jokisenja header

jokisenja header


Friday, November 19, 2010

SEPANG PENENTU NASIB RAMDAN

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha AHM, Mohd Ramdan Mohd Rosli diramal mampu mengesahkan gelaran juara keseluruhan bagi kategori CP115 di Litar Sepang Utara hujung minggu ini.

Saingan di Sepang  merupakan pusingan kedua terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS bagi musim ini sebelum ia melabuhkan tirainya di Padang Kota, Pulau Pinang pada Disember 4 dan 5.

Meskipun misi Ramdan dilihat mudah, tetapi dia tetap berdepan cabaran daripada Mohd Rozaiman Mohd Said, Mohd Adli Salihin dan Mohd Iskandar Raduan yang turut mempunyai peluang untuk melakar nama sebagai juara keseluruhan.

Namun, kelebihan bakal memihak kepada Ramdan yang terus konsisten menjejak kaki ke podium sepanjang musim ini, dan setakat ini dia telah melakukannya sebanyak lima kali.

Ekoran kejayaan tersebut, dia kini selesa mendahui kedudukan keseluruhan kelas CP115 dengan 146 mata.

Jika dia meneruskan kecemerlangan nya pada Pusingan 9 di Sepang hujung minggu ini, gelaran juara sudah pasti berada dalam genggamannya.

Jika pelumba berusia 14 tahun ini mampu merealisasikannya, dia bakal muncul pelumba termuda bergelar juara kategori tersebut dalam sejarah Cub Prix.

Ramdan kini mempunyai kelebihan 31 mata di hadapan pencabar terdekatnya, Rozaiman yang mewakili pasukan Motul Yamaha YY Pang serta 38 mata memisahkan dirinya dengan rakan sepasukan, Adli.

Dengan baki dua pusingan lagi untuk diharungi, Ramdan juga mempunyai kelebihan 41 mata berbanding pelumba yang menduduki tempat keempat, Iskandar (PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline).

Rozaiman, Adli dan Iskandar kini masing-msingnya menghuni tempat kedua, ketiga dan keempat dengan 115, 108 dan 105 mata.

Tugas Ramdan untuk mengesahkan gelaran juara keseluruhan di Sepang hujung minggu ini cukup mudah.

Pertama, dia perlu memenangi perlumbaan dan keduanya, memburu tempat kedua sekiranya Rozaiman tampil menguasai perlumbaan.

Jika dua misi tersebut berjaya disempurnakannya, Ramdan akan bergelar juara keseluruhan bagi musim 2010.

Ketika ditanya sasarannya untuk perlumbaan akan datang, Ramdan berkata: "Saya sedar cabaran yang bakal diharungi. Jika saya mengekalkan kedudukan dalam kelompok lima pelumba terbaik dalam baki dua perlumbaan akan datang, ia sudah cukup untuk mengukuhkan peluang saya meriah gelran juara keseluruhan. Begitupun, saya tetap memburu kejayaan podium pada perlumbaan di Sepang. Ia adalah sasaran utama saya.

"Saya juga sedar bahawa memang sukar untuk membuat ramalan dalam perlumbaan seperti ini terutama apabila beraksi di Sepang yang memerlukan jentera yang pantas dan berkemampuan.

"Keupayaan jentera memainkan peranan penting namun saya tetap berharap untuk menamatkan perlumbaan dengan kejayaan podium. Di samping itu, saya perlu sekurang-kurangnya menamatkan perlumbaan di belakang Rozaiman agar gelaran juara keseluruhan tidak terlepas daripada genggaman saya."



No comments:

Post a Comment