jokisenja header

jokisenja header


Tuesday, November 20, 2012

PUSINGAN TERAKHIR CUB PRIX 2012 KE BATU KAWAN P.PINANG


 

Pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang dijadualkan berlangsung pada 1 dan 2 Disember ini di Padang Kota bertukar ke lokasi baru iaitu di Stadium Batu Kawan.

Lokasi bersejarah yang menjadi gelanggang terakhir sepanjang dua musim lepas terpaksa ditukarkan bagi membolehkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menjalankan kerja-kerja memperkenalkan sistem aliran trafik baru di pulau tersebut.

"Pulau Pinang merupakan destinasi pelancongan yang begitu popular dan kerajaan negeri menyuarakan kebimbangan mereka terhadap aliran trafik yang teruk di bahagian pulau terutama pada musim cuti sekolah dan perayaan Krismas Disember ini," jelas Ron Hogg, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd.

"Bagi mengatasi masalah tersebut, sistem baru trafik akan diperkenalkan dan kerajaan negeri memohon agar pusingan terakhir dapat dipindahkan ke Batu Kawan bagi memberi laluan kepada mereka untuk menjalankan kerja-kerja berkaitan. Walau bagaimanapun, Kejuaraan Cub Prix pasti akan kembali semula ke sini tahun depan. Padang Kota merupakan lokasi yang cukup strategik dan sentiasa menerima kehadiran penonton yang begitu ramai," tambahnya.

Di sebalik masalah yang tidak dapat dielakkan, Ron tetap optimis perlumbaan di Batu Kawan tetap mempunyai kelebihan tersendiri.

"Pertukaran ini mungkin sedikit mengganggu persediaan pasukan dan pelumba-pelumba kerana mereka sukakan litar Padang Kota. Namun ia tidak menghalang mereka tampil memberikan aksi terbaik di Batu Kawan terutama setelah melalui perlumbaan yang cukup mendebarkan di Sepang (Pusingan 9) minggu lalu."

Sementara itu, perlumbaan di Sepang menyaksikan Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing telah mengesahkan gelaran juara keseluruhan kategori perdana CP130 manakala pelumba 14 tahun, Khairul Idham Pawi turut dinobatkan sebagai juara Cabaran Honda Wave Junior 2012.

Lima lagi gelaran, CP115, Wira, Siri Super Yamaha 135 PETRONAS, Cabaran Suzuki Belang dan Persendirian, pemenang-pemenang akan ditentukan pada perlumbaan terakhir.
 

Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 Pusingan 9 Litar Sepang Selatan

AZLAN JUARA KESELURUHAN CP130 2012



Berbaki satu pusingan perlumbaan, Azlan Shah Kamaruzaman telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 sebaik Pusingan 9 berakhir di Litar Sepang Selatan, hari ini.

Sekalipun sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat, 13 mata yang dipungut oleh pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing meletakkannya di tangga teratas dengan mengumpul 140 mata, 27 mata mengatasi Ahmad Fuad Baharudin dari pasukan Faito Motobert Racing yang berada di tangga kedua.

"Saya sangat gembira dengan kejayaan ini dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pengurus pasukan, Soong Chee Kieong, seluruh krew pasukan dan juga rakan sepasukan yang lain kerana telah bekerja keras sepanjang musim ini bagi membantu saya meraih gelaran pertama sepanjang sembilan tahun berada dalam saingan Cub Prix.

"Sebenarnya saya tidak menyangka mampu meraih gelaran lebih awal memandangkan saingan daripada pelumba lain termasuklah Ahmad Fuad  di litar Sepang ini cukup sengit. Walau bagaimanapun, jentera saya berada pada tahap terbaik dan begitu pantas sehingga membolehkan saya menamatkan perlumbaan di tempat keempat," jelas Azlan.

Dua rakan sepasukan Azlan, Mohd Affendi Rosli dan Mohd Fitri Ashraff Razali menguasai pentas podium apabila Affendi muncul juara dengan catatan masa keseluruhan 17 minit 38.476 saat. Fitri di tangga ketiga dengan masa keseluruhan 17:38.542s manakala gelaran naib juara menjadi milik Abdul Muhaimin Roslan dari pasukan Yamaha Maju Motor Racing, 17:38.490s.

Dua pencabar utama Azlan, Ahmad Fuad terkeluar daripada saingan pada pusingan pertama akibat masalah teknikal jentera manakala Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) terjatuh pada penghujung perlumbaan ketika sedang bersaing sengit di kelompok hadapan sekaligus sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-11.

Mengulas lebih lanjut, Azlan berkata, "Sasaran saya selepas ini adalah untuk membantu pasukan meraih Anugerah Berpasukan Terbaik pada perlumbaan terakhir di Pulau Pinang nanti. Saya akan memberikan yang terbaik dan seboleh-bolehnya mahu menaiki podium pada perlumbaan terakhir musim ini."

Walau bagaimanapun, perebutan untuk naib juara keseluruhan masih terbuka apabila hanya 19 mata membezakan kedudukan enam pelumba. Ahmad Fuad berada di tangga kedua dengan 113 mata diikuti Zaqhwan, ketiga, 104 mata.

Juara Pusingan 9, Affendi naik ke tangga keempat dengan mengumpul 103 mata manakala rakan sepasukan yang juga merupakan juara 2011, Norizman Ismail di tangga kelima dengan 103 mata. Rakan sepasukan Ahmad Fuad, Ahmad Fazrul Sham di tangga keenam dengan 98 mata dan Fitri ketujuh, 94 mata.


AMIRUL RAMPAS KEDUDUKAN PENDAHULU CP115



Dalam kategori CP115, gelaran juara di litar Sepang membantu Mohd Amirul Ariff Musa (Pachie Yuzy Honda Racing) naik ke tangga teratas keseluruhan setelah menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 13:53.823s, 0.173s dihadapan Shariffudin Shamsuddin (CKJ Yamaha Racing) manakala Mohd Haiekal Akmal Zakaria (AAP Mazoil Armstrong Motorsport) ketiga, 13:53.999s.

Amirul kini di tangga teratas dengan mengumpul 129 mata dengan merampas kedudukan pendahulu daripada Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang turun ke tangga kedua dengan 112 mata apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tangga ke-14. 

Mohd Emir Firdaus Hasan (M-Seki Liberty HondaRacing) kekal di tangga ketiga dengan mengumpul 100 mata.

Mengulas tentang pencapaiannya, Amirul berkata, "Kejayaan ini merupakan rezeki kepada saya dan seluruh pasukan yang telah bekerja keras terutama pada penghujung musim ini. Selepas meraih juara pada Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS baru-baru ini, kami berjaya meneruskan lagi di sini dan mudah-mudahan ia akan berterusan pada pusingan terakhir nanti."

Bercakap tentang peluangnya untuk merangkul gelaran keseluruhan CP115, Amirul berkata, "Masih terlalu awal untuk memperkatakannya. Apa sahaja boleh berlaku pada pusingan terakhir nanti. Cuma kami akan memastikan untuk memberi yang terbaik sama ada dari segi persiapan saya sendiri dan juga persiapan jentera oleh pasukan," jelasnya.


TENGKU AMIRUL RAIH GELARAN JUARA PERTAMA



Sementara itu, Tengku Amirul Haffiruddin akhirnya berjaya meraih gelaran juara pertama dalam kategori Wira pada musim ini setelah melintasi garisan penamat dengan catatan masa keseluruhan  12:50.043s.

Pelumba Motul Yamaha YY Pang itu bagaimanapun diberikan cabaran sengit Mohd Hafiza Rofa dari pasukan Faito YSP Racing Team yang menduduki tempat kedua apabila hanya 0.62s memisahkan kedudukan kedua-dua pelumba itu.

Tempat ketiga menjadi milik Che Ku Amriq Asyraff (CKJ Yamaha Racing) yang menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 12:50.361s.

"Saya terpaksa mengubah strategi asal saya. Pada mulanya saya mahu menjarakkan diri dengan pelumba-pelumba lain dari peringkat awal perlumbaan lagi namun gagal. Pada pertengahan perlumbaan, enam pelumba berada dalam kelopok hadapan dan saya memutuskan untuk mengekori sahaja Hafiza sebelum memintasnya pada selekoh terakhir. Saya gembira kerana strategi saya berjaya dan akhirnya memberikan gelaran pertama kepada saya pada musim ini," jelas Amirul.

Keputusan tersebut bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Tengku Amirul dalam senarai keseluruhan apabila kekal di tangga ketiga dengan 123 mata. Hafiz Nor Azman (Team Mos Track Pro Yamaha Racing) yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat berjaya merampas kedudukan pendahulu dengan mengumpul 165 mata. Fakhrusy Syakirin Rostam (AAP Mazoil Armstrong Motorsport) yang gagal ke perlumbaan akhir setelah terjatuh pada sesi saringan turun ke tangga kedua, kekal dengan 158 mata.