jokisenja header

jokisenja header


Monday, October 17, 2011

ARRC: ZAMRI, HAFIZH MULA DI BARISAN HADAPAN



Dua pelumba negara, Mohd Zamri Baba dan Hafizh Syahrin Abdullah bakal memulakan Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2 kategori SuperSports 600cc di barisan hadapan setelah mencatat masa kedua dan ketiga terpantas pada sesi Kelayakan 2 Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS yang berlangsung di Litar Antarabangsa Zhuhai, hari ini.

Zamri (PETRONAS Yamaha Malaysia) mencatat masa kedua terpantas dengan catatan 1 minit 38.350 saat yang dilakukan pada pusingan ke-16 manakala Hafizh (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) ketiga dengan catatan 1:38.477s

Zamri yang sekadar  0.155s ketinggalan kepada pelumba di petak pertama, Katsuaki Fujiwa dari Manual-Tech BEET Kawasaki Racing yang mencatatkan  1:38.195s cukup berpuas hati dengan catatan yang dilakukannya pada hari ini. "Semalam, saya mengalami sedikit kesukaran kerana gagal mendapatkan pelarasan terbaik namun jurutera pasukan berjaya mengatasi masalah tersebut pada sesi latihan bebas hari ini. Pertukaran di bahagian klac dan casket enjin membantu saya mencatat masa yang lebih baik," jelas pelumba 28 tahun itu.

Zamri yang akan beraksi di Grand Prix Motosikal (MotoGP) Moto2 di Litar Antarabangsa Sepang minggu depan meletakkan sasaran untuk menamatkan perlumbaan di atas podium namun dia menjangkakan sainga sengit daripada pelumba-pelumba lain memandangkan sembilan pelumba mencatat masa sekitar 1:38s.

Sementara itu, Hafizh tidak menjangka dapat bermula di barisan hadapan. "Saya gembira kerana ini merupakan kali pertama dalam karier SuperSports 600cc ARRC PETRONAS saya bermula di barisan hadapan. Saya hanya cuba buat yang terbaik dan terkejut apabila melihat nama saya di kedudukan ketiga," kata Hafizh yang akan bergandingan dengan Zamri pada perlumbaan MotoGP nanti.

Azlan Shah Kamaruzaman (Boon Siew Honda Racing Malaysia) yang mencatat masa keempat terpantas pada sesi kelayakan semalam sekadar mencatat 1:38.960s pada sesi Kelayakan 2 hari ini dan akan bermula di petak kesembilan manakala pelumba Bike A.R.T Kawasaki Racing, Ahmad Fuad Baharudin akan bermula di petak ketujuh dengan catatan 1:38.743s.

Dalam kategori Underbone 115cc, Mohd Affendi Rosli (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) dan Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang) mengatasi catatan rekod pusingan kelayakan milik Fitriansyah Kete (2:11.378s) yang dilakukan pada tahun lepas.

Affendi di kedudukan kedua terpantas dengan catatan 2:11.096s manakala Zaidy di kedudukan ketiga, 2:11.357s.

Affendi yang mempunyai kenangan manis apabila muncul juara dan turut dinobatkan sebagai juara keseluruhan pada tahun 2009 di litar ini berharap dia dapat menjejakkan kaki di atas podium pada perlumbaan sebenar. "Saya berpuas hati dengan catatan yang dilakukan pada hari ini namun jika bukan terdapat gangguan daripada pelumba-pelumba lain, saya mampu untuk mencatat masa yang lebih pantas berbanding Gupita," jelas Affendi yang menjejakkan kaki di atas podium selama empat tahun berturut-turut bermula tahun 2007.

Bagi Zaidy pula, dia begitu gembira kerana dapat memulakan perlumbaan di barisan hadapan. "Saya berjaya mendapatkan lining yang betul dan mula serasi dengan litar ini. Jentera juga dalam keadaan baik dan memuaskan. Saya harap dapat menjejakkan kaki di atas podium."

Mohd Iskandar Raduan yang menggantikan Shahril Izzuwan Mohd Noor untuk pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM turut pamer prestasi cemerlang apabila bakal memulakan perlumbaan di petak keempat setelah mencatat masa keempat terpantas, 2:11.768s. Iskandar yang sebelum ini beraksi dalam kategori SuperSports 600cc akui dia dapat beraksi dengan selesa menggunakan jentera underbone dan cukup berpuas hati catatan  yang dilakukannya.

Rakan sepasukannya, Mohd Ramdan Mohd Rosli di kedudukan keenam dengan catatan 2:12.076s manakala Mohd Amirul Ariff Musa bakal memulakan perlumbaan di petak akhir setelah jenteranya mengalami masalah mekanikal pada sesi Kelayakan 2.

Peminat-peminat Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Malaysia jangan lupa saksikan siaran langsung Pusingan 5 di Astro SuperSports (811) dari 2.30 petang hingga 4.30 petang pada hari esok (16 Oktober). Maklumat lanjut, sila lawati laman web rasmi Kejuaraan, www.arrc.com.my ataupun menyertai laman Facebook di www.facebook.com/AsiaRoadRacing

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd


No comments:

Post a Comment