jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, August 10, 2011

‘Doktor’ chopper Malaysia


SIAPA sangka pengusaha kimpalan besi mampu mencipta kerangka motosikal chopper seperti dalam filem Hollywood, The Ghost Rider lakonan Nicolas Cage.
Chopper sebenarnya merujuk pada kerja-kerja pemotongan dan penyambungan semula bahagian motosikal untuk menghasilkan sebuah motosikal kategori ‘easyrider’ unik..Kebiasaan kenderaan chopper mempunyai batang pemegang yang tinggi, tempat duduk rendah dan roda belakang lebih besar daripada depan.


Pemilik bengkel motosikal Eastern Bobber, Omar@Maharani Jumiran, 41, yang berasal dari Kajang, Selangor, mahir mencipta kerangka motosikal kategori chopper dan klasik.

Walaupun baru tiga tahun berkecimpung dalam bidang itu, dia menghasilkan lebih 20 buah motosikal dalam kategori berkenaan.

Menurutnya, berbekal kemahiran dalam kimpalan besi menjadi inspirasi kepadanya untuk menghasilkan motosikal itu.

“Dalam menghasilkan jentera ini, saya perlu menanamkan minat dan mahu belajar untuk mendapat formula mencipta motosikal ‘custom’ ini.

“Saya juga perlu rajin mentelaah majalah antarabangsa dan melayari Internet dalam mencari idea baru dalam pembikinan motosikal ‘custom’,” katanya ketika ditemui pelancaran Butik Red Garage, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pelancaran itu disempurnakan Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Datuk Sohaimi Shahadan sebelum melepaskan konvoi lebih 100 motosikal berkuasa tinggi itu mengelilingi ibu negara.

Pada pelancaran itu, Omar turut mempamerkan dua motosikal rekaannya ‘berasal’ daripada Modenas Jaguh dan Yamaha Virago.

Omar berkata, Modenas Jaguh dibelinya dengan RM1,800 bertukar bentuk sepenuhnya dan sudah empat kali memenangi pertandingan.

“Motosikal ini (Modenas Jaguh) saya leraikan dan hanya mengambil enjinnya saja untuk dipadankan kerangka yang dicipta khas.

“Besi yang berkualiti perlu digunakan untuk mencipta kerangka bagi memberi ketahanan dan mampu menyerap hentakan ketika berada di jalan raya,” katanya.

Menurutnya, dia mengambil masa lebih sebulan untuk menyiapkan motosikal itu dan kosnya mencecah hampir RM15,000.

Ketika ditanya ketahanan motosikal itu, model berkenaan mampu ditunggang dari Kuala Lumpur ke Kuala Kangsar, Perak, tanpa sebarang masalah.

Omar berkata, chopper warna putih menggunakan enjin Yamaha Virago menerima suntikan berbeza kerana tangki lima liter diletakkan di bawah tempat duduk penunggangnya.

Ekzos krom pendek yang dipadankan memberi deruman garang dan kuasa tujahan lebih pada motosikal itu.

“Oleh kerana rangkanya yang sukar, saya menggunakan tempat duduk direka khas bagi memberi keselesaan terhadap gegaran ketika di jalan raya.

“Sistem penghidup pula menggunakan jenis elektrik dan menerima suntikan semburan angin membuatkannya tampak menawan,” katanya.

Sementara itu, Sohaimi berkata, program membabitkan motosikal berkuasa tinggi itu seharusnya diberi galakkan kerana mereka tidak terbabit dengan aktiviti yang tidak sihat.

Menurutnya, motosikal berkuasa tinggi itu juga menjadi hobi kepada golongan muda, sekali gus dapat mendisiplinkan mereka.

“Sebenarnya, peminat motosikal berkuasa tinggi ini menjalankan aktiviti melalui konvoi adalah berbentuk amal dan ramai di kalangan mereka terdiri daripada golongan yang banyak menyumbang kepada masyarakat.

“Justeru, kerajaan dan agensi lain perlu memberi perhatian berhubung industri permotoran untuk melakukan aktiviti yang bermanfaat,” katanya.

Pengarah Urusan Red Garage Enterprise, Eddie Iskandar Abu Zahar, berkata selain menjual pakaian, beliau turut menyediakan alat gantian motosikal chopper yang berjenama dari Amerika Syarikat.

Beliau berkata, kewujudan alat ganti itu menyemarakkan lagi budaya motosikal chopper di negara ini dan rekaan yang terhasil adalah satu daripada seni.



No comments:

Post a Comment