jokisenja header

jokisenja header


Tuesday, November 30, 2010

Fazli terdesak buru kemenangan


AHMAD Fazli sham ketika beraksi pada kejuaraan cub prix aam malaysia petronas di litar sepang, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR - Nekad untuk bergelar Juara CP130, Ahmad Fazli Sham terdesak mencari kemenangan pada Pusingan akhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Padang Kota Lama, Pulau Pinang hujung minggu ini.
Dengan hanya meraih kemenangan, barulah Fazli boleh bergelar juara bagi musim 2010.
Ini kerana saingan bagi merebut mahkota CP130 begitu sengit, apabila hanya dua mata yang membezakan di antara tiga calon juara.
Mereka adalah pendahulu keseluruhan, Norizman Ismail (SCK Honda Racing) yang mengetuai carta dengan 146 mata, diikuti Fazli dari pasukan Shell Advance Yamaha Maju di tempat kedua dengan 145 mata dan Hafizh Syahrin Abdullah (Petronas Sprinta Yamaha Raceline) di tempat ketiga dengan 144 mata.
Kemenangan terakhir buat Fazli adalah pada Pusingan 5 di Kuala Terengganu dan selepas itu, dia gagal untuk menaiki podium pada separuh musim kedua ekoran masalah jentera.
Justeru, juara Expert dua kali berturut-turut itu (2007 dan 2008) berharap dapat mencapai keputusan cemerlang sekali lagi.
Fazli, 27 tahun menjelaskan: "Masalah teknikal pada jentera telah mempengaruhi keputusan saya yang kurang memberangsangkan, sekali gus memberi impak pada kedudukan saya di dalam carta keseluruhan CP130. "Akibatnya, kini Norizman dan Hafizh berjaya merapatkan jurang mata dan kini kami dipisahkan hanya dengan dua mata."
Fazli, yang memenangi dua perlumbaan dan muncul di podium sebanyak dua kali pada separuh musim pertama turut mengemukakan perasaan tidak puas hati terhadap prestasinya itu.
"Memang tidak dapat saya nafikan bahawa saya amat kecewa kerana tidak berupaya mengutip lebih banyak mata untuk mengekalkan kedudukan keseluruhan ekoran masalah jentera.
"Kini, Norizman dan Hafizh sama-sama mempunyai peluang untuk bergelar juara dan ketiga-tiga kami mempunyai sasaran yang sama iaitu untuk memenangi perlumbaan di Pulau Pinang."
Pelumba kelahiran Taiping itu memberitahu, sukar untuk mengulas mengenai peluangnya memenangi perlumbaan di Pulau Pinang hujung minggu ini.
"Peluang saya untuk muncul juara adalah 50-50 dan ia hanya boleh dicapai jika saya mempunyai jentera yang kompetitif dan pantas kerana litar Padang Kota Lama ini menitik-beratkan aspek kelajuan.
"Selain itu, saya perlu membentuk strategi berpasukan bersama Elly Idzlianizar Ilias dan Abdul Muhaimin Roslan supaya mereka boleh membantu saya menghalang pesaing di Pulau Pinang nanti."
"Tambahan lagi, saya tidak boleh memandang rendah pada Norizman dan Hafizh yang telah menunjukkan banyak peningkatan.
"Selebihnya bergantung pada nasib dan saya berharap semua akan berjalan lancar di sana," ujar Fazli yang muncul tempat kedua di litar padang Kota Lama pada perlumbaan final kategori Expert tahun lalu.

No comments:

Post a Comment