jokisenja header

jokisenja header

Tuesday, November 30, 2010

Program wildcard MotoGP bermula awal

KUALA LUMPUR -- Tidak seperti dua edisi yang lepas, Program Wildcard GP 2011 bakal bermula awal dengan tiga pelumba telah dipilih melalui tiket wildcard untuk menyertai kejohanan MotoGP pada Oktober, tahun depan.

Antara nama yang terpilih itu ialah, Muhammad Farid Badrul Hisham, Hafizh Syahrin Abdullah dan Muhammad Syafiq Omar dan mereka akan beraksi untuk kelas 125cc yang dijadual berlangsung pada 21 hingga 23 Oktober tahun depan.
Ketua Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata, tiga pelumba itu akan menjalani latihan persediaan tiga bulan sebelum berlangsungnya MotoGP di Sepang.
''Latihan akan dijalankan secara berterusan untuk memastikan kecergasan mereka berada pada tahap yang memuaskan.
''Kami juga mahu tiga pelumba ini mampu untuk mengekalkan catatan masa terpantas yang pernah diperolehinya sebelum ini,'' kata Razlan.
Tiga pelumba muda itu dipilih melalui kejohanan Supersports Junior 600cc yang diadakan pada tahun ini, malah mereka mempamer aksi cemerlang ketika perlumbaan berlangsung.
Pada perlumbaan tersebut, pelumba muda dari Thailand, Apiwat Wongthananon dan Rathapong Wilairot berjaya memperoleh tempat pertama dan kedua, manakala Farid, Hafizh Syahrin dan Shafiq berada dalam kelompok lima pelumba terbaik.
Sementara itu, Farid meletakkan harapan tinggi untuk melakukan yang terbaik pada perlumbaan tahun depan setelah terpilih beraksi melalui tiket wildcard.
''Ini adalah misi peribadi saya untuk memastikan saya mampu untuk cemerlang pada perlumbaan itu dan saya tidak akan sia-siakan peluang yang telah diperolehi ini.
''Saya gembira kerana mendapat sokongan yang kuat daripada keluarga dan saya harap semuanya akan berjalan dengan lancar.
''Untuk itu saya akan pastikan segala persedian yang dilakukan dapat memberi impak positif kepada saya,'' kata Farid.

No comments:

Post a Comment