jokisenja header

jokisenja header

Monday, May 9, 2011

Zaidy di tahap terbaik



Zaidy Mohd Zaifaizal mahu meneruskan momentumnya dalam dua pusingan awal. 

KUALA LUMPUR- Zaidy Mohd Zaifaizal melakukan permulaan yang baik pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 apabila dua kali berjaya menaiki podium dan ingin mengekalkan rentaknya pada Pusingan 3 yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu pada 13 dan 14 Mei ini.


Juara Wira epg 2008 itu memulakan kempen kategori CP115 musim ini dengan positif apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada pusingan pembukaan di Kangar dan muncul sebagai juara di Batu Kawan pada pusingan kedua.

Keputusan itu meletakkan Zaidy daripada pasukan Motul Yamaha YY Pang mendahului kedudukan keseluruhan dengan 41 mata, enam mata mengatasi Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang berada di kedudukan kedua dengan 35 mata. Sementara itu, rakan sepasukan Zaidy, Mohd Adli Salihin di kedudukan ketiga dengan 31 mata.

Pelumba berusia 20 tahun itu yang beraksi buat tahun ketiga berasa lega memandangkan segalanya berjalan dengan begitu baik setakat ini. “Sejak menamatkan perlumbaan kategori Bawah-17 pada 2009, prestasi saya dalam kategori Novis/CP115 seperti yo-yo, sentiasa turun naik. Tahun pertama beraksi dalam kelas Novis, saya berada di tangga keenam keseluruhan dengan hanya sekali menamatkan perlumbaan di atas podium manakala pada musim lepas saya berada di tangga kesembilan namun hanya satu kejayaan berjaya dicipta.

“Pada tahun ini, prestasi saya kelihatan lebih baik memandangkan sejak dari awal musim saya sudah mencipta kejayaan dan saya begitu puas hati,” kata pelumba kelahiran Pulau Pinang itu.

Bercerita mengenai faktor yang banyak membantunya berada pada prestasi yang memberangsangkan setakat ini, pelumba ini menjelaskan, “Saya percaya pengalaman yang diperolehi sepanjang dua tahun lepas merupakan antara faktor yang membantu saya mencapai keputusan baik seperti ini.”

Jelasnya lagi, “Sewaktu pertama kali bersaing dengan ramai pelumba-pelumba lebih berpengalaman, saya tidak berani untuk mengambil risiko dan berlumba secara selamat namun kini saya semakin agresif dan bersedia untuk mengambil risiko. Bila saya lihat ada peluang terbuka untuk memintas peelumba dihadapan, tanpa ragu-ragu saya akan mengambil tindakan yang sepatutnya.

“Keduanya, saya sentiasa mendapatkan nasihat daripada pelumba senior seperti Ahmad Fazli Sham dan Elly Idzlianizar Ilias terutama dari aspek penukaran gear di selekoh. Ketiga, boleh saya katakan keadaan jentera saya semakin bagus dan terima kasih kepada seluruh mekanik pasukan kerana telah bekerja keras untuk mendapatkan pelarasan yang terbaik.

“Namun begitu, salah satu faktor yang menguatkan  semanagat saya adalah saya tidak bersedia ditundukkan oleh pelumba-pelumba muda dan pendatang baru. Dengan itu, saya tekad untuk bangkit semula dan mahu kembali untuk memenangi perlumbaan,” jelas Zaidy yang ingin mencatat kemenangan kedua berturut-turut di litar kegemarannya minggu ini.

No comments:

Post a Comment