jokisenja header

jokisenja header

Tuesday, November 2, 2010

Litar licin atau tidak cukup garang?



MOHD. Zulfahmi terjatuh semasa berlumba pada ujian bebas Grand Prix Australia di Phillip Island, sebelum ini. - AP


KUALA LUMPUR - Litar licin atau tidak cukup garang di trek? Dua persoalan berbeza ini menjadi antara analisis prestasi pelumba kategori 125cc negara, Mohd. Zulfahmi Khairuddin pada Grand Prix Portugal, kelmarin.

Zulfahmi yang berjaya mengutip satu mata setelah menyudahkan perlumbaan di posisi ke-15 di Litar Estoril kelmarin, mengakui aksinya dibebani trek yang licin serta keadaan angin yang cukup mencabar baginya.

"Apabila saya melihat ramai penunggang jatuh, saya terpaksa melakukan strategi dalam perlumbaan itu dan saya gembira kerana itu berbaloi," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Bagaimanapun, jika dilihat bilangan pelumba kategori 125cc yang terjatuh di litar itu, Zulfahmi mampu untuk mengejar kedudukan yang lebih selesa jika dia lebih garang dalam aksinya.

Dia mungkin mampu memperoleh dua mata kerana sebelum perlumbaan terhenti akibat hujan, dia pada kedudukan yang lebih baik.

Pada aksi tersebut, seramai lapan pelumba terbabit dalam kemalangan termasuklah Luca Marconi daripada pasukan Ongetta yang patah tulang selangka kiri manakala pelumba CBC Corse, Jasper Iwema pula cedera di bahu kanan. Rakan pasukan Zulfahmi, Sturla Fagerhaug juga sekadar beraksi dalam empat pusingan.

Itu bermakna hanya 15 pelumba termasuk Zulfahmi yang mampu menyudahkan perlumbaan, kelmarin
Satu mata itu turut menamatkan kemarau tiga bulan posisi cemerlang buatnya yang sebelum ini, pernah mengutip tiga mata di Grand Prix Sepanyol, GP Jerman dan yang terakhir di GP Republik Czech.

GP Portugal merupakan perlumbaan kedua terakhir dalam kalendar kejuaraan dunia. Zulfahmi mempunyai satu lagi saingan untuk melengkapkan musim 2010 dengan beraksi di GP Valencia, Ahad ini.

No comments:

Post a Comment