jokisenja header

jokisenja header

Thursday, November 25, 2010

Idam tempat kedua Wira

WALAUPUN sibuk dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd Azhar Abdul Jalil  dan Muhd Syawalludin Muhd Zaki nekad untuk memberikan persembahan terbaik pada pusingan penutup tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Padang Kota Lama, Pulau Pinang pada 4 dan 5 Disember ini.
Pada waktu ini, kedua-dua pelumba bersaing merebut tempat kedua carta keseluruhan kelas Wira di belakang Mohd Adib Rosley yang mengesahkan kejuaraan pada pusingan 9 di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) minggu lalu.

Azhar (Motul Yamaha YY Pang) kini unggul di tempat kedua dengan 133 mata manakala Syawal (Modenas FortyOne Racing) di tempat ketiga dengan 125 mata. Azhar, 17, yang berasal dari Selangor berkata, perlumbaan terakhir musim ini lebih mencabar kerana terpaksa membahagikan tumpuannya kepada peperiksaan dan juga perebutan carta keseluruhan.
“Mujurlah, pada waktu saingan saya tidak mempunyai apa-apa peperiksaan sehingga 15 Disember.

“Saya agak gelisah memikirkan Syawal hanya kurang lapan mata. Tambah mengecewakan apabila mengenang kegagalan mengutip sebarang mata pada perlumbaan di Sepang ekoran masalah jentera. “Atas sebab itulah, pada pusingan akhir ini, saya harap membentuk strategi pasukan dengan Adib. Saya pasti dengan bantuannya saya boleh menghabiskan perlumbaan di hadapan Syawal sekali gus mencipta kemenangan kedua musim ini,” kata juara Wira 2009 itu.

Sementara itu, Syawal menjangkakan saingan sengit di Litar Padang Kota Lama awal bulan depan.

“Walaupun lebih kecil daripada litar Sepang, Pusingan 10 bagi saya satu perlumbaan yang memberikan fokus pada aspek kelajuan jentera kerana hanya terdapat empat selekoh. Saya yakin dengan pelarasan jentera pada masa ini dan mampu memberikan tekanan pada Azhar. “Bagaimanapun, saya perlu berhati-hati kerana Azhar mempunyai rekod baik di situ dan Adib pasti membantunya,” kata pelumba berasal dari Terengganu itu.

No comments:

Post a Comment