jokisenja header

jokisenja header

Sunday, November 28, 2010

Rozaiman harap tuah di Padang Kota



Mohd. Rozaiman berharap tuah menyebelahinya apabila beraksi pada pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Padang Kota Lama, minggu depan.
KUALA LUMPUR - Mohd. Rozaiman Mohd, Said berharap tuah akan menyebelahinya pada pusingan penutup tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas yang akan berlangsung di Padang Kota Lama, Pulau Pinang 4 dan 5 Disember ini.
Pelumba berusia 22 tahun itu yang mengidamkan makhota kelas CP115 sekali lagi berhadapan situasi 'hidup-mati', bukan sahaja kerana dia perlu merampaschequered flag bagi menjulang trofi juara, tetapi mengharapkan pendahulu keseluruhan, Mohd. Ramdan Mohd. Rosli (Petronas Sprinta Yamaha AHM Racing) tidak mengutip lebih daripada tiga mata pada perlumbaan tersebut.
Ini kerana, ketika ini pelumba Motul Yamaha YY Pang itu yang berada di tangga kedua (140 mata), kurang 22 mata dari Ramdan, yang menerajui carta keseluruhan dengan 162 mata.
Walaupun Rozaiman sedar jalan untuk muncul juara penuh cabaran, dia nekad untuk memberikan persembahan terbaik dan menghalang Ramdan dari menjuarai kelas CP115 ini dengan mudah.
"Tiga mata akan menentukan segalanya. Tidak dapat dinafikan kemungkinan untuk muncul juara amat tipis memandangkan Ramdan mempunyai kelebihan untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 dan dinobat sebagai juara. Namun, saya tetap akan memberikan yang terbaik. Hanya dengan cara ini saya akan berpuas hati walaupun muncul tempat kedua," katanya.
Dia menambah: "Tidak mungkin Ramdan akan berlumba dengan 'selamat' minggu ini, kerana dia seorang pelumba yang agresif. Saya rasa dia pasti mahu naik podium. Namun apa sahaja boleh terjadi di dalam perlumbaan seperti kemalangan ataupun kegagalan jentera. Saya hanya boleh berharap tuah menyebelahi saya di Pulau Pinang nanti."
Rozaiman turut meluahkan rasa kecewa rakan sepasukan, Zaidy Mohd Zaifaizal yang tidak akan beraksi pada perlumbaan final, ekoran digantung perlumbaan selepas didapati bersalah berlumba dengan kasar pada Pusingan 9 di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) 21 November lepas.
Oleh itu, dia mengharapkan Mohd. Adli Salihin yang berkongsi kedudukan ketiga (118 mata) dengan Mohd Iskandar Raduan (Petronas Sprinta Yamaha Raceline) dapat membantunya memenangi mahkota CP115 di Pulau Pinang.
Rozaiman juga berharap beraksi di litar sendiri di hadapan keluarga dan rakan-rakan akan memberikannya kelebihan.
"Saya terkilan Zaidy tidak dapat membantu saya hujung minggu ini. Namun saya masih mempunyai Adli untuk membantu saya menepis cabaran Ramdan dan rakan sepasukan, Shahril Izzuwan Mohd Noor yang menunjukkan peningkatan di Sepang tempoh hari.
"Selain itu, saya mempunyai kelebihan beraksi di litar sendiri. Kehadiran keluarga dan rakan-rakan pasti akan menyuntik semangat perjuangan saya," ujar Rozaiman yang berasal dari Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment