jokisenja header

jokisenja header

Thursday, July 28, 2011

Pelumba Boon Siew Honda sertai aksi Suzuka



Pasukn Boon Siew Honda Racing Malaysia.

KUALA LUMPUR - Pelumba Boon Siew Honda Racing Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman dan Mohd Emir Firdaus Hasan melangkah lebih jauh dalam mengembangkan karier mereka apabila akan beraksi dalam saingan Perlumbaan Suzuka 8 Hours Endurance Road Race ‘Coca Cola Zero’ yang ke-34 di Litar Suzuka pada 28 hingga 31 Julai ini.

Pasangan yang turut beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) dalam kategori SuperSports 600cc itu turut bakal  mencatat sejarah sebagai wakil pertama negara mengambil bahagian dalam perlumbaan tradisional yang dianggap antara terbesar oleh pelumba-pelumba handalan Jepun di seluruh dunia.

Azlan dan Emir akan mengambil bahagian dalam kategori '4 hours' di atas jentera Honda CBR600RR. Sepertimana namanya, kategori tersebut akan berlangsung secara berterusan selama empat jam dan kedua-dua pelumba akan silih berganti sepanjang perlumbaan.

“Objektif utama bukan hanya untuk memberi lebih banyak pendedahan, malah ia juga untuk menilai dan mengukur kemampuan mereka menentang pelumba-pelumba terbaik Jepun di litar dan suasana yang berbeza. Dengan berbuat demikian, kami berharap mereka lebih yakin mengendalikan jentera 600cc, dapat memberi pandangan teknikal yang lebih baik dan akhirnya dapat mencapai keputusan yang lebih baik di ARRC,” jelas Pengarah Boon Siew Honda Racing Sdn Bhd, Tan Hui Jing.

Walaupun kategori empat jam ini lebih singkat waktunya dari kategori '8 hours', dia percaya ia bukanlah suatu tugas mudah. Sebaliknya dia berpendapat perlumbaan tersebut pasti mencabar kerana ia mengetengahkan format yang berbeza.

“Bukan hanya litar Suzuka begitu teknikal malah Azlan dan Emir juga perlu berhadapan dengan saingan hebat pelumba Jepun yang pernah beraksi berulang-kali di litar yang sama. Selain itu, ini merupakan kali pertama mereka beraksi dalam perlumbaan 'endurance' seperti ini. Oleh itu mereka memerlukan perancangan yang amat teliti dan rapi dari segi strategi."

Dia turut menambah,”Dari segi persediaan teknikal, kami tidak begitu bimbang kerana kami mendapat kerjasama daripada pihak Harc-Pro. Mereka merupakan pasukan satelit terbaik Honda di Jepun dan saya yakin mereka dapat membantu kami untuk menyediakan sebuah jentera yang cukup kompetitif.”

Apabila di tanya tentang kekuatan dan kelemahan Azlan dan Emir pada perlumbaan ini, Hui Jing berkata, “Azlan membawa reputasi tinggi sebagai salah seorang pelumba terbaik SuperSports 600cc negara dan dia telah membuktikan kemampuannya di ARRC apabila mampu menyaingi pelumba kelas dunia, Katsuaki Fujiwara (Manual Tech Beet Kawasaki Racing). Tambahan pula dia turut mempamerkan prestasi yang baik sewaktu menjalani latihan di Suzuka beberapa minggu lepas.

"Namun, walaupun dia pantas, tahap kecergasannya tidak sekuat Emir. Emir pula agak perlahan dan kurang berpengalaman, namun dia mempunyai tahap kecergasan yang baik dan dapat beraksi secara konsisten pada setiap pusingan. Dengan itu, kami harap kedua-dua pelumba ini dapat berada di kalangan 10 pelumba terbaik."

Azlan dan Emir teruja beraksi di Suzuka


Penunggang Boon Siew Honda Racing Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman mengambil selekoh semasa sesi latihan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.

KUALA LUMPUR - Pelumba Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC), Azlan Shah Kamaruzaman dan Mohd Emir Firdaus Hasan tidak sabar menanti penyertaan  pertama mereka dalam Perlumbaan Suzuka 8 Hours Endurance Road Race ‘Coca Cola Zero’ yang ke-34 di Litar Suzuka pada 28 hingga 31 Julai ini.
Pasangan Boon Siew Honda Racing Malaysia itu akan beraksi dalam kategori '4 hours endurance race' di atas jentera Honda CBR600RR.
“Saya tidak sabar untuk turun ke litar minggu ini dan saya berterima kasih kepada pengurusan Boon Siew Honda Racing Malaysia kerana memberi peluang,” kata  Azlan.
Walaupun yakin dengan kemampuannya, Azlan yang mempamerkan prestasi konsisten dengan kejayaan menjejakkan kaki di podium pada setiap perlumbaan ARRC PETRONAS  2011 masih belum selesa dengan rentaknya.
Sebaliknya, dia berjanji akan terus bekerja keras dan cuba meningkatkan lagi prestasi sewaktu sesi latihan bebas pada Khamis (28 Julai) dan Jumaat (29  Julai).
"Tidak dinafikan ia pasti mencabar bersaing dengan 49 pasukan lain namun saya tetap gembira dan teruja dapat membuat penampilan di Litar Suzuka nanti,"  tambah Azlan.
Azlan ketika ini menghuni tangga kedua dalam senarai keseluruhan SuperSports 600cc ARRC PETRONAS 2011 dengan 72 mata, 28 mata di belakang pendahulu, Katsuaki  Fujiwara (Manual Tech Beet Kawasaki Racing) yang mengumpul 100 mata.
Emir turut bersependapat dengan rakan sepasukannya itu. Dia menjelaskan, “Saya begitu bangga kerana di beri peluang untuk mengambil bahagian dalam perlumbaan  yang hebat seperti ini.
"Litar Suzuka juga merupakan sebuah litar yang sukar untuk dikuasai kerana mempunyai laluan teknikal dan laluan lurus yang mencabar. Walau bagaimanapun, kami  sudah cukup bersedia untuk beraksi pada minggu ini," kata Emir yang mula menyertai kategori SuperSports 600cc tahun lalu.

Tuesday, July 26, 2011

Vespa gamit memori


LX150 memiliki daya pecutan luar biasa.
VESPA, bukan nama asing dalam industri motosikal global. Pengenalannya dikatakan bermula pada awal tahun 1940-an di Itali. Pada ketika itu, model Vespa MP5 Paperino diperkenalkan oleh syarikat Piaggio.
Bermula dari situ, jentera besi ini mula berkembang sehingga terdapat lebih 138 versi Vespa. Namun, ketika ini, hanya lima versi sahaja masih dalam pengeluaran.
Motosikal era pascaperang dunia kedua itu pernah memiliki tarikan populariti yang cukup luas. Lihat sahaja pada jumlah jualannya. Tahun 1947 menyaksikan sebanyak 2,500 unit berjaya dijual.
Tiga tahun kemudian, jualannya mencecah paras 60,000 unit. Pada tahun 1956, satu juta unit Vespa sudah dijual. Selepas 50 tahun Vespa diperkenalkan, jualannya menjangkau 15 juta unit.
Motosikal itu juga bukan asing di negara ini. Ia pernah muncul dalam dua filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, iaitu Ali Baba Bujang Lapok dan Nasib Do Re Mi.
Tiada klac tangan
Senario kebangkitan Vespa bermula apabila Piaggio memperkenalkan barisan skuter Vespa berwajah moden sekitar tahun 2009. Jentera ikonik Itali itu pantas menjadi antara penyataan fesyen dan skuter gaya hidup. Di Malaysia, ia diedarkan oleh anak syarikat Kumpulan Naza, Naza Premira Sdn. Bhd. (Naza Premira). Antara model ditawarkan ialah Vespa LX150, Vespa GTS 300 dan Vespa GTV 250.
Baru-baru ini, saya berpeluang menunggang uji model LX150. Lokasinya hanya di sekitar Kuala Lumpur. Sekali pandang, identiti klasiknya masih dikekalkan.
Paling dominan ialah lampu dan cermin sisi berbentuk bulat, di samping dapra depan yang lebar. Ia memiliki peratus penggunaan besi yang tinggi berbanding plastik. Penggunaan komponen berwarna krom pada beberapa bahagian tertentu skuter ini menyerlahkan lagi keanggunannya.
Perkara pertama dikesan ialah jentera ini tiada gear tangan dan klac. LX150 bertransmisi automatik. Ia dilengkapi enjin silinder tunggal empat lejang bersesaran 149.5cc.
Jadi, anda tidak lagi perlu menggunakan minyak 2T seperti varian lamanya. Enjin tersebut berupaya menjana kuasa maksimum 9.7kW pada 7,750 rpm. Tork maksimum pula ialah 11.5Nm pada 6,000 rpm.
Sistem Operasi
Untuk menghidupkan LX150, tongkat tunggal perlu dinaikkan dahulu sebelum menarik brek tangan dan menekan butang pemula. LX150 turut dilengkapi penghidup tendang. Jika mahu menggunakan penghidup tendang, posisikan LX 150 di atas tongkat kembarnya terlebih dahulu.
Pulas sahaja pendikit minyaknya, jentera ini akan meluncur dengan lancar. LX150 masih menggunakan sistem karburator. Jangan terkejut apabila memandang jarum meter yang bergerak laju kerana dalam beberapa saat sahaja ia boleh mencecah 80 kilometer sejam (km/j). Kelajuan maksimum bagaimanapun gagal dikenal pasti.
INSTRUMEN panel meter komprehensif dan mudah dibaca sewaktu tunggangan.


Sebabnya, tayar belakang Vespa yang ditunggang uji sering mengalami masalah angin meresap. Puncanya terletak pada dua lubang tayar yang sudah pun ditampal dengan 'cacing'. Ia tetap bocor.
Tiap kali mahu menunggang, angin perlu diisi semula agar dapat merasai tunggangan sebenar. Tiada masalah jika terpaksa menunggang dalam tempoh lama kerana keselesaan tempat duduknya yang lebar dan besar. Punggung pun tidak terasa kebas.
Sewaktu menunggang dalam kesesakan jalan raya, saya mendapati Vespa cukup mudah dikendalikan. Meskipun memiliki saiz bahagian belakang yang besar, ia tidak mengganggu konsentrasi tunggangan.
LX150 dipasang dengan rim aloi ringan. Saiz depan ialah 11 inci manakala belakang pula 10 inci. Tayar digunakan masing-masing bersaiz 110/70 di depan dan 120/70 di belakang. Brek cakera hadapan 200 milimeter (mm) cukup efisien untuk menghentikan jentera. Sementara brek belakang menggunakan khidmat brek jenis drum bersaiz 110mm.
Skuter ini dilengkapi tangki minyak berkapasiti 8.5 liter termasuk minyak simpanan sebanyak dua liter. Saya mengisi petrol Ron95 berjumlah RM7 (3.68 liter) ke dalam tangki yang kosong. Meter minyak kemudiannya menunjukkan petrol memenuhi 50 peratus tangki.
Perjalanan dari stesen minyak Shell di Jalan Selangor, Petaling Jaya ke Chan Sow Lin dan terus menghala ke Ampang Point. Dari Ampang, saya menunggang semula ke Chan Sow Lin. Bacaan pada meter, daripada setengah tangki petrol, ia tinggal kira-kira suku tangki sahaja. Kelajuan purata tunggangan ialah 60-80 km/j. Jimat juga.
Harga tunai atas jalan LX150 ialah RM10,988.15 seunit. Ia termasuk jaminan selama satu tahun atau perbatuan 12,000 km (mana-mana yang tiba dahulu). Jumlah tersebut meliputi insurans komprehensif untuk semua penunggang. Mahal? Tidak bagi mereka yang menghargai legasi dan jenama Vespa.
Vespa menjadi trend generasi muda dan eksekutif bandar. Senario penggunaannya semakin berubah. Jenama Vespa mula bangkit semula. Namun, apa yang pasti dirindu ialah bunyi klasik ekzos Vespa lama...ketang, ketang, ketang.

Monday, July 25, 2011

Stoner kukuh kedudukan pendahulu MotoGP


Pelumba Australia yang menunggang Repsol Honda, Casey Stoner bersama trofi selepas memenangi Grand Prix Motorsikal Amerika Syarikat di Litar Laguna Seca, Monterey, California pada 24 Julai 2011.

LAGUNA SECA - Penunggang Repsol Honda, Casey Stoner mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu MotoGP selepas persembahan cemerlang di Grand Prix Amerika Syarikat (AS) di Litar Laguna Seca. 

Stoner mendahului Jorge Lorenzo sejak pusingan ke 27 daridapa 32 dalam perlumbaan penuh teknikal itu untuk melebarkan matanya kepada 193, berkelebihan 20 daripada penyandang juara, Lorenzo yang memulakan perlumbaan di petak utama meskipun terlibat dalam kemalangan semasa ujian. 

Rakan sepasukan Stoner, Dani Pedrosa di tempat ketiga. Penunggang Australia itu mencatat masa 43 minit 52.145 saat untuk mendahului lima saat di depan Lorenzo. 

Ini merupakan kejayaan kelima penunggang Australia itu musim ini.

Seorang lagi penunggang Repsol, Andrea Dovizioso mengakhiri perlumbaan di tempat kelima di belakang Ben Spies dari Amerika Syarikat yang juga rakan sepasukan Lorenzo. 

Keputusan ini menyaksikan Dovizioso kini berada di kedudukan ketiga dengan 143 mata. 

Valentino Rossi dengan jentera Ducatinya di tempat keenam sementara Nicky Hayden ketujuh. 

Penunggang Perancis, Randy de Puniet tidak dapat mengikuti perlumbaan akibat ditimpa kemalangan semasa sesi kelayakan. 

Sunday, July 24, 2011

Pusingan ke-6 lebih meriah


Perlumbaan Petronas Cub Prix 2011 di Alor Setar kembali lagi bagi pusingan keenam setelah dua tahun berturut-turut menjadi pembuka tirai sebelum menjelajah ke lokasi-lokasi perlumbaan seterusnya. 
Keadaan cuaca panas terik tidak menghalang pengunjung membanjiri gerai di Petronas Cub Prix Malaysia AAM 2011 sambil berpeluang beramah mesra dengan juruhebah serta petugas jualan untuk mendapatkan pelbagai informasi terkini tentang program berkenaan. 
Seorang pengunjung yang juga ahli North Suzuki Bikers Club (NSBC) Shah Uda Ismail, 37, berkata, dia bersama 40 lagi ahli kelab seluruh negeri Kedah serta Perlis berkonvoi beramai-ramai untuk memeriahkan lagi lokasi penganjuran.

Menurutnya, Petronas Cub Prix sering menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan ahli kelabnya kerana secara tidak langsung mereka berpeluang menemui sendiri pelumba. 

“Aktiviti permotoran sering menjadi kegilaan golongan muda dan melalui penganjuran seperti ini dapat memberi pendedahan berguna kepada mereka. 

“Namun sukan ini tidak hanya tertumpu kepada satu golongan sahaja sebaliknya turut diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat,” katanya. 

Sementara itu, pengunjung berasal dari Yan, Siti Wan Zainab Rosli, 23, berkata, dia amat teruja untuk datang ke litar lumba Petronas Cub Prix 2011 untuk memberi semangat kepada rakan-rakannya yang turut sama menyertai perlumbaan. 

Katanya, secara kebetulan dia yang juga bekerja sebagai pembantu jualan di salah sebuah kedai alat ganti motosikal mempunyai ramai kenalan terdiri daripada peminat dunia permotoran. 

“Saya amat berbangga melihat prestasi yang ditunjukkan oleh rakan-rakan baik saya dan akan terus memberi sokongan moral kepada mereka supaya terus berusaha meningkatkan kecemerlangan. 

“Selain itu saya berharap supaya penganjuran perlumbaan Petronas Cub Prix akan diadakan secara lebih kerap di sini kerana dapat menarik minat remaja tempatan terus meminati dunia permotoran untuk menjadi pelumba profesional,” katanya. 

Pengunjung yang berasal dari Pendang, Mohd Saiful Izwan Ibrahim, 17, berkata, melalui penganjuran seperti ini dapat memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan bimbingan mengenai alat ganti yang terbaik untuk digunakan. 

“Saya amat gembira kerana berpeluang melihat sendiri perlumbaan Petronas Cub Prix secara dekat kerana selalunya hanya berkesempatan melihat di kaca televisyen sahaja bersama rakan-rakan. 

“Melalui penganjuran ini, golongan muda mendapat lebih pendedahan perlumbaan secara selamat dan dapat menyedarkan mereka terhadap risiko berlumba tanpa memakai peralatan keselamatan serta membendung kegiatan mat rempit dalam kalangan belia,” katanya. 

Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas AAM 2011 diadakan selama dua hari di mana sesi ujian masa dan sesi pemanas badan memulakan acara pada hari pertama, bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 5 petang. 

Selepas ini Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas AAM 2011 bakal menemui peminat sukan permotoran di Kluang, Johor pada 24 dan 25 September.

Elly Idzlianizar Ilias Juara Kategori CP130

Pelumba pasukan Global Bike Rock Oil Racing, Elly Idzlianizar Ilias


ALOR SETAR: Pelumba pasukan Global Bike Rock Oil Racing, Elly Idzlianizar Ilias menjuarai kategori utama CP130 pusingan keenam kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 di perkarangan Stadium Darulaman di sini, Sabtu.
Dengan menduduki petak utama hasil kemenangan pada saingan 'Superpole' pagi tadi, pelumba berasal dari Kangar, Perlis itu menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan masa 11:44.998 saat, meninggalkan Md Taufiq Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) yang mencatat 11:47.780 saat di tempat kedua.
Hafizh Syahrin Abdullah daripada pasukan Petronas Syntium Moto Yamaha Raceline menduduki tempat ketiga dengan catatan 11:48.183 saat.
Elly, 27, yang memenangi kejuaraan sulungnya tahun ini untuk menjejakkan kaki buat kali pertama di podium bagi kategori itu, berkata beliau berada pada prestasi terbaik untuk saingan kali ini.
"Dengan memantapkan kekuatan fizikal dan mental serta pelarasan enjin yang bagus, nampak usaha dan kerja kuat rakan sepasukan termasuk mekanik membuahkan kejayaan manis buat kami," katanya.
Beliau berkata kejayaan ini merupakan hadiah kepada anggota pasukannya yang bertungkus lumus memantapkan jentera untuk menghadapi persaingan kompetitif dengan pelumba-pelumba lain.
Elly berkata beliau memberi tumpuan sepenuhnya menguasai jentera dan tidak mempedulikan pelumba lain.
"Saya juga tidak sedar dua pelumba terdekat terjatuh namun ia memberi peluang kepada saya untuk menjarakkan diri dengan pelumba lain dan mudah muncul sebagai juara," katanya.
Dua pelumba yang mewakili TEQ SCK Honda Racing, Norizman Ismail dan Azlan Shah Kamaruzaman yang mengikut rapat Elly berlanggar sesama sendiri lalu terjatuh.
Kategori CP115 menyaksikan penguasaan pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing, Md Azhar Abd Jalil yang menamatkan 12 pusingan dengan mencatat 9:40.169 saat dikuti Md Emir Firdaus Hasan dari pasukan M-Seki Liberty Honda Racing (9:40.883 saat) di tempat kedua.
Pelumba pasukan Petronas Syntium Moto Yamaha AHM, Md Hafieenaz Md Ali menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 9:41.296 saat.
Md Azhar dari Klang, Selangor berkata kejayaannya amat bermakna kerana ia merupakan podium pertama bagi beliau setelah beralih daripada kelas Wira ke CP115 tahun ini.
"Saya merasakan litar di Alor Setar memberi tuah selain sokongan rakan-rakan serta mekanik membuatkan jentera saya lebih laju," katanya yang menjuarai kategori Wira dua tahun berturut-turut di litar sama pada tahun lepas dan 2009.
Kategori Wira dimenangi Mohd Adib Rosley daripada pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing selepas menamatkan 10 pusingan dengan masa 8:16.363 saat, kedua pelumba pasukan MOS Malaysia Racing, Zulsyafiz Rosli (8:17.554 saat) dan Md Solehin Md Sukor (Honda Promax X-Dot Racing) tempat ketiga (8:18.650 saat).
Kejohanan pusingan ketujuh dijadualkan berlangsung di litar Kluang, Johor pada 24 dan 25 Sept depan.

Lorenzo bangkit untuk raih petak pertama



Pelumba Sepanyol, Jorge Lorenzo yang menunggang Yamaha ketika sesi kelayakan Grand Prix Amerika Syarikat di Litar Laguna Seca, California pada 23 Julai 2011.

LAGUNA SECA - Pelumba Sepanyol yang menunggang Yamaha, Jorge Lorenzo kembali bangkit untuk meraih petak pertama perlumbaan Grand Prix Motorsikal Amerika Syarikat di Litar Laguna Seca selepas mengalami perlanggaran pada sesi latihan.
Lorenzo, mencatat masa terpantas pada perlumbaan kelayakan itu dengan 1 minit 21.202 saat untuk meninggalkan pelumba Australia, Casey Stoner (1:21.274) ditempat kedua.
Sementara rakan sepasukan Stoner, Dani Pedrosa meraih tempat ketiga manakala seorang lagi penunggang Yamaha, Ben Spies menduduki tempat keemapat.
Dalam sesi latihan, Lorenzo tergelongsor di litar bagaimanapun mampu bangun dan berjalan terhincut-hincut. Beliau menjalani pemeriksaan sebelum doktor mengesahkan dia boleh menyertai perlumbaan kelayakan.
"Ia perlanggaran teruk. Selepas jatuh ke tanah, saya merasai kesakitan dan menganggap perlumbaan sudah tamat bagi saya," kata Lorenzo.
"Ia bernasib baik apabila kesakitan itu beransur-ansur pulih. Bagaimanapun, meraih petak pertama pada perlumbaan kelayakaan adalah lebih daripada apa yang saya jangkakan."

Wednesday, July 20, 2011

Ramdan yakin peluang rebut kejuaraan



Penunggang PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM, Ramdan beraksi semasa Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 di Teluk Intan, Perak.

ALOR STAR - Mohd Ramdan Mohd Rosli mahu terus menghidupkan peluang bagi merebut gelaran juara kategori CP130 dengan mengutip seberapa banyak mata pada Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 22 dan 23 Julai ini.“Separuh daripada musim 2011 sudah berlalu dan kini separuh musim kedua baru sahaja bermula. Berbaki lima pusingan sahaja lagi, sukar untuk kita jangkakan apa akan berlaku selepas ini,” kata Juara CP115 2010 itu.
Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM tersebut ketika ini menduduki tangga  kelima dengan 45 mata dan percaya peluang merebut gelaran juara keseluruhan masih terbuka luas.
Norizman Ismail dari pasukan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing kini mendahului carta keseluruhan CP130 dengan 79 mata diikuti Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing) dengan 52 mata manakala rakan sepasukan Norizman, Mohd Affendi Rosli ketiga dengan 51 mata.
"Walaupun ketinggalan 34 mata dari Norizman, saya yakin dapat mengejarnya dan juga pelumba lain yang berada di atas. Saya tidak akan berputus asa dan tidak mudah untuk menyerah kalah sebelum berjuang habis-habisan," kata Ramdan.
Pelumba 15 tahun itu mencipta kejutan awal musim ini apabila muncul juara pada pusingan pembukaan di Kangar namun selepas itu tidak beraksi pada tiga pusingan berikutnya akibat kecederaan kaki yang dialami sewaktu menjalani latihan. Ramdan membuat kemunculan semula pada Pusingan 5 yang berlangsung di Teluk Intan dan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Menyentuh tentang litar Alor Setar, dia berkata, "Tahun lepas saya memenangi perlumbaan CP115 di sini dan ia turut menghadirkan banyak kenangan manis buat saya. Litar ini tidak begitu teknikal dan saya gembira beraksi di sini. Namun kali ini saya terpaksa berhadapan dengan pelumba lebih berpengalaman berbanding musim lepas. Saya berharap tidak akan pulang dengan tangan kosong."
Peminat-peminat boleh menyaksikan siaran langsung di Astro Supersport 1 (811) dari jam 2.30 petang ke 4.30 petang Sabtu ini.

Rozaliman tidak terburu-buru



Rozaliman kini berada di tangga kelima dalam senarai kedudukan CP115.
KUALA LUMPUR, (D5) - Mohd Rozaliman Zakaria tidak terburu-buru dalam perebutan takhta Kejuaraan CP115 apabila turun beraksi pada Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah  pada 22 dan 23 Julai ini.

Berbaki lima pusingan, pelumba ZAR Racing Motorsport itu sekadar berada di kedudukan kelima dalam senarai keseluruhan dengan 51 mata namun dia masih belum terdesak untuk mengejar kedudukan pendahulu kejuaraan CP115. Ini kerana Rozaliman hanya ketinggalan tiga mata kepada Mohd Adli Salihin (Motul Yamaha YY Pang) dan Mohd Emir Firdaus Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing) yang terikat di kedudukan ketiga dengan 54 mata.

Sementara itu kedudukan teratas menjadi milik Shahril Izwan Mohd Noor dari PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM dengan 81 mata diikuti rakan sepasukan Adli, Zaidy Mohd Zaifaizal dengan 76 mata.

Pelumba kelahiran Terengganu itu mensasarkan untuk berada di tangga ketiga keseluruhan pada saingan musim 2011 selain berharap dapat menjejakkan kaki di atas podium sekali lagi pada perlumbaan minggu ini.

"Walaupun saya berada di tangga kelima, perbezaan mata antara saya dengan Adli dan Emir tidak begitu besar dengan hanya tiga mata membezakan kami. Lagipun, sasaran saya adalah untuk berada di tangga ketiga keseluruhan dan ia merupakan satu sasaran yang realistik. 

"Di samping itu saya mahu menjadi antara tiga pelumba terawal yang melintasi garisan penamat di Alor Setar nanti,” kata Rozaliman yang berjaya menaiki podium sebanyak dua kali setakat ini.

Kejayaan pertama Rozaliman hadir di Kuala Terengganu (Pusingan 3) dengan menduduki tempat ketiga manakala di Teluk Intan (Pusingan 5) dia memperbaiki keputusan dengan menduduki tempat kedua. Ketika di Kangar (Pusingan 1) Rozaliman turut menamatkan perlumbaan di tempat ketiga namun jatuh ke tangga 17 setelah dikenakan penalti 30 saat selepas didapati bersalah melakukan kesalahan jump-start.

Rozaliman turut menambah, “Ketika Pusingan 3, kami berjaya menemui pelarasan yang tepat manakala pada Pusingan 4 (Putrajaya), kami cuba menggunakan enjin baru untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik. 

"Malang sekali keputusan tidak seperti yang diharapkan apabila saya hanya berjaya mengutip dua mata. Di Teluk Intan kami kembali kepada pelarasan serupa dan berjaya menghasilkan keputusan yang kami inginkan. Bagi pusingan akan datang, kami akan menggunakan enjin yang sama dan saya yakin dapat berada di barisan hadapan."

Bertanyakan tentang peluang untuk merebut gelaran juara keseluruhan, dia berkata, “Persaingan semakin lama semakin sengit terutama dari pasukan Honda. Pada saat ini, saya tidak memikirkan tentang gelaran lagi kerana objektif saya adalah untuk berada di tangga ketiga keseluruhan. 

"Kami akan lihat  bagaimana keputusan pada Pusingan 7 (Melaka) nanti dan selepas itu baru boleh merancang strategi pada peringkat penting Kejuaraan nanti.”

Tuesday, July 19, 2011

Peniaga Bantah Anjur Kejohanan Cub Prix

ALOR SETAR: Lebih 100 penyewa gerai dan peniaga bazar malam Stadium Darul Aman (SDA) di sini, membantah penganjuran kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas yang didakwa menjejaskan perniagaan mereka setiap kali kejuaraan itu berlangsung di bandaraya ini.
Pengerusi Persatuan Penyewa-penyewa Gerai SDA, Jafree Don mendakwa mereka kerugian sehingga RM1 juta apabila laluan ke gerai-gerai sekitar stadium itu ditutup sekurang-kurangnya lima hari.
"Penutupan beberapa jalan utama di sekitar stadium seperti jalan Stadium, Lebuhraya Darul Aman dan jalan Bakar Bata menjejaskan pergerakan lalu lintas dan kesesakan yang teruk menyusahkan orang ramai," katanya kepada pemberita di sini.
Jafree mendakwa surat bantahan telah dihantar ke Pejabat Menteri Besar pada Mac lalu, namun tiada sebarang maklum balas diterima sehingga kini.
Sehubungan itu, Jafree berkata satu memorandum bantahan akan dihantar kepada Kerajaan Negeri bagi membantah penganjuran kejohanan terbabit secepat mungkin. Memorandum itu ialah bagi meminta supaya kejohanan yang dijadual berlangsung di sekitar SDA dibatalkan, memindahkan venue kejohanan ke lokasi lain selain mensyaratkan penaja membayar pampasan kepada semua peniaga terlibat.
Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 pusingan keenam dijadualkan berlangsung pada 22 dan 23 Julai ini.
Ia kali ketiga diadakan di sekitar SDA dan Alor Setar selain diberi penghormatan selaku gelanggang pembuka tirai sejak dua musim lalu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata kerajaan negeri bersedia berbincang dengan persatuan bagi menyelesaikan masalah itu.
Katanya para peniaga tidak perlu bimbang kerana premis perniagaan hanya ditutup selama dua hari iaitu pada hari perlumbaan.
"Saya lihat ianya tidak mendatangkan masalah kepada peniaga-peniaga di sini kerana orang ramai dan mereka yang terlibat dalam persediaan litar perlumbaan boleh mengunjungi kedai makanan walaupun jalan ditutup.
"Saya fikir ini merupakan satu program terbaik untuk golongan belia di negeri ini yang ketandusan program untuk belia," kata Hamdan ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.
Mengenai litar perlumbaan pada tahun depan, beliau berkata pihaknya masih mengkaji bantahan peniaga memandangkan litar SDA merupakan kawasan yang paling strategik.-BERNAMA

Tekad Zulsyafiz di Alor Setar


AKSI Zulsyafiz ketika bersaing bagi kategori Wira pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011.



PENDAHULU kategori Wira, Zulsyafiz Rosli mahu berazam mempertahankan kedudukannya dengan sasaran menamatkan perlumbaan di hadapan pesaing terdekat, Mohd. Hafiza Rofa pada Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, 22 hingga 23 Julai ini.
Pelumba pasukan MOS Malaysia Racing itu mempamerkan prestasi konsisten menaiki podium pada setiap pusingan kecuali di Pusingan 3 (Kuala Terengganu) yang mana dia hanya berjaya memungut tiga mata.
Selain itu, Zulsyafiz turut muncul juara pada Pusingan 2 (Batu Kawan) dan Pusingan 5 (Teluk Intan) dan berada di tempat kedua pada Pusingan 1 (Kangar) serta ketiga di Pusingan 4 (Putrajaya).
Hasilnya, Zulsyafiz kini mengutip 89 mata untuk mendahului ke- dudukan keseluruhan bagi kategori Wira, 14 mata mengatasi Hafiza (Faito YSP Racing) yang menduduki tangga kedua (75 mata).
Sementara itu, dua pelumba Motul Yamaha YY Pang, Nurahmad Fariznazreen dan juara bertahan, Mohd. Adib Rosley berada di kedudukan ketiga dan keempat dengan masing-masingnya mengumpul 59 dan 56 mata.
Pelumba berusia 16 tahun itu bagaimanapun masih belum berpuas hati dan merasakan kedudu- kannya masih belum selamat.
"Sudah tentu saya begitu gembira kerana berjaya merampas kedudukan pendahulu daripada Hafiza, namun perbezaan 14 mata ini masih kecil dan belum selamat," ujar Zulsyafiz yang menamatkan musim 2010 di kedudukan kelima keseluruhan.
Jelasnya lagi: "Sebagai contoh, selepas Pusingan 4, Hafiza berada di tangga teratas dengan perbezaan 11 mata, namun pada perlumbaan di Teluk Intan bulan lepas, dia gagal ke perlumbaan akhir, sekali gus kehilangan kedudukan pendahulu.
"Ini membuktikan walaupun saya mempunyai kelebihan 14 mata, apa sahaja boleh berlaku pada baki perlumbaan akan datang sama ada ketika sesi latihan, sesi sari- ngan ataupun perlumbaan sebenar.
"Oleh itu, saya tidak boleh terlalu yakin dengan posisi sekarang, sebaliknya perlu menggunakan peluang ini untuk terus menjarakkan diri daripada pencabar saya."
Zulsyafiz yang memulakan karier perlumbaannya pada 2008, turut memasang impian untuk mengungguli kategori Wira musim ini.
"Ini merupakan tahun ketiga saya beraksi dalam kategori bawah 17 tahun ini dan saya telah menunjukkan banyak peningkatan, terutamanya dari segi kemahiran tunggangan dan kawalan jentera.
"Saya banyak belajar daripada kesilapan sebelum ini, selain memerhati bagaimana pelumba lain beraksi.
"Oleh itu saya betul-betul berharap kejayaan dapat dicapai pada tahun ini. Namun begitu, saya perlu berhati- hati juga kerana ia bukan satu tugas yang mudah.
"Tidak kira apa pun cabaran yang datang pada minggu ini, saya bersedia untuk menghadapinya dan akan menampilkan prestasi terbaik bagi mengekalkan kedudukan selaku pendahulu keseluruhan," katanya

Monday, July 18, 2011

Lorenzo, Stoner sah tidak sertai GP Jepun



Pelumba Sepanyol dari Yamaha Factory Racing, Jorge Lorenzo (kiri) dan pelumba Repsol Honda, Casey Stoner (tengah) ketika perlumbaan Grand Prix Jerman di Litar Sachsenring, Jerman pada 17 July 2011.

SACHSENRING - Juara bertahan, Jorge Lorenzo dan pendahulu kedudukan semasa kejohanan, Casey Stoner telah mengesahkan bahawa mereka tidak akan mengambil bahagian dalam Grand Prix Jepun pada Oktober ini.
Gempa bumi dan bencana tsunami yang melanda negara itu pada Mac lalu menyebabkan perlumbaan ditangguhkan hingga 2 Oktober.
Bagaimanapun, kedua-dua pelumba pasukan Jepun Lorenzo (Repsol Honda) dan Stoner (Yamaha) enggan berlumba di sana apabila Litar Motegi yang menjadi lokasi perlumbaan terletak hanya lebih 100km dari loji nuklear yang terjejas iaitu Fukushima.
"Saya tidak akan menyertainya dan kebanyakan penunggang lain mempunyai pendapat yang sama," kata Stoner yang juga juara dunia 2007.
"Saya mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan ini. Pun begitu, saya tidak akan pergi ke sana. Itu keputusan saya.
"Terpulang kepada pihak penganjur untuk memikirkan apa yang akan berlaku.
"Jika perkara yang sama berlaku berdekatan dengan rumah saya di Australia, saya juga tidak akan kembali ke sana. Ia menjadi situasi yang sama."
Sementara itu, Lorenzo berkata beliau tidak akan mengubah keputusannya untuk tidak menyertai perlumbaan tersebut.
"Saya sudah lama mengambil keputusan untuk tidak pergi ke Jepun," kata pelumba Sepanyol itu. "Jadi saya tidak mahu terus berbincang mengenai perkara ini kerana saya telah membuat keputusan saya.
"Saya rasa jika kita boleh membantu Jepun dengan cara lain kita akan lakukan, tetapi saya fikir pergi ke sana bukanlah sokongan sebenar."