jokisenja header

jokisenja header

Saturday, November 20, 2010

Peluang Fazli semakin terancam



TEKANAN terus memuncak buat Ahmad Fazli Sham untuk mengukuhkan kedudukannya bergelar juara keseluruhan ketika Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas semakin hampir melabuhkan tirainya. 

Pusingan seterusnya iaitu kedua terakhir musim ini akan berlangsung di Litar Sepang Utara pada 20 dan 21 November dan Fazli sudah tidak rela kehilangan mata dalam misi bergelar juara. 

Juara kelas Expert bagi musim 2007 dan 2008 ini mula berasakan dirinya semakin terancam dengan kebangkitan yang dipamerkan pencabar terdekat, Hafizh Syahrin Abdullah dan Norizman Ismail. 

Selepas mengharungi lapan pusingan, pelumba Shell Advance Yamaha Maju ini mendahului kedudukan keseluruhan kelas CP130 dengan 136 mata lapan mengatasi Hafizh yang menggalas cabaran pasukan Petronas Sprinta Yamaha Raceline. 

Pelumba pasukan Harian Metro SCK Honda Racing, Norizman berada di tempat ketiga dengan 121 mata. 

Ketika perlumbaan memasuki fasa kedua, prestasi Fazli agak menurun dan perubahan itu mula menghadirkan kebimbangan terhadap misinya mengejar gelaran juara keseluruhan. 

“Memang tidak dinafikan tentang kepuasan apabila berada di kedudukan teratas, tetapi peluang saya sekarang masih belum selamat. 

“Kegagalan menjejak kaki ke podium pada saingan fasa kedua ini telah mengubah segala-galanya terutama apabila Hafizh dan Norizman semakin garang melancarkan cabaran. 

“Hafizh pula telah mencatat kemenangan hatrik sementara Norizman sudah dua kali menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Saya pula sekadar menduduki tempat ketujuh pada pusi-ngan sebelum ini selain menduduki tempat keempat sebanyak dua kali,” katanya.

Begitupun, Fazli masih belum mahu menyerah dan berazam untuk mengembalikan prestasi cemerlangnya pada Pusingan 9 di Sepang hujung minggu ini. 

Litar Sepang Utara adalah litar kegemarannya dan dia mempunyai rekod cemerlang apabila muncul juara sebanyak empat kali berturut-turut pada saingan musim 2006 hingga 2009.: 

“Keutamaan saya pada perlumbaan akan datang adalah untuk meraih kemenangan. Jika gagal melakukannya, strategi kedua saya ialah untuk menamatkan perlumbaan di hadapan Hafizh dan Norizman,” katanya.

No comments:

Post a Comment