jokisenja header

jokisenja header


Saturday, October 29, 2011

HAFIZH LAUNG AMARAN AWAL DI MELAKA


Hafizh Syahrin Abdullah melaung amaran awal untuk meraih kemenangan keduanya musim ini apabila muncul pelumba terpantas sesi ujian masa kategori CP130 pada Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka, hari ini.
Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline itu yang muncul juara di Kluang (Pusingan 7), bulan lepas melakukan catatan terpantas 49.624 saat mengatasi Mohd Ramdan MohdRosli dari pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM yang mencatatkan 49.829s dan Elly Idzlianizar Ilias (Global Bike Rock Oil Racing) ketiga dengan catatan 49.839s.
Masih segar dengan prestasi cemerlang beraksi dalam kategori Moto2 Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, minggu lalu. Hafizh berkata, "Catatan ketika sesi ujian masa hari ini cukup memuaskan berbanding dengan catatan sewaktu sesi latihan bebas pertama dan kedua. Ini banyak dibantu oleh perubahan terhadap pelarasan enjin yang dilakukan sebelum memulakan sesi ujian masa hari ini. Namun begitu, saya akan membuat sedikit perubahan ketika sesi warm-up pada pagi esok dan lihat bagaimana hasilnya. Jika kurang memuaskan saya akan kembali menggunakan pelarasan serupa dengan hari ini bagi menghadapi sesi Superpole esok," jelas Hafizh yang akan bertindak selaku pelumba terakhir pada sesi Superpole esok.
Menyentuh tentang sasarannya pada perlumbaan kali ini, pelumba 17 tahun itu berkata, "Saya mahu meraih kemenangan di sini sekali gus mengulangi pencapaian sama seperti tahun lepas. Jika berjaya melakukannya, saya mahu melihat bagaimana peluang saya untuk mengejar kedudukan pendahulu milik Norizman Ismail (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) dan jika jurang mata semakin hampir, saya akan berusaha untuk terus meraih kemenangan pada pusingan akan datang bagi mengekalkan gelaran juara milik saya," kata juara CP130 musim 2010 itu.
Dalam kategori CP115, Mohd Fitri Ashraf Razali mahu menebus kesilapan musim lepas di litar sama apabila muncul pelumba terpantas menewaskan Mohd Farid Ahmad (Global Bike Rock Oil Racing) dan Mohd Azhar Abd Jalil (Motul Yamaha YY Pang).
Pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing itu melakukan catatan 51.072s manakala Farid kedua terpantas dengan catatan 51.195s dan Azhar ketiga dengan catatan 51.378s.
Pelumba 17 tahun itu yang gembira dengan catatan dilakukannya berkata, "Saya mahu melakukan perkara serupa pada sesi saringan hari esok dan dapat memulakan perlumbaan di barisan hadapan. Keadaan litar ini agak sempit dan sukar untuk memintas, jadi penting bagi saya dapat berada di barisan hadapan. Keadaan jentera pada hari ini juga sangat baik dan tidak perlu sebarang perubahan lagi. Kali ini saya akan lebih berhati-hati dan tidak mahu melakukan kesilapan serupa seperti tahun lalu," jelas Fitri yang terjatuh pada perlumbaan akhir ketika beraksi dalam kategori Wira pada musim lepas.
Sementara itu, dalam kategori Wira, Fakhrusy Syakirin Rostam muncul pelumba terpantas buat pertama kalinya pada musim ini dengan catatan 52.218s yang dilakukannya pada pusingan kelapan.
Catatan pelumba AAP Mazoil Faito Racing itu 0.123s lebih pantas berbanding catatan Mohd Adib Rosley dari pasukan Motul Yamaha YY Pang yang muncul pelumba kedua terpantas dengan catatan 52.341s. Catatan ketiga terpantas milik Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) dengan masa 52.342s.
Fakhrusy, 15 tahun berkata, "Dari peringkat awal lagi saya meletakkan sasaran untuk mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa hari ini. Berbanding dengan sesi latihan pada sebelah pagi, catatan ini juga lebih baik dan menunjukkan banyak peningkatan. Jentera saya juga dalam keadaan baik dan laju namun saya masih memerlukan sedikit perubahan untuk menghadapi sesi saringan pada hari esok," jelas Fakhrusy sambil meletakkan sasaran untuk memulakan perlumbaan di barisan hadapan dan seterusnya menaiki podium pada perlumbaan akhir esok.
Dalam kategori Cabaran Honda Wave Junior, Mohd Amim Abu Osman mencatat masa terpantas dengan melakukan catatan 57.905s diikuti Mohd Amir Syafiq Abd Rahman dengan catatan 57.910s. Juara pusingan lepas, Suhaizarul Suhaizat muncul pelumba ketiga terpantas dengan catatan 57.997s.
Dalam kategori Cabaran Yamaha EgoLC PETRONAS, pendahulu keseluruhan, Mohd Shafiq Rasol mencatat masa terpantas dengan catatan 1:01.770s diikuti abangnya, Mohd Amirul Rasol kedua dengan catatan 1:02.803s dan Mohd Shariman Hashim ketiga, 1:03.803s.
Dalam kategori Persendirian, Mohd Imran Zulkafli muncul pelumba terpantas dengan catatan 55.974s diikuti Noriqhram Ahmad Kamil kedua dengan catatan 56.135s dan Ang Beng Seang ketiga, 56.520s.Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment