jokisenja header

jokisenja header


Friday, May 27, 2011

MUHAIMIN MASIH BELUM PUAS



Abdul Muhaimin Roslan berharap dapat meraih kemenangan sulungnya pada Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang akan berlangsung buat pertama kali di Presint 3, Putrajaya bersempena dengan Hari Belia Negara pada 28 dan 29 Mei ini.

Walaupun sedang mendahului kedudukan keseluruhan CP130, Muhaimin masih tidak berpuas hati memandangkan dia masih gagal meraih sebarang kemenangan dalam kategori utama sehingga kini.

Mengakui dia agak terkejut kerana mampu berada di tangga teratas keseluruhan ketika ini, pelumba Yamaha Maju Motor Racing itu bagaimanapun tidak terlalu gembira dengan kedudukannya.  Jelasnya, "Kejuaraan ini masih di peringkat awal dan saya tidak harus terlalu bangga dengan pencapaian ini kerana jurang mata di antara kami tidak ketara.
 
"Tambahan pula, pada setiap pusingan semua pasukan pasti mahu memperbaiki pencapaian masing-masing dan kita tidak dapat menjangkakan apa keputusannya sehingga ke hari perlumbaan nanti. Dengan musim perlumbaan yang panjang lagi dan segala-gala boleh berubah pada bila-bila masa."

Pada ketika ini, Muhaimin yang baru berusia 20 tahun mempunyai 44 mata, tujuh mata mengatasi Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) di kedudukan kedua dengan 37 mata manakala juara Expert dua kali, Ahmad Fazli Sham dari pasukan Pennzoil Fastrac Racing berada di tangga ketiga dengan 36 mata. Rakan sepasukan  baru Muhaimin, Ahmad Fuad Baharudin pula berada di tangga keempat dengan 32 mata.

Memasuki musim ketiga dalam saingan Expert/CP130 Muhaimin mengakui sasaran utamanya adalah untuk memenangi sekurang-kurangnya satu pusingan perlumbaan. "Bukan mudah untuk menguasai kategori CP130 sepertimana  Hafizh Syahrin Abdullah dan Mohd Ramdan Mohd Rosli melakukannya. Sejak saya beraksi dalam kelas ini pada tahun 2009, pencapaian terbaik saya hanya di kedudukan kedua yang dicapai ketika di Batu Kawan (Pusingan 2) pada tahun ini dan di Teluk Intan (Pusingan 6) tahun lalu," kata juara Novis 2008 itu.

"Saya tidak akan berputus asa dan di Putrajaya kali ini saya akan berusaha untuk mencapainya. Saya percaya ini merupakan gelanggang terbaik bagi meraih kemenangan memandangkan semua pelumba mempunyai peluang yang sama. Saya tidak mahu melakukan sebarang kesilapan dan cuba bertindak dengan bijak sepanjang perlumbaan nanti.

Ketika ditanya tentang peluang untuk muncul juara keseluruhan, dia berkata, "Masih terlalu awal bagi memperkatakannya. Apa yang saya mahukan adalah memenangi perlumbaan. Sebaik perlumbaan memasuki Pusingan 6 dan 7, barulah saya akan menilai dan mengukur semula kemampuan saya untuk bergelar juara keseluruhan."

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment