jokisenja header

jokisenja header


Monday, November 22, 2010

KEPUTUSAN ZAIDY DI SEPANG DIBATALKAN


Kejayaan Zaidy Mohd Zaifaizal dengan memperolehi tempat keempat pada perlumbaan akhir CP115 dibatalkan akibat tingkah laku perlumbaannya yang tidak beretika di Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) semalam. Selepas mesyuarat rasmi, steward perlumbaan bersetuju sebulat suara untuk membatalkan keputusan pelumba Motul Yamaha YY Pang tersebut serta menggantung penyertaannya pada Pusingan 10 yang akan berlangsung di Padang Kota Lama, Penang pada 4 dan 5 Disember ini. Selain itu, Zaidy juga dikenakan denda sebanyak RM500.   Akibatnya, 13 mata yang dipungut Zaidy di Sepang ditarik balik dan kedudukan keseluruhannya menjunam dari kedudukan keenam ke tempat kelapan dengan pungutan 67 mata. Bukan sahaja itu, malah harapannya untuk memperbaiki kedudukan di dalam carta keseluruhan kelas CP115 terus berkecai kerana dia tidak dapat beraksi pada pusingan akhir. Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), selaku promoter Kejuaraan memberikan komen, "Tingkah laku yang tidak beretika seperti dilakukan Zaidy tidak mungkin terlepas dari pandangan. Ini adalah kesalahan yang serius dan saya berharap pasukan serta pelumba akan mengambil iktibar dari kesilapannya." Pembatalan keputusan Zaidy pada perlumbaan tersebut tidak mempengaruhi kedudukan Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha AHM Racing) serta rakan sepasukannya, Shahril Izzuwan Mohd Noor dan juga Md Rozaiman Mohd Said (Motul Yamaha YY Pang). Sebaliknya pembatalan tersebut, meletakkan rakan sepasukan Zaidy, Mohd Adli Salihin seri dengan Mohd Iskandar Raduan (PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline) di tempat ketiga dengan 118 mata. Mohd Rozaliman Zakaria (ZAR & HTM Motorsports Racing) pula menaiki tangga keenam dengan 74 mata diikuti Mohd Firdaus Musa (CKJ Motorsports) dengan 70 mata. Kedudukan Motul Yamaha YY Pang di dalam carta keseluruhan Anugerah Pasukan turut merasakan tempias apabila mereka turun satu anak tangga ke tempat ketiga dengan catatan 168 mata manakala PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline naik tempat kedua dengan 181 mata.

No comments:

Post a Comment