kepada Motor Arus Terus Tanpa Sesentuh berkuasa 3.60kW @ 80km/j. CTric menggunakan transmisi automatik.
Pemilihan model CT sememangnya tepat. Model tersebut merupakan produk paling laris Modenas buat masa ini. Sejak model CT110 dan CT100 diperkenalkan pada November 2009 dan Januari 2010, jualan terkumpul kedua-model itu sudah melebihi 40,000 unit sehingga Mac 2011. Jumlah pendaftaran semua model motosikal Modenas sejak tahun 1996 sehingga April lalu sudah melebihi 1.1 juta unit.

BATERI ditempatkan di bawah tempat duduk dan di belakang roda hadapan.


Ahmad Sabandi berkata, bateri CTric boleh dicas menerusi soket tiga pin seperti yang digunakan di rumah. Apabila bateri sudah dicas penuh, sumber elektrik akan diputuskan secara automatik. Ini membolehkan bateri tersebut memiliki jangka hayat lebih lama.
Dua mode mengecas disediakan. Mode pantas selama 3.5 jam dan lapan jam untuk pengecasan normal. Jarak tunggangan setiap kali caj penuh ialah 60 kilometer (km) dengan tunggangan pada kelajuan purata 30km/j. Had laju CTric mampu mencapai 70km/j.
Kos untuk setiap km ialah satu sen berbanding petrol sebanyak lima sen satu km. Setiap unit bateri memiliki jangka hayat kira-kira dua tahun atau jarak perbatuan 32,000km (mana-mana yang tiba dahulu).
Modenas CTric turut diuji apabila ditenggelami air pada paras ketinggian 25 sentimeter (sm) iaitu lebih 15 sm berbanding standard yang ditetapkan. Jentera itu kemudiannya diuji dalam saluran air sepanjang 500 meter.
Hasilnya, keseluruhan rangkaian kuasa adalah kalis air.
Ketua Eksekutif Modenas, Abd. Halim Ismail memberitahu, model tersebut disasarkan kepada para pengguna di bandar. Pada peringkat awal, pengeluaran sebanyak 700 unit sebulan akan dibuat.
“Sebanyak 500 unit untuk pasaran domestik dan selebihnya untuk tujuan eksport. Eksport pertama sebanyak 100 unit ke Iran akan dilaksanakan menjelang akhir bulan ini,” katanya yang memberitahu CTric turut menarik minat beberapa negara lain termasuklah Eropah dan Korea.
Sistem operasi CTric

TERMINAL pengecasan ditempatkan di bahagian kiri kunci penghidup motosikal.


Untuk menghidupkan CTric, kunci harus dimasukkan terlebih dahulu, sebelum tongkat motosikal dinaikkan. Tongkat tersebut dilengkapi alat pengesan (sensor) keselamatan untuk mengelakkan berlaku pergerakan secara tidak sengaja.
Tiga mod disediakan iaitu D untuk tunggangan, N (neutral) dan R bagi mengundur. Pulas pendikit dan jentera akan bergerak. Perbezaannya terletak pada mod R. Jika ingin mengundurkan motosikal, pilih mod R dan anda perlu menekan butang REV sewaktu memulas pendikit.
CTric ditawarkan pada harga RM4,888 seunit, termasuk cukai jalan dan insurans. Menarik bukan? Harganya hampir menyamai beberapa jenama motosikal enjin konvensional yang ada di pasaran sekarang.
Usaha Modenas dalam merealisasi motosikal berasaskan teknologi hijau membuktikan kemampuannya untuk mencetuskan kelainan dalam industri, selain menonjolkan produk negara di persada antarabangsa.

Wednesday, June 22, 2011

Elly bersedia selepas rehat panjang


Elly Idzlianizar Ilias semasa pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Putrajaya.

Elly Idzlianizar Ilias bersedia untuk kembali mengharungi saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di  Teluk Intan, Perak pada 25 dan 26 Jun ini.
Prestasi hebatnya semasa di Putrajaya yang lalu melonjak semangat Elly untuk mencatat keputusan menyakinkan sekali lagi.
Pelumba wildcard MotoGP 2009 itu berkata, "Kami mempunyai waktu rehat yang panjang selepas pusingan terakhir di Putrajaya 28 dan 29 Mei lepas.
"Saya berani mengatakannya kerana secara fizikal dan mental, saya sudah cukup bersedia untuk menempuh perlumbaan minggu ini dan mahu menamatkan perlumbaan di  atas podium."
Penunggang Global Bike Rock Oil Racing itu menamatkan perlumbaan di tangga kelima pada Pusingan 4 di Putrajaya walaupun sekadar bermula di petak ke-15.
"Jentera kami masih belum cukup sempurna namun berjaya membuktikan kemampuan apabila berada di kedudukan kelima pada pusingan lepas walaupun bermula di  barisan belakang.
"Ini menambahkan keyakinan saya dan juga satu petanda positif buat keseluruhan pasukan," tambah Elly yang menduduki tangga kesembilan keseluruhan dengan  jumlah 31 mata.
Elly hanya dibezakan dengan tujuh mata berbanding Ahmad Fazrul Sham (Pennzoil Fastrac Racing) yang berada di kedudukan kelima keseluruhan dengan 38 mata dan  13 mata di belakang Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) di kedudukan keempat dengan 44 mata.
Mendahului kedudukan keseluruhan ialah Norizman Ismail dari Harian Metro TEQ SCK Honda Racing dengan 54 mata diikuti rakan pasukannya, Mohd Affendi Rosli  dengan 48 mata dan ketiga ialah Ahmad Fazli Sham dengan 46 mata.

Intai gelaran pertama


MOHD Hafieenaz Mohd Ali ingin mencatat kemenangan pertamanya musim ini apabila turun beraksi di Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Teluk Intan pada 25 dan 26 Jun ini.
Pelumba Petronas Syntium Moto Yamaha AHM itu tidak puas hati dengan aksi kurang konsisten dipamerkannya dalam kategori CP115 yang menyaksikan pencapaian terbaiknya setakat ini hanya di tempat ketiga Pusingan 2 di Batu Kawan. Hafieenaz kini berkongsi kedudukan keenam keseluruhan dengan kutipan 31 mata bersama-sama pelumba Motul Yamaha YY Pang, Mohd Rozaiman Mohd Said.

Mendahului kedudukan keseluruhan kelas ini pula adalah rakan sepasukan Rozaiman, Zaidy Mohd Zaifaizal dengan 75 mata manakala rakan sepasukan Hafieenaz, Shahril Izzuwan Mohd Noor kedua, 61 mata.
“Pada empat pusingan awal, prestasi saya turun naik dan kurang konsisten. Saya mampu menaiki podium, malangnya tidak kesampaian. “Jentera saya tidak mempunyai sebarang masalah cuma nasib kurang menyebelahi saya selain kesilapan yang dilakukan,” katanya.

Mengambil contoh pusingan pembukaan di Kangar, Hafieenaz berlanggar dengan Sasitharen Sukumaran dan walaupun menamatkan perlumbaan namun gagal mengutip sebarang mata. Di Pusingan 3 di Kuala Terengganu, masalah mekanikal ketika ujian saringan memaksanya memulakan perlumbaan di petak kelapan dan menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima. Di Putrajaya pula, dia tidak dapat mengelak beg pasir yang dilanggar pelumba di depan dan sekadar menamatkan sesi saringan di kedudukan ke-10 hingga menyebabkannya terpaksa memulakan perlumbaan di petak terakhir.” Kini Kejuaraan Cub Prix memasuki pertengahan musim, pelumba kelahiran Ipoh itu berharap mampu mencipta kejayaan di gelanggang sendiri nanti. “Saya sudah melupakan kekecewaan sebelum ini dan ingin menghadiahkan kemenangan untuk pasukan. Tidak cukup setakat itu, saya juga mahu menghadiahkan kejayaan buat keluarga dan juga rakan-rakan. “Hanya di Teluk Intan, keluarga dapat hadir kerana ia gelanggang terdekat dengan Ipoh dan saya tidak mahu mengecewakan mereka,” kata Hafieenaz yang kali terakhir muncul juara ketika perlumbaan di Litar Sepang pada 2009.

“Saya tidak mahu melakukan kesilapan pada pusingan akan datang dan berharap nasib menyebelahi saya kali ini. Saingan kini semakin sengit dan jika gagal muncul juara, saya harap dapat menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua atau ketiga.” 

Sunday, June 19, 2011

Adib intai peluang catat kejayaan



Pengurus pasukan Motul Yamaha YY, Pang Yok You memberikan tips kepada Mohd Adib Rosley.

Kurang berpuas hati dengan pencapaiannya pada empat pusingan lepas, Mohd Adib Rosley mengintai peluang untuk menjuarai Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan pada 25 dan 26 Jun ini.

Juara bertahan kategori Wira 2010 itu hanya menjejakkan kaki di atas podium ketika pusingan tiga di Terengganu manakala keputusan terbaik selain itu hanya di tangga keempat di Putrajaya (Pusingan 4). 

Pada pusingan pembuka tirai di Kangar pula dia gagal melayakkan diri dan di Batu Kawan (Pusingan 2) dia muncul tempat kelima. Dengan 40 mata setakat ini, pelumba Motul Yamaha YY Pang itu sekadar menghuni tangga keempat dalam senarai keseluruhan kategori Wira.

Mendahului kedudukan keseluruhan Kejuaraan ketika ini pula merupakan Mohd Hafiza Rofa (Faito YSP Racing) dengan 75 mata diikuti Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) dengan 64 mata manakala rakan pasukan Adib, Nurahmad Fariznazreen ketiga dengan 59 mata.

Membandingkan keputusan musim lalu di mana dia menamatkan saingan diatas podium sebanyak lapan pusingan berturut-turut (Pusingan 3 hingga Pusingan 10) dan enam daripadanya sebagai juara, Adib mengakui pencapaiannya musim ini cukup mengecewakan. 

Jelasnya, “Keputusan pada tahun lalu begitu menakjubkan namun pada musim ini saya menghadapi banyak kesukaran untuk melakukannya lagi.”

Adib menjelaskan kegagalannya banyak berpunca daripada masalah mendapatkan pelarasan jentera terbaik dan juga saingan musim ini yang semakin sengit.
 
“Jentera Yamaha saya tidak mempunyai kelebihan apabila berada pada kelajuan maksimum berbanding lawan seperti Hafiza dan Zulsyafiz.

“Tambahan pula, kemampuan pelumba-pelumba muda pada ketika ini begitu baik dan memberikan saingan sengit berbanding musim lepas. Saya akui mempunyai sedikit kesukaran untuk menghadapi mereka,” kata pelumba 17 tahun itu.

Walau bagaimanapun, Adib tetap yakin dengan peluang untuk muncul juara di Teluk Intan memandangkan ia antara litar kegemarannya. 

“Kadangkala nasib memainkan peranan dalam perlumbaan namun ia tidak semestinya sebagai penentu kepada kejayaan. Untuk menang, pelumba perlu mempunyai keazaman dan perlu dahagakan kejayaan. Saya gembira kerana pusingan berikutnya berlangsung di Teluk Intan.

“Di litar ini terdapat banyak selekoh-selekoh berkelajuan tinggi dan saya cukup menggemarinya. Jentera Yamaha saya pula menunjukkan peningkatan yang konsisten dan saya mempunyai lebih banyak pengalaman berbanding pelumba-pelumba lain. 

"Gabungan semua elemen ini diharap dapat membantu saya untuk mencatat kemenangan minggu depan.”  

Bercakap tentang peluang mempertahankan gelarannya, Adib berkata, “Sukar untuk saya katakan kerana ketika ini ketinggalan sebanyak 35 mata berbanding Hafiza dan saingan sudah memasuki pertengahan musim. 

"Perbezaan mata ini agak sukar untuk saya kejar melainkan Hafiza gagal mengutip sebarang mata. Walaupun peluang agak tipis namun saya percaya dapat mengejarnya. 

"Yang penting adalah untuk mencatatkan kemenangan. Saya akan berusaha sebaik mungkin bagi mempertahankan gelaran musim lalu,” jelas Adib.

Thursday, June 16, 2011



 
Cub Prix menghampiri pertengahan musim apabila pusingan kelima berlangsung di Teluk Intan pada 25-26 Jun.

Saingan semakin ketat apabila Kejuaraan Cub Prix AAM  Malaysia PETRONAS 2011 menghampiri separuh musim kedua dengan pelaksanaan Pusingan 5 di Teluk Intan, Perak pada 25 hingga 26 Jun ini. 

Selaku tuan-rumah buat kali kedua, perlumbaan di Teluk Intan amat penting sekali buat para pelumba kerana ia bakal menentukan siapa yang layak untuk mengejar makhota keseluruhan.

Setakat ini, saingan kategori CP130 telah menyaksikan empat pemenang berbeza. Pelumba berusia 16 tahun, Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) memenangi pusingan pembukaan di Kangar manakala Pusingan 2 di Batu Kawan dikuasai Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing).
Pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing, Azlan Shah Kamaruzaman dan sepasukan, Norizman Ismail pula meraih kejayaan podium pertama di Kuala Terenganu (Pusingan 3) dan Putrajaya (Pusingan 4) masing-masing.

Menjelang Pusingan 5 minggu hadapan, Norizman mempunyai kelebihan enam mata selaku pendahulu dengan 54 mata setakat ini. Rakan sepasukan, Mohd Affendi Rosli pula berada di tangga kedua dengan 48 mata manakala juara 2007 dan 2008, Fazli di kedudukan ketiga, 46 mata. Walaupun gagal menamatkan perlumbaan lalu, Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) masih mampu untuk berada di kedudukan keempat dengan 44 mata.

Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), Ron Hogg berkata pusingan di Teluk Intan ini bakal menyaksikan persaingan sengit terutamanya di dalam kategori CP130. “Perebutan takhta kejuaraan semakin hebat dan setakat ini, kedudukan pendahulu seringkali bertukar tangan bermula dari Ramdan dikuti Fazli, Muhaimin dan Norizman. Jurang mata juga begitu hampir apabila hanya 10 mata membezakan mereka berempat. Siapa dapat menguasai pusingan akan datang berpeluang untuk mengubah situasi ini,” ujar Ron.

“Saya akui Cub Prix semakin menarik dan semakin sukar dijangka dan saya turut percaya saingan bukan sekadar di kalangan empat pelumba ini. Pelumba yang gagal beraksi dengan baik ketika di Putrajaya pasti akan bekerja keras dan menebus kehampaan serta kegagalan yang dialami. Saya menjangkakan Pusingan 5 ini akan menyajikan cabaran yang cukup menarik dan peminat-peminat tidak seharusnya melepaskan peluang untuk melihat mereka berlumba,” jelas Ron.

Dalam kategori CP115 pula, Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang) berada di kedudukan teratas dengan 76 mata, 15 mata mendahului Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syantium Moto Yamaha AHM) di kedudukan kedua dengan 61 mata.

Sementara itu di dalam kategori Wira, pelumba Faito YSP Racing, Mohd Hafiza Rofa menguasai perlumbaan kategori Bawah-17 itu dengan 75 mata diikuti Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) dan Nurahmad Fariznazreen (Motul Yamaha YY Pang) masing-masing dengan 64 mata dan 59 mata.