jokisenja header

jokisenja header


Friday, October 7, 2011

MOTO2: EKSKLUSIF BERSAMA RON HOGG


Sejak mula menjayakan projek Wildcard pada tahun 2009, sekali lagi pada tahun ini, Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd (TWMR) bersama-sama dengan nama-nama besar dalam industri pemotoran iaitu PETRONAS, Moriwaki, Dunlop, Hong Leong Yamaha Motor, Boon Siew Honda, Raceline, Litar Antarabangsa Sepang dan AAM bekerjasama bagi menjayakan satu matlamat yang sama untuk memberi pendedahan secukupnya kepada pelumba-pelumba dan pasukan-pasukan sebelum mereka beralih ke peringkat yang lebih tinggi.

Tahun lepas kita menyaksikan Mohd Zamri Baba dari PETRONAS SIC TWMR Malaysia mencatat keputusan yang membanggakan negara dengan kejayaan menamatkan perlumbaan yang disertai pelumba-pelumba terbaik dunia di tempat ke-22 pada penampilan pertamanya dalam saingan Moto2. 

Pada musim 2011 ini, kita berpeluang untuk melihat dua pelumba negara beraksi dalam saingan Moto2. Selaku tuan rumah, satu tiket wildcard sudah ditetapkan sejak dari awal lagi kepada pelumba Malaysia manakala tiket kedua diberikan oleh FIM selepas melihat kepada prestasi cemerlang pelumba-pelumba Malaysia di pentas antarabangsa pada tahun ini.

Kita ikuti temubual bersama Pengarah Promosi TWMR, Ron Hogg mengenai Program Wildcard Moto2 Malaysia 2011.

Sebagai permulaan, kenapa dan apakah objektif utama Program Wildcard Moto2 sekali lagi diadakan pada tahun ini?
Matlamat kami tetap sama iaitu kami mahu terus memperkembangkan perlumbaan di Malaysia bukan sahaja dari aspek peningkatan tahap pelumba-pelumba tetapi juga peningkatan terhadap semua pihak yang terlibat seperti pasukan-pasukan, jurutera dan kru perlumbaan, penaja-penaja dan pihak-pihak lain. 

Melalui penglibatan kami di MotoGP ini dan pengalaman yang ditimba, ia dapat bantu merealisasikan matlamat kami dan dari situ barulah kita dapat terus melahirkan lebih ramai pelumba-pelumba berbakat di masa hadapan.

Bagaimana dengan perbezaan yang diperkenalkan dalam program kali ini berbanding dengan dua tahun sebelum ini?
Tahun ini, selain daripada memberi peluang untuk pelumba-pelumba beraksi di pentas dunia, kami juga mahu membangunkan industri ini secara keseluruhannya dan Moriwaki Engineering bersedia untuk sama-sama berkongsi teknologi milik mereka kepada kami. Oleh itu, sepanjang sesi ujian yang dilakukan, bukan hanya pelumba diberi bimbingan malah jurutera-jurutera dari Hong Leong Yamaha dan Boon Siew Honda turut menerima tunjuk ajar oleh rakan sejawat dari Jepun ini. 

Untuk jangka masa panjang, kami berharap dengan perkongsian ini dapat memberi manfaat dan melahirkan jurutera-jurutera yang pasukan teknikal yang lebih baik. Kita mahu melihat jurutera-jurutera dan kru pasukan yang berupaya menyediakan jentera terbaik kepada pelumba di mana ia antara perkara paling utama yang menyumbang kepada kejayaan seseorang pelumba.

Selain daripada mahu mempamerkan bakat-bakat pelumba Malaysia, apakah lagi sasaran yang mahu dicapai melalui program ini? 
Projek ini, secara semulajadinya cenderung kepada projek yang berprofil tinggi. Terima kasih di atas sokongan semua pihak media di Malaysia kerana dengan menonjolkan kejayaan-kejayaan pelumba-pelumba kita, kami berharap ia dapat menarik lebih banyak penglibatan pihak korporat ke dalam sukan ini. Ini membolehkan kami untuk meneruskan program pembangunan seperti ini bagi melahirkan lebih ramai pelumba-pelumba di masa akan datang.
 
Pihak manakah yang turut terlibat dengan projek wildcard pada tahun ini?
Sama seperti tahun lepas, PETRONAS merupakan penggerak utama kepada projek ini dan di kalangan pengeluar-pengeluar, kami turut memiliki Boon Siew Honda dan Hong Leong Yamaha yang dapat bekerja bersama-sama di bawah satu pit. Tidak dilupakan adalah rakan baik kami, Moriwaki. Penaja-penaja dan pihak-pihak lain akan diumumkan sekali dengan pelumba-pelumba nanti.
 
Daripada kesemua pelumba yang ada di Malaysia, kenapa mereka bertiga ini yang terpilih?
Ketiga-tiga mereka terpilih berdasarkan prestasi yang mereka tunjukkan dalam kategori SuperSports 600cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS. Mendahului senarai, Zamri, 28 tahun, dia mempunyai pengalaman menggunakan jentera Moto2 pada tahun lepas. Azlan, 27 tahun pula berada pada tahap terbaiknya sepanjang tahun ini termasuk sedang menduduki tangga kedua dalam senarai keseluruhan ARRC PETRONAS dan baru sahaja memenangi Suzuka 4-Hour Endurance Road Race. Hafizh, 17 tahun, pula merupakan pelumba yang telah meraih pelbagai kejayaan dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dan turut mempamerkan peningkatan ketara dalam Kejuaraan Asia.
 
Apakah harapan pasukan yang mahu dicapai dengan adanya tiga perlumba bersaing untuk dua slot?
Adanya tiga pelumba bersaing bagi merebut dua tiket wildcard ini merupakan satu perkara yang bagus kerana mereka akan memberikan aksi pada tahap terbaik untuk membuktikan mereka layak menerima tiket tersebut. Kami telah memberikan lebih banyak peluang pada kali ini kepada pelumba-pelumba berbanding tahun lepas dan mereka dapat membuktikan kemampuan sebenar sebelum pemilihan di buat. Selain itu, dengan adanya tiga pelumba menjalani ujian pemilihan ini, ia turut membolehkan jurutera-jurutera mengumpul data-data yang berguna memandangkan ketiga-tiga pelumba ini mempunyai karakter yang berbeza.

Contohnya, Zamri mempamerkan daya kesungguhan yang tinggi manakala Azlan pula merupakan pelumba yang agresif. Bagi Hafizh, walaupun baru dua tahun beraksi menggunakan jentera 600cc, dia dapat mengendalikan jentera Moriwaki dengan baik. Hasil semua data-data yang dikumpulkan, jurutera-jurutera dapat mengenalpasti pelarasan terbaik untuk pelumba-pelumba dan memastikan kami berada di landasan yang tepat.  

Kamu ada menyebut tentang ketiga-tiga pelumba ini lahir dari siri Kejuaraan yang sama. Adakah ini bermaksud sesiapa yang mahu mendapatkan tiket wildcard ini perlu datang dari dua Kejuaraan ini?
Dalam erti kata sebenar, Ya. Penting bagi pelumba-pelumba ini mempunyai latar belakang beraksi dalam kedua-dua Kejuaraan ini kerana Cub Prix merupakan acara perlumbaan motosikal yang terbesar di Malaysia manakala ARRC PETRONAS pula diiktiraf sebagai perlumbaan jentera dua roda terbaik di Asia. Ia tidak bermaksud mereka yang datang daripada siri perlumbaan lain tidak diberikan peluang, namun sepanjang tempoh 15 tahun ini, pelumba-pelumba terbaik negara semuanya datang dari Kejuaraan ini dan kita boleh melihat sendiri keupayaan mereka.

Setakat ini kita telah mempunyai tiga pelumba wildcard, Elly Idzlianizar Ilias dan Mohd Zulfahmi Khairuddin pada tahun 2009 dan Zamri pada 2010. Ketiga-tiga pelumba ini datangnya dari Cub Prix sebelum beralih ke ARRC PETRONAS kecuali Zulfahmi. Elly beraksi dalam kategori Underbone 115cc manakala Zamri mengambil bahagian dalam saingan paling kompetitif, SuperSports 600cc. 

Begitu juga dengan Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang merupakan juara ARRC pada tahun 1996, sebelum dia pergi ke tahap yang lebih tinggi iaitu di pentas MotoGP.

Azlan dan Hafizh pula, mereka juga memulakan karier dengan beraksi di Cub Prix sebelum beralih ke peringkat lebih tinggi dan membawa cabaran negara di SuperSports 600cc. 

Pada ketika ini ia merupakan pentas yang paling efektif bagi pelumba-pelumba untuk membentuk dan mengembangkan karier perlumbaan mereka. Ini kerana jika kami terus menghantar pelumba muda yang berbakat untuk menyertai perlumbaan di luar negara ia akan memerlukan peberlanjaan yang amat besar sekali. 

Soalan terakhir, apakah sasaran kamu terhadap kedua-dua pelumba yang akan beraksi di MotoGP pada tahun ini dan bagaimana kamu melihat program ini dapat terus berkembang pada masa hadapan?
Melihat kepada persaingan sengit dalam kelas Moto2, kami berharap pelumba-pelumba dapat melakukan catatan masa sepusingan yang lebih baik dan terus menunjukkan peningkatan sepanjang minggu perlumbaan. 

Untuk masa hadapan, sudah tentu kami mahu terus melakar kejayaan demi kejayaan tetapi pada masa yang sama, kami berharap lebih ramai penaja akan bekerjasama dan melabur demi menyokong industri sukan lumba motor tanah air. Adalah harapan kami untuk melihat lebih ramai pelumba dapat beraksi di peringkat antarabangsa tanpa memikirkan berapa lama mereka dapat mengekalkan karier perlumbaan. 

PETRONAS telah mengubah industri pemotoran Negara dan pada ketika ini kami juga memerlukan lebih banyak sokongan dari pihak lain untuk memajukan sukan pemotoran demi negara. 

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd 

No comments:

Post a Comment