jokisenja header

jokisenja header


Tuesday, August 30, 2011

Stoner muncul juara di Indianapolis



Aksi Casey Stoner (kanan) ketika mendahului penunggang Monster Yamaha Tech 3, Colin Edwards dari Amerika Syarikat (kiri) semasa latihan bebas pertama di GP Indianapolis 26 Ogos 2011.

USA  - Penunggang Honda Repsol Racing, Casey Stoner memperoleh kemenangan MotoGP ketiganya berturut-turut dan ketujuh keseluruhan tahun ini selepas menjuarai pusingan GP Indianapolis di Amerika Syarikat.
Stoner melengkapkan 28 pusingan di Indianapolis Motor Speedway dengan catatan masa keseluruhan 46 minit 52.786 saat.
Manakala rakan sepasukan, Dani Pedrosa yang juga bekas juara dunia pula menamatkan saingan di tempat kedua selepas ketinggalan 4.828 saat dibelakang Stoner.
Tempat ketiga pula menjadi milik penunggang Amerika Syarikat, Ben Spies.
Penyandang juara dunia, Jorge Lorenzo dari Sepanyol yang memulakan perlumbaan di belakang Stoner gagal menamatkan saingan pusingan kali ini di atas podium selepas hanya sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
Dengan kemenangan penunggang Australia ini, Stoner melebarkan penguasaannya dengan menjarakkan kedudukan daripada 32 mata kepada 44 mata daripada pencabar terdekatnya yang lain.

Rekod baru gagal memuaskan Stoner



Aksi Casey Stoner (kanan) ketika mendahului penunggang Monster Yamaha Tech 3, Colin Edwards dari Amerika Syarikat (kiri) semasa latihan bebas pertama di GP Indianapolis 26 Ogos 2011.

INDIANAPOLIS - Pendahulu kejuaraan, Casey Stoner dari Australia menyambar petak depan buat kali ketujuh musim ini ini dengan mencatatkan rekod baru di Litar Indianapolis dalam Kejuaraan MotoGP. 

Stoner merakamkan catatan kelayakan terpantas dengan 1 minit 38.850 saat untuk mendahului Jorge Lorenzo bagi melebarkan 32 mata terkumpul dengan pelumba Sepanyol, Jorge Lorenzo.

"Ia agak rumit sebenarnya sama ada untuk mengejar masa terbaik dan mendapatkan kesesuaian jentera berikutan sama ada trek ini telah dipertingkatkan atau tidak," katanya. 

Rekod lama bagi litar sejauh 2.621 batu itu dibuat pelumba Sepanyol, Dani Pedrosa pada tahun 2009. 

Tiga penunggang yang menamatkan sesi kelayakan kali ini berjaya melepasi rekod lama tersebut. 

Disebalik kejayaan itu, Stoner masih belum berpuas hati dengan motorsikalnya dan mahu beberapa perkara dipertingkatkan lagi dalam hari perlumbaan sebenar. 

"Kami melakukan banyak perubahan terhadap motorsikal ini. Kami bereksperimentasi dengan tayat yang berbeza," terang Stoner. 

Penunggang Australia itu mencatatkan masa terpantas dalam kebanyakan sesi kelayakan. Catatan terpantasnya bersama jentera Honda itu ketika di pusingan ke-22 dalam 25.
 

Friday, August 26, 2011

FARAH KEMBALI BERAKSI



Farah Melina Ismadi bersedia untuk memberikan cabaran kepada pelumba lelaki apabila membuat kemunculan semula pada Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang akan berlangsung di Kluang, Johor, bulan hadapan.

Pelumba wanita berusia 16 tahun ini sudah cukup di kenali di paddok Cub Prix. Kemunculan pertamanya adalah ketika menyertai Cabaran Honda Wave 125-S pada tahun 2008 sebelum beraksi dalam kategori Wira pada tahun berikutnya.

Musim lalu pula Farah membuat keputusan beraksi dalam kategori Cabaran Honda icon di mana dia mempamerkan aksi cemerlang untuk menempatkan diri di atas podium sebanyak kali. Lebih menakjubkan lagi, dia berjaya memecah dominasi para pelumba lelaki untuk menjuarai salah satu perlumbaan tersebut. Walau bagaimanapun, nasib kurang menyebelahi Farah apabila dia terpaksa menarik diri dari empat pusingan terakhir musim lalu akibat patah tangan.

Di sebalik kemalangan itu, minat Farah terhadap dunia perlumbaan tidak pernah padam. Dia mengambil keputusan untuk kembali beraksi bersama pasukan Unisel-Gems dan berharap prestasinya lebih mantap dari tahun lalu.

"Saya tidak sabar untuk kembali beraksi! Ia mengambil masa yang begitu lama sejak kali terakhir saya berlumba. Saya sangat berterima kasih kepada pengurusan pasukan Unisel - GeMS kerana membolehkan saya berlumba semula. Tidak lupa juga kepada keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan," kata Farah dengan penuh bersemangat.

Pelumba kelahiran Seremban itu menambah, "Sebenarnya, tangan saya sudah sembuh sejak beberapa bulas lepas lagi. Cuma, saya memilih untuk berehat sementara daripada berlumba memandangkan insiden tersebut memberi kesan terhadap diri saya. Namun saya tidak pernah melupakan Cub Prix. Saya sebenarnya mengikuti perkembangan sukan ini sejak awal musim ini lagi.

"Tidak pernah terlepas menyaksikan setiap pusingan perlumbaan menjadikan saya semakin berminat untuk kembali beraksi dan menunggu peluang untuk melaksanakannya. Suatu hari pada awal Julai lepas rakan saya ada mengatakan pasukan Unisel-Gems sedang mencari pelumba baru. Saya tidak melepaskan kesempatan itu dan menghubungi sendiri pengurus pasukan, Profesor Madya Ir. Muhidin Arifin untuk mendapatkan maklumat lanjut. Kemudiannya dia mengaturkan satu sesi ujian dan akhirnya saya diserapkan ke dalam pasukan ini."

Walaupun gembira, Farah akui dia terpaksa bekerja keras terutama dengan tahap kecergasannya dan juga menghadapi persaingan yang semakin sengit dalam kategori Wira. Namun begitu, dia tetap yakin dan optimis terhadap peluang dan kemampuannya.

"Jauh di sudut hati, saya sedar saingan kali ini lebih sengit berbanding dahulu termasuklah apabila Mohd Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang), Zulsyafiz Rosli dan Mohd Amin Azahar dari MOS Malaysia Racing masih beraksi dalam kategori ini. Saya perlu memberi tumpuan penuh dan bekerja keras untuk meningkatkan tahap kecergasan diri. Saya tidak memikirkan tentang gelaran podium kerana masih memerlukan masa untuk kembali menyesuaikan diri dengan Kejuaraan. Sasaran saya ketika ini adalah untuk layak ke perlumbaan akhir dan dapat menamatkan perlumbaan di kalangan 10 pelumba terbaik," jelasnya.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

UNIT TRAUMA CUB PRIX


Penganjur Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysian PETRONAS, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) memandang serius terhadap aspek keselematan pada setiap litar dan venue.Walau bagaimanapun, kadang-kala kemalangan tetap berlaku dan ada kalanya ia mendatangkan kecederaan kepada para pelumba.

Bagi tujuan itu, SAM menyediakan bantuan perubatan terbaik di setiap litar Cub Prix yang dianggap antara yang terbaik dalam penganjuran sukan lasak seperti ini.Di bawah merupakan beberapa kemudahan perubatan yang disediakan pada setiap pusingan.

Unit Trauma Bergerak (MTU)
Unit Trauma Bergerak (MTU) yang bernilai jutaan ringgit ini merupakan pusat kepada segala aspek perubatan dalam Kejuaraan ini. Trak sepanjang 42 kaki ini mempunyai 'reception area', bilik rehat dan bilik pembedahan yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan perubatan berkomputer, sama seperti yang terdapat di hospital bagi memudahkan tugas doctor menstabilkan kecederaan pelumba-pelumba sebelum mereka di bawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Selain daripada alat-alat medikal yang biasa dan ubat-ubatan penting, unit ini dilengkapi dengan alat-alat berikut:

1.Monitor mudah alih
- Digunakan untuk memantau keadaan pesakit secara berterusan
-Mempunyai parameter khas (NIBP) untuk mengesan sebarang pendarahan dalaman pada pesakit yang kurang stabil
-Mempunyai SPO 2 untuk menentukan tahap kandungan oksigen.

2.Ultrasound
-Digunakan untuk mendapatkan visual dari dalam tubuh manusia melalui gelombang bunyi berfrekuensi tinggi
-Digunakan untuk menguji organ dalaman termasuk hati, hempedu, limpa, pancreas, ginjal dan lain-lain jikalau terdapat pendarahan atau kecederaan.
-Berfungsi untuk melihat kandungan cecair dalam hempedu.

3.Defibrillator
1-Memantau kadar denyutan jantung pesakit dan mampu untuk mengembalikan denyutan jika pesakit mengalami serangan jantung secara mendadak.

4.Ventilator mudah alih
-Alat sokongan pernafasan tiruan kepada pesakit yang tidak sedarkan diri

5. ECG
_Untuk mengesan funsi dan denyutan jantung yang tidak normal.

Khidmat Pakar
Kejuaraan ini menyediakan khidmat tiga pakar yang mampu memberikan perkhidmatan terhadap masalah-masalah perubatan atau kemalangan serius.

Khidmat pakar yang sama digunakan bagi setiap pusingan kerana mereka lebih arif dan berpengalaman dalam menguruskan pesakit dalam pada perlumbaan

Setakat ini tidak pernah ada kes yang l serius pernah berlaku selain daripada beberapa pelumba  patah tangan atau pun kaki.

Kejuaraan Cub Prix turut menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Palang Merah Malaysia. Setiap pusingan akan memiliki sekurang-kurangnya 20 petugas paramedik ataupun lebih, bergantung kepada saiz litar.

Mereka akan berada di setiap pos marshal dan tugas utama mereka adalah untuk memberikan bantuan kepada pelumba yang tercedera sebelum mereka di bawa ke MTU untuk pemeriksaan lanjut.

Ambulans
Tiga buah ambulans akan bersedia pada setiap pusingan Kejuaraan Cub Prix bagi menghadapi sebarang insiden dan kemalangan teruk melibatkan pelumba-pelumba.

Ambulans akan membawa pelumba dari lokasi kejadian ke MTU bagi memstabilkan pelumba sebelum mereka di hantar ke hospital jika keadaan memerlukan.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd
 

Keyakinan Zulfahmi terus memuncak



Muhammad Zulfahmi Khairuddin melakukan pencapaian terbaik dalam acara 125cc pada kejuaraan MotoGP Dunia apabila menduduki tempat kesembilan di GP Republik Czech.

KUALA LUMPUR - Pelumba tunggal negara dalam Kejuaraan MotoGP Dunia, Muhammad Zulfahmi Khairuddin bersedia menakluk litar Indianapolis, Amerika Syarikat hujung minggu ini. 

Kejayaan yang dirakamkan di Republik Czech sebelum ini telah telah membakar semangat untuk terus mengutip mata selepas menduduki tangga ke-9 Litar Brno .

Kejayaan yang dikecapi Zulfahmi setakat ini yang telah mengumpul 20 mata dalam 11 pusingan yang diadakan setakat ini turut dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Fernandes.

"Saya fikir dia telah melakukannya dengan baik. 

"Dia merupakan contoh terbaik yang kita cuba lakukan dalam bola sepak dan F1. 

"Saya harap dia terus memungut mata dalam perlumbaan dunia. Dia tetap berjaya melakukannya walaupun menggunakan 'sub standard bike' dan tahun depan dia akan menggunakan 'workbike'. 

"Dia memiliki potensi pada masa depan," kata Tony Fernandes.

Wednesday, August 24, 2011

Zamri Baba komited mahu perbaiki kedudukan



Mohamad Zamri Baba ketika beraksi pada perlumbaan Grand Prix Malaysia yang berlangsung pada 10 Oktober 2010 di Litar Antarabangsa Sepang.

KUALA LUMPUR - Selepas berjaya menjejaki podium pertama di Litar Madras, India pada 7 Julai, pelumba Yamaha Malaysia, Mohd Zamri Baba sanggup mengorbankan cuti Hari Raya Aidilfitri demi memperbaiki kedudukan keseluruhannya, musim ini.
Zamri yang ditemui di majlis buka puasa anjuran Two Wheels Motor Racing (TWMR) berkata, keputusan itu dibuat selepas Zamri semakin ghairah memburu gelaran juara di setiap pusingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).
Pelumba handalan negara ini bakal berangkat ke Jepun pada hari raya kedua dan akan menjalani latihan selama 9 hari untuk menyesuaikan diri dengan Litar Autopolis, Jepun.
Pada masa sama, Zamri memberitahu, dia semakin selesa dengan perubahan jenis tayar, penggunaan tayar basah dan radiator yang lebih besar diperkenal TWMR, tahun ini dan ia kembali mendorong semangatnya untuk beraksi di tahap sebenar.
Pendahulu keseluruhan masih lagi milik pelumba Jepun, Katsuaki Fujiwara dengan 114.5 mata, mengekori rapat di kedudukan ke 2, pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzzaman dengan 84 mata dan ke 3, Zamri dengan 65 mata.
Zamri akan mengharungi perlumbaan  pusingan ke-4 di Litar Autopolis, Jepun, sepanjang 4.674 kilometer bermula 8 hingga 11 September ini.

Thursday, August 18, 2011

PUASA TIDAK HALANG HAFIZH JALANI LATIHAN




Hafizh Syahrin Abdullah tetap menjalani latihan sepanjang bulan Ramadan sebagai persediaan untuk menghadapi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS yang akan berlangsung pada September ini.

Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline itu berkata, sepanjang bulan Ramadan ini dia memberi tumpuan kepada latihan fizikal bagi mengekalkan tahap kecergasannya untuk menghadapi dua Kejuaraan utama itu.

Hafizh yang beraksi dalam kategori Supersports 600cc di ARRC PETRONAS menjelaskan "Pusingan 4 ARRC PETRONAS akan berlangsung di Jepun hanya seminggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. Dua minggu selepas itu pula kami akan menghadapi Kejuaraan Cub Prix.

"Walaupun agak penat kerana berpuasa, saya akan menjalani latihan fizikal seperti berjoging pada setiap petang di kawasan taman berhampiran rumah saya. Selalunya saya akan berjoging selama sejam bermula jam 6 petang dan selepas itu akan pulang ke rumah untuk berbuka puasa," kata pelumba 17 tahun itu.

"Selain berjoging, saya akan melakukan aktiviti berbasikal pada waktu malam dengan jarak tidak kurang daripada 40 kilometer. Selalunya aktiviti ini dijalankan pada setiap Ahad namun di bulan puasa ini kami beralih pada waktu malam," jelas Hafizh yang turut beraksi dalam Kejuaraan Australian Formula Xtreme.

Menjelaskan tentang pencapaiannya di Kejuaraan Australian Formula Xtreme, Hafizh berkata, "Pencapaian saya agak baik. Pada perlumbaan pusingan pertama saya berjaya muncul juara, begitu juga di pusingan ketiga. Namun saya sekadar berada di kedudukan keempat keseluruhan memandangkan saya tidak beraksi di pusingan kedua atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan," jelasnya.

Menyentuh tentang pencapaiannya di Cub Prix pula, Hafizh yang hanya menyertai musim  ini di Pusingan 5 (Teluk Intan) berkata dia mengambil keputusan untuk menghabiskan kesemua baki perlumbaan musim ini. 

"Saya mahu membantu meningkatkan kedudukan keseluruhan pasukan saya yang agak ketinggalan pada ketika ini. Kini kedudukan pasukan kami adalah ditangga ketujuh dengan pungutan 71 mata, 30 mata terpisah dengan Yamaha Maju Motor Racing berada di kedudukan ketiga dengan 101 mata. Saya yakin kami boleh merapatkan jurang mata.

"Untuk mengekalkan gelaran juara pada musim lalu mungkin agak sukar memandangkan saya tidak beraksi pada empat pusingan awal, kini saya hanya mahu menumpukan sepenuh perhatian untuk mengutip sebanyak mata yang mungkin untuk membantu pasukan selain cuba untuk menambah koleksi kemenangan peribadi," jelas Hafizh yang muncul pemenang tempat ketiga di Alor Setar, bulan lepas.


Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

DOMINASI WAZIR TERANCAM?




Saingan kategori Persendirian Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2011 semakin rancak dengan jumlah peserta semakin meningkat pada setiap pusingan dan buat julung kalinya, kategori kos-rendah ini membawa sistem kutipan mata atau lebih dikenali sebagai Kedudukan Keseluruhan (overall standings).

Walaupun senarai pelumba seringkali bertukar pada setiap pusingan, terdapat ramai pelumba yang beraksi secara konsisten dan pada ketika ini, Wazir Abdul Razak mendahului senarai carta keseluruhan dengan jumlah 129 mata.

Wazir boleh dikira sebagai muka lama di dalam kategori ini. Dia telah pun mula beraksi dalam kelas persendirian ini sejak ia diperkenalkan pada tahun 2009 sebelum dia mengambil keputusan untuk berehat musim lalu dan berkhidmat sebagai kru mekanik kepada salah satu pasukan yang bertanding.

Musim ini pelumba 27 tahun itu kembali dengan aksi lebih hebat dan mencabar. Dia menampilkan prestasi menakjubkan dengan memenangi lima pusingan awal di Kangar, Batu Kawan, Terengganu, Putrajaya dan Teluk Intan. Dominasi-nya walau bagaimanapun menemui penamat apabila dia hanya sekadar muncul tempat ke-12 di Alor Setar (Pusingan 6) bulan lalu.

Pelumba yang berjaya menyekat penguasaan Wazir di Alor Setar merupakan Mohd Fhahmin Abdul Mutalib. Walaupun ini merupakan kemenangan pertamanya, pelumba 20 tahun ini telah tiga kali berada di tempat kedua iaitu pada Pusingan 1, Pusingan 2 dan Pusingan 3 manakala pada Pusingan 3 dan Pusingan 4, dia berada di kedudukan kelima dan keenam. Rentak konsistennya sekaligus menjadikannya pesaing terdekat Wazir dalam perebutan makhota persendirian ini.

Dengan kutipan 106 mata, Fhahmin kini berada di tangga kedua, 26 mata ketinggalan kepada Wazir.

Sementara itu, Mohd Saaduddin Rosle berada di kedudukan ketiga dengan 57 mata. Pelumba kelahiran Pulau Pinang ini tampil memperagakan aksinya pada setiap pusingan namun hanya sekali berjaya menaiki podium ketika Kejuaraan berlangsung di Kuala Terengganu.

Mungkin peluang untuk mengejar kedudukan pendahulu agak sukar namun masih belum terlambat untuk Saaduddin mengekalkan kedudukan ketika ini daripada pesaing utamanya seperti  Mohd Safuan Rejab dan Husni Kahar Khuri yang berada di kedudukan keempat dan kelima dengan 41 mata dan 39 mata.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

SEJENAK BERSAMA ELLY IDZLIANIZAR




Juara Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 di Alor Setar, Elly Idzlianizar Ilias berpeluang beraksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS di Litar Lumba Motor Madras, Chennai, baru-baru ini. Beliau dipilih oleh pasukan tuan rumah, TVS Racing berdasarkan kecemerlangannya di pentas Cub Prix. Mari kita ikuti sedikit pengalamannya bersama pasukan TVS Racing itu.

Cub Prix: Apa perasaan Elly dapat beraksi di pentas ARRC bersama pasukan TVS Racing
Saya berasa gembira kerana dipilih oleh pasukan TVS Racing untuk beraksi di ARRC kali ini. Bagi saya ia satu pengalaman yang baru dan berharga buat saya. Ini merupakan aksi kedua saya musim ini di ARRC selepas membuat penampilan di Litar Antarabangsa Sepang pada pusingan pembukaan dulu.

Cub Prix: Bagaimana Elly melihat kemampuan pasukan TVS Racing?
Sebenarnya pasukan ini merupakan sebuah pasukan yang hebat di India dan ada diantara pelumba mereka merupakan juara dalam perlumbaan tempatan. Mereka juga mempunyai kemahiran dan kepakaran yang mencukupi sebagai sebuah pasukan berstatus 'factory team'.

Cub Prix: Jadi Elly lihat kekuatan yang mereka ada dapat menyaingi pasukan-pasukan handalan lain di ARRC?
Apa yang saya lihat kemampuan mereka agak ketinggalan berbanding pasukan lain termasuklah pasukan Cub Prix dari negara kita. Tetapi ini bukan disebabkan mereka tidak mampu, tetapi sebenarnya mungkin kerana tidak ada pendedahan terhadap pertandingan di peringkat yang lebih tinggi. Dari segi tenaga pakar dan peralatan, mereka mempunyai sumber yang cukup.

Cub Prix: Bagaimana dengan keputusan yang dicatatkan Elly sendiri?
Secara peribadi, saya agak berpuas hati dengan keputusan yang dicapai. Pelarasan jentera mereka dan persediaan yang dilakukan juga agak baik. Cuma mungkin disebabkan kekurangan pengalaman dan tidak menjangkakan saingan yang begitu kompetitif, kepantasan dan ketahanan jentera mereka masih banyak yang perlu dipertingkatkan.

Cub Prix: Selain daripada berlumba, mungkin Elly ada memainkan peranan yang lain bersama pasukan TVS Racing?
Setakat ini masih tidak ada sebarang perjanjian lanjut diantara kami. Cuma melalui perbincangan awal mereka mahu menggunakan khidmat saya sebagai pelumba mereka untuk menyertai perlumbaan akan datang. Selain itu mereka juga ada menyatakan minat untuk beraksi satu musim penuh pada tahun hadapan.

Apa yang kami perbincangkan sebelum ini ialah di mana saya perlu melatih pelumba-pelumba mereka selain perlu memberi tindak balas dan melakukan ujian terhadap jentera mereka.

Cub Prix: Bagaimana dengan rakan sepasukan anda, Jagan Kumar. Apa pendapat Elly tentangnya?
Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki. Dia sudah mempunayi asas untuk menjadi pelumba kerana dia turut beraksi dalam perlumbaan tempatan di India dan dengarnya dia merupakan seorang juara di sini. Cuma jika dibandingkan dengan pelumba Asia yang lain, kemahirannya agak ketinggalan. Dia perlu meningkatkan lagi kemahirannya jika mahu menyaingi pelumba-pelumba di peringkat Asia.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd 

Tuesday, August 16, 2011

Liberty 150cc bakal jadi tarikan muda mudi



Piaggio Liberty 150cc
MODEL Piaggio Liberty 150 cc yang baru dilancarkan di Malaysia baru-baru ini dijangka bakal menjadi tarikan penggemar motosikal bersaiz sederhana yang akan berada di pasaran bermula September ini.
Berbaloi dengan harga yang ditawarkan tidak lebih daripada RM10,000, Liberty 150cc ini dianggap kenderaan paling sesuai untuk ditunggang oleh mereka yang mementingkan kualiti maksimum, santai dan bergaya. Tidak kira tua atau muda, model ini juga boleh menjadi kenderaan utama sekiranya ingin mengelak daripada kesesakan.
Dengan rekaan menggunakan menggunakan enjin single cylinder 4-stroke Piaggio Leader, Liberty 150cc disediakan dengan pemula elektrik yang memudahkan pemandu menggerakkan motosikal dengan kemampuan kuasa maksimum 8.9kw atau 7750rpm serta maksimum kilas 11.8Nm atau 6500rpm. Model ini juga dilengkapi dengan sistem penyejukan iaitu Forced Air Cooling.
Tayar yang bersaiz 15 inci.
Ia dilengkapi dengan bar hendal yang selesa dan turut menyediakan bahagian perlindungan di depan. Walaupun reka bentuknya di kemas kini dengan gaya yang lebih moden, tetapi ciri-ciri tradisional atau klasik vespa tetap diberi perhatian terutama lampu depan yang berbentuk bujur.
Manakala cermin pandang sisi pula masih mengekalkan keaslian jenama ini yang berbentuk bulat. Jelasnya, Liberty 150 cc ini dilahirkan dengan gabungan dua zaman iaitu iaiatu vespa dan skuter. Ia kelihatan moden, unik dan tetap mengekalkan reka bentuk yang asli.
Walaupun saiznya kelihatan kecil berbanding jenama lain, tetapi apa yang menarik pada Liberty 150cc ini adalah ruang duduk antara pemandu dan penumpang yang luas, panjang dan selesa dengan saiz 795mm. Di bawahnya pula, ruang meletak kaki bahagian penumpang disediakan agar selesa ketika berada di belakang.
Ruang letak kaki bagi penumpang belakang.
Di bawah tempat duduk pula, satu ruang khas disediakan bagi kemudahan pemandu yang ingin menyimpan topi keledar atau barangan peribadi lain. Ia dilihat lebih praktikal dan selamat. Seperti model sebelum ini, jenama ini sememangnya tidak menghampakan penunggang. Saiznya tidak lebih kecil berbanding dengan model lain, tetapi prestasinya mampu memberi kepuasan maksimum.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan NAZA, Datuk SM Zulkifli SM Amin (tengah) merasmikan Piaggio Liberty 150cc.
Selain itu, dengan sambutan dan sokongan yang diberikan kepada jenama Vespa Skuter di Malaysia, NAZA Premira Sdn Bhd, selaku pengedar rasmi jenama ini secara rasminya telah membuka pusat pameran dan jualan pertama di Kota Damansara selepas Piaggio Liberty 150cc dilancarkan bagi kemudahan pengguna. Dalam masa anak syarikat Kumpulan Naza ini dilihat semakin serius untuk mengembalikan kegemilangan Vespa di pasaran Malaysia.
Dengan pelaburan lebih kurang RM400,000 NAZA Premira yakin ruang pameran di Kota Damansara bakal dikunjungi oleh semua pelanggan atau peminat jenama vespa sebelum merancang untuk menambah tiga lagi pusat pameran dan jualan yang dibina dengan anggaran RM2 juta.
Ruang duduk untuk penunggang dan penumpang yang luas dan selesa.
Pusat pameran jualan ini turut menyediakan pelbagai model vespa terkenal sebelum ini seperti Vespa LX150cc, Vespa VTV250, sports Vespa GTS 300 dan turut menyediakan barangan aksesori khas untuk pelanggan Vespa.
Pengerusi Bersama Kumpulan Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin melahirkan perasaan teruja selepas pelancaran jenama Vespa di Malaysia.
“Saya sangat gembira dengan pengenalan semula jenama Vespa di Malaysia dan berharap ia mampu menguasai pasaran di Malaysia. Sasaran kami adalah ingin melihat Vespa sebagai penjualan terbaik bagi model skuter ini. Sehingga Jun 2011, kami telah menjual 400 unit jenama Vespa dan turut mensasarkan penjualan 800 hingga 1000 unit sebelum berakhir tahun ini,” katanya.

Stoner semakin unggul di hadapan


Casey Stoner dari pasukan Honda Repsol memenangi aksi Grand Prix Republik Czech di Litar Brno pada 14 Ogos 2011.

BRNO - Pendahulu kejuaraan dunia Casey Stoner memecut ke kejayaan keenamnya musim ini dalam aksi MotoGP di Grand Prix Republik Czech di litar Brno.

Stoner, yang menang di litar sama ketika dinobat sebagai juara dunia  pada 2007, menewaskan rakan sepasukan Honda Repsol, Andrea Dovizioso dari Itali dengan kelebihan 6.532 saat.

"Ia perlumbaan yang sukar dengan Andrea pada awal perlumbaan tapi sesudah saya memintasnya, saya sedar jentera saya memiliki kelajuan secukupnya," ujar Stoner di kemenangan ke-29 sepanjang karier MotoGPnya.

Marco Simonelli dari sebuah lagi Honda di tempat ketiga - podium pertama bagi pelumba itu - sementara penyandang juara Jorge Lorenzo semakin tercicir setelah sekadar di tempat keempat.

Zulfahmi mahu kekal momentum



Penunggang AirAsia-SIC-AJO Muhammad Zulfahmi Khairuddin gagal menguasai litar basah dan lembab di GP Catalunya.

Selepas menduduki tempat kesembilan dalam GP Republik Czech minggu lalu, Zulfahmi Khairuddin  bertekad untuk terus mempamerkan aksi cemerlang di Indianapolis, Amerika Syarikat.

Beraksi di litar Brno yang menyaksikannnya memungut mata pertama dalam kariernya, Zulfahmi terus mendapat tuah di litar tersebut dengan memungut tujuh mata. 

"Saya gembira dengan perlumbaan saya dan ia merupakan perlumbaan yang hebat. 

"Dalam lima pusingan terakhir, saya mendapat tahu saya berada di tempat ke-14. 

"Saya rasa saya akan dapat memungut mata lalu beruasaha keras dalam setiap pusingan. 

"Menduduki tangga kesembilan adalah sangat menakjubkan," jelasnya. 

Zulfahmi gagal menamatkan perlumbaan di Indianapolis tahun lalu dan berkata, "Cuaca di sana tidak begitu panas. Saya harap motorsikal saya dapat dipertingkatkan dan akan terus bekerja keras.

Zulfahmi gegar litar Brno dengan pencapaian terbaik

 


Muhammad Zulfahmi Khairuddin melakukan pencapaian terbaik dalam acara 125cc pada kejuaraan MotoGP Dunia apabila menduduki tempat kesembilan di GP Republik Czech.

Pelumba tunggal negara Muhammad Zulfahmi melakukan pencapaian terbaik dalam acara 125cc pada kejuaraan MotoGP Dunia apabila menduduki tempat kesembilan pada Grand Prix Republik Czech di Litar Brno hari ini.
    
Pelumba pasukan AirAsia-SIC-Ajo itu mengumpul tujuh mata untuk menduduki tangga ke-16 keseluruhan setakat ini dengan jumlah 20 mata.
    
Pencapaian itu mendekatkan pelumba berusia 19 tahun itu untuk mencapai sasaran tempat ke-15 keseluruhan musim ini.
    
"Keputusan di Litar Brno itu merupakan hadiah istimewa Hari Raya Aidilfitri untuk rakyat Malaysia. Ini merupakan pencapaian terbaik Zulfahmi setakat ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Ahmad Razlan Ahmaf Razali dalam kenyataan di sini.
    
Perlumbaan 125cc itu dimenangi oleh pelumba pasukan Intact-Racing Team Germany, Sandro Cortese.

Saturday, August 13, 2011

Tiket MotoGP terjual 20 peratus sehingga Julai

malaysia-motogp-shell
Promosi awal tempahan tiket Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2011 pada 21 hingga 23 Okt ini mencatat penjualan sebanyak 20 peratus sehingga promosi berakhir 31 Julai lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata kira-kira 13,000 tiket telah dijual melalui dalam talian dan daripada jumlah itu, lebih 6,000 tiket ditempah peminat dari luar negara.

"Kita telah memulakan kempen tempahan awal tiket secara online ini bermula awal Januari lepas dan berakhir hujung Julai lalu. Ini satu permulaan yang dianggap baik di mana peminat asing seperti dari Australia, England dan Jepun adalah antara pembeli tempahan awal tiket itu.

"Bagi MotoGP Malaysia tahun ini, saya menyasarkan 65,000 tiket akan dijual kerana melihat faktor rakyat negara yang cintakan sukan permotoran," katanya kepada Bernama. 

Pada penganjuran MotoGP tahun lepas, lebih 60,000 tiket dijual dan seramai 100,555 datang ke Litar Sepang sepanjang tiga hari berlangsungnya perlumbaan MotoGP.

Beliau berkata pihaknya telah memulakan fasa kedua penjualan tiket dengan menjual harga asal dan masih dalam perancangan untuk mempromosikan MotoGP dan menampilkan kelainan buat edisi kali ini.

"Walaupun sudah tiada promosi harga, kita tetap memberi cenderahati stok terhad kemeja-T dan topi kepada pembeli awal.

"Kita merancang untuk membuat pelancaran penjualan tiket MotoGP Malaysia secara rasmi pada hujung September ini dan diharapkan promosi ini akan dapat menarik lebih ramai peminat tempatan khususnya.

"Diharapkan trend pembelian tiket saat akhir di kalangan orang kita ini akan berjaya mencapai sasaran buat edisi tahun ini," katanya.

Promosi atau tempahan awal membolehkan peminat menikmati diskaun sehingga 20 peratus bagi setiap tiket yang dibeli.

Menerusi promosi itu, orang ramai boleh membeli tiket pada harga serendah RM15 untuk menyaksikan perlumbaan.

Tiket boleh dibeli di kaunter SIC selain melalui laman sesawang di www.sepangcircuit.com, atau menghubungi talian 03-87782222.

SAINGAN SEMAKIN RANCAK DALAM CABARAN HONDA WAVE JUNIOR




Musim 2011 merupakan tahun kelima berturut-turut Honda menganjurkan perlumbaan one-make bersama-sama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dan setiap tahun ia menjadi satu landasan terbaik buat pelumba-pelumba muda untuk beraksi. Musim ini, saingan semakin hangat dengan kehadiran ramai pelumba muda berbakat kategori Cabaran Honda Wave Junior.

Antara nama yang mencuri perhatian adalah Mohd Rabilfirli Azmin. Pelumba 15 tahun itu membuktikan dirinya sebagai pelumba pilihan untuk membawa pulang piala one-make Honda 2011 setelah memenangi tiga pusingan kejuaraan dan dua kali berada di tempat kedua. Penguasaan Rabilfirli meletakkannya dia kini di kedudukan teratas dalam kategori ini dengan 115 mata.

Namun begitu, walaupun mempunyai kelebihan 25 mata, kedudukan pelumba berasal dari Bukit Mertajam itu masih belum selamat kerana pesaingnya terutama Mohd Zulfakri Rosli dan Mohd Fitri Mohd Sukor masih mempunyai peluang. Kedua-dua pelumba itu kini berada di kedudukan kedua dan ketiga dengan masing-masing mengumpul 90 mata dan 87 mata selepas mempamerkan aksi konsisten dengan lapan kedudukan podium diantara mereka berdua.

Walaupun begitu, permulaan musim Rabilfirli di Kangar tidak begitu baik apabila dia mengalami kemalangan bersama-sama Mohd Azim Rosli ketika sedang dalam perebutan untuk berada di kedudukan pertama. Kedua-dua pelumba ini akhirnya gagal untuk menamatkan perlumbaan.

Muncul juara di Kangar ialah Mohd Arif Abdul Rahman yang bermula di petak ketiga dengan mempamerkan aksi konsisten sehingga ke garisan penamat untuk menewaskan Zulfakri di kedudukan kedua dengan kelebihan 0.710s diikuti Fitri di kedudukan ketiga.

Kecewa dengan keputusan tersebut, Rabilfirli mempamerkan kebangkitan di Batu Kawan (Pusingan 2). Dia menggunakan kelebihan bermula di barisan hadapan (petak kedua) untuk merampas kedudukan pendahulu pada selekoh 1 dan seterusnya mendominasi perlumbaan sehingga ke garisan penamat diikuti Zulfakri dan Arif di tempat kedua dan ketiga.

Pusingan berikutnya di Terengganu menyaksikan persaingan sengit sehingga ke garisan penamat diantara tiga pelumba, Rabilfirli, Fitri dan Mohd Firdaus Zainol. Ketiga-tiga pelumba ini beraksi pada tahap maksimum dengan Rabilfirli yang berada di hadapan berjaya mengekalkan kedudukannya manakala Firdaus merampas kedudukan tempat kedua daripada Fitri pada dua pusingan terakhir.

Sementara itu, Pusingan 4 di Putrajaya pula merupakan satu perlumbaan menakjubkan bagi Rabilfirli.  Tidak seperti sebelumnya apabila sentiasa memulakan perlumbaan di barisan hadapan, kali ini dia terpaksa bermula di barisan belakang berikutan aksi buruk sewaktu sesi kelayakan. Namun begitu, dia tetap mempamerkan semangat juang yang tinggi pada sepanjang perlumbaan.

Permulaan yang baik membantu Rabilfirli menuju ke kelompok pertengahan dan selepas itu dia semakin bersemangat untuk mengejar barisan pelumba di hadapan terdiri daripada Fitri, Arif, Mohd Amir Syafiq Abdul Rahman, Mohd Amim Abu Osman, Mohd Amirul Afandy Abdullah dan Mohd Yasir Solahuddin. Nasib Rabilfirli agak baik apabila Amir terjatuh pada pusingan kelima manakala Amirul Afandi dan Yasir terjatuh pada dua pusingan terakhir sekali gus memberi peluang buat Rabilfirli menambah 20 mata apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang Fitri manakala Arif di tempat ketiga.

Teluk Intan menyaksikan Rabilfirli menemui semula rentak kemenangannya. Sebaik lampu dipadamkan, pelumba ini terus berada di kedudukan paling hadapan sehingga menuju ke garisan penamat. Fitri berada di tempat kedua dan Zulfakri ketiga.

Beberapa minggu selepas itu, berlangsung pula Pusingan 6 di Alor Setar dan prestasi yang ditunjukkan pelumba-pelumba juga semakin meningkat. Gagal memberikan aksi terbaik pada sesi saringan, Rabilfirli terpaksa memulakan perlumbaan di petak ketujuh. Mohd Azim Mohd Rosli yang berada di petak pertama pula dikenakan penalti 30 saat kerana melakukan kesalahan jumpstart.

Ini membolehkan Zulfakri menguasai perlumbaan dengan kelebihan 6.501s di hadapan Rabilfirli yang berada di kedudukan kedua dan tempat ketiga menjadi milik Suhairazu Suhaizat.

Dengan berbaki empat perlumbaan dan 100 mata yang menjadi rebutan, mampukan Rabilfirli mengekalkan kedudukannya daripada dirampas pencabar-pencabar lain?

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd


Wednesday, August 10, 2011

‘Doktor’ chopper Malaysia


SIAPA sangka pengusaha kimpalan besi mampu mencipta kerangka motosikal chopper seperti dalam filem Hollywood, The Ghost Rider lakonan Nicolas Cage.
Chopper sebenarnya merujuk pada kerja-kerja pemotongan dan penyambungan semula bahagian motosikal untuk menghasilkan sebuah motosikal kategori ‘easyrider’ unik..Kebiasaan kenderaan chopper mempunyai batang pemegang yang tinggi, tempat duduk rendah dan roda belakang lebih besar daripada depan.


Pemilik bengkel motosikal Eastern Bobber, Omar@Maharani Jumiran, 41, yang berasal dari Kajang, Selangor, mahir mencipta kerangka motosikal kategori chopper dan klasik.

Walaupun baru tiga tahun berkecimpung dalam bidang itu, dia menghasilkan lebih 20 buah motosikal dalam kategori berkenaan.

Menurutnya, berbekal kemahiran dalam kimpalan besi menjadi inspirasi kepadanya untuk menghasilkan motosikal itu.

“Dalam menghasilkan jentera ini, saya perlu menanamkan minat dan mahu belajar untuk mendapat formula mencipta motosikal ‘custom’ ini.

“Saya juga perlu rajin mentelaah majalah antarabangsa dan melayari Internet dalam mencari idea baru dalam pembikinan motosikal ‘custom’,” katanya ketika ditemui pelancaran Butik Red Garage, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pelancaran itu disempurnakan Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Datuk Sohaimi Shahadan sebelum melepaskan konvoi lebih 100 motosikal berkuasa tinggi itu mengelilingi ibu negara.

Pada pelancaran itu, Omar turut mempamerkan dua motosikal rekaannya ‘berasal’ daripada Modenas Jaguh dan Yamaha Virago.

Omar berkata, Modenas Jaguh dibelinya dengan RM1,800 bertukar bentuk sepenuhnya dan sudah empat kali memenangi pertandingan.

“Motosikal ini (Modenas Jaguh) saya leraikan dan hanya mengambil enjinnya saja untuk dipadankan kerangka yang dicipta khas.

“Besi yang berkualiti perlu digunakan untuk mencipta kerangka bagi memberi ketahanan dan mampu menyerap hentakan ketika berada di jalan raya,” katanya.

Menurutnya, dia mengambil masa lebih sebulan untuk menyiapkan motosikal itu dan kosnya mencecah hampir RM15,000.

Ketika ditanya ketahanan motosikal itu, model berkenaan mampu ditunggang dari Kuala Lumpur ke Kuala Kangsar, Perak, tanpa sebarang masalah.

Omar berkata, chopper warna putih menggunakan enjin Yamaha Virago menerima suntikan berbeza kerana tangki lima liter diletakkan di bawah tempat duduk penunggangnya.

Ekzos krom pendek yang dipadankan memberi deruman garang dan kuasa tujahan lebih pada motosikal itu.

“Oleh kerana rangkanya yang sukar, saya menggunakan tempat duduk direka khas bagi memberi keselesaan terhadap gegaran ketika di jalan raya.

“Sistem penghidup pula menggunakan jenis elektrik dan menerima suntikan semburan angin membuatkannya tampak menawan,” katanya.

Sementara itu, Sohaimi berkata, program membabitkan motosikal berkuasa tinggi itu seharusnya diberi galakkan kerana mereka tidak terbabit dengan aktiviti yang tidak sihat.

Menurutnya, motosikal berkuasa tinggi itu juga menjadi hobi kepada golongan muda, sekali gus dapat mendisiplinkan mereka.

“Sebenarnya, peminat motosikal berkuasa tinggi ini menjalankan aktiviti melalui konvoi adalah berbentuk amal dan ramai di kalangan mereka terdiri daripada golongan yang banyak menyumbang kepada masyarakat.

“Justeru, kerajaan dan agensi lain perlu memberi perhatian berhubung industri permotoran untuk melakukan aktiviti yang bermanfaat,” katanya.

Pengarah Urusan Red Garage Enterprise, Eddie Iskandar Abu Zahar, berkata selain menjual pakaian, beliau turut menyediakan alat gantian motosikal chopper yang berjenama dari Amerika Syarikat.

Beliau berkata, kewujudan alat ganti itu menyemarakkan lagi budaya motosikal chopper di negara ini dan rekaan yang terhasil adalah satu daripada seni.



TOPAN REPEATS DOUBLE WIN IN INDIA

Rafid of Yamaha CKJ TJM Racing


Rafid Topan Sucipto displayed superior form to claim another double win and extend his lead in the Underbone 115cc standings during the third leg of the 2011 PETRONAS Asia Road Racing Championship (ARRC) at the Madras Motor Race Track, India today.

The Yamaha CKJ TJM rider was exceptionally fast in both races concluding Race 1 with total time, 20:11.485s to beat compatriot, Hadi Wijaya (Kawasaki NHK Rextor Manual Tech) by 8.190s in second place with 20:19.675s. 

Newly returned Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) closed the deal for third spot on the podium with 20:22.058s having surpassed Topan’s teammate, Ahmad Afif Amran at the last turn of the final lap.

The 16 years old Topan repeated the same game play for Race 2 to secure his second victory for the day. This time he completed the 10 lap race with 20:11.196s, a commendable 6.886s gap ahead of Hadi who timed 20:18.082s once again in second place. 

Meanwhile debutant, Afif Amran defeated more experienced countrymen, namely Zaidy Mohd Zaifaizal and Mohd Rozaiman Mohd Said of Motul Yamaha YY Pang, Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) and Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) in an intense battle for third spot on the podium with 20:23.468s.

Ramdan on the other hand was forced to retire before Race 2 even started following mechanical complications.

Ecstatic with his fifth win for the season, Topan commented, “All my thanks go to the team who had put a lot of efforts setting up the machine. My Yamaha was at its maximum in terms of performance and stability and this allowed me to win not one but two chequered flags today. Nevertheless, the race was far from easy and I am very happy and pleased with the results today,” he said.

The Indonesian now looks forward to maintaining his good run for the upcoming leg at the Autopolis International Race Course in Japan next month. 

“I’ve won five races in the past three rounds so hopefully I can win again in Japan next month. I want to keep my chances of winning the Underbone 115cc overall title high as the season proceeds further.”

Earning 50 points from this leg, Topan extends his lead to 125 points in the Underbone 115cc standings while defending Champion, Hadi registers second with 86 points. Shahril Izzuwan takes third spot with 76 points.

Topan's impressive run further strengthens Yamaha CKJ TJM Racing position on top of the team overall standings with 132 points while PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM takes second with 87 points. Kawasaki NHK Rextor Manual Tech sits in third with 86 points. 

Zulfahmi sedia hadapi cabaran di Brno



Penunggang negara Muhammad Zulfahmi Khairuddin mengambil selekoh semasa perlumbaan Moto GP kategori 125cc 

Pelumba tunggal MotoGP negara kategori 125cc, Muhammad Zulfahmi Khairuddin diharap mampu mencatat satu lagi kejayaan cemerlang serta memperbaiki kedudukan pada Kejohanan Grand Prix Republik Czech di Litar Brno, hujung minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC) Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata pelumba berusia 19 tahun itu telah menunjukkan kematangan dan peningkatan memberangsangkan pada sembilan perlumbaan MotoGP musim ini.

"Saya Muhammad Zulfami mampu mengumpul mata dengan menamatkan saingan dengan menduduki sekurang-kurangnya di tempat ke-15," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa anjuran SIC dan AirAsia di sebuah restoran di Kampung
Sungai Penchala di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Zulfahmi, yang akan berlepas ke Republik Czech awal pagi esok. berkata beliau akan berusaha memperbaiki pencapaian semasanya seterusnya sekurang-kurang menyamakan pencapaian seperti tahun lalu di tempat ke-15 keseluruhan.
"Tidak mahu bercita-cita terlalu tinggi, saya akan cuba menamatkan perlumbaan dalam kedudukan 15 penunggang terbaik. Boleh dikatakan Litar Brno merupakan litar yang mesra bagi saya.
"Baki lapan perlumbaan ini akan saya gunakan sebaiknya untuk perbaiki dari kedudukan ke-18 ke kedudukan seperti tahun lalu," katanya.

Seramai 15 penunggang terbaik setiap pusingan perlumbaan akan memperoleh mata kejohanan dengan juara menerima 25 mata dan naib juara 20 mata serta penunggang di tempat ke-15 akan mendapat satu mata.

Zulfahmi memperoleh 13 mata kejohanan semasa untuk berada di kedudukan ke-18 penunggang dengan memperoleh enam mata di Litar Catalunya (Sepanyol), lima mata di Litar Estoril (GP Portugal) dan dua mata di Assen (Belanda).

Anak kelahiran Banting ini mula berlumba sebagai penunggang 'wildcard' bagi kategori GP125 pada Grand Prix Malaysia 2009, sebelum menjadi penunggang sepenuh musim pada tahun berikutnya dengan menyertai AirAsia-SIC Racing Team.

Musim MotoGP Dunia 2011 mengandungi 18 pusingan di 13 negara dengan Malaysia menjadi tuan rumah pusingan ke-17 di Litar SIC, Sepang, pada 23 Okt ini.