jokisenja header

jokisenja header

Thursday, May 12, 2011

FAZLI KEMBALI KEPADA MOMENTUM KEMENANGAN


Walaupun menyertai pasukan baru tahun ini, Juara Expert 2007 dan 2008, Ahmad Fazli Sham membuktikan sentuhannya dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS masih berbisa. Fazli muncul juara pada pusingan sebelum ini di Batu Kawan dan yakin untuk mengulanginya di Pusingan 3 yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu minggu ini.

Setelah tujuh  tahun menabur bakti bersama Shell Advance Yamaha Maju Motor, saingan musim ini menyaksikan Fazli beralih arah dengan menyertai pasukan Pennzoil Fastrac Racing.

Fazli tidak mengambil masa yang lama untuk menutup kritikan yang diterimanya berikutan kegagalan pada Pusingan 1 (Kangar) apabila sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan dengan muncul juara pada Pusingan 2 di Batu Kawan, bulan lepas.

Kemenangan itu membolehkan Fazli merampas kedudukan pendahulu keseluruhan daripada Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) dengan mengumpul 36 mata. Ia diikuti oleh dua pelumba muda, Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing), 20 tahun di tangga kedua dengan 31 mata dan pelumba berusia 16 tahun, Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) ketiga dengan 26 mata manakala Ramdan di kedudukan keempat dengan 25 mata.

Fazli yang menjangkau usia 29 tahun yakin dapat terus meningkatkan prestasi di samping mengekalkan momentum kemenangannya.

"Gelaran juara pada pusingan lepas menambahkan keyakinan saya dan berdasarkan keputusan di Batu Kawan, saya percaya kami mampu untuk mengulanginya lagi. Lebih bagus jika saya dan rakan sepasukan yang juga adik saya, Ahmad Fazrul Sham, kami bersama-sama dapat menamatkan perlumbaan di kalangan lima pelumba terbaik," kata Fazli yang kini memegang rekod sebagai pelumba yang paling banyak memenangi perlumbaan dengan jumlah 18 kemenangan dalam kategori Expert/CP130.

Tambahnya lagi, "Semua pelumba dalam kategori utama ini mempunyai kekuatan yang hampir sama dan kemampuan mereka tidak boleh dipandang rendah. Ketika ini bekas rakan sepasukan saya, Muhaimin merupakan pesaing terdekat apabila kami sekadar dipisahkan dengan dua mata. Sasaran saya selepas ini adalah untuk mencatat kejayaan seterusnya bagi mempertahankan kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan ketika ini."

Menyentuh tentang kemampuan jenteranya, Fazli mengakui prestasi jentera Yamaha miliknya semakin meningkat. "Pada pusingan pembukaan, kami tidak dapat menemui kadar pelarasan  gear yang sesuai dengan corak perlumbaan saya dan kami berjaya menyelesaikannya di Batu Kawan. Langkah berikutnya adalah untuk meningkatkan kuasa jentera pula. Kami perlu terus berada di hadapan pencabar-pencabar lain memandangkan mereka juga sudah tentu sedang melakukan perkara yang serupa," kata juara perlumbaan di Kuala Terengganu tahun 2010.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd


No comments:

Post a Comment