jokisenja header

jokisenja header

Saturday, November 13, 2010

Pembinaan Litar Tanah Merah dipersetujui kerajaan Kelantan

HASRAT Kelantan untuk memiliki litar lumba motosikal menjadi kenyataan apabila lokasinya di Tanah Merah dipersetujui kerajaan negeri Kelantan bulan lalu.
Jika semuanya berjalan lancar, majlis pecah tanah projek tersebut akan disempurnakan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekembalinya daripada menunaikan umrah pertengahan bulan depan.
"Dia sendiri akan pantau projek ini bagi memastikan ia siap mengikut jadual," ujar Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Pembangunan Insan Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood.
Jelasnya, reka bentuk serta pelan litar bernilai kira-kira RM3 juta itu mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan pembinaannya akan dikendalikan oleh kontraktor tempatan.
Ia akan dibina di satu kawasan seluas 10 ekar.
"Apabila siap kelak, ia akan menjadi litar pertama seumpamanya di Pantai Timur dan bakal dibangunkan sebagai pusat kecemerlangan sukan pemotoran tempatan serta aktiviti berkaitan automotif.
"Ia juga menepati hasrat kerajaan negeri yang menyokong aktiviti sihat sukan pemotoran seperti mana disuarakan Menteri Besar pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) April lalu," ujarnya.
Pada sidang tersebut, Nik Aziz memberitahu pembinaan litar itu bukan pembaziran, tetapi memberi ruang kepada pihak berkuasa menangani gejala lumba haram yang turut membimbangkan ibu bapa.
Nik Aziz menyokong projek pembinaan litar motosikal itu dan aktiviti pemotoran yang sihat dalam usaha menangani gejala mat rempit dan lumba haram di kalangan golongan muda negeri ini.
Polis Kelantan sebelum ini juga pernah mencadangkan kepada kerajaan negeri membina 'kawasan khusus' untuk kegunaan mat-mat rempit bagi mengelak mereka menggunakan jalan raya sebagai litar lumba.
Dalam perkembangan lain, Abdul Fattah memberitahu program Akademi Sukan Bermotor (ASB) yang ditaja kerajaan negeri akan diteruskan dalam usaha mencari bakat baru jaguh motosikal Kelantan.
Untuk itu, pihaknya telah pun mengadakan perbincangan dengan bekas pelumba Moto GP Kebangsaan, Shahrul Yuzy Ahmad Zaini selaku jurulatih dan pengendali ASB serta penajanya, Edaran Modenas Sdn. Bhd. (Modenas).
"Sejak ASB diwujudkan dua tahun lalu, kita berjaya melatih beberapa remaja yang berminat dalam sukan lumba motosikal, misalnya Zafrul Shafieq Sukardin beraksi pada kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas Sprinta.
"Kita berada di landasan yang betul, dan pembinaan litar lumba di Tanah Merah adalah kesinambungan daripada segala perancangan yang dibuat," jelasnya.

No comments:

Post a Comment