jokisenja header

jokisenja header

Thursday, May 26, 2011

SHAHRIL MAHU TEBUS KEHAMPAAN


Selepas gagal menjejakkan kaki di podium pada dua pusingan lepas, Shahril Izzuwan Mohd Noor nekad mahu menebus kehampaannya pada Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Presint 3, Putrajaya bersempena dengan Hari Belia Negara, pada 28 dan 29 Mei ini.

Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM itu bermula cemerlang apabila muncul juara pada pusingan pembukaan di Kangar, Mac lepas namun gagal mempamerkan prestasi konsisten pada dua pusingan berikutnya. Sebaliknya dia sekadar menamatkan Pusingan 2 (Batu Kawan) di tempat keenam manakala di Terengganu (Pusingan 3) dia muncul di tempat keempat.

Ini sekaligus meletakkan Shahril di tangga kedua keseluruhan dengan kutipan 48 mata, 18 mata dipisahkan dengan pendahulu,  Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang Racing) yang mengumpul 66 mata. Rakan sepasukan Zaidy, Mohd Adli Salihin pula di kedudukan ketiga dengan 47 mata, hanya satu mata ketinggalan di belakang Shahril.

Kecewa dengan prestasinya, Shahril mahu kembali bangkit pada Pusingan 4. Dia berkata, "Saya mengaku semua ini berlaku akibat kesilapan saya sendiri kerana tidak cukup agresif ketika di Kuala Terengganu. Saya berada di kedudukan hadapan sewaktu perlumbaan akhir namun memberi ruang buat pelumba-pelumba lain untuk memintas. Hujung minggu ini, kesilapan yang serupa tidak akan berulang lagi."

Tambah pelumba berusia 23 tahun itu lagi, "Walaupun saya berjaya mengekalkan kedudukan di tangga kedua keseluruhan namun jurang mata diantara saya dan Zaidy semakin jauh daripada enam kepada 18 mata. Oleh itu, keputusan di podium begitu penting bagi merapatkan jurang tersebut. Tidak dinafikan musim ini masih panjang dan perebutan gelran keseluruhan CP115 masih terbuka kepada semua pelumba, namun saya tidak mahu mengambil mudah tentangnya.

Ketika ditanya tentang pencabar utamanya setakat ini, Shahril dengan segera menjelaskan cabaran sudah tentu datangnya daripada pelumba-pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing. "Zaidy kini berada pada tahap terbaik dengan kejayaan menjuarai Pusingan 2 dan 3 manakala pada Pusingan 1 dia muncul di tempat ketiga. Adli juga membuktikan dia antara pelumba yang perlu diberi perhatian apabila mempamerkan prestasi konsisten menamatkan perlumbaan dikalangan lima pelumba teratas pada setiap pusingan. Oleh itu, saya perlu berhati-hati dengan cabaran kedua-dua pelumba ini," kata Shahril yang menamatkan kategori CP115 di tempat kelima keseluruhan tahun lalu manakala Adli dan Zaidy di kedudukan keempat dan kesembilan keseluruhan.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment