jokisenja header

jokisenja header


Sunday, October 23, 2011

Zulfahmi cipta pencapaian terbaik di gelanggang sendiri



Pelumba tunggal negara dalam kategori 125cc Muhammad Zulfahmi Khairuddin berjaya melakukan pencapaian terbaik musim ini dengan menduduki tempat ketujuh pada perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2011 di Litar Sepang di sini hari ini.

Ia merupakan kedudukan terbaik sepanjang penglibatannya dalam perlumbaan penuh musim ini dan juga sebagai hadiah sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-20 pada Khamis lalu.

Pencapaian tersebut membolehkan pelumba pasukan AirAsia-SIC-AJO Racing itu mengutip sembilan mata dan sekali gus naik satu anak tangga di tangga ke-17 dengan jumlah 30 mata selepas 16 pusingan.

Pelumba kelahiran Banting ini berjaya memintas Jakub Kornfeil (Ongetta-Centro Seta) ketika perlumbaan berbaki dua pusingan untuk berada di kedudukan ketujuh.

Perlumbaan kategori 125cc itu dimenangi pelumba Sepanyol, Maverick Vinales daripada pasukan Blusens by Paris Hilton Racing yang mencatat masa terpantas, 40:34.280s dalam 18 pusingan perlumbaan itu.

Tempat kedua disandang pelumba Jerman, Sandro Cortese dari Intact-Racing Team Germany, dengan catatan 40:34.634s, sementara pelumba Perancis, Johann Zarco dari  Avant-AirAsia-Ajo, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan masa 40:36.735s.

"Saya sangat gembira dengan perlumbaan tadi. Saya memulakan perlumbaan di petak ke-13 dengan baik dan pada lima pusingan awal saya mula berada dalam kedudukan 10 terbaik.

"Ini merupakan kedudukan dan pencapaian terbaik saya setakat ini dalam semua perlumbaan musim ini," kata Muhammad Zulfahmi ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan kelas 125cc itu.
    
Pelumba itu berkata bersaing dengan pelumba England Danny Kent, Alberto Moncayo (Sepanyol) dan Kornfeil dari Republic Czech untuk merebut petak terbaik menjadikan beliau lebih berkeyakinan dalam persaingan dengan pelumba handalan dunia.

"Saya mempunyai strategi dan sengaja tidak mahu memotong mereka di saat awal. Berbaki lima pusingan tersebut saya gunakan peluang untuk memintas mereka.

"Malah saya dapat rasakan penyokong tempatan bersorak gembira ketika saingan tamat tadi," kata Muhammad Zulfahmi.

Sementara itu, rakan senegara yang juga pelumba wildcard Mohd Farid Badrul Hisham yang berjaya menamatkan perlumbaan di petak ke-24, turut berpuas hati dengan perlumbaan sulungnya dalam saingan MotoGP kelas 125cc.

Beliau mencatatkan masa 42:51.248s dengan bermula di petak ke-31. 

"Saya harap dapat dipilih dalam edisi wildcard tahun depan. MotoGP memang merupakan satu pendedahan yang baik buat diri saya," katanya.

Litar Sepang menjadi hos kedua terakhir daripada keseluruhan 17 siri perlumbaan MotoGP 2011 sebelum menutup tirai kalendarnya di Litar Valencia, Sepanyol pada 4-6 Nov.

No comments:

Post a Comment