jokisenja header

jokisenja header

Saturday, May 14, 2011

AZLAN BOLOT PODIUM PERTAMA DI TERENGGANU



Azlan Shah Kamaruzaman berjaya menebus kehampaan pada dua pusingan sebelum ini apabila berjaya menjuarai kategori CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing itu menamatkan perlumbaan sebanyak 15 pusingan dengan catatan keseluruhan 10 minit 30.007 saat menewaskan Ahmad Fazrul Sham dari pasukan Pennzoil Fastrac Racing di tempat kedua dan Ahmad Fuad Baharudin (Yamaha Maju Motor Racing) di kedudukan ketiga.

Fazrul yang mendahului dari awal perlumbaan sebelum dipintas Azlan ketika perlumbaan berbaki satu pusingan menamatkan perlumbaan dengan catatan 10:31.071s dikuti Fuad dengan 10:32.129s.

Azlan yang gagal mengutip sebarang mata sebelum ini di Pusingan 1 (Kangar) dan Pusingan 2 (Batu Kawan) gembira dengan kemenangan yang diperolehinya apatah lagi musim pertama beraksi bersama pasukan barunya. 

"Pasukan saya begitu bekerja keras pada perlumbaan kali ini dan hasilnya saya berjaya muncul juara di sini. Walaupun ini merupakan tahun pertama saya menggunakan jentera Honda, kemenangan ini menambahkan lagi semangat saya untuk menghadapi saingan musim ini," katanya yang turut berada di kedudukan pertama pada sesi SuperPole. 

Mengenai cabaran daripada Fazrul pada sepanjang perlumbaan, Azlan menjelaskan, "Fazrul beraksi dengan begitu baik dan berjaya mendahului kedudukan sejak dari awal perlumbaan, cuma sedikit kesilapan yang dilakukan di selekoh satu pada pusingan terakhir memberi ruang untuk saya memintas seterusnya berada di hadapan sehingga ke garisan penamat," jelasnya yang kini berada di kedudukan kelapan keseluruhan dengan 25 mata.

Rakan sepasukan Fuad, Abdul Muhaimin Roslan yang menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat mendahului kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 44 mata diikuti pelumba Pachie Yuzie Honda Racing, Mohd Zaqhwan Zaidi di tangga kedua dengan 37 mata manakala rakan sepasukan Fazrul yang juga abangnya,  Ahmad Fazli Sham di kedudukan ketiga dengan 36 mata.

Kejayaan Fuad dan Muhaimin terus menjarakkan kedudukan pasukan Yamaha Maju Motor sebagai pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 76 mata diikuti pasukan Pachie Yuzy Honda Racing dengan 62 mata manakala pasukan Pennzoil Fastrac Racing ketiga dengan 58 mata.

Sementara itu dalam kategori CP115, Zaidy Mohd Zaifaizal dari pasukan Motul Yamaha YY Pang 2 meraih kemenangan keduanya musim ini apabila menamatkan perlumbaan sebanyak 12 pusingan dengan catatan masa keseluruhan 8:37.787s.

Pelumba tuan rumah, Mohd Rozaliman Zakaria (ZAR Racing Motorsport) dan rakan sepasukan Zaidy, Mohd Adli Salihin berada di kedudukan kedua dan ketiga dengan catatan 8:41.243s dan 8:41.403s.

Zaidy menjelaskan dia tidak menyangka dapat memperoleh kemenangan setelah memulakan perlumbaan di petak ke-13 akibat mengalami kemalangan pada sesi saringan di sebelah pagi. "Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh ahli pasukan yang banyak membantu saya untuk mencatatkan kemenangan kedua pada hari ini. Saya begitu gembira dengan kemenangan ini apatah lagi setelah terpaksa memulakan perlumbaan di barisan belakang."

Zaidy terus mengukuhkan cengkamannya sebagai pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 66 mata, 18 mata mengatasi Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang berada di kedudukan kedua dengan 48 mata manakala Adli berada di kedudukan ketiga dengan 47 mata.

Pasukan Motul Yamaha YY Pang 2 turut mendahului  kedudukan keseluruhan berpasukan dengan mengumpul 76 mata diikuti PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM di kedudukan kedua dengan 75 mata sementara Motul Yamaha YY Pang 1 di kedudukan ketiga dengan 58 mata.

Mohd Hafiza Rofa mencatat kemenangan keduanya dalam kategori Wira musim ini sekaligus meletakkan dirinya sebagai pendahulu keseluruhan setelah mengumpul 50 mata daripada tiga pusingan Kejuaraan.

Pelumba Faito YSP Racing itu yang muncul juara pada Pusingan 1 di Kangar menamatkan perlumbaan dengan catatan 7:38.657s menewaskan Mohd Emir Fareez Hasan dari pasukan Honda Promax X-Dot Racing yang menamatkan perlumbaan dengan catatan 7:40.155s manakala juara keseluruhan tahun lalu, Mohd Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang) menaiki podium pertamanya musim ini apabila berada di tangga ketiga dengan catatan 7:41.178s.

Hafiza menjelaskan kemenangan keduanya ini banyak dibantu oleh keadaan jenteranya yang begitu baik pada musim ini. Jelasnya, "Keadaan jentera saya pada musim ini begitu mantap sekali, dan saya berjaya menggunakan kelebihannya untuk memintas Adib pada peringkat awal perlumbaan setelah dia melakukan sedikit kesilapan. Selepas itu saya terus mendahului perlumbaan sehingga ke garisan penamat.," jelas pelumba yang berasal dari Dungun, Terengganu ini.

Bagi kedudukan keseluruhan, Nurahmad Fariznazreen (Motul Yamaha YY Pang) berada di kedudukan kedua dengan jumlah mata yang sama dengan Hafiza dan Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) di kedudukan ketiga dengan 44 mata.



Sementara itu, Mohd Rabilfirli Azmin muncul juara buat kali kedua musim ini di dalam kategori Cabaran Honda Wave Junior. Pelumba remaja tersebut menamatkan perlumbaan 10 lap tersebut dengan catatan masa 8:00.662s diikuti Mohd Firdaus Zainol di tempat kedua dan Mohd Firti Mohd Sukor di tempat ketiga. Firdaus dan Zainol mencatatkan 8:01.496s dan 8:05.232s masing-masing.

Kemenangan ini secara automatik meletakkan Rabilfirli di posisi pertama di dalam kedudukan keseluruhan kelas Honda one-make ini dengan 50 mata manakala Fitri di tempat kedua dengan 42 mata.

Walaupun gagal menamatkan perlumbaan setelah mengalami kemalangan pada pusingan kedua, pendahulu sebelum ini, Mohd Arif Abd Rahman masih berada di kelompok tiga pelumba teratas apabila berada di tangga ketiga dengan mengumpul 41 mata.

Dalam kategori persendirian, Wazir Abdul Razak mencatat kemenangan hatrik apabila muncul juara dengan catatan keseluruhan 7:45.922s. Mohd Saaduddin Rosle ditangga kedua dengan 7:46.272s diikuti Mohd Safuan Mohd Rejab ketiga dengan catatan 7:49.827s.

Kemenangan itu meletakkan Wazir jauh dihadapan meninggalkan pencabar terdekatnya, Mohd Fhahmin Abdul Mutalib dalam senarai kedudukan keseluruhan. Wazir kini di kedudukan pertama dengan 75 mata manakala Fhahmin di kedudukan kedua dengan 51 mata manakala Saaduddin di kedudukan ketiga dengan 26 mata. 

Pusingan keempat bakal dilangsungkan di Putrajaya pada Mei 28 and 29. 

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment