jokisenja header

jokisenja header

Saturday, November 13, 2010

Emir harap kemantapan jentera Honda


Md Emir Firdaus Hasan kini menduduki tempat ke-10 di dalam carta keseluruhan kelas CP130.

KUALA LUMPUR, Pelumba CP130, Md Emir Firdaus Hasan berharap pada kekuatan jentera Honda miliknya bagi menamatkan saingan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di kalangan lima pelumba terbaik di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) pada 20 hingga 21 November ini.


Emir yang baru sahaja mencatat keputusan terbaiknya musim ini untuk menamatkan saingan Pusingan 8 (Pekan) di tempat keempat bulan lalu percaya jentera Honda mempunyai kelebihan beraksi di atas litar Sepang yang berukuran 2,609 meter itu kerana ia lebih laju dan tahan lasak berbanding jentera-jentera lain.


Menambahkan lagi keyakinannya, pelumba berusia 21 tahun berkata pasukan Idemitsu Honda Racing tidak pernah putus memberi sokongan kepadanya selain menyediakan pelarasan yang cukup mantap.


Pada waktu ini, Emir menduduki tempat ke-10 di dalam carta keseluruhan kelas CP130 dengan catatan 44 mata manakala rakan sepasukan, Ahmad Fazrul Sham muncul tempat ke-14 (18 mata).


“Saya mempunyai perasaan baik apabila memikirkan perlumbaan minggu hadapan. Ini kerana jentera Honda amat efisien di atas litar panjang seperti Sepang dan Norizman Ismail telah membuktikannya apabila dia muncul juara pada perlumbaan Pusingan 4 (Sepang Utara) Jun lalu,” jelas Emir yang beralih ke kem Honda dari Yamaha awal tahun ini.


Emir turut menambah, “Pada pandangan saya, jentera Honda mungkin agak kurang menyerlah dari segi ‘pick-up’ berbanding jentera Yamaha yang telah beraksi di dalam Cub Prix selama 16 tahun. Namun begitu, ia mempunyai kelebihan ‘top-speed’ dan ketahanan enjin yang kuat dan faktor ini amat penting di dalam perlumbaan panjang seperti ini. Dengan kelebihan ini serta kerjasama pasukan yang kuat, saya yakin untuk menamatkan perlumbaan di Sepang di kalangan lima pelumba terbaik.”


Apabila ditanya mengenai musim pertamanya berlumba dengan jentera Honda, Emir menjelaskan, “Ia penuh cabaran tetapi saya rasa amat seronok sekali. Idemitsu Honda Racing merupakan pasukan baru di dalam Kejuaraan Cub Prix dan masih ada banyak yang perlu kami pelajari. Ia akan memakan sedikit masa sebelum kami boleh memberi cabaran kepada pasukan-pasukan. Saya yakin prestasi kami akan lebih baik musim hadapan.”


Pada waktu ini, Ahmad Fazli Sham (Shell Advance Yamaha Maju) mendahului carta keseluruhan kelas CP130 dengan catatan 136 mata diikuti rookie, Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline) dengan 128 mata dan Norizman (Harian Metro SCK Honda Racing) dengan 121 mata.

No comments:

Post a Comment