jokisenja header

jokisenja header


Friday, May 13, 2011

AFFENDI TAMPIL BERBISA DI TERENGGANU


Keputusan untuk kembali  meneruskan sesi ujian masa membawa tuah buat Mohd Affendi Rosli apabila berjaya mencatatkan masa terpantas kategori CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.  

Pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing itu melakukan catatan 41.897 saat menewaskan rakan sepasukannya, Azlan Shah Kamaruzaman yang mencatatkan 41.990s manakala Ahmad Fazrul Sham (Pennzoil Fastrac Racing) di kedudukan ketiga dengan catatan 42.001s. 

Selepas mendapati dirinya berada di kedudukan kelima pada pertengahan perlumbaan, Affendi mengambil keputusan untuk kembali ke paddok dan tidak lagi meneruskan sesi ujian masa namun bertindak mengubah fikirannya pada saat-saat akhir.

"Saya tidak menyangka keputusan itu membawa tuah buat saya apabila dapat mencipta masa yang lebih pantas. Secara tidak langsung pencapaian ini menambahkan semangat kepada saya untuk menebus kesilapan yang dilakukan pada pusingan lepas,' jelas Affendi yang menamatkan perlumbaan Pusingan 2 di tangga kelapan selepas dikenakan denda penalti 30 saat kerana melakukan kesalahan jump start ketika memulakan perlumbaan. 

Sebelum itu Affendi melintasi garisan penamat dengan berada di kedudukan kedua di belakang Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing).

"Kali ini saya tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama dan mahu bangkit dengan mahu menamatkan perlumbaan kali ini di atas podium. Tentang cabaran pada hari esok, saingan pastinya begitu sengit namun yakin gandingan saya dan dan Azlan mampu untuk berada di atas podium," jelas Affendi yang kali terakhir menjejakkan kaki di atas podium pada Pusingan 9 tahun 2009 . 

Perlumbaan esok menyaksikan Affendi akan bertindak sebagai pelumba terakhir untuk sesi SuperPole manakala juara Pusingan 1 di Kangar, Mohd Ramdan Mohd Rosli akan bertindak sebagai pelumba pertama.

Dalam kategori CP115, selepas mendapat tempat ketiga di Batu Kawan, pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM, Mohd Hafieenaz Mohd Ali berazam untuk muncul juara kali ini apabila mencatatkan masa terpantas pada sesi ujian masa dengan catatan 42.545s.

Mohd Rozaiman Mohd Said (Motul Yamaha YY Pang Racing) berada di kedudukan kedua apabila melakukan catatan 42.659 manakala rakan sepasukan Hafieenaz, Shahril Izzuwan Mohd Noor di kedudukan ketiga dengan catatan 42.753s.

Hafieenaz menjelaskan keadaan jenteranya yang begitu baik pada kali ini banyak membantunya untuk muncul sebagai pelumba terpantas. "Saya berharap keadaan seperti ini akan berterusan pada hari esok. Sasaran kami adalah untuk berada di kedudukan satu-dua bersama-sama Shahril. 

"Namun begitu saingan pada hari esok pastinya sengit terutama daripada juara di litar ini pada musim lalu, Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang Racing), Mohd Emir Firdaus Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing), dan beberapa pelumba lagi termasuk pelumba tuan rumah, Mohd Rozaliman Zakaria (ZAR Racing Motorsport)," jelas pelumba berusia 24 tahun itu. 

Sementara itu kegagalan pada dua pusingan lepas mendorong Mohd Solehin Mohd Sukor untuk beraksi dengan lebih baik apabila muncul pelumba terpantas dalam kategori Wira dengan catatan 43.179s yang dilakukannya pada pusingan ke-10. 

Pelumba Honda Promax X-Dot Racing itu mengatasi pendahulu keseluruhan ketika ini, Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) dengan kelebihan 0.184s di mana pelumba itu sekadar melakukan 43.363s manakala Mohd Hafiza Rofa (Faito YSP Racing) muncul pelumba ketiga terpantas dengan catatan 43.451s.

Solehin, 17 tahun berkata pelarasan enjinnya berada dalam keadaan yang begitu baik walaupun mempunyai sedikit masalah terhadap sistem gear. "Selepas mencatatkan masa terpantas pada pusingan ke-10, saya menghadapi sedikit masalah dengan sistem gear. Saya menerangkan masalah tersebut kepada mekanik dan mereka sedang cuba untuk mengatasi masalah itu. Saya berharap ia dapat diselesaikan dan dapat mencapai keputusan yang baik pada hari esok," kata pelumba dari Pulau Pinang itu.

Pada pusingan lepas, Solehin gagal menamatkan perlumbaan akhir apabila terjatuh ketika sedang mendahului perlumbaan namun kali ini dia berharap untuk menamatkan perlumbaan di atas podium. Jelasnya,

"Faktor kekurangan pengalaman berbanding pelumba lain menyebabkan saya gagal menyaingi mereka namun kali ini saya lebih bersedia untuk menghadapi cabaran pada perlumbaan esok. Sasaran kami adalah untuk menempatkan diri di kalangan tiga pelumba terbaik dan berharap dapat melakukannya di Kuala Terengganu."


Saingan Cabaran Honda Wave Junior menyaksikan pendahulu keseluruhan, Mohd Arif Abd Rahman muncul sebagai pelumba terpantas dengan  menewaskan Mohd Rabilfirli Azmin dan Mohd Firdaus Zainol yang berada di kedudukan kedua dan ketiga.

Arif melakukan catatan 45.989s, 0.509s lebih pantas berbanding Rabilfirli yang mencatatkan 46.498s manakala Firdaus dengan catatan 46.987s.

Dalam kategori persendirian, catatan 45.243s yang dilakukannya Zulfaqar Mohd Salleh pada pusingan keenam sudah cukup untuk membolehkannya mendahului pelumba-pelumba lain.

Mohd Fhahmim Abd Mutalib berada di kedudukan kedua dengan catatan 45.677s manakala Mohd Saaduddin Rosle di kedudukan ketiga dengan catatan 45.970s.

Peminat-peminat jangan lepaskan peluang menyaksikan perlumbaan akhir bermula pada jam 1.35 petang di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu, esok. 

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment