jokisenja header

jokisenja header


Sunday, May 15, 2011

Zaidy tawan Gong Badak


Pengurus Kanan Petronas Motorspots, Khaled Abdul Aziz (depan) menyampaikan hadiah kepada Zaidy (tengah) sambil diperhatikan Rozaliman (kiri) dan Adli selepas berakhir pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Kuala Terengganu semalam.


PELUMBA pasukan Motul YY Pang Racing, Zaidy Mohd. Zaifaizal membuktikan dirinya sebagai pelumba terbaik di Litar Gong Badak selepas mengungguli perlumbaan kategori CP115 pada Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 semalam.
Pada perlumbaan di Litar Gong Badak, Kuala Terengganu sepanjang 0.932 kilometer (km) itu, Zaidy yang bermula dari petak ke-13 berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan 8minit: 37.787 saat.
Kemenangan itu sekali gus mengulangi kejayaan sama yang dicatat pelumba kelahiran Pulau Pinang itu pada edisi kejuaraan tahun lalu.
"Litar Gong Badak adalah litar kegemaran saya. Cuma saya bermula agak perlahan pada sesi ujian masa dan kelayakan. Namun pengalaman beraksi di litar ini sejak beberapa tahun lalu termasuk muncul juara pada 2010 memberi banyak kelebihan," kata pelumba berusia 20 tahun itu.
Lebih manis lagi, kemenangan yang diraih Zaidy di litar itu merupakan kemenangan keduanya bagi musim 2011 selepas turut muncul juara pada perlumbaan Pusingan 2 di Batu Kawan bulan lalu.
Kejayaan itu sekali gus memberi kelebihan kepadanya untuk menguasai kedudukan keseluruhan kategori CP115 dengan 66 mata, 14 mata di hadapan pelumba Petronas Syntium Moto Yama AHM, Shahril Izzuwan Mohd. Noor.
"Saya rasa, jentera pasukan kami begitu baik hari ini (semalam)," jelasnya.
Sementara itu, hajat pelumba Yamaha ZAR Racing Motorsport, Mohd. Rozaliman Zakaria untuk meraih kemenangan sulungnya musim ini tidak kesampaian selepas sekadar menduduki tempat kedua dengan masa 8:41.243s.
Tempat ketiga bagi kelas CP115 pula menjadi milik Mohd. Adli Salihin dari pasukan Yamaha Motul YY Pang dengan catatan 8:41.403s.
Bagi saingan kelas CP130, tempat pertama menjadi milik pelumba pasukan TEQ SCK Honda Racing, Azlan Shah Kamaruzaman dengan masa 10:30.007s diikuti Ahmad Fazrul Sham (Yamaha Pennzoil Fastrac Racing) dan pelumba Yamaha Maju Motor Racing, Ahmad Fuad Baharudin.
Persaingan kelas Wira pula menyaksikan Mohd. Hafiza Rofa dari Yamaha Faito YSP Racing muncul juara dengan masa 7:38.657. Tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik Mohd. Emir fareez Hasan dari Honda Promax X-Dot dan Mohd. Adib Rosley dari pasukan Motul Yamaha YY Pang.

No comments:

Post a Comment