jokisenja header

jokisenja header


Thursday, September 29, 2011

DEBARAN SEMAKIN MEMUNCAK BUAT ZAMRI, AZLAN DAN HAFIZH




Debaran kian memuncak buat tiga calon Wildcard Moto2, Mohd Zamri Baba, Azlan Shah Kamaruzaman dan Hafizh Syahrin Abdullah sepanjang sesi ujian pemilihan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
 
Trio pelumba Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS bersaing sengit bagi merebut dua tiket wildcard yang disediakan buat pelumba negara pada saingan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia tahun ini. Sesi ujian hari ini merupakan sesi kedua menggunakan dua jentera Moriwaki selepas sesi pertama berlangsung pada 22 dan 23 Ogos lepas.
 
Pengarah Promosi Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd (TWMR), Ron Hogg menjelaskan kedua-dua sesi ini berlangsung mengikut jadual ditetapkan di bawah bimbingan Moriwaki Engineering.

"Semuanya berjalan mengikut apa yang kita rancangkan. Kami berjaya mengumpul semua data daripada ketiga-tiga pelumba setakat ini dan kita harapkan mereka dapat menunjukkan lebih banyak peningkatan pada sesi ujian hari esok," kata Ron.
 
Menjawab tentang adakah pemilihan pelumba bergantung kepada catatan masa yang dilakukan, Ron menjelaskan ia merupakan sebahagian daripada kriteria yang ditetapkan namun menegaskan ia bukan sebagai jaminan utama kerana beberapa faktor lain turut diambil kira.
 
"Pada ketika ini, kami masih belum menetapkan siapa yang akan terpilih kerana ia bukan hanya bergantung kepada catatan yang mereka lakukan. Beberapa faktor lain turut diambil kira seperti tahap kecergasan pelumba, stamina,  disiplin, prestasi semasa dan paling penting adalah aksi konsisten yang dapat ditunjukkan dan juga kemampuan mereka untuk memahami jentera dan arahan yang diberikan."
 
Di tanya mengenai pelumba mana yang berpeluang cerah menerima tiket wildcard, Ron menambah "Kami masih mempunyai satu ujian pada hari esok dan selepas itu barulah akan mendapat gambaran jelas pelumba manakah yang paling layak diberikan tiket wildcard tersebut. Setakat ini, semuanya masih belum dapat dipastikan memandangkan ketiga-tiga pelumba ini mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.Selepas sesi ujian hari esok, kami memerlukan sedikit masa untuk membuat analisis terhadap kemampuan dan prestasi setiap pelumba."

 
Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd 


Monday, September 26, 2011

Hafizh muncul juara di Johor


Hafizh Syahrin Abdullah mengambil selekoh semasa pusingan perlumbaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung pada musim lepas di Padang Kota, Pulau Pinang.

Penunggang Petronas Syntium Moto Yamaha Raceline, Hafizh  Syahrin Abdullah mempamerkan kehebatannya setelah menjuarai perlumbaan  kategori CP130 Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Stadium  Kluang, Johor, semalam.
Hafizh menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan catatan masa keseluruhan 11  minit 49.723 saat diikuti Mohd Zamri Baba dari pasukan Petronas Syntium Moto  Yamaha AHM kedua, 11:51.917s dan Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing)  ketiga, 11:52.215s.
Ia kejayaan bermakna buat Hafizh sejak kembali beraksi pada Pusingan 5 di  Teluk Intan pada Jun lalu sekaligus melonjak ke kedudukan ke-12 dari 15 dengan  54 mata.
"Terima kasih kepada krew pasukan kerana membantu kejayaan saya ini," kata  Hafizh.
Kedudukan pendahulu dalam kategori CP130 ketika ini dikuasai penunggang  Norizman Ismail dengan kutipan 94 mata diikuti Fazli Sham dengan 79 mata dan  Affendi Rosli yang mengutip 63 mata.
Sementara itu, dalam kategori CP115, Shahril Izzuwan Mohd Noor meraih  kemenangan keduanya musim ini sekali gus berjaya menebus kegagalan menamatkan  perlumbaan pada Pusingan 6 di Alor Setar, Julai lepas.
Dalam kategori Wira pula, hasrat Zulsyafiz Rosli untuk bergelar juara  keseluruhan semakin hampir apabila berjaya meraih kemenangan ketiganya.
Pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 akan  berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 29 dan 30 Oktober depan.

Thursday, September 15, 2011

SEJENAK BERSAMA HAFIZH SYAHRIN


Pada usia 17 tahun dan baru memasuki musim kedua beraksi di pentas Asia, Hafizh Syahrin Abdullah berjaya mencatat kejayaan membanggakan apabila dua kali berjaya menaiki podium di tempat ketiga dalam kategori SuperSports 600cc pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS yang berlangsung di Jepun baru-baru ini. Kita lihat apa kata juara termuda CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS ini tentang kejayaan yang dicapainya.

CUB PRIX: Tahniah Hafizh kerana dua kali berjaya menaiki podium di Jepun. Bagaimana perasaan Hafizh selepas mencatat kejayaan ini?
Hafizh: Saya sangat gembira dengan kejayaan kali ini dan sebenarnya ia di luar jangkaan saya. Pada peringkat awal saya hanya meletakkan sasaran untuk berada di kelompok 10 pelumba terbaik namun tanpa di sangka saya dapat menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Saya begitu berbangga dengan kejayaan ini.

CUB PRIX: Jika di lihat pada tiga perlumbaan sebelum ini, Hafizh menunjukkan peningkatan ketara di sini. Mungkin ada beberapa faktor yang banyak membantu Hafizh kali ini.
Hafizh: Banyak perkara yang menyumbang kepada prestasi baik saya di sini. Jentera saya berada dalam keadaan yang cukup baik sewaktu perlumbaan di Jepun. Jurutera-jurutera pasukan berjaya mendapatkan pelarasan yang begitu serasi dengan saya dan juga dengan keadaan cuaca dan litar ini.

Selain itu saya turut mempelajari corak tunggangan baru terutama dengan menggunakan sistem suspense yang berbeza dan ia memberi kesan baik kepada corak tunggangan saya secara keseluruhannya. Penggunaan tayar baru iaitu Dunlop- Unbeaten 02 juga menambahkan keyakinan saya untuk menunggang dengan lebih laju. Pengalaman beraksi di Australia juga memberi banyak pendedahan dan pengalaman kepada saya.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan terutama pengurus saya, Barry Leong, jurutera pasukan dan kru-kru, keluarga dan juga penaja-penaja kerana banyak membantu saya untuk mencapai kejayaan kali ini.

CUB PRIX: Bagaimana Hafizh melihat saingan di Jepun baru-baru ini?
Seperti pusingan-pusingan sebelum ini, suasana perlumbaan tetap sengit terutama dengan kehadiran pelumba-pelumba wildcard dari Jepun sendiri. Sebab itu saya sebenarnya tidak menyangka dapat mencatat kejayaan ini.

CUB PRIX: Bagaimana pula dengan sasaran Hafizh selepas ini?
Selepas ini selain Kejuaraan Cub Prix yang akan berlangsung di Kluang, Kejuaraan ARRC memasuki pusingan kelima yang akan berlangsung di China pada pertengahan Oktober nanti. Saya akan cuba untuk mengekalkan prestasi seperti ini dan berhasrat untuk mengulangi pencapaian yang serupa. Namun sudah tentu ia bukan sesuatu yang mudah. Walau bagaimanapun, saya tetap akan mencuba yang terbaik.

CUB PRIX: Hafizh juga dengarnya sedang menjalani ujian bagi mendapatkan tiket wildcard untuk beraksi di MotoGP dalam kategori Moto2 di Malaysia nanti. Bagaimana harapan Hafizh?
Pada masa ini saya bersama-sama dua lagi pelumba iaitu Mohd Zamri Baba dan Azlan Shah Kamaruzaman sedang menjalani latihan dan ujian bagi merebut dua tiket wildcard yang diberikan kepada pelumba negara. Sudah tentu saya mempunyai harapan dapat memiliki salah satu tiket yang diberikan. Saya akan berusaha sedaya upaya untuk mencapainya.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

Wednesday, September 7, 2011

ARRC: PERTEMBUNGAN PELUMBA SS600 BERTERUSAN DI AUTOPOLIS



Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS memasuki pertengahan musim apabila Pusingaan 4 berlangsung di Litar Lumba Antarabangsa Autopolis, Jepun pada 9 hingga 11 September ini.


Dengan tiga lagi pusingan yang akan berlangsung, pelumba-pelumba tidak boleh lagi melakukan sebarang kesilapan selain perlu menggunakan segala peluang yang ada untuk terus menambah mata bagi mengejar gelaran Juara Keseluruhan kategori SuperSports 600cc.

Pencapaian memberangsangkan Azlan setakat ini dengan lima kejayaan menaiki podium daripada enam perlumbaan meletakkannya di kedudukan kedua keseluruhan dengan 84 mata. Pelumba handalan Jepun, Fujiwara dari Manual-Tech BEET Kawasaki Racing mendahului senarai dengan 114.5 mata manakala bekas rakan sepasukan Azlan, Zamri (PETRONAS Yamaha Malaysia) ketiga dengan 65 mata.

Barisan pelumba-pelumba Malaysia yang akan menyahut cabaran di Jepun terdiri daripada Mohd Zamri Baba dan Mohd Hafieenaz Mohd Ali of PETRONAS Yamaha Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman dan Mohd Emir Firdaus Hasan (Boon Siew Honda Racing Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah dari PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline dan Ahmad Fuad Baharudin yang mewakili Bike A.R.T Kawasaki Racing.


Maklumat lanjut, lawati laman web rasmi Kejuaraan PETRONAS ARRC, www.arrc.com.my dan juga menyertai laman Facebook di www.facebook.com/AsiaRoadRacing

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd



ARRC: CABARAN BARU MENANTI PELUMBA-PELUMBA UB115 DI AUTOPOLIS



Sewaktu Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS sebelum ini berlangsung di Chennai, India, dua pelumba, Mohd Ramdan Mohd Rosli dari PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM Racing dan Ahmad Afif Amran (Yamaha CKJ TJM Racing) berjaya mencatat keputusan yang membanggakan negara apabila berada di atas podium pada Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2.

Selepas berehat selama sebulan, Kejuaraan yang memasuki pusingan keempat akan berlangsung di Litar Lumba Antarabangsa Autopolis, Jepun pada 9 hingga 11 September ini. Sembilan pelumba akan membawa cabaran negara dalam kategori Underbone 115cc terdiri daripada Shahril Izzuwan Mohd Noor, Ramdan, Norizman Ismail, Mohd Affendi Rosli, Mohd Rozaiman Mohd Said, Zaidy Mohd Zaifaizal, Mohd Zaqhwan Zaidi, Mohd Amirul Musa dan Afif.

Pada ketika ini, rakan sepasukan Ramdan, Shahril Izzuwan Mohd Noor muncul sebagai pelumba terbaik negara dalam senarai keseluruhan dengan menduduki tempat ketiga selepas memungut 76 mata diikuti Rozaiman (Motul Yamaha YY Pang Racing) di tempat keempat dengan 50 mata.


Maklumat lanjut, lawati laman web rasmi Kejuaraan, www.arrc.com.my
 ataupun menyertai laman Facebook diwww.facebook.com/AsiaRoadRacing

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

Fahmi tekad baiki aksi di Aragon


Md Zulfahmi Khairuddin berazam memperbaiki tunggangannya dalam perlumbaan akan datang.

KUALA LUMPUR  - Kecewa dengan prestasi di San Marino, penunggang 125cc negara Zulfahmi Khairuddin berharap masalah teknikal yang dialami pada jenteranya  dapat dielakkan daripada berulang lagi apabila turun di litar Aragon, Sepanyol.
Fahmi sekadar menamatkan perlumbaan ditempat ke-27 pada perlumbaan di San Marino selepas terpaksa bergelut dengan kerosakan di bahagian belakang serta  keretakan pada jenteranya hingga terpaksa berhenti di pit untuk memperbaiki kerosakan.
Nasib nyata tidak menyebelahi Fahmi sejak permulaan perlumbaan setelah bergesel dengan salah seorang penunggang hingga mengakibatkan masalah besar menimpa  dirinya selepas insiden tersebut.
Perlumbaan GP Motor Dunia akan bersambung selepas berehat selama dua minggu di Sepanyol, Fahmi pasti tekad dan berazam untuk tidak mengulangi kesilapan yang  dilakukannya serta menerimanya sebagai satu pengalaman yang berguna buat dirinya selepas ini.
Fahmi ketika ini menduduki tangga ke-16 dengan 16 mata selepas menamatkan 13 pusingan perlumbaan.