jokisenja header

jokisenja header

Tuesday, November 30, 2010

FAZLI TERDESAK CARI KEMENANGAN


 
Nekad untuk bergelar Juara CP130, Ahmad Fazli Sham terdesak mencari kemenangan pada Pusingan akhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang bakal berlangsung di Padang Kota Lama, Pulau Pinang pada 4 dan 5 Disember ini.
 
Dengan hanya meraih kemenangan, barulah Fazli boleh bergelar juara bagi musim 2010. Ini kerana saingan bagi merebut mahkota CP130 begitu sengit sekali dengan hanya 2 mata yang membezakan di antara tiga calon.
 
Mereka adalah pendahulu keseluruhan, Norizman Ismail (Harian Metro SCK Honda Racing) yang mengetuai carta dengan 146 mata, diikuti Fazli dari pasukan Shell Advance Yamaha Maju di tempat kedua dengan 145 mata dan Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline) di tempat ketiga dengan 144 mata.
 
Kemenangan terakhir buat Fazli adalah pada Pusingan 5 di Kuala Terengganu dan selepas itu, keputusannya mendadak tanpa sebarang podium pada separuh musim kedua ekoran masalah jentera. Dengan itu, Juara Expert dua kali berturut-turut itu (2007 dan 2008) itu, berharap dapat mencapai keputusan cemerlang di Kuala Terengganu sekali lagi.
 
Fazli, 27 tahun menjelaskan, "Isu teknikal pada jentera telah mempengaruhi keputusan saya yang kurang memberangsangkan itu sekaligus memberi impak pada kedudukan saya di dalam carta keseluruhan CP130. Akibatnya, kini Norizman dan Hafizh  berjaya merapatkan jurang mata dan kini kami dipisahkan hanya dengan dua mata."
 
Fazli yang berjaya memenangi dua perlumbaan dan muncul di podium kedua sebanyak dua kali pada separuh musim pertama turut mengemukakan perasaan tidak puas hati terhadap prestasinya itu, "Memang tidak dapat saya dinafikan lagi bahawa saya amat kecewa kerana tidak berupaya mengutip lebih banyak mata untuk mengekalkan kedudukan keseluruhan ekoran masalah jentera. Kini, Norizman dan Hafizh sama-sama mempunyai peluang untuk bergelar juara dan ketiga-tiga kami mempunyai sasaran yang sama iaitu untuk memenangi perlumbaan di Pulau Pinang."
 
Pelumba kelahiran Taiping itu turut memberikan komen mengenai kebarangkalian untuk memenangi perlumbaan di Pulau Pinang hujung minggu ini, "Saya mempunyai 50-50 peluang untuk muncul Juara dan ia hanya boleh dicapai jikalau saya mempunyai jentera yang kompetitif dan pantas kerana litar Padang Kota Lama ini menitik-beratkan aspek kelajuan. Selain itu, saya perlu membentuk strategi berpasukan bersama Elly Idzlianizar Ilias dan Abdul Muhaimin Roslan supaya mereka boleh membantu saya menghalang pesaing di Pulau Pinang nanti."
 
"Tambahan lagi, saya tidak boleh memandang rendah pada Norizman dan Hafizh yang telah menunjukkan banyak peningkatan. Selebihnya bergantung pada nasib dan saya berharap semua akan berjalan lancar di sana," ujar Fazli yang muncul tempat kedua di litar padang Kota Lama pada perlumbaan final kategori Expert tahun lalu.
 

No comments:

Post a Comment