jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, July 4, 2012

KEPUTUSAN ROUND 6 MUAR JOHOR

FAZRUL RAIH GELARAN PERTAMA BUAT MOTOBERT



Ahmad Fazrul Sham meraih kemenangan dalam saingan kategori CP130 untuk musim 2012 pada Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Muar, Johor, hari ini.

Pelumba Faito Motobert Racing itu menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan masa keseluruhan 10 minit 25.313 saat mengatasi Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing ) dan Mohd Zamri Baba (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) di kedudukan kedua dan ketiga. Azlan menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 10:26.203s manakala Zamri dengan 10:26.520s.

Bukan sekadar kemenangan peribadi pertama untuk musim 2012, malah ia Fazrul turut menghadiahkan gelaran juara yang pertama kepada pengurus pasukan, Rosnizam Mohd Noor sejak pasukan ini mula berkecimpung dalam arena Cub Prix pada musim 2011.

Cukup gembira dengan kemenangannya, Fazrul berkata, "Perlumbaan hari ini agak sengit terutama tentangan daripada Azlan dan Zamri pada peringkat awal perlumbaan. Namun pasukan saya telah menyediakan jentera yang cukup bagus kepada saya yang banyak membantu kepada kejayaan hari ini dan membolehkan saya terus menjarakkan diri daripada kedua-dua pelumba itu. Saya begitu berterima kasih kepada seluruh pasukan dan juga seluruh ahli keluarga dan penyokong-penyokong yang banyak membantu dan mendoakan kejayaan kami di sini," jelas pelumba berusia 27 tahun.

Mengulas lanjut, Fazrul berkata, "Selain gelaran peribadi, kemenangan ini juga turut mencerahkan peluang pasukan kami untuk menggondol Anugerah Berpasukan Keseluruhan. Gandingan saya bersama Ahmad Fuad Baharudin cukup konsisten pada musim ini, di tambah dengan pengalaman yang ada pada Fuad, saya yakin kami mampu untuk bersaing merebut gelaran berpasukan," kata Fazrul  yang kini naik ke kedudukan kedua dalam senarai pelumba keseluruhan dengan mengumpul 82 mata.

Azlan kekal menerajui kedudukan dengan mengumpul 100 mata setakat ini manakala Mohd Zaqhwan Zaidi jatuh ke tangga ketiga, hanya dibezakan satu mata dengan Fazrul.

Dalam senarai Anugerah Berpasukan Keseluruhan,  pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2 yang diwakili Azlan dan pelumba muda, Mohd Fitri Ashraf Razali berada di kedudukan teratas dengan mengumpul 156 mata, hanya dua mata dibezakan dengan Faito Motobert Racing yang berada di kedudukan kedua.  Kedudukan ketiga menjadi milik Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 1 (Norizman Ismail/Mohd Affendi Rosli) dengan 114 mata.





SHAHRIL AMBIL ALIH CARTA CP115



Shahril Izzuwan Mohd Noor mencerahkan peluang untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim lepas apabila meraih kemenangan keduanya pada musim ini di Muar, Johor hari ini selepas kemenangan pertama pada Pusingan 2 di Terengganu.

Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM itu menamatkan perlumbaan 12 pusingan dengan masa keseluruhan 8:34.714s menewaskan Mohd Emir Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing) di tempat kedua dengan 8:36.352s manakala Ahmad Afif Amran (CKJ Yamaha Racing) ketiga, 8:36.521s.

Mengulas tentang kejayaannya, Shahril berkata, "Walaupun berada di petak kesembilan, saya bermula dengan agak baik sehingga berjaya menempatkan diri di barisan hadapan sebaik pelumba-pelumba dilepaskan. Selepas itu, beberapa pelumba dihadapan melakukan kesilapan dan saya menggunakan kesempatan untuk berada di hadapan sejak dari pusingan pertama lagi, Tambahan pula, pasukan turut menyediakan jentera yang begitu baik sekali," jelas Shahril.

Kemenangan ini meletakkan Shahril sebagai pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 91 mata, tujuh mata mengatasi Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui Racing) manakala Mohd Amirul Ariff Musa (Pachie Yuzy Honda Racing) ketiga, 82 mata.

Dalam senarai berpasukan, PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM (Mohd Iskandar Raduan/Shahril) selesa mendahului kedudukan dengan 166 mata diekori M-Seki Liberty Honda Racing(Sasitharen Sukumaran/Emir) dengan 121 mata manakala Pachie Yuzy Honda Racing (Mohd Amirul/Mohd Rozaliman Zakaria) ketiga, 94 mata.





HAFIZ TEBUS KEKECEWAAN


Dalam kategori Wira, Mohd Hafiz Nor Azman meraih kejuaraan keduanya pada musim  ini setelah menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan catatan masa keseluruhan 7:05.479s pada Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Muar, Johor.

Pelumba Team Mos Track Pro Yamaha Racing itu berjaya mengenepikan pencabar utamanya, Fakhrusy Syakirin Rostam dari pasukan AAP Mazoil Armstrong Motorsports yang menamatkan perlumbaan di kedudkan kedua dengan 7:09.911s manakala Mohd Hafizuddin Azahar (Unisel-Gems) ketiga, 7:18.845s.

Gembira dengan kemenangannya, Hafiz berkata, "Walaupun agak selesa di hadapan, namun ini bukan satu kemenangan mudah bagi saya apabila saya sedikit ketinggalan kepada Fakhrusy pada peringkat awal perlumbaan. Setelah beberapa ketika berada di belakangnya, saya berjaya mencari ruang untuk memintas dan kemudiannya berjaya mendahului sehingga ke garisan penamat," jelas Hafiz yang semakin selesa berada di persada carta keseluruhan dengan mengumpul 119 mata.

Keputusan hari ini membantu Fakhrusy terus kekal di tangga kedua dengan mengumpul 108 mata manakala Tengku Amirul Haffiruddin (Motul Yamaha YY Pang) di kedudukan ketiga dengan 62 mata.





SAINGAN SENGIT KATEGORI PERSENDIRIAN



Mohd Imran Zulkafli menamatkan penguasaan Khairul Azizi Abd Mansor dalam saingan kategori Persendirian apabila menamatkan cabaran sengit Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS sebagai juara.

Perlumbaan yang berlangsung di litar asingsepanjang 0.947km dalam kalendar kejuaraan, Muar, Johor memberikan cabaran baru buat pelumba-pelumba Persendirian. Pendahulu keseluruhan, Khairul Azizi mensia-siakan kelebihan bermula di petak pertama apabila terlibat dengan kemalangan pada Pusingan 1. Sebaliknya, Hilmi Affan Abd Malik berjaya mendahului perlumbaan manakala Afiq Syazwan turut bermula baik apabila berada di P2 dari P6 pada beberapa selekoh awal.

Namun, kedudukan Hilmi tidak berpanjangan apabila enjin jenteranya mengalami masalah pada pertengahan perlumbaan sekali gus membuka ruang buat Imran untuk merapatkan kedudukan dan memintas pada Pusingan 6. Kedudukan itu kekal sehingga ke garisan penamat di mana Imran menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan masa keseluruhan 7:36.493s diikuti Hilmi (7:42.245) dan Mohd Syafiq Samad ketiga, 7:43.205s.

"Saya berterima kasih kepada rakan-rakan dan mekanik yang bekerja keras menyiapkan jentera saya. Walaupun bermula di perak ketiga, saya yakin mampu berada di kumpulan hadapan, jadi saya hanya memberi tumpuan untuk meningkatkan aksi saya pada setiap pusingan. Apabila Hilmi mula perlahan, saya tidak mensia-siakan peluang tersebut," kata Imran.

Sementara itu, Hilmi menambah, "Saya cukup gembira kerana masih berupaya untuk menamatkan perlumbaan di atas podium walaupun jentera saya mengalami masalah."

Mempunyai semangat juang tinggi, Hilmi Affan kini semakin merapatkan jurang dengan pendahulu keseluruhan, Khairul Azizi. Hilmi di tangga kedua dengan 108 mata, ketinggalan kepada Azizi yang mengumpul 111 mata. Syafiq ketiga dengan 75 mata.

"Ini adalah podium saya yang kedua pada musim ini dan saya cukup berpuas hati dengan keputusan pada pusingan ini," kata Syafiq.

"Saya memulakan perlumbaan di petak ke-7 dan sebaik mendahului kumpulan kedua, saya hanya memberi tumpuan untuk mengejar kedudukan ketiga berbanding mengejar Imran dan Hilmi yang jauh dihadapan."

Kejuaraan akan berehat panjang sempena bulan Ramadan dan Syawal akan datang dan akan bersambung kembali pada bulan September di Kluang, Johor.





PRESTASI CEMERLANG AHMAD SYUKRAN BERTERUSAN


Pelumba 15 tahun, Ahmad Syukran Aizat meneruskan pencapaian sempurna musim ini dalam kategori Cabaran Suzuki Belang Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS setakat ini. Dalam Pusingan 6 yang berlangsung di Muar, Johor, pada 1 Julai, Syukran meneruskan keputusan cemerlang sejak dari awal musim setelah meraih kemenangan keempat berturut-turut dengan masa keseluruhan 7:54.575s.

Ketika Syukran mendahului perlumbaan sehingga ke garisan penamat, pesaing terdekatnya, Mohd Syafiq Rosli dan Mohd Aziq Jumali turut mempamer aksi konsisten bagi mengekalkan kedudukan di tempat kedua dan ketiga sehingga melintasi garisan penamat dengan masing-masing mencatatkan masa keseluruhan 7:57.820s dan 8:04.621s.

"Saya bermula dengan begitu baik walaupun terpaksa memulakan perlumbaan di petak kelapan. Namun sebaik perlumbaan bermula, saya berjaya ke barisan hadapan pada Selekoh 1 dan kemudiannya memintas Aziq yang sedang mendahului perlumbaan ketika itu. Selepas itu, saya terus mendahului perlumbaan sehingga ke garisan penamat," kata Syukran.

Syafiq yang bermula di petak pertama sekadar berpuas hati dengan kemenangan Syukran. Dia berkata, "Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan keputusan perlumbaan kali ini. Sukar bagi saya untuk mengejar Syukran yang beraksi dengan begitu baik. Saya tetap bersyukur kerana dapat menamatkan perlumbaan di atas podium sekali lagi.

Menariknya, jika Syukran telah meraih empat gelaran setakat ini, Syafiq turut mempamer aksi konsisten dengan menamatkan keempat-empat perlumbaan sebagai naib juara.

Syukran mendahului senarai keseluruhan Cabaran Suzuki Belang dengan 100 mata diikuto Syafik dengan 80 mata. Persaingan merebut gelaran juara keseluruhan lebih terarah kepada kedua-dua pelumba ini dan sukar untuk menjangkakan apa yang akan berlaku seterusnya. Aziq di tangga ketiga dengan hanya mengumpul 44 mata setakat ini.