jokisenja header

jokisenja header


Monday, November 22, 2010

ADIB SAH GELARAN JUARA Norizman Tunjuk Taring Di Sepang, Ramdan Kena Tunggu

WIRA


Pelumba Motul Yamaha YY Pang, Mohd Adib Rosley mengesahkan kedudukan selaku juara kategori Wira 2010 selepas merakam kemenangan keenam pada Pusingan 9 siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang hari ini. 
Adib menjulang mahkota kejuaraan lebih awal selepas pencabar terdekat dan rakan sepasukan di dalam perebutan gelaran, Mohd Azahar Abd Jalil gagal menamatkan perlumbaan.

Kejayaan Adib itu sekali gus menebus kekecewaan yang dialami musim lepas selepas hanya muncul naib juara. di belakang Azhar.

Dia mencatat 12:57.637 saat untuk menamatkan cabaran 9 pusingan mengatasi Md Syawalludin Md Zaki (FortyOne Racing) dengan perbezaan 0.037 saat.  Sementara itu, Zulsyafiz Rosli (MOS Yamaha Racing) berada di tempat ketiga dengan masa 13:04.611 saat

Pada perlumbaan akhir itu, Adib, Azhar dan Syawal silih berganti menerajui saingan sebelum Azhar menarik diri pada pusingan ke-7 ekoran masalah jentera.
"Ia satu perlumbaan yang sengit dan saya tidak menyangka mampu muncul juara di sini kerana tentangan Azhar dan Syawal cukup hebat. Namun saya bersimpati dengan nasib Azhar yang gagal menamatkan perlumbaan akhir kali ini," ujar Adib yang mensasarkan kedudukan podium bagi perlumbaan terakhir di Pulau Pinang, Disember depan.
Adib kini mempunyai 166 mata sementara Azhar kekal di tempat kedua dengan 133 mata diikuti Syawal di tempat ketiga dengan 125 mata.


CP130


Sementara itu, dalam pertempuran kelas perdana, Norizman Ismail sekali lagi membuktikan kehebatan beraksi di litar panjang selepas mengenepikan cabaran pelumba lain dan mendominasi perlumbaan akhir kategori CP130.
Penunggang pasukan Harian Metro SCK Honda Racing yang memulakan saingan di petak ketiga pantas berada di kelompok depan sebaik perlumbaan bermula dan sesekali dilihat cuba memimpin. Namun tiba pertengahan saingan, dia bertindak bijak meninggalkan pencabar lain.
"Pada 4 pusingan awal saya menghadapi kesukaran untuk meloloskan diri daripada pencabar saya. Hanya selepas itu baru saya dapat menjarakkan diri dan seterusnya saya hanya kekal konsisten sehingga ke garisan penamat.
"Walaupun jentera Honda saya cukup kompetitif, saya tidak jangka boleh muncul juara di sini. Ini kerana saya memulakan perlumbaan dari petak ketiga dan hanya meraih keputusan selaku pelumba kedua terpantas pada hari Sabtu. Ini belum menyakinkan saya untuk bergelar juara,"  ujar Norizman ketika mengulas mengenai persembahannya. 
Pelumba kelahiran Sungai Buloh itu menyempurnakan 13 pusingan dengan catatan masa 17:45.950 saat dengan kelebihan 2.254 saat di depan Md Zamri Baba (PETRONAS Sprinta Yamaha AHM) di tempat kedua (17:48.204 saat) sementara Hafizh Syahrin Abdullah dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline di tempat ketiga dengan masa 17:48.248 saat.  
Kemenangan Norizman membolehkannya merampas kedudukan selaku pendahulu dengan kutipan 146 mata- kelebihan satu mata ke atas Ahmad Fazli Sham (Shell Advance Yamaha Maju Motor) 145 mata diikuti Hafizh di tempat ketiga dengan 144 mata.
Dalam perebutan Anugerah Berpasukan CP130, pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline terus menerajui dengan kutipan 236 mata diikuti PETRONAS Sprinta Yamaha AHM (227 mata) sementara Shell Advance Yamaha Maju Motor di tempat ketiga dengan 196 mata.
Menyentuh mengenai penentuan merebut gelaran juara CP130 yang akan berlangsung di Pulau Pinang, awal Disember ini, bekas juara Expert 2005 sekadar meramalkan peluangnya masih terbuka dengan tiga pencabar lain.
"Musim lepas saya menggunakan jentera berbeza dan sudah tentu ia memberi definasi yang cukup berbeza. Tambahan pula, pada aksi pusingan akhir lepas, saya sekadar merasai pengalaman di sesi kelayakan sahaja.
"Bagi saya, peluang masih terbuka di antara saya, Fazli, Hafizh dan Zamri untuk bergelar juara musim ini," jelas Norizman.


CP115


Sementara itu, hasrat pendahulu keseluruhan kategori CP115, Md Ramdan Md Rosli untuk meraih kemenangan lebih awal tidak kesampaian apabila dia sekadar menduduki tempat ketiga pada perlumbaan akhir.
Sebaliknya, Md Rozaiman Md Said (Motul Yamaha YY Pang) terus memberi tekanan ke atas pendahulu itu selepas berjaya memintas di saat-saat akhir rakan sepasukan Ramdan, Shahril Izzuwan Mohd Noor dengan catatan masa 15:26.884 saat disusuli Shahril (15:26.922 saat) sementara Ramdan di tempat ketiga dengan mas 15:26.962 saat.
"Strategi antara saya dan Zaidy Md Zaifaizal adalah untuk membantu satu sama lain. Jika sesiapa di depan, salah seorang perlu menolong rakan dibelakang bagi memintas angin.
"Kejayaan saya hari ini banyak dibantu oleh Zaidy kerana pada peringkat awal saya hanya mensasarkan kedudukan tempat ketiga atau keempat sahaja," ulas Rozaiman mengenai persembahannya.
Kejayaan Rozaiman membolehkannya merapatkan jurang mata kepada 23 mata kepada Ramdan dan pusingan terakhir di Padang Kota Lama, Pulau Pinang menjadi gelanggang terbaik bagi kedua-dua pelumba untuk mengesahkan kedudukan mereka.
"Saya menyifatkan peluang cukup tipis sekalipun masih berpeluang untuk bergelar juara CP115 musim ini. Namun saya tidak mahu memberi sebarang harapan. Saya lebih mengutamakan untuk meraih gelaran juara di sana (Pulau Pinang) kelak," ujarnya.
Bagi Ramdan, pelumba berusia 15 tahun, dia masih terus berharap untuk menduduki podium pada pusingan terakhir di Pulau Pinang untuk mengesahkan gelaran selain turut berhasrat membantu pasukan memenangi Anugerah Berpasukan CP115 musim ini.
Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha AHM masih kekal di tangga teratas dengan kutipan 260 mata diikuti Motul Yamaha YY Pang di tempat kedua dengan 181 mata sementara PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline di tempat ketiga dengan 178 mata. 

Cabaran Yamaha 135LC


Tengku Amirul Haffiruddin merakamkan kemenangan keempat musim ini di dalam Cabaran Yamaha 135LC pusingan 9 di Litar Sepang.
Pada perlumbaan akhir itu, pelajar Tingkatan Dua dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar, Dungun dicabar hebat empat pelumba lain sebelum mengakhiri cabaran 8 pusingan dengan masa 11:33.807 saat.
Tengku Amirul yang sebelum itu memenangi perlumbaan di Sepang Utara, Teluk Intan, dan Melaka berjaya mengatasi pencabar terdekat, Md Hafiza Rofa (11:33.887 saat) di tempat kedua sementara Md Izzat Zaidi Salehan meraih tempat ketiga dengan masa 11:35.161 saat.
Dengan 25 mata yang dipungut, Tengku Amirul kini memegang 136 mata mengatasi pencabar terdekat Md Razmal Md Rohizad 114 mata di tempat kedua dan Nurahmad Fariznazreen di tempat ketiga dengan 86 mata.

Cabaran Honda icon


Dalam perlumbaan akhir Honda icon Challenge Cup, Fakhrusy Syakirin Rostam mengenepikan pencabar lain termasuk pelumba terpantas sesi ujian masa semalam, Md Hafizuddin Azahar apabila menamatkan cabaran 8 pusingan dengan masa 13:52.768 saat.
Afiq Rahmat dan Md Hafizuel Md Bajer turut cemerlang untuk menduduki tempat kedua dan ketiga setelah masing-masing merakamkan masa 13:56.259 saat dan 14:11.223 saat.  Sekalipun gagal menamatkan saingan akhir, Hafizuddin masih kekal selaku penaraju keseluruhan dengan 132 mata diikuti pemenang di Sepang, Fakhrusy (124 mata) diikuti Has Fauzan Hassan dengan 111 mata.

Privateers


Md Haiekal Akmal Zakaria yang menunggang jentera Suzuki terus cemerlang dalam perlumbaan akhir Kelas Persendirian apabila mengakhiri cabaran 8 pusingan dengan masa 11:49.117 saat.
Ini merupakan kemenangan keempat yang diraih oleh Haiekal musim ini selepas mengenepikan pencabar terdekat, Md Syawal Md Noor (11:49.440 saat) yang menunggang jentera Modenas dan Junaidi Harun (Suzuki) 12:00.718 saat. 

No comments:

Post a Comment