jokisenja header

jokisenja header

Sunday, November 28, 2010

Impian Rozaiman


MOHD Rozaiman Mohd Said berharap tuah menyebelahinya pada pusingan penutup tirai musim 2010 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Padang Kota Lama, Pulau Pinang, 4 dan 5 Disember ini.
Pelumba berusia 22 tahun itu yang mengidam makhota kelas CP115 sekali lagi berhadapan situasi hidup-mati bukan saja kerana perlu merampas ‘chequered flag’ bagi menjulang trofi juara tetapi berharap pendahulu keseluruhan, Mohd Ramdan Mohd Rosli (Petronas Sprinta Yamaha AHM Racing) tidak mengutip lebih daripada tiga mata pada perlumbaan akhir itu.

Pada masa ini, pelumba Motul Yamaha YY Pang itu yang berada di tangga kedua (140 mata) kekurangan 22 mata berbanding Ramdan yang menerajui carta keseluruhan dengan 162 mata.
Walaupun sedar laluan untuk muncul juara sulit, Rozaiman nekad memberikan persembahan terbaik dan menghalang Ramdan menjuarai kelas CP115.

“Tiga mata menentukan segalanya. Tidak dapat dinafikan kemungkinan untuk muncul juara amat tipis memandangkan Ramdan hanya perlu menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 dan mengesahkan dirinya sebagai juara. “Bagaimanapun, saya tetap akan memberikan yang terbaik kerana hanya dengan cara ini, saya berpuas hati walaupun muncul tempat kedua,” katanya.

Dia turut yakin Ramdan tidak akan berlumba secara selamat.

“Dia seorang pelumba yang agresif dan saya yakin dia tentu ingin menaiki podium. Apa saja boleh berlaku dalam perlumbaan seperti kemalangan ataupun kegagalan jentera. Saya hanya boleh tuah menyebelahi saya di Pulau Pinang.” Rozaiman turut kecewa rakan sepasukan, Zaidy Mohd Zaifaizal tidak akan beraksi pada perlumbaan final ekoran digantung daripada perlumbaan selepas didapati bersalah berlumba secara berbahaya pada Pusingan 9 di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) 21 November lalu.

Dia mengharapkan Mohd Adli Salihin yang berkongsi kedudukan ketiga (118 mata) dengan Mohd Iskandar Raduan (Petronas Sprinta Yamaha Raceline) membantunya memenangi makhota CP115 di Pulau Pinang.
Rozaiman juga berharap aksi di litar sendiri di hadapan keluarga dan rakan akan memberikannya kelebihan. “Saya terkilan Zaidy tidak dapat membantu hujung minggu ini. Bagaimanapun, saya punya Adli untuk membantu saya mengatasi cabaran Ramdan dan rakan sepasukannya, Shahril Izzuwan Mohd Noor yang menunjukkan peningkatan di Sepang.

“Selain itu, saya juga punya kelebihan kerana beraksi di litar sendiri. Kehadiran keluarga dan rakan-rakan pasti menyuntik semangat perjuangan,” kata Rozaiman yang berasal dari Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment