jokisenja header

jokisenja header

Sunday, May 22, 2011

Yuzy ‘hilang sabar’

PENGURUS pasukan Pachie Yuzy Honda Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini melakukan rombakan terhadap barisan pelumbanya dalam kategori CP115 bagi menghadapi Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 di Presint 3, Putrajaya, hujung minggu ini.
Selepas tiga pusingan, kedua-dua pelumbanya, Mohd Amirul Aziz Zakaria dan Afiq Rahmat gagal mempamerkan aksi memberangsankan dan tidak berupaya untuk mengutip sebarang mata. Aksi pelumba yang lemah ini menyebabkan Yuzy bertindak menggugurkan salah satu pelumbanya, Afiq. Tempat Afiq akan digantikan dengan Mohd Faris Ahmad Tajuddin manakala Amirul diberikan peluang kedua untuk membuktikan kebolehannya.

Yuzy menjelaskan: “Sebenarnya, selepas Pusingan 2 di Batu Kawan, saya telah memberikan amaran kepada kedua pelumba ini dimana jika mereka gagal mencapai apa yang dikehendaki pasukan, mereka akan digugurkan.
“Malangnya, pada pusingan lepas di Kuala Terengganu, mereka masih gagal mendapatkan keputusan yang diharapkan. Amirul tidak layak beraksi kerana masalah mekanikal jentera manakala Afiq menamatkan perlumbaan akhir di tangga ke-16 tanpa mengutip sebarang mata.” Tambah Yuzy lagi, “Kami mengharapkan Afiq dapat menamatkan perlumbaan di kelompok 10 pelumba terbaik ataupun sekurang-kurangnya mengutip mata.

“Malang sekali kerana tiada sebarang kemajuan yang ditunjukkan, kami terpaksa melepaskan Afiq dan tempatnya akan digantikan oleh Faris.” Yuzy turut menjelaskan kenapa Amirul diberikan peluang kedua.

Katanya, tidak adil untuk menilai kemampuannya hanya berdasarkan kepada keputusan setakat tiga pusingan ini. Dia gagal layak ke perlumbaan akhir disebabkan masalah mekanikal dan bukan kerana beraksi di bawah kemampuannya. “Saya lihat Amirul berpotensi cuma dia kurang bernasib baik kerana seringkali ditimpa masalah mekanikal. Kami akan beri peluang dan berharap dia tidak akan mengecewakan kami. Harapan yang kami letakkan adalah agar dia dapat berada pada kedudukan 10 terbaik.” Mengenai kemampuan pelumba gantiannya, Faris, Yuzy agak terkejut dengan aksi yang ditunjukkan pelumba berusia 17 tahun itu sewaktu sesi ujian dua hari di Elite Speedway, Subang Jaya minggu lepas.
“Prestasi Faris sewaktu sesi ujian masa melebihi jangkaan dengan mencatatkan masa yang cukup memberangsangkan. Saya harap dia dapat mencapai keputusan yang baik pada penampilan pertamanya di Putrajaya.

“Namun begitu saya tetap berikan dia masa menyesuaikan diri. Walaupun ini bukan kali pertama dia menyertai Cub Prix setelah beraksi dalam kategori Wira secara persendirian tahun lalu, dia masih perlu belajar bagaimana untuk bersaing dengan pelumba yang lebih berpengalaman dalam kategori CP115,” tambah Yuzy berpuas hati dengan prestasi dua pelumbanya, Mohd Zaqhwan Zaidi dan Mohd Amirul Musa dalam kategori CP130.


Mohd Faris Ahmad Tajuddin

No comments:

Post a Comment