jokisenja header

jokisenja header

Friday, May 13, 2011

Affendi muncul pelumba terpantas

PELUMBA Harian Metro TEQ SCK Honda Racing, Affendi Rosli muncul pelumba terpantas bagi kategori CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam. 

Affendi melakukan catatan 41.897 saat menewaskan rakan sepasukan, Azlan Shah Kamaruzaman dengan mencatatkan 41.990 saat manakala Ahmad Fazrul Sham (Pennzoil Fastrac Racing) di kedudukan ketiga dengan catatan 42.001 saat. 

Selepas mendapati dirinya berada di kedudukan kelima pada pertengahan perlumbaan, Affendi mengambil keputusan kembali ke paddok dan tidak lagi meneruskan sesi ujian masa, namun bertindak mengubah fikirannya pada saat akhir. 

“Saya tidak menyangka keputusan itu membawa tuah apabila dapat mencipta masa ebih pantas. Secara tidak langsung pencapaian ini menambahkan semangat kepada saya untuk menebus kesilapan dilakukan pada pusingan lepas,” katanya selepas dikenakan denda penalti 30 saat kerana melakukan kesalahan jump start ketika memulakan perlumbaan Pusingan 2. 

“Kali ini saya tidak mahu mengulangi kesilapan dan mahu bangkit dengan menamatkan perlumbaan kali ini di atas podium. Tentang cabaran pada hari esok (hari ini), saingan pastinya begitu sengit namun yakin gandi-ngan saya dan dan Azlan mampu untuk berada di atas podium,” katanya yang kali terakhir menjejakkan kaki di atas podium pada Pusingan 9 tahun 2009. 

Dalam kategori CP115, selepas mendapat tempat ketiga di Batu Kawan, pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM, Mohd Hafieenaz Mohd Ali berazam untuk menguasai kedudukan podium sekali lagi apabila mencatatkan masa terpantas pada sesi ujian masa dengan catatan 42.545 saat. 

Mohd Rozaiman Mohd Said (Motul Yamaha YY Pang Racing) berada di kedudukan kedua apabila melakukan catatan 42.659 saat, manakala rakan sepasukan Hafieenaz, Shahril Izzuwan Mohd Noor di kedudukan ketiga dengan catatan 42.753 saat. 

Hafieenaz ketika ditemui menjelaskan keadaan jenteranya begitu baik kali ini menjadi faktor beliau muncul sebagai pelumba terpantas. 

“Saya berharap keadaan seperti ini akan berterusan pada hari esok (hari ini). Sasaran kami adalah untuk berada di kedudukan satu – dua bersama-sama Shahril. 

“Namun begitu saingan pada hari esok pastinya sengit terutama daripada juara di litar ini pada musim lalu, Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang Racing), Mohd Emir Firdaus Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing), dan beberapa pelumba lagi termasuk Mohd Rozaiman Mohd Said (Motul Yamaha YY Pang),” kata pelumba berusia 24 tahun itu. 

Sementara itu kegagalan pada dua pusingan lepas mendorong Mohd Solehin Mohd Sukor untuk beraksi dengan lebih baik apabila muncul pelumba terpantas dalam kategori Wira dengan catatan 43.179 saat yang dilakukannya pada pusingan ke-10. 

Pelumba Honda Promax X-Dot Racing itu mengatasi pendahulu keseluruhan ketika ini, Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) dengan kelebihan 0.184 saat di mana pelumba itu sekadar melakukan 43.363s manakala Mohd Hafiza Rofa (Faito YSP Racing) muncul pelumba ketiga terpantas dengan catatan 43.451 saat. 

Solehin, 17, berkata pelarasan enjinnya berada dalam keadaan baik walaupun mempunyai sedikit masalah terhadap sistem gear. 

“Selepas mencatatkan masa terpantas pada pusingan ke-10, saya menghadapi sedikit masalah dengan sistem gear. Saya menerangkan masalah tersebut kepada mekanik dan mereka sedang cuba untuk mengatasi masalah itu. 

“Saya berharap ia dapat diselesaikan dan dapat mencapai keputusan yang baik pada hari esok,” kata pelumba dari Pulau Pinang itu. 

Pada pusingan lepas, Solehin gagal menamatkan perlumbaan akhir apabila terjatuh ketika sedang mendahului perlumbaan namun kali ini dia berharap untuk menamatkan perlumbaan di atas podium. 

Katanya, faktor kekurangan pengalaman berbanding pelumba lain menyebabkan beliau gagal menyaingi pelumba lain namun kali ini pelumba muda itu lebih bersedia untuk menghadapi cabaran pada perlumbaan hari ini. 

“Sasaran kami adalah untuk menempatkan diri di kalangan tiga pelumba terbaik dan berharap dapat melakukannya di Kuala Terengganu.” katanya. 

Peminat-peminat jangan lepaskan peluang menyaksikan perlumbaan akhir bermula pada jam 1.35 petang di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu. 

No comments:

Post a Comment