jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, April 25, 2012

ADIK BERADIK ELLY OPTIMIS JULANG KEJAYAAN BUAT SUZUKI




Gandingan adik beradik, Elly Idzlianizar Ilias dan Elly Idzliaikmal Ilias optimis mereka mampu menjulang kejayaan buat Suzuki dalam kategori CP130 dan CP115 pada perlumbaan pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang akan berlangsung di Stadium Utama Kangar, Perlis, minggu ini.

Beraksi bersama pasukan tunggal yang mendapat sokongan Suzuki iaitu pasukan Suzuki FortyOne Racing, kedua-duanya juga mahu menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri minggu ini untuk tidak mengecewakan keluarga, rakan-rakan dan juga peminat-peminat yang hadir memberikan sokongan.

Elly Idzlianizar Ilias yang beraksi dalam kategori CP130 dilihat mengalami kesukaran pada dua pusingan yang telah berlangsung apabila dia gagal menamatkan perlumbaan di Batu Kawan (Pusingan 1) setelah jenteranya mengalami masalah mekanikal sewaktu perlumbaan akhir.

Ketika di Kuala Terengganu (Pusingan 2) pula, walaupun berada di kelompok lima pelumba yang mencatat masa terpantas sewaktu sesi latihan bebas, kerja keras Elly turut berakhir dengan kekecewaan apabila sekadar menamatkan perlumban di kedudukan ke-15 berikutan kemalangan bersama pelumba Pachie Yuzy Honda Racing, Wan Mohd Hadri Wan Mokhtar.

Berkeyakinan tinggi kali ini, Elly Idzlianizar berkata, "Dua pusingan sebelum ini begitu mencabar. Selepas gagal menamatkan perlumbaan Pusingan 1, kami telah menunjukkan peningkatan sewaktu sesi latihan bebas di Kuala Terengganu namun ia tidak berpanjangan apabila sekali lagi ditimpa kekecewaan  ketika sesi ujian masa dan juga perlumbaan akhir. Permulaan musim seperti ini sangat-sangat menyedihkan namun ini senario biasa dalam perlumbaan. Apa yang penting adalah tidak mudah berputus asa dan sentiasa memandang ke hadapan," katanya.

Bercakap tentang kemampuan jentera Suzuki, Elly berkata, "Buat masa ini, jentera kami cukup kompetitif memandangkan saya mampu menempatkan diri di kalangan lima pelumba terpantas pada sesi latihan bebas sebelum ini. Apa yang perlu diperbaiki ialah gaya tunggangan saya dan pada masa sama juga perlu berhati-hati terhadap kemampuan lawan-lawan saya. Tambahan pula, kami turut memikul tanggungjawab untuk mengembalikan semula kegemilangan Suzuki sepertimana yang pernah dikecapi oleh legenda Cub Prix, M. Meganathan dan Wazi Abdul Hamid pada masa lalu.

Sementara itu, adiknya, Elly Idzliaikmal yang beraksi dalam kategori CP115 pula bermula dengan agak baik apabila menamatkan perlumbaan di Batu Kawan dengan menduduki tangga kelapan namun ketika perlumbaan di Kuala Terengganu, dia sekadar menamatkan perlumbaan seawal pusingan pertama lagi.

Malah, dia turut mempunyai pendapat sama dengan abangnya. "Prestasi saya ketika ini masih jauh daripada kemampuan sebenar. Semua orang telah bekerja keras bagi memastikan Suzuki dapat mencatat kejayaan namun malangnya nasib kami masih belum begitu baik. Mudah-mudahan semuanya akan berubah di Kangar nanti," katanya.

AFIF TAGIH STRATEGI BERPASUKAN MANTAP




Ahmad Afif Amran percaya strategi berpasukan yang mantap mampu membantunya memecahkan momentum pelumba di barisan hadapan pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Utama Kangar, Perlis minggu ini.

Pelumba CKJ Yamaha Racing yang beraksi di dalam kategori CP115 itu bangkit menebus kekecewaan gagal ke perlumbaan akhir (DNF) sewaktu pusingan pembukaan (Batu Kawan) ekoran masalah mekanikal, apabila berjaya menaiki podium pada pusingan kedua (Terengganu) di belakang juara, Shahril Izzuwan Mohd Noor dan naib juara, Mohd Iskandar Raduan, kedua-duanya dari pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM. 

Namun, strategi berpasukan yang mantap diantara Shahril dan Iskandar telah menghalangnya untuk mencatat keputusan yang lebih baik.

"Kami mempamer prestasi cukup baik sewaktu di Terengganu! Saya dan rakan sepasukan, Mohd Farid Ahmad cuba untuk mengejar Shahril namun Iskandar yang berada di belakangnya berjaya mempertahankan Shahril dengan begitu baik sekali. Jika tidak kerana Iskandar, pasti kami berdua mampu merapatkan kedudukan dengan Shahril. Mujurlah tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sewaktu persaingan yang cukup agresif diantara kami bertiga untuk mengejar kedudukan podium dan saya cukup gembira kami berdua dapat berada di kelompok lima pelumba teratas terutama selepas kegagalan di Batu Kawan," jelas pelumba 16 tahun itu.

Menilai tentang kemampuan mereka pada pusingan ini, Afif berkata, "Prestasi pada dua pusingan lepas menunjukkan banyak peningkatan dan kami mampu untuk memberikan saingan, cuma kekurangan kami adalah dari segi strategi berpasukan. Saya dan Farid perlu menyusun strategi terbaik apabila tiba di Kangar nanti.

"Dari segi kemampuan jentera pula, Yamaha kami boleh dikatakan setanding dengan Shahril dan Iskandar, cuma faktor ketahanan enjin agak kurang apabila kuasanya menurun pada baki lima pusingan terakhir. Jika kami berjaya mengatasi masalah-masalah ini, saya fikir kami mempunyai peluang cerah untuk sekali lagi menaiki podium pada minggu ini."

Menambah lagi keyakinannya, Afif percaya pengalaman yang dikutip sepanjang beraksi dalam kategori Underbone 115cc, di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS  musim lalu turut menjadi satu kelebihan buatnya.

"Apa yang saya pelajari sepanjang beraksi di ARRC musim lepas bersaing dengan pelumba handalan Indonesia dapat digunakan pada musim ini untuk membantu meningkatkan kedudukan saya dalam senarai keseluruhan ketika ini," kata Afif yang menduduki tangga keenam dalam senarai keseluruhan dengan 16 mata.

Iskandar berada di kedudukan teratas dengan 45 mata diikuti Ahmad Abdul kadir (APIDO Yamaha Boon Kui Racing) kedua, dan Farid ketiga, kedua-duanya terikat dengan 26 mata.

Monday, April 23, 2012

JADUAL PUSINGAN KE 3,KANGAR PERLIS


SUZUKI MENGORAK LANGKAH MENCARI BAKAT BARU

Cabaran Suzuki Belang RUsaha untuk melahirkan lebih ramai pelumba-pelumba muda tempatan pada masa ini turut mendapat sokongan daripada satu lagi nama besar dalam industri pemotoran tempatan iaitu Suzuki. Tampil dengan perlumbaan kategori satu Pengeluar Cabaran Suzuki Belang, usaha positif Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd ini dilihat bakal memberikan lebih persaingan serta kepelbagaian dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012.

18 pelumba bakal beraksi di dalam kategori one-make baru ini. Mereka dipilih setelah memenuhi kriteria yang ditetapkan pihak pengurusan Suzuki Assemblers Sdn Bhd dan berdasarkan prestasi yang ditunjukkan pada sesi-pemilhan di Litar Go-Kart Universiti Utara Malaysia, Kedah pada 7 dan 8 April lalu. Sesi pemilihan tersebut dikendalikan oleh Ang Woo Seong selaku koordinator dan dibantu oleh lagenda Cub Prix, Wazi Abdul Hamid dan Shahrun Nizam Tamin yang bertindak sebagai jurulatih kepada pelumba yang diberi peluang menimba pengalaman bersama Suzuki.

Sepanjang proses pemilihan yang berlangsung selama dua hari tersebut, pelumba-pelumba baru didedahkan kepada pelbagai aspek perlumbaan seperti kepentingan kecergasan fizikal, teknik serta aspek-aspek keselamatan.

"Daripada semua permohonan yang diterima, kami telah menyenarai pendek 38 peserta yang memenuhi kriteria yang kami tetapkan iaitu mestilah belum pernah beraksi dan tiada rekod perlumbaan di Cub Prix. Beberapa kriteria lain turut menjadi keutamaan adalah ketinggian dan berat badan mereka," kata Ang.

"Pada sesi pemilihan, kami mendedahkan pelumba-pelumba dengan pengetahuan asas perlumbaan dan ini amat berguna kepada mereka sebelum memulakan karier dalam perlumbaan jentera dua roda ini. Namun begitu, daripada 38 peserta yang menghadiri latihan dan ujian pemilihan ini, kami terpaksa memilih hanya 18 peserta berkebolehan dalam lingkungan usia 14 hingga ke 19 tahun untuk memulakan perlumbaan pertama di Kangar," tambah beliau.

Ditanya mengapa model Belang 150 menjadi pilihan pihak Suzuki, Ang menjawab, "Kami mahukan kelainan dalam persaingan Cub Prix dan model seperti ini tidak pernah digunakan dalam mana-mana kategori dalam Kejuaraan ini," tambah Ang sambil mengharapkan perlumbaan satu pengeluar Suzuki Belang R dapat menghangatkan lagi saingan perlumbaan musim ini.

Menambah sedikit tentang perancangan masa hadapan kepada pelumba-pelumba, Ang berkata, "Setelah segala latihan serta pendedahan dilalui oleh peserta Cabaran Suzuki Belang R pada musim ini, pihak Suzuki merancang untuk meletakkan mereka beraksi ke dalam kategori lain pada musim hadapan. Kami juga berhasrat untuk membantu pelumba yang mempunyai potensi agar mereka dapat diserapkan bersama pasukan Suzuki. Namun, syarat utama mereka perlulah membuktikan kebolehan yang ada pada diri mereka terlebih dahulu."

Senarai pelumba Cabaran Suzuki Belang R
1. Abu Sofian Bin Karim (19)
2. Ahmad Syukran Aizat Bin Mohd Yusoff (15)
3. Fazdlyzal Bin Ahmad Fazal (17)
4. Fitri Bin Wazi    (18)
5. Mohamad Danial Bin Abdul Dain (16)
6. Mohamad Syafiq Bin Rosli (15)
7. Mohammad Syafiq Bin Mohd Ismail (15)
8. Mohd Harith Asyraff Bin Rosdi (14)
9. Mohd Khairol Nizam Bin Mohamad Haris (19)
10. Mohd Shafiq Bin Noor Affendi (16)
11. Muhamad Hafiz Bin Amiruddin (20)
12. Muhammad Hafizt Bin Hasmi (16)
13. Muhammad Ilyas Bin Ahmad Fuad (15)
14. Muhammad Izham Shah Bin Shahrom Shah (17)
15. Muhammad Syafiq Bin Mohammad Puzze (18)
16. Muhammad Zul Akmal Bin Najikhun    (16)
17. Tengku Syahmi Bin Tuan Yusoff (16)
18. Wong Chin Hou (16)

Tekad kekal pendahulu Wira

Fakhrusy Syakirin Rostam



FAKHRUSY Syakirin Rostam bertekad untuk mempertahankan kedudukan pendahulu menjelang perlumbaan pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Stadium Utama, Kangar, pada 28 dan 29 April ini.
Selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam dua pusingan lalu, Fakhrusy mendahului senarai pelumba kategori Wira dengan mengumpul 38 mata namun pelumba AAP Mazoil Armstrong itu diekori rapat oleh Mohd Hafiz Nor Azman dari Team MOS Track Pro Yamaha Racing.

Hafiz di tangga kedua sekadar ketinggalan dua mata di belakang Fakhrusy (36 mata).
Bagi pelumba kelahiran Johor itu, kelebihan dua mata tidak mencukupi apatah lagi saingan masih di peringkat awal dan berbaki lapan pusingan lagi.

Malah prestasi cemerlang Hafiz dengan menaiki podium pada kedua-dua pusingan terdahulu di Batu Kawan (Pusingan 1) dan Kuala Terengganu (Pusingan 2) turut menggusarkan Fakhrusy.

“Sasaran utama hujung minggu ini adalah untuk menjarakkan diri daripada Hafiz. Apa saja boleh berlaku sewaktu perlumbaan dan dengan prestasi konsisten menaiki podium pada kedua-dua pusingan perlumbaan, Hafiz dilihat mampu merampas kedudukan saya sebagai pendahulu,” kata Fakhrusy.
Namun begitu, keyakinan Fakhrusy tetap tinggi ekoran kelebihan jentera pasukannya.

“Setiap kali keluar ke litar, prestasi Hafiz cukup konsisten namun jentera saya dilihat mempunyai beberapa kelebihan terutama daripada segi kelajuan. Saya cuma perlu membaiki kemahiran tunggangan saya dan beraksi dengan lebih agresif bagi mengelakkan pelumba lain mengambil peluang terhadap kelemahan saya,” jelas Fakhrusy yang menghabiskan setiap hujung minggunya dengan menjalani latihan.
Katanya lagi: “Pertukaran laluan litar pada musim ini juga menjadikan saingan kali ini sama adil dan tidak memberi kelebihan kepada mana-mana pelumba.” Berada di belakang Fakhrusy dan Hafiz dalam senarai keseluruhan adalah Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan (Motul Yamaha YY Pang Racing) dengan 25 mata.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-87338787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, www.malaysiancubprix.com.

Friday, April 20, 2012

PELUANG MASIH TERBUKA WALAUPUN DOMINASI KETARA DALAM KELAS CP130, CP115


Persaingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 nampaknya semakin hangat apabila kem Honda dan Yamaha dilihat mendominasi kelas terbuka CP130 dan CP115 pada Pusingan 2 di Litar Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Terengganu hujung minggu lalu.

Dalam kategori CP130, kem Honda dilihat mempunyai kelebihan ketika ini dengan dua pelumba Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) dan Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing). Walaupun masih dikira pelumba baru, Zaqhwan mengejutkan ramai pihak apabila dia mendahului carta keseluruhan kategori perdana dengan kutipan 45 mata setelah berjaya memenangi Pusingan 1 (Batu Kawan) dan muncul tempat kedua pada Pusingan 2 (Terengganu).

Lebih menarik lagi, Azlan Shah yang menduduki tangga kedua juga mempunyai 45 mata setakat ini hasil kejayaannya menghabiskan pusingan pembuka di tangga kedua sebelum mempertahankan kemenangannya di litar teknikal Terengganu Sabtu lepas.

Sementara itu, Mohd Iskandar Raduan dilihat garang mengetuai carta keseluruhan CP115 selepas menghabiskan perlumbaan di Batu Kawan selaku juara dan Pusingan 2 di tempat kedua. Kepulangan Shahril Izzuwan Mohd Noor bagi mempertahankan makhota CP115 miliknya turut menjadikan duo PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM ini antara pesaing hebat musim ini.

Walaupun begitu, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), promoter Kejuaraan Cub Prix menganggap ia masih terlalu awal untuk meramal siapa bakal bergelar juara memandangkan musim 2012 masih di peringkat awal.

"Tidak dapat dinafikan Zaqhwan, Azlan dan Iskandar pada masa ini mempamerkan aksi cemerlang di dalam kelas masing-masing. Tetapi para peminat Cub Prix boleh menjangkakan persaingan lebih mantap pada pusingan-pusingan akan datang. Ini kerana kebanyakan pasukan yang berentap menunjukkan peningkatan ketara pada dua pusingan awal dengan masa sepusingan (lap) lebih pantas berbanding musim-musim lalu.

Ron turut menambah, "Tambahan pula, pada Pusingan 2 di Terengganu walaupun Azlan muncul juara, Ahmad Fazrul Sham (Faito Motobert Racing) menunjukkan aksi hebat untuk menungguli sesi SuperPole sekaligus merampas kedudukan petak hadapan dari para pesaingnya. Mohd Taufiq Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) juga tidak kurang cemerlang. Walaupun masih baru beraksi dalam kategori perdana ini, dia mampu mengecapi kedudukan podium sekaligus menunjukkan tiada pemenang tetap dalam persaingan musim ini. Sebaliknya, peluang terbuka luas bagi mana-mana pasukan dan semestinya persaingan akan lebih menarik apabila kontinjen Cub Prix berhijrah ke Kangar, Perlis bagi menghadapi Pusingan 3 dua minggu dari sekarang. Apa yang pasti, pengakhiran musim ini masih jauh dan saya pasti perebutan gelaran juara di antara pelumba dan pengeluar jentera pasti amat sengit sekali," jelas Ron lagi.

Thursday, April 19, 2012

Tiada yang mustahil - Zulfahmi

 


Pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin tidak menolak kemungkinan untuk ke podium jika dia mampu mengekalkan persembahan konsisten pada setiap perlumbaan Grand Prix (GP) musim ini.
"Saya mampu naik podium jika motosikal saya berada dalam keadaan baik. Saya akan terus berjuang untuk meraih lebih banyak pengalaman, mungkin dua atau tiga perlumbaan lagi, saya yakin akan lebih serasi dengan motosikal dan berjalan lebih lancar," katanya.
Dua minggu lalu, Zulfahmi melakar sejarah dalam kariernya apabila menamatkan saingan di kedudukan keenam pada GP Qatar di Litar Losail.
Pelumba AirAsia-SIC-Ajo itu yang memulakan aksi di petak ketujuh ketinggalan 19.052 saat di belakang juara, Maverick Vinales dari pasukan Blusens Avintia.
Menjelang perlumbaan di Litar Jerez, Sepanyol pada 29 April ini, Zulfahmi berharap, dia dapat mengulangi pencapaiannya itu dan meraih petak yang lebih baik.

Sunday, April 15, 2012

Azlan raih kemenangan bermakna

Penunggang bersaing sengit dalam Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Tiada apa yang lebih bermakna buat Azlan Shah Kamaruzaman apabila dia sekali lagi berjaya menakluk litar Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak buat kali kedua berturut-turut selepas berakhirnya Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012, hari ini.

Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu menamatkan perlumbaan sebanyak 15 pusingan dengan catatan masa keseluruhan 10 minit 25.112 saat diikuti juara Pusingan 1 di Batu Kawan, Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) kedua, 10:25.345s dan Mohd Taufiq Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) ketiga, 10:26.866s.

Azlan yang bermula di petak ketiga mengakui litar ini merupakan antara litar kegemarannya dan dari segi persembahannya, jelas dia nampak cukup serasi beraksi di sini apabila sentiasa berada di kelompok  hadapan pada setiap sesi perlumbaan yang berlangsung sejak hari pertama lagi. “Kemenangan ini cukup-cukup bererti kepada saya kerana saya berjaya mempertahankan gelaran yang dimenangi pada perlumbaan musim lepas. Tambahan pula, ini juga merupakan satu hadiah istimewa kepada seluruh keluarga saya apabila saya juga bakal menimang cahaya mata sulung beberapa hari sahaja lagi,” jelas Azlan yang kini berkongsi kedudukan pendahulu bersama Zaqhwan dengan mengumpul 45 mata.

Bercakap tentang perlumbaan, Azlan berkata, “Selepas ketinggalan kepada Ahmad Fazrul Sham (Faito Motobert Racing) pada awal perlumbaan, saya terus memberi tekanan kepadanya dan akhirnya berjaya memintasnya pada pusingan ketujuh. Selepas itu saya cuba mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan dan akhirnya berjaya mengekalkan kedudukan pendahulu sehingga ke garisan penamat,” jelas Azlan sambil meletakkan sasaran untuk sekali lagi menaiki podium pada Pusingan 3 di Kangar, Perlis, hujung bulan ini.

Dalam senarai pelumba keseluruhan, kedudukan podium hari ini turut meletakkan Taufiq di tangga ketiga  dengan jumlah 23 mata yang dipungut setakat ini.

Dua kedudukan podium Azlan membantu pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2 (Azlan/Mohd Fitri Ashraf Razali) mendahului senarai keseluruhan dengan 51 mata, namun terikat dengan mata yang sama bersama-sama Pachie Yuzy Honda Racing (Zaqhwan/Wan Mohd Hadri Wan Mokhtar). Berada di kedudukan ketiga ialah Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 1 (Norizman Ismail/MOhd Affendi Rosli) dengan 39 mata.

Dalam kategori CP115, Shahril Izzuwan Mohd Nor membuktikan dirinya masih antara pencabar utama saingan musim 2012 apabila menamatkan perlumbaan 12 pusingan sebagai juara dengan catatan masa keseluruhan 8:33.558s.

Tambah manis, berada di tempat kedua ialah rakan sepasukannya dari pasukan PETRONAS syntium Moto Yamaha AHM, Mohd Iskandar Raduan. Iskandar yang juga juara pusingan lepas yang menamatkan perlumbaan dengan 8:33.889s manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba kelahiran Terengganu, Ahmad Afif Amran (CKJ Yamaha Racing), 8:35.232s.

Shahril yang kembali ke kategori CP115 selepas memulakan pusingan pembukaan musim 2012 dalam kategori CP130 berkata, “Beraksi semula dalam kategori CP115 pada pusingan kedua ini tidak memberi sebarang impak kepada saya sebaliknya sepertimana yang dirancang oleh pengurus pasukan, Kenny Chua, keputusan ini dilihat dapat mencerahkan peluang kami untuk mengekalkan kedua-dua anugerah keseluruhan yang dimenangi pada musim lepas,” jelas juara bertahan CP115 itu.

Mengulas mengenai cabaran sengit daripada Iskandar pada sepanjang perlumbaan, Shahril berkata, “Walaupun dari pasukan sama, kami tetap memberikan aksi terbaik kerana kedua-duanya mahu merebut kemenangan di sini. Namun kemenangan ini sangat penting kepada saya kerana ia membuka ruang bagi saya untuk mempertahankan gelaran musim lepas. Walaupun begitu, keutamaan tetap diberikan kepada strategi yang dirancang oleh pengurus pasukan. Jika selepas ini Iskandar kekal di tangga teratas, saya akan membantunya untuk memenangi gelaran individu keseluruhan,” jelas Shahril.

Gelaran naib juara meletakkan Iskandar jauh mendahului pelumba-pelumba lain apabila berada di tangga teratas dalam senarai keseluruhan dengan 45 mata manakala Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui) kedua, mengumpul 26 mata dan Mohd Farid Ahmad (CKJ Yamaha Racing) ketiga, juga dengan jumlah mata yang sama.

Selepas dua pusingan, PETRONAS syntium Moto Yamaha AHM berada di tangga teratas senarai Anugerah Berpasukan Keseluruhan dengan mengumpul 70 mata diikuti CKJ Yamaha Racing kedua, 42 mata dan Motul Yamaha Racing Team 2 (Zaidy Mohd Zaifaizal/Mohd Azhar Abdul Jalil) ketiga, 30 mata.


Dalam kategori Wira, Fakhrusy Syakirin Rostam menebus kehampaan gagal menaiki podium di Batu Kawan apabila meraih gelaran juara dengan catatan masa keseluruhan 7:12.099s.


Pelumba AAP Mazoil Armstrong Motorsport itu menewaskan Mohd Hafiz Nor Azman (Mos Track Pro Yamaha Racing) yang berada di tangga kedua dengan catatan masa 7:14.027s manakala Mohd Hafizuddin Azahar ketiga, 7:19.970s.


Fakhrusy menjelaskan, “Saya cukup gembira dengan kemenangan ini sekali gus menebus kekecewaan apabila sekadar di tangga keempat pada pusingan lepas. Sememangnya saya begitu inginkan kemenangan ini kerana saya mahu mengukuhkan kedudukan dalam senarai keseluruhan untuk merebut mahkota kejuaraan pada tahun ini,” jelas pelumba 16 tahun itu.


Kemenangan ini turut membantu Fakhrusy naik ke tangga pertama dalam senarai keseluruhan dengan 38 mata manakala Hafiz di kedudukan kedua, 36 mata. Juara pusingan pertama, Mohd Izzat Zaidi Salehan yang gagal ke perlumbaan akhir kali ini turun ke tangga ketiga, kekal dengan 25 mata.


Keputusan: 

CP130
Race
1.Azlan Shah Kamaruzaman (Honda) 10'25.112s 2.Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda) 10'25.345s 3.Mohd Taufiq Roslan (Yamaha) 10'26.866s 4,Ahmad Fazrul Sham (Yamaha) 10'27826s 5.Ahmad Fuad Baharudin (Yamaha) 10'31.313s

Kedudukan keseluruhan
1.Azlan Shah Kamaruzaman (Honda) 45 mata 2. Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda) 45 mata 3. Mohd Taufiq Roslan (Yamaha) 23 mata 4.Norizman Ismail (Honda) 23 mata 5.Ahmad Fuad Baharudin (Yamaha) 22 mata

Team Standings
1.Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2 51 mata 2.Pachie Yuzy Honda Racing 51 mata 3.Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 1 39 mata 4.Faito Motobert Racing 35 mata 5.PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM 29 mata

CP115
Race
1. Shahril Izzuwan Mohd Noor (Yamaha) 8'33.558s 2.Mohd Iskandar Raduan (Yamaha) 8'33.889s 3.Ahmad Afif Amran (Yamaha) 8'35.232s 4.Mohd Farid Ahmad (Yamaha) 8'36.183s 5.Mohd Emir Firdaus Hasan (Honda) 8'37.321s

Kedudukan keseluruhan
1.Mohd Iskandar Raduan (Yamaha) 45 mata 2.Ahmad Abdul Kadir (Yamaha) 26 mata 3.Mohd Farid Ahmad (Yamaha) 26 mata 4.Shahril Izzuwan Mohd Noor (Yamaha) 25 mata 5. Mohd Azhar Abdul Jalil (Yamaha) 20 mata

Kedudukan pasukan
1. PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM 70 mata 2.CKJ Yamaha Racing 42 mata 3. Motul Yamaha YY Pang Racing 2 30 mata 4.APIDO Yamaha Boon Kui Racing 28 mata 5.M-Seki Liberty Honda Racing 24 mata

WIRA
Race
1. Fakrusy Syakirin Rostam (Honda)  7'12.099s 2.Mohd Hafiz Nor Azman (Yamaha) 7'14.027s 3.Mohd Hafizzuddin Azahar (Yamaha) 7'19.970s 4.Mohd Razmal Mohd Rohizad (Honda) 7'23.197s 5.Che Ku Amriq Asyraf (Yamaha) 7'24.444s

Kedudukan keseluruhan 
1.Fakrusy Syakirin Rostam (Honda) 38 mata 2.Mohd Hafiz Nor Azman (Yamaha) 36 mata 3.Mohd Izzat Zaidi Salehan (Yamaha) 25 mata 4.Tengku Amirul Haffiruddin (Yamaha) 20 mata 5.Che Ku Amriq Asyraf (Yamaha) 18 mata

PETRONAS SYNTIUM MOTO YAMAHA AHM DOMINASI CP115




Dalam kategori CP115, Shahril Izzuwan Mohd Nor membuktikan dirinya masih antara pencabar utama saingan musim 2012 apabila menamatkan perlumbaan 12 pusingan sebagai juara dengan catatan masa keseluruhan 8:33.558s.

Tambah manis, berada di tempat kedua ialah rakan sepasukannya dari pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM, Mohd Iskandar Raduan. Iskandar yang juga juara pusingan lepas yang menamatkan perlumbaan dengan 8:33.889s manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba kelahiran Terengganu, Ahmad Afif Amran (CKJ Yamaha Racing), 8:35.232s.

Shahril yang kembali ke kategori CP115 selepas memulakan pusingan pembukaan musim 2012 dalam kategori CP130 berkata, "Beraksi semula dalam kategori CP115 pada pusingan kedua ini tidak memberi sebarang impak kepada saya sebaliknya sepertimana yang dirancang oleh pengurus pasukan, Kenny Chua, keputusan ini dilihat dapat mencerahkan peluang kami untuk mengekalkan kedua-dua anugerah keseluruhan yang dimenangi pada musim lepas," jelas juara bertahan CP115 itu.

Mengulas mengenai cabaran sengit daripada Iskandar pada sepanjang perlumbaan, Shahril berkata, "Walaupun dari pasukan sama, kami tetap memberikan aksi terbaik kerana kedua-duanya mahu merebut kemenangan di sini. Namun kemenangan ini sangat penting kepada saya kerana ia membuka ruang bagi saya untuk mempertahankan gelaran musim lepas. Walaupun begitu, keutamaan tetap diberikan kepada strategi yang dirancang oleh pengurus pasukan. Jika selepas ini Iskandar kekal di tangga teratas, saya akan membantunya untuk memenangi gelaran individu keseluruhan," jelas Shahril.

Gelaran naib juara meletakkan Iskandar jauh mendahului pelumba-pelumba lain apabila berada di tangga teratas dalam senarai keseluruhan dengan 45 mata manakala Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui) kedua, mengumpul 26 mata dan Mohd Farid Ahmad (CKJ Yamaha Racing) ketiga, juga dengan jumlah mata yang sama.

Selepas dua pusingan, PETRONAS syntium Moto Yamaha AHM berada di tangga teratas senarai Anugerah Berpasukan Keseluruhan dengan mengumpul 70 mata diikuti CKJ Yamaha Racing kedua, 42 mata dan Motul Yamaha Racing Team 2 (Zaidy Mohd Zaifaizal/Mohd Azhar Abdul Jalil) ketiga, 30 mata.

FAKHRUSY MUNCUL JUARA WIRA DI TERENGGANU



Fakhrusy Syakirin Rostam menebus kehampaan gagal menaiki podium di Batu Kawan apabila meraih gelaran juara dalam kategori WIRA dengan catatan masa keseluruhan 7:12.099s.

Pelumba AAP Mazoil Armstrong Motorsport itu menewaskan Mohd Hafiz Nor Azman (Mos Track Pro Yamaha Racing) yang berada di tangga kedua dengan catatan masa 7:14.027s manakala Mohd Hafizuddin Azahar ketiga, 7:19.970s.

Fakhrusy menjelaskan, "Saya cukup gembira dengan kemenangan ini sekali gus menebus kekecewaan apabila sekadar di tangga keempat pada pusingan lepas. Sememangnya saya begitu inginkan kemenangan ini kerana saya mahu mengukuhkan kedudukan dalam senarai keseluruhan untuk merebut mahkota kejuaraan pada tahun ini," jelas pelumba 16 tahun itu.

Kemenangan ini turut membantu Fakhrusy naik ke tangga pertama dalam senarai keseluruhan dengan 38 mata manakala Hafiz di kedudukan kedua, 36 mata. Juara pusingan pertama, Mohd Izzat Zaidi Salehan yang gagal ke perlumbaan akhir kali ini turun ke tangga ketiga, kekal dengan 25 mata.

KHAIRUL KUASAI KATEGORI PERSENDIRIAN




Jika semangat jadi taruhan, sudah pasti pelumba kategori Persendirian yang layak bergelar juara. Kali ini di pusingan kedua Kejuaraan PETRONAS AAM Cub Prix Malaysia melihatkan pertembungan sengit antara Khairul Azizi Abdul Mansor dan Hilmi Affan Abdul Malik. Dengan catatan masa 7:33.834s, Khairul telah memastikan kemenangan menjadi miliknya.

Walaupun menerima tentangan hebat dari Hilmi sepanjang perlumbaan, Khairul masih mampu merakam masa pusingan terpantas iaitu 44.268s manakala Hilmi terpaksa akur dengan kedudukan kedua dengan catatan masa, 7'39.562s.

Di tempat ketiga, Izuan Sirun didesak kuat oleh Mazlan Jusoh dan menyukarkan beliau merapatkan jurang 15 saat (7'48.719s) dengan pelumba hadapan namun dia tetap berbangga memandangkan dia hanya bermula dari petak kelima perlumbaan. Kamarun Abdul Karim dan Munisamy Naidu Arumugam pula malang tidak dapat meneruskan perlumbaan.

"Setelah tiga tahun yang sukar, saya sangat bersyukur dengan kedudukan teratas podium ini," kata Khairul Azizi manakala Hilmi dirakam terpaksa berpuas hati dengan pencapaian kali ini namun telah belajar dari kesilapan. Izuaf pula mengaku yang masalah teknikal pada jentera menghalangnya memecut lebih laju akan tetapi beliau sudahpun bersedia untuk pusingan seterusnya di Kangar.

Khairul kini mendahului kedudukan keseluruhan kategori Persendirina dengan 41 mata diikuti Hilmi, 27 mata dan Izuaf ketiga, 26 mata.

Thursday, April 12, 2012

SHAHRIL KEMBALI PERTAHAN MAHKOTA CP115




Selepas satu pusingan beraksi dalam kategori CP130, Shahril Izzuwan Mohd Noor akan kembali ke kategori CP115 bermula Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Terengganu hujung minggu ini.

Keputusan itu dibuat pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM hasil pertimbangan teliti mereka mendapati gaya tunggangan Shahril lebih sesuai dengan jentera CP115. Di samping itu pertukaran ini dilihat sebagai langkah terbaik bagi mencapai objektif pasukan untuk mempertahankan gelaran pasukan terbaik CP115 yang dimenangi dua tahun berturut-turut (2010 dan 2011).

Bagi Shahril pula, langkah ini memberi peluang untuk mempertahankan gelaran Juara CP115 yang dimenangi musim lalu.

"Pasukan kami mempunyai matlamat yang besar. Selain mahu mengekalkan gelaran keseluruhan individu dan berpasukan CP115, kami juga mencari peluang untuk menguasai kategori CP130 dan saya akan cuba yang terbaik bagi mencapai sasaran yang dikehendaki," jelas pelumba dari Pulau Pinang itu.

Perlumbaan Pusingan 2 bakal menyaksikan Shahril berganding bahu dengan juara Batu Kawan, Mohd Iskandar Raduan manakala Zulsyafiz akan membawa cabaran kategori CP130 bersama-sama Mohd Ramdan Mohd Rosli.

Bercakap tentang sasarannya hujung minggu ini, Shahril menjangkakan perlumbaan yang sukar memandangkan tahap persaingan dalam kelas pertengahan ini semakin meningkat.

"Untuk mempertahankan gelaran juara jauh lebih mencabar berbanding memenanginya. Selain itu saya berpendapat perlumbaan di Kuala Terengganu kali ini pasti sangat sukar kerana berdasarkan apa yang berlaku di Batu Kawan, jelas kebanyakan pelumba CP115 lebih hebat baik dari segi kemahiran dan keupayaan jentera selepas cuti panjang.

"Sungguhpun begitu, saya yakin dengan kemampuan saya untuk memberi tentangan memandangkan mekanik pasukan telah menyediakan pelarasan jentera yang mantap. Secara peribadi, saya meletakkan sasaran untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan lima pelumba teratas dan jika berjaya menaiki podium, ia satu bonus buat saya!" katanya.

ZAQHWAN SEDIA TEPIS KRITIKAN



Pelumba muda CP130, Mohd Zaqhwan Zaidi mahu meneruskan rentak kemenangan apabila berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu bagi menghadapi pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012, hujung minggu ini.

Pelumba 17 tahun itu mahu membuktikan kemenangannya di Batu Kawan (Pusingan 1) bukan sekadar nasib setelah pendahulu, Ahmad Fazli Sham (Yamaha Maju Motor Racing) dan duo Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, Azlan Shah Kamaruzaman serta Mohd Affendi Rosli terlibat dengan kemalangan manakala jentera pelumba veteran Ahmad Fuad Baharudin mengalami masalah teknikal ketika mendahului perlumbaan.

Sebaliknya pelumba Pachie Yuzy Honda Racing yang kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 25 mata menekankan kerja keras dan kesungguhannya menjadi faktor utama dia berjaya mencatat kemenangan pertama dalam kategori CP130 selepas membuat penampilan sulung musim lalu.

"Memang nasib menjadi antara penyumbang kepada kejayaan saya namun kemenangan ini bukan hanya bergantung kepada nasib sahaja. Sebaliknya, saya telah bekerja keras untuk sampai ke tahap ini. Sepanjang musim rehat, saya menjalani latihan secara konsisten bagi memastikan kecergasan saya berada di tahap terbaik dan turut mengkaji segala kesilapan dan kelemahan musim lepas bersama-sama pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini," katanya.

Dia kemudiannya menambah, "Pada masa sama, mekanik pasukan turut menjalankan tugas mereka dengan begitu baik sekali! Mereka menyediakan pelarasan jentera dengan lebih baik setelah belajar daripada masalah-masalah yang dialami musim lepas. Hasilnya, jentera Honda kami kini mampu bersaing dari semua aspek seperti kelajuan, ketahanan, pengendalian dan lain-lain lagi."

Selain itu, penglibatan remaja ini dalam perlumbaan SuperSports 600cc di Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS bersama pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing Malaysia turut membantu meningkatkan kemampuannya di atas jentera dua roda.

"Latihan SuperSports 600cc lebih mencabar kerana menggunakan jentera yang lebih besar dan berat. Namun saya percaya, masa yang digunakan untuk menunggang jentera CBR600RR banyak meningkatkan prestasi saya di atas jentera underbone. Jika dibandingkan dengan musim lepas, bukan hanya dari segi fizikal dan stamina saya lebih mantap, tetapi persediaan mental dan fokus saya juga bertambah baik."

Berada di belakang Zaqhwan dalam senarai keseluruhan ialah Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) dengan 20 mata diikuti Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) ketiga, 16 mata.

KEPUTUSAN UJIAN PRA-MUSIM ARRC JADI MOTIVASI BUAT HAFIZ




Pelumba WIRA, Mohd Hafiz Nor Azman yang mencatat masa terpantas sewaktu ujian pra-musim Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) baru-baru ini mengambil pencapaian tersebut sebagai motivasi besar buat dirinya menghadapi pusingan dua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Terengganu pada 13 dan 14 April ini.

Pelumba Team MOS Malaysia Racing itu mengejutkan ramai pihak termasuk pelumba senior dari Malaysia, Indonesia, Jepun dan Phillipines apabila dia mendominasi dua daripada tiga sesi-ujian kategori Underbone 115cc sebelum meletakkan dirinya selaku pelumba terpantas dengan catatan masa 1'23.468saat.

Sementara itu duo Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, Norizman Ismail dan Mohd Affendi Rosli muncul kedua dan ketiga terpantas dengan catatan 1'23.922saat dan 1'23.944 saat masing-masing pada ujian pra-musim yang dijalankan di Litar Antarabangsa Sepang pada Rabu dan Khamis lepas.

Turut menambahkan keyakinannya, Hafiz memulakan musim 2012 dengan langkah kanan apabila muncul tempat ketiga pada pusingan pembuka Cub Prix di Batu Kawan di belakang juara, Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan dan naib-juara Tengku Amirul Haffiruddin, kedua-duanya wakil pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing.

Walaupun begitu, pelumba muda itu tidak beranggapan pusingan di Terengganu hujung minggu ini sebegitu mudah. "Mustahil perlumbaan hujung minggu ini mudah. Sebaliknya saya berpendapat ia pasti amat sukar kerana kebanyakan pesaing saya agak berpengalaman memandangkan sejumlah dari mereka telah berlumba dalam kategori WIRA selama beberapa tahun. Mungkin dari segi teknikal jentera tidak banyak beza, tetapi pengalaman yang diperolehi selama ini pasti akan menjadi kelebihan buat mereka," jelas Hafiz.

Dia turut menambah, "Namun saya tidak gentar. Di Batu Kawan saya berjaya menamatkan saingan di atas podium dan baru-baru ini saya mencatat masa terpantas sewaktu ujian pra-musim Underbone 115cc di Litar Sepang dan ini menjadi motivasi cukup besar buat saya merebut kedudukan juara. Apa yang penting ialah saya perlu fokus, menggunakan peluang yang diberikan sebaik mungkin untuk memahami litar dan cuba yang terbaik untuk mencipta jarak dari pelumba lain," ujar remaja berusia 16 tahun itu.

Bercakap mengenai prestasinya pada ujian pra-musim ARRC minggu lalu, Hafiz memberikan komen, "Saya cukup terkejut dan tidak menjangkannya. Saya juga berharap, berdasarkan keputusan tersebut, pihak pengurusan pasukan akan membenarkan saya beraksi sepenuh masa dalam Kejuaraan ARRC yang pasti akan banyak membantu meningkat skil perlumbaan saya."

Monday, April 2, 2012

ZAQHWAN BERMULA LANGKAH KANAN




Mohd Zaqhwan Zaidi bermula dengan langkah kanan apabila memenangi perlumbaan kategori CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, hari ini.

Pelumba Pachie Yuzy Honda Racing itu menewaskan pelumba-pelumba lebih berpengalaman setelah menamatkan perlumbaan sebanyak 15 pusingan dengan catatan masa keseluruhan 13 minit 42.362s.

Tempat kedua menjadi milik Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2), 13:48.645s diikuti Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) ketiga, 13:49.541s.

Malang menimpa buat juara Batu Kawan musim 2011 yang memulakan perlumbaan di petak pertama, Ahmad Fazli Sham apabila terjatuh seawal pusingan kedua dan gagal meneruskan perlumbaan selepas itu.

Zaqhwan yang cukup gembira dengan kemenangan pertamanya sejak mula menyertai kategori perdana ini pada musim lepas berkata, "Saya tidak menyangka mampu meraih kemenangan ini apatah lagi melakukan sedikit kesilapan pada peringkat awal perlumbaan. Namun nasib saya begitu baik pada hari ini apabila jentera saya berada dalam keadaan terbaik di tambah dengan insiden beberapa pelumba di hadapan yang turut membantu saya untuk muncul juara," jelas pelumba 17 tahun ini.

Zaqhwan menambah, "Saya sangat-sangat berterima kasih kepada seluruh pasukan saya kerana dapat menyediakan jentera di tahap optimum. Pengalaman beraksi di pentas Asia juga banyak membantu meningkatkan kemahiran saya untuk menghadapi cabaran CP130 musim ini. Saya berharap dapat mengekalkan prestasi konsisten sepertimana di Batu Kawan pada setiap pusingan perlumbaan akan datang."

Kemenangan itu meletakkan Zaqhwan kini mendahului senarai keseluruhan dengan memungut 25 mata diikuti Azlan, 20 mata dan Muhaimin ketiga, 16 mata.

Gandingan Zaqhwan dan Wan Mohd Hadri Wan Muhktar turut membolehkan pasukan Pachie Yuzy Honda Racing mendahului senarai kedudukan berpasukan dengan 28 mata, Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2 (Azlan, Mohd Fitri Ashraf Razali) kedua, 26 mata dan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 1 (Norizman Ismail/Mohd Affendi Rosli) ketiga, 22 mata.

ISKANDAR MUNCUL JUARA CP115 DI BATU KAWAN




Kejayaan dicapai pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM, Mohd Iskandar Raduan apabila dia berjaya mengungguli perlumbaan kategori CP115 setelah kali terakhir memenanginya pada tahun 2010.

Iskandar menamatkan perlumbaan 12 pusingan dengan masa keseluruhan 11:14.403s diikuti Mohd Azhar Abdul Jalil (Motul Yamaha YY Pang)kedua, 11:16.163s dan Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui Racing) ketiga, 11:20.479s.

Menurut Iskandar, "Kemenangan ini merupakan sesuatu yang cukup positif kepada saya setelah agak lama tidak menjejakkan kaki di atas podium. Saya begitu berpuas hati dengan prestasi keseluruhan di Batu Kawan ini apabila berjaya menguasai semua sesi yang berlangsung sepanjang dua hari ini ditambah dengan keadaan jentera yang begitu baik."

Tambah Iskandar lagi, "Pengalaman beraksi dalam kategori CP130 pada musim lepas juga turut membantu meningkatkan kemahiran saya dan menaikkan semula semangat saya untuk aksi pada musim 2012 ini. Semoga ia berterusan di Kuala Terengganu nanti," jelasnya.

Iskandar mendahului kedudukan keseluruhan dengan 25 mata diikuti Azhar, 20 mata dan Ahmad, 16 mata. Namun, pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing 2 (Azhar, Zaidy Mohd Zaifaizal) menguasai kedudukan berpasukan dengan 30 mata diikuti PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM (Iskandar, Zulsyafiz Rosli) kedua, 25 mata dan Apido Yamaha Boon Kui Racing, (Ahmad, Zulzaki Kipli) ketiga, 16 mata.

MOTUL YAMAHA YY PANG KUASAI PERLUMBAAN WIRA PERTAMA




Pasukan Motul Yamaha YY Pang mencatat kemenangan bergaya apabila dua pelumbanya, Mohd Izzat Zaidi Mohd Solehan dan Tengku Amirul Haffiruddin menguasai perlumbaan kategori Wira.

Izzat muncul juara dengan catatan masa keseluruhan 9;24.293s diikuti Amirul kedua, 9:25.366s. dan pelumba Mos Malaysia Racing, Hafizh Nor Azman ketiga, 9:26.970s.

Izzat yang bermula di petak ketiga menjelaskan, "Keadaan jentera pada perlumbaan hari ini begitu baik dan membantu kepada kemenangan saya hari ini. Selain itu, strategi yang kami rancangkan s untuk saling membantu sepanjang perlumbaan ini juga membuahkan hasil. Saya sangat-sangat berterima kasih kepada seluruh kru pasukan yang dapat menyediakan jentera terbaik kepada saya hari ini," jelas Izzat yang turut meraih gelaran juara perlumbaan Super Siri Yamaha 135 PETRONAS sebelum itu.

Menjelaskan tentang perlumbaan akhir, pelumba itu berkata, "Semua pelumba saling berebut untuk berada di hadapan sebaik pelumba dilepaskan. Pada peringkat awal, saya agak ketinggalan sebelum berjaya merampas kedudukan di hadapan pada pusingan ketiga. Saya berharap dapat meneruskan momentum kemenangan ini pada perlumbaan kedua di Kuala Terengganu nanti," jelasnya.

Kemenangan itu meletakkan Izzat sebagai pendahulu keseluruhan dengan memungut 25 mata diikut Amirul dengan 20 mata dan Hafizh ketiga, 16 mata.

DARIMI BAKAL GANTI WAZIR



Mencatat masa terpantas dalam sesi ujian masa; memenangi perlumbaan saringan dan sejurusnya menjadi pelumba paling dominan dalam perlumbaan akhir kategori Persendirian. Situasi ini sering dihasilkan oleh Wazir Abd Razak dalam musim 2011. Dalam musim 2012 pula, di pusingan pembuka tirai di Batu Kawan pada 1hb April, senario yang sama dihidangkan oleh seorang lagi pelumba persendirian, Darimi Zikri Dazari.

Darimi memenangi perlumbaan saringan Persendirian B dan berjaya merebut petak permulaan kedua dalam perlumbaan Persendirian Akhir. Walaupun menerima tentangan dari Hilmi Affan Abd Malik yang bermula dari petak pertama, Darimi tidak lengah mencuri kedudukan pendahulu. Pada akhir perlumbaan 10 lap, Darimi mencatat kemenangan dengan masa 10:10.063 disusuli Husni Kahar Khuri dengan 10:14.736 dan Khairul Azizi Abd Mansor di tempat ke-3 dengan 10:15.176.