jokisenja header

jokisenja header

Tuesday, May 10, 2011

AIDIL MAHU TINGKATKAN PRESTASI

Tampil kali pertama bersama pasukan Suzuki FortyOne Racing pada musim ini bukan satu alasan kepada prestasi kurang memberangsangkan Mohd Aidil Abdul Aziz dalam kategori CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011. Sebaliknya Aidil berjanji untuk bangkit pada Pusingan 3 yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu pada 13 dan 14 Mei ini.

Pelumba berusia 24 tahun itu kini berada di tangga ketujuh keseluruhan dengan mengutip 13 mata setelah menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 pada Pusingan 1 (Kangar) dan kedudukan kelapan pada Pusingan 2 (Batu Kawan).  Kedudukan itu turut dikongsi bersama tiga pelumba lain iaitu Mohd Rozaliman Zakaria (ZAR Racing Motorsports), Sasitharen Sukumaran
(M-Seki Liberty Honda Racing) dan Mohd Syawalludin Mohd Zaki (Yamaha CKJ Sukimi).

Anak kelahiran Johor itu mengakui tidak begitu berpuas hati dengan keputusannya setakat ini dan mahu meningkatkan lagi prestasinya pada pusingan akan datang di Kuala Terengganu.
 
"Keputusan yang saya perolehi pada dua pusingan lepas masih tidak begitu memuaskan. Memang terdapat peningkatan ketika di Pusingan 2 berbanding Pusingan 1 tetapi sasaran utama saya adalah untuk berada di atas podium," kata Aidil yang mewakili pasukan AAP HMR Racing musim lepas di kategori CP115 juga.

"Namun demikian, saya tidak mahu terburu-buru dan mahu menghauring satu pusingan demi satu pusingan. Dengan itu, pada Pusingan 3 ini sasaran saya adalah untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan lima pelumba terbaik."
 
"Ia bukan satu tugas yang mudah kerana adanya ramai pelumba-pelumba handalan seperti trio pelumba Motul Yamaha YY Pang, Zaidy Mohd Zaifaizal, Mohd Adli Salihin dan Mohd Rozaiman Mohd Said, pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM, Shahril Izzuwan Mohd Noor dan juga pelumba tempatan, Mohd Rozaliman Zakaria dari ZAR Racing Motorsports," kata Aidil yang telah memulakan karier perlumbaannya sejak tahun 2006 ketika berusia 19 tahun.

Mengenai peralihan daripada jentera Honda ke Suzuki yang digunakan musim ini, Aidil berkata ia bukan satu masalah kepadanya.
 
"Sebelum ini saya pernah menggunakan jentera Suzuki selama dua tahun, cuma pada tahun lalu saya menggunakan jentera Honda. Pada tahun 2008, saya mewakili pasukan Suzuki Harian Metro SCK manakala pada tahun 2009, saya berlumba untuk pasukan Suzuki KHi ARC Racing. Oleh itu, saya memang agak selesa dengan jentera Suzuki," kata Aidil yang mencatat keputusan terbaiknya dengan menduduki tangga kelapan keseluruhan kategori Novis pada tahun 2008.

Tambahnya lagi, "Namun begitu, saya akui pasukan kami masih berusaha untuk mendapatkan pelarasan terbaik terhadap jentera kerana pada ketika ini kelajuan jentera kami tidak setanding dengan pasukan yang lain. Walau bagaimanapun, dapat dilihat bahawa prestasi pasukan semakin meningkat selepas setiap pusingan. Di Kuala Terengganu kelak kami akan terus bekerjasama untuk mencapai keputusan yand diidamkan."
 
Selepas dua pusingan, Zaidy mendahului kedudukan dengan mengumpul 41 mata diikuti Shahril dengan 35 mata dan Adli berada di kedudukan ketiga dengan 31 mata.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd 


No comments:

Post a Comment